KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Wednesday, 23 May 2012


PENTINGNYA PERGERAKAN KREATIF KEPADA MURID BERKEPERLUAN KHAS
ISU ;
KESEDARAN GURU TENTANG PENTINGNYA
PERGERAKAN KREATIF KEPADA MURID-MURID BERKEPERLUAN KHAS DI SEKOLAH RENDAH


1.0 PENGENALAN
Kanak-kanak sejak dilahirkan suka bergerak bebas. Ingin melahirkan perasaan dan idea serta ingin tahu tentang sesuatu demi mempelajari dan memahami konsep, isu dan masalah persekitaran mereka. Mereka gemar mencipta dan tidak keberatan untuk memberi penghargaan atau berasa bangga terhadap hasil ciptaan sendiri atau kelompok sebaya. Kanak-kanak mempunyai naluri terhadap rentak dan irama, pergerakan yang berirama dan kemampuan kreativiti yang semulajadi. Kanak-kanak dikenali sebagai individu yang suka bermain. Naluri suka bermain ini boleh disalurkan kepada bentuk pengalaman yang kreatif yang dapat membina situasi dan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan fizikal, mental dan sosial yang sihat. Oleh itu aktiviti pergerakan kreatif hendaklah disusun berdasarkan ciri-ciri suka bermain, kreatif, ritma dan kebebasan mencurahkan perasaan dan idea untuk memberikan keseronokan dan kepuasan. Mengikut pendapat Dauer dan Prangrazi (1983),kanak-kanak mempunyai keinginan-keinginan untuk bergerak, berlakon dan sentiasa aktif yang tidak boleh dipuaskan. Mereka lari untuk mendapatkan kepuasan berlari semata-mata. Aktiviti bagi mereka adalah intisari penghidupan.

Dauer dan Prangrazi (1983), telah mengenal pasti sembilan keinginan asas kanak-kanak iaitu:
a. Keinginan untuk bergerak.
b. Keinginan untuk berjaya dan diperkenankan.
c. Keinginan untuk diterima oleh kelompok sebaya dan hidup bermasyarakat.
d. Keinginan untuk bersaing.
e. Keinginan untuk memperoleh kecergasan fizikal dan daya penarik.
f. Keinginan untuk mengembara.
g. Keinginan untuk memperoleh kepuasan kreativiti.
h. Keinginan untuk memperoleh kepuasan kreativiti.
i. Keinginan untuk mengetahui.


Keinginan-keinginan pada peringkat awal ini harus ditumpukan kepada pergerakan-pergerakan kreatif yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu seperti pertumbuhan fisiologi dan motor, perkembangan psikologi dan mental serta rohani dan sosial. Keinginan-keinginan ini juga tidak terkecuali kepada murid berkeperluan khas.


2.0 DEFINISI


Pendidikan Pergerakan Moden, Pendidikan Pergerakan, Pergerakan Pendidikan Berirama, Drama Kreatif dan Pergerakan Kreatif adalah di antara istilah-istilah yang kerap digunakan dan kadangkala penggunaannya silih berganti antara satu sama lain. Namun maksudnya menjurus ke arah yang hampir sama iaitu penggunaan pergerakan tubuh badan, irama dan daya kreatif sebagai media oleh kanak-kanak untuk melahirkan daya ekspresi.


Gladys Andrew Fleming menggunakan istilah ‘Pergerakan Kreatif’ untuk pendidikan geraktari kanak-kanak. Beliau mentakrifkan istilah ini sebagai penghubung antara fikiran dan perasaan yang dipancarkan melalui perantaraan anggota tubuh badan. Ini membayangkan cara seseorang individu menggunakan pergerakan dalam menyelesaikan tiga komponen utama dalam geraktari : untuk tujuan-tujuan ekspresi, komunikasi atau kepuasan peribadi (Fleming, 1976).



Mengikut pendapat Margaret H’Doubler; geraktari kreatif ialah sejenis tarian berunsur pendidikan yang membantu proses pembesaran seseorang individu. Proses ini kemudian membentuk pemikiran mental dan merencana aktiviti yang merangsang daya berfikir, pertumbuhan fizikal dan spiritual. Ini akan membolehkan seseorang individu itu menghayati serta menghadapi tuntutan-tuntutan hidup dengan berkesan (H’Doubler, 1925). Bentuk geraktari seperti yang digariskan oleh definisi di atas merujuk kepada daya ekspresi mental dan jasmani yang dilakukan secara jujur dan spontan. Apa yang dipersembahkan oleh penari-penari itu bukanlah bertujuan untuk menarik perhatian atau mencetuskan sensasi tetapi untuk mencurahkan perasaan dalaman yang terbuku. Ini juga merupakan ekspresi emosi kendiri yang disalurkan melalui aktiviti pergerakan berirama.



Berdasarkan difinisi dan takrifan yang diberikan, pergerakan kreatif mempunyai beberapa ciri seperti berikut:



I. penggunaan elemen-elemen pergerakan seperti anggota tubuh, ruang,dan daya usaha, bentuk, masa, tenaga dan hubungan di antara elemen-elemen tersebut sebagai asas perancangan kandungan kurikulum (Joyce, 1973; Dimondstein, 1983; Stinson, 1982).

II. Tumpuan kepada pergerakan untuk kanak-kanak sebagai aktiviti yang bersifat semulajadi dan tidak formal, dan pada masa yang sama pengalaman-pengalaman dalam kegiatan pergerakan itu membantu kanak-kanak mengesan potensi-potensi mereka untuk melahirkan perasaan serta menjadikannya sebagai alat perhubungan (Combest,1975; Dimondstein, 1983).

III. Tumpuan kepada pengalaman geraktari sebagai aktiviti yang menyeronokkan, sihat dan mudah dicapai. Ia membantu kanak-kanak menjalin paduan antara mental, fizikal dan persekitaran serta membantu mereka untuk melahirkan segala perasaan dalaman yang terpendam melalui perantaraan pergerakan. Ia melambangkan aktiviti yang menyentuh jiwa kanak-kanak (Brearly, 1970; Fleming, 1976).

IV. Tumpuan kepada matlamat yang sama, iaitu perkembangan personaliti kanak-kanak secara menyeluruh. Terdapat satu aspek penting berhubung dengan faktor ini. Perkembangan personaliti individu memberi kesan terhadap nilai diri yang merangkumi aspek-aspek fizikal, mental dan rohani. Faktor ini menjadi penggalak kepada pengembangan personaliti dengan meyakinkan ketiga-tiga aspek tersebut untuk memberi berbagai kemungkinan seperti merangsang daya imaginasi dan mencabar intelek. (H’Doubler, 1972; Huskey, 1979; Joyce, 1984; Synder, 1975; Ayob, 1986).
V. Tumpuan kepada keupayaan individu untuk menyelesaikan sesuatu tugas yang diberi mengikut caranya yang tersendiri dan pada masa yang sama, cuba mengekalkan hubungan baik dengan kumpulan rakan sebaya (Stinson, 1982; Dimondstein, 1983).
VI. Tumpuan kepada aktiviti motor yang bersifat halus dan kasar, latihan koordinasi, menghargai masa dan imbangan, pengetahuan tentang bahagian-bahagian tubuh, pengetahuan tentang mekanisma pergerakan, kesedaran yang mendalam terhadap hubungan perceptual dan peluang-peluang untuk meningkatkan kekuatan fizikal, daya ketahanan serta fleksibiliti (Arrow, 1981; Synder, 1975).



1.0 KEPENTINGAN PERGERAKAN KREATIF



Jesse William (1964), pelopor pendidikan pergerakan kreatif yang banyak memberi sumbangan serta mempengaruhi arah perkembangan program pendidikan jasmani di sekitar tahun-tahun 1930-an hingga 1960-an berpendapat:



Pendidikan Jasmani sewajarnya bertujuan untuk menyediakan kepemimpinan yang cekap serta menjadi alat kepada individu atau kelompok untuk bertindak dalam pelbagai situasi secara konstruktif dari segi fizikal, mental dan sosial.



Objektif yang disarankan oleh William itu pada hakikatnya mencabar para pendidik pendidikan jasmani untuk mempertingkatkan kemahiran mereka agar dapat mendidik dengan lebih berkesan untuk mencorakkan kehidupan kanak-kanak sejajar dengan matlamat yang disarankan. Bagaimanapun nilai-nilai positif yang bakal diperolehi daripada pergerakan kreatif bergantung kepada penyertaan seseorang individu dalam bidang tersebut.



Menurut Way (1967), pendidikan Jasmani kreatif ialah pendidikan seluruh individu melalui pengalaman. Seperti dengan pengalaman-pengalaman kreatif yang lain, pergerakan ini merangsang pemikiran yang beragama, imaginasi dan cara menyelesaikan masalah. Ia juga mengukuhkan emosi, sifat humor, berlakon dengan yakin dan pemahaman terhadap sesama insan yang berasaskan nilai-nilai kemanusiaan yang luhur (Davis, Helfert dan Shapiro 1973; Way 1967) serta pemikiran yang kritis dan bebas (Carelli, 1982). Aktiviti ini juga bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga untuk mencurah keluar jiwa dalaman yang terdiri daripada perasaan dan mood (Russell,1975)



Melalui pendidikan Jasmani kreatif murid-murid berkeperluan khas juga akan memperolehi banyak manfaat jika ia dilaksanakan dengan teratur dan sistematik oleh guru-guru. Untuk mengajar pendidikan jasmani kreatif, guru tidak memerlukan ilmu yang luas cukup sekadar minat dan rasa tanggungjawab terhadap murid-murid yang didik. Di antara kebaikan yang yang diperolehi dengan aktiviti pergerakan kreatif ialah murid akan dapat:



5.1 Meningkatkan Kecergasan:



Murid-murid berkeperluan khas sering dilihat tidak berdaya dan mudah letih terutamanya murid sindrom dowan. Otot kanak-kanak ini lemah dan mereka kelihatan tidak bertenaga. Melalui pergerakan kreatif mereka akan seronok bermain dan secara tidak langsung akan membina kecergasan pada diri kanak-kanak ini. Guru-guru hendaklah bijaksana mengatur aktiviti ini kerana senaman yang sistematik serta pemakanan yang seimbang adalah penting untuk menjamin kehidupan yang sihat dan tahan lasak. Kecergasan fizikal terdapat empat komponen penting iaitu:


ü Kecergasan kardivaskular
ü Kecergasan kekuatan dan ketahanan otot
ü Kecergasan kelenturan dan
ü Kecergasab bverat badan.


Dalam tahun 1956 sebuah persidangan American Association for Health, physical Education and Recreational Fitness telah bersetuju dengan takrif berhubung kecergasan iaitu:


Kecergasan ialah suatu keadaan yang menunjukkan sejauh mana seseorang itu mampu untuk berfungsi. Kecergasan merupakan soal individu. Namun ia memberi implikasi terhadap terhadap keupayaan seseorang individu untuk hidup dengan cara yang paling efektif dengan potensi yang ada padanya. Keupayaan untuk berfungsi bergantung kepada aspek-aspek fizikal, mental, emosi, social dan spiritual yang menjadi komponen-komponen dalam konsep kecergasan yang mana kesemuanya saling berhubung dan berkait antara satu sama lain. (Schurr, 1975).


Latihan jasmani yang sering dilakukan boleh mempertingkatkan kekuatan seseorang dan elemen kekuatan ini merupakan factor penting dalam mempelajari kemahiran-kemahiran motor (Rarick & Dobbins, 1975 : Pangrazi 1982). Aktiviti yang rancak juga menyebabkan bebanan tekanan ke atas tulang-tulang dan ini akan menyebabkan ukuran garis pusat tulang-tulang berkenaan menjadi bertambah besar serta memperbaiki strukturnya. Osteoporosis atau demineralization (kekurangan garam galian) adalah berpunca daripada kelembaman. Keadaan demikian akan menyebabkan tulang-tulang menjadi rapuh. Gejala ini dapat diatasi melalui pergerakan kreatif kerana ia boleh membalikkan proses ini di samping membina semula kekuatan tulang-tulang.


5.2 Alat Teraputik


Pergerakan kreatif sangat berkesan untuk mendidik kanak-kanak bermasalah fizikal dan mental. Ini boleh dilakukan dengan menyediakan program latihan yang bersesuaian yang boleh mendorong mereka menjadi cergas dan efektif dari segi fizikal.


Penggunaan pergerakan yang berkaitan dengan psikomotor, kognitif, efektif dan estetika merupakan nilai-nilai yang sangat penting untuk murid-murid berkeperluan khas. Nancy Brooks Schmitz (1980), dalam tulisannya antara lain telah menyentuh peri mustahaknya pergerakan kreatif untuk kanak-kanak ini. Beliau bersetuju bahawa pergerakan kreatif mempunyai nilai aktiviti yang dapat memperkayakan pengalaman kanak-kanak. Ia patut digalakkan dan dimajukan oleh semua pihak. Guru pendidikan khas perlu mendalaminya untuk kebaikan murid-murid berkperluan khas.
Dalam buku Nancy Brook Schmitz yang berjudul Developing Creative Mmovement Experiences for the Handicapped, beliau menulis :


Pendidikan pergerakan kreatif dapat memberikan peluang-peluang kepada kanak-kanak untuk merealisasikan potensi ereka dengan membangkitkan perkembangan imejkendiri yang positif, dengan menggerakkan keinginan dalaman yang semulajadi untuk bergerak, dengan meningkatkan keupayaan kanak-kanak untuk berfikir secara kreatif melalui penyelesaian masalah, dengan memupuk interaksi sosial yang positif, dengan membekalkan pengalaman-pengalaman yang boleh membantu kanak-kanak meneroka dan mengembangkan kebolehan-kebolehan fizikal dan kinestetik mereka, dan menyuburkan pengalaman-pengalaman estetika.


Setiap kanak-kanak mempunyai keistimewaan, bakat keperluan-keperluan yang unik dan tersendiri. Kanak-kanak berkeperluan khas juga tidak berbeza dari segi ini. Mereka juga perlukan kasih sayang, mahukan diri mereka diterima oleh orang ramai, menikmati rasa keriangan dan keseronokan bergerak dan melakukan aktiviti-aktiviti untuk memperintkatkan keupayaan, menumpukan perhatian terhadap sesuatu koordinasi dan kecergasan. Mereka juga ingin berkongsi pengalaman dengan rakan sebaya, ingin merasai cabaran dan kejayaan, ingin mencipta dan mengongsikan hasil-hasil ciptaan mereka dan ingin berhubung. Matlamat-matlamat dan garis-garis panduan kurikulum mengenai pendidikan khas ada menyatakan dengan jelas bahawa ia (pendidikan khas) :


… mesti merangkumi segala kemahiran yang berfungsi, termasuk tingkah laku, kawalan kendiri dan kebolehan motor, sama ada yang seni ataupun yang kasar, komunikasi yang besifat verbal dan non-verbal, keselamatan dan kesihatan, social dan rekreasi, dan kemahiran-kemahiran akademik yang fungsional.


Guru-guru berkeperluan khas hendaklah sedar bahawa pergerakan kreatif mampu dijadikan alat yang ampuh untuk mendidik murid-muridnya dengan cara yang efektif. Umpamanya aktiviti geraktri mampu meredakan ketegangan atau tekanan emosi dan menyemai rasa riang dalam kehidupan seseorang individu, dan ia boleh dijadikan sebagai senaman yang lasak untuk menggalakkan mereka menjadi aktif dan cergas.


Pergerakan kreatif memainkan peranan yang berguna dalam pertumbuhan individu melalui interaksi fizikal, mental dan ekspresi dengan geraktari teraputik yang pada dasarnya dibina atas dasar kepercayaan bahawa ekspresi pergerakan mencerminkan unsur dinamik dalam psikik atau batin (Leventhal, 1980).



Pergerakan kreatif mampu mencapai matlamat psikoterapeutik dengan meredakan symptom, integrasi emosi dan fizikal dan perkembangan peribadi kanak-kanak, dan memperkukuhkan pemahaman mereka. Mengikut pendapat Nellie Mc Caslin (1980), berhubung dengan ini, terdapat satu persetujuan umum terhadap pergerakan kreatif dan pergerakan ritual serta ekspresi sebagai wadah yang paling mujarab untuk merawat kecelaan yang dihidapi oleh kanak-kanak. Aktiviti jasmani memberikan kanak-kanak rasa kesedaran terhadap tubuh badan mereka, dan perlakuan pergerakan-pergerakan seperti melompat tali (skipping), lompat seperti kuda, meregang dan menggerakkan tangan-tangan adalah di antara senaman yang sungguh menarik, terutamanya kepada mereka yang lemah daya koordinasinya.


Guru-guru pendidikan khas yang peka, mereka akan memberikan tumpuan kepada kanak-kanak ceberal palsy dan mental retardation supaya kanak-kanak ini memberikan penyertaan yang aktif untuk aktiviti pergerakan kreatif.


5.3 Sosialisasi


Aktiviti pergerakan merupakan usaha kerjasama, menjalin rasa saling mempercayai dan memikul tanggungjawab menghadapi cabaran-cabaran, maka ia sewajarnya menjadi satu seni ‘pergaulan’ (socialization) – suatu perlakuan sosial yang mengembelingkan individu dalam dinamik berkumpulan. Murid-murid berkeperluan khas sangat sesuai melakukan aktiviti ini kerana mereka begitu sukar untuk bergaul , menerima arahan dan kurang motivasi. Melalui aktiviti ini murid berpeluang:


ü Menyertai kegiatan dengan rasa riang dan secara sihat
ü Bersosialisasi
ü Menyemai minat-minat baru
ü Meningkatkan keupayaan bergaul dengan orang lain
ü Membentuk gaya diri, personaliti dan kematangan dan
ü Mencari saluran untuk pernyataan kendiri.


Namun guru memainkan peranan penting untuk membimbing dan menunjukkan contoh-contoh mengenai penerimaan sosial berdasarkan sanjungan terhadap hasil kerja yang memuaskan dan jalinan ikatan yang termetri hasil daripada bentuk kegiatan bermain dan mencipta yang dilakukan secara beramai-ramai. Tidak dapat dinafikan bahawa ia memberi peluang luas kepada kanak-kanak untuk saling mempercayai, bekerjasama dan bersosial. Clara Furst dan Mildred Rockefeller (1981), … kebanyakan kemahiran interaksi social yang penting yang dibentuk itu boleh diaplikasikan di luar bidang …. Mereka belajar cara memimpin dan juga cara-cara menurut.


Joyce Boorman (1971) menyatakan tentang pengalaman-pengalaman sosial yang bermanfaat ini dari segi’memimpin’ dan ‘mengikut’, seperti berikut:


Adalah penting bagi kanak-kanak untuk mempelajari bagaimana hendak menjadikan diri mereka diterima dari segi sosial, jika tidak cara hidup mereka akan menjadikan hidup mereka bertambah sulit. Kerap kali kanak-kanak akan menghadapi masalah-masalah berkawan; suatu hari nanti akan menjadi ketua dan dengan itu akan timbul kemungkinan dirinya disisih oleh rakan-rakan utamanya. Dalam menghadapi dilema ini seseorang kanak-kanak itu terpaksa membuat penyesuaian-penyesuaian yang mungkin menuntutnya melupakan buat sementara waktu kepimpinan kelompoknya dan sebaliknya menjadi sebagai pengikut. Seorang pengikut hendaklah digalakkan membina keyakinan motivasi dan minat agar dirinya menjadi berwibawa dan diterima oleh orang ramai dan ini membolehkannya memegang teraju kepemimpinan buat sementara waktu. Pergerakan tidak boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak dalam kehidupan sehari-hari, namun ia amat berguna dalam membantu kanak-kanak meneroka dan memahami kedua-dua kualiti iaitu ‘memimpin’ dan ‘mengikut’.


Fokus konsepsi sosialisasi dalam program pergerakan kreatif dengan menghubungkannya dengan ciri-ciri dan maksud-maksud kerjasama, persaingan, ketertiban, kebertanggungjawaban, saling mempercayai dan menghormati persahabatan dan kepimpinan yang unggul untuk kedua-duanya iaitu diri sendiri dan orang lain. Murid-murid khas boleh dibentuk ke arah ini walupun memerlukan masa yang agak lama. Guru hendaklah bersabar dan tekun melatih mereka untuk mendengar dan mengikut arahan.

5.4 Meredakan Ketegangan Perasaan dan Tekanan Jiwa


Murid-murid berkeperluan khas terutamanya yang hiperaktif tidak dapat mengawal peerasaan dan ketegangan yang dihadapi. Melalui pergerakan kreatif ketegangan tersebut dapat diredakan. Ini disebabkan kanak-kanak ini gemar bergerak. Kebijaksanaan guru menggunakan pergerakan kreatif untuk mengalihkan hiperaktif kanak-kanak dengan aktiviti yang berfaedah. Ini disebabkan pergerakan kreatif mempunyai unsure-unsur dorongan bermain yang semulajadi. Hartley, Frank dan Goldensen (1964), menyatakan :


Dengan membiarkan kanak-kanak bermain secara bebas dalam sesuatu persekitaran yang sesuai dan selamat; kita membolehkannya untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah-masalahnya yang paling membebankannya dengan cara yang memuaskan dan sihat.



Marion North juga mengatakan bahawa pergerakan kreatif adalah kaedah katarik yang mampu melegakan tekanan-tekanan katanya:



Disiplin seni pergerakan adalah amat membebankan oleh kerana bukanlah tujuan utamanya untuk melepaskan ‘tekanan perasaan’ semata-mata. Walaupun benar ‘tekanan perasaan’ dapat diredakan namun itu bukanlah tujuan akhir; sebaliknya perasaan atau emosi itu disalurkan kepada jenis aktiviti yang bertujuan dan berdisiplin disiplin terbit daripada aktiviti itu sendiri, usaha untuk menggarap maksud yang lebih jitu daripada irama , bentuk serta hubungan antara gerakan tubuh – gerakan yang merangkumi gerakan sebenar dan pada ketika membuat persediaan dalaman untuk bergerak dengan gerakan yang disudahi secara terkawal selepas selesainya sesuatu pergerakan. (North, 1973).



Di dalam kelas berkeperluan khas, murid yang slow learner juga kebanyakannya terdiri dari pelajaryang nakal dan tidak boleh duduk diam. Aktiviti pergerakan kreatif juga boleh dimanfaatkan untuk mereka. Murid-murid ini menjadi nakal kerana mereka tidak tahu hala tuju. Guru berperanan membentuk mereka. Katarsis – konsep tujuan ‘meredakan ketegangan’ adalah dinyatakan dalam contoh berikut:



Dikelilingi dan dihampiri oleh seribu orang musuh, kanak-kanak menentang mereka habis-habisan demi servival mereka. Dengan menggunakan dan menjadikan tangan-tangan mereka sebagai pedang-pedang khayalan, mereka memusingkan tangan-tangan mereka menghala ke semua arah dalam pergerakan yang memaparkan rasa kemarahan mereka terhadap musuh-musuh bayangan. (Ayob, 1985: 48)



Kebanyakan aktiviti yang melibatkan pergerakan yang berjaya melibatkan lakonan peranan, improvisasi, sosio-drama tidak formal yang menggunakan tema-tema yang dinamik dan penggunaan tingkah laku egosentrik yang ganjil. Dalam aktiviti-aktiviti kreatif tersebut, kanak-kanak mempunyai kesempatan untuk melahir dan menangani emosi mereka dengan cara yang kreatif. Adalah menjadi kebiasaan melihat kanak-kanak khas gembira dan riang semasa bermain.



Winters(1975) menyediakan satu senarai berhubung dengan perasaan-perasaan dan idea-idea yang dicurahkan oleh kanak-kanak melalui pergerakan iaitu:

ü Melahir perasaan terhadap apa yang menarik perhatian mereka.
ü Melahirkan perasaan mereka sejajar dengan tahap fizikal, psikologi, emosi dan sosial rakan sebaya.
ü Lebih bersedia untuk melahirkan perasaan mereka secara non-verbal berbanding dengan golongan dewasa.
ü Melahirkan perasaan mereka melalui pergerakan secara lebih spontan daripada golongan dewasa.
ü Mempunyai masa yang terhad untuk mempelajari gerak-geri isyarat dan simbol-simbol pergerakan yang bersifat univerrsal, dan oleh itu mereka melahirkan perasaan mereka dengan cara yang lebih spontan, bebas daripada sebarang tekanan.
ü Tidak memiliki perbendaharaan kata yang berbentuk verbal yang mencukupi untuk membolehkan mereka melahirkan perasaan mereka secara verbal (Winter, 1975)


Aktiviti-aktiviti pergerakan kreatif penting untuk mewujudkan persekitaran yang dapat membantu kanak-kanak khas memahami perasaan dan idea-idea dan melahirkannya melalui pergerakan.

5.5 Kemahiran Bertutur
Pada kebiasaanya pergerakan kreatif diiringi dengan nyanyian dan permainan alat-alat muzik agar ia lebih menarik dan dan menambahkan minat murid terutamanya murid khas. Dengan adanya aktiviti menyanyi ini akan dapat meningkatkan kemahiran murid bertutur dan kemahiran fonologi. Ramai di kalangan murid khas yang gagal menyebut perkataan dengan betul. Mereka menyebut hanya dihujung perkataan sahaja.


Menyanyi jika digabungkan dengan berbagai aktiviti akan lebih menarik minat murid dan mereka berasa seronok dan gembira. Murid-murid khas akan menganggap menyanyi lebih kepada bermain dan berehat. Melalui nyanyian mereka akan terhibur dan menenangkan fikiran. Untuk mengukuhkan lisan murid, ia sangat membantu guru mencapai matlamat tersebut. Ini kerana menyanyi memerlukan sebutan bunyi-bunyi yang jelas dan betul mengikut rentak dan irama serta disampaikan mengikut tekanan, intonasi dan nada tertentu. Secara tidak langsung ia membantu murid memperbaiki lisan.


5.6 Meningkatkan Kreativiti


Kreativiti merupakan elemen yang dinamik yang tersirat di dalam jiwa kanak-kanak. Pergerakan menjadi printis bagi membolehkan kanak-kanak untuk memulakan proses kreativiti mereka dan dalam ruang batas pendidikan yang tertentu mereka didorong untuk mencurahkan tenaga kreatif mereka. kanak-kanak adalah individu yang unik. Murid-murid khas tidak terkecuali mereka juga adalah insan yang unik dan kreatif. Potensi kreativiti mereka berbeza antara satu sama lain sama seperti perkembangan fizikal dan kecenderungan terhadap pembelajaran. Oleh kerana kreativiti merupakan proses yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah mengikut pendekatan baru yang menggunakan pengetahuan dan pemahaman yang bersifat unik dan individualisti, ia dapat memberi penghidupan yang lebih jitu dan bermakna kepada kanak-kanak.


Murid-murid berkeperluan khas boleh meneroka dan mengembangkan daya kreativiti mereka melalui improvisasi. Melalui kaedah ini kanak-kanak akan bertindak dan melakonkan idea-idea pergerakan secara serentak, spontan dan tanpa perancangan awalan. Kreativiti melambangkan bakat semulajadi kanak-kanak dan ia kerap kali tidak dapat dikembangkan di dalam bilik darjah yang bersifat mengongkong. Menggunakan pendekatan kreativiti adalah pendekatan pengajaran yang bersifat semulajadi dan menyeronokkan. Dan ini amat digemari oleh pelajar-pelajar berkeperluan khas. Ini sesuai dengan kata-kata Fleming :



Tenaga kreatif yang merupakan elemen yang dinamik dalam setiap diri kanak-kanak, berkembang bersama penemuan dan penerokaan. Hasilnya ialah ekspresi yang kreatif,kanak-kanak yang giat bekerja, iaitu mereka yang sedang mengalami proses kreativiti ini, terpancar di wajah-wajah mereka rasa keriangan yang tercetus daripada getaran penggunaan tenaga,(fizikal dan mental). Kepuasan yang sepenuhnya, dan dihormatidi kalangan mereka. Seseorang dapat merasakan bagaimana kanak-kanak itu ‘berfikir’ serta turut bersama mereka merasakan kegembiraan yang terbit daripada curahan perasaan mereka (Fleming, 1976)



Dalam diri setiap kanak-kanak termasuk murid khas terdapat kebebasan untuk berfikir yang memerlukan saluran untuk mengeluarkan perasaan mereka berhubung dengan pengalaman-pengalaman seharian: ekspresi yang spontan. Ini dapat dilakukan melalui pergerakan jasmani kreatif.


Rumusan


Aktiviti pergerakan kreatif jika dijalankan dengan sempurna akan memberi kesan yang mendalam kepoada mnurid-murid berkeperluan khas. Untuk melaksanakan aktiviti ini, guru-guru tidak memerlukan latihan dan kepakaran yang tinggi. Apa yang diperlukan ialah semangat yang cekal, keberanian dan sikap positif serta inisiatif dalam pengajaran kreatif. Peranan guru ialah membimbing murid-murid meneroka, mencuba dan menemui cara bergerak yang dapat dijadikan sebagai perantaraan untuk pernyataan kendiri. Selepas itu guru-guru menerima gerakbalas berdasarkan pergerakan murid sebagai perkembangan semulajadi mereka.


Guru-guru perlu membuang segala perasangka buruk terhadap murid-murid pendidikan khas yang sering di label sebagai nakal, tidak mendengar kata, tidak berdaya dan sebagainya. Sebaliknya guru hendaklah berusaha dan mencuba kerana setiap murid ada kelebihannya. Murid pendidikan khas tidak berdaya untuk mencungkil bakat mereka sendiri. Guru dan masyarakat disekelilingnya patut membantu mereka menjadi insan yang sempurna. Semua manusia mempunyai hak asasi individu begitu juga dengan kanak-kanak ini. Fleming (1976) telah mengubah satu “Akta Hak Asasi” untuk kanak-kanak yang berbunyi:


Biarkan saya membesar mengikut keupayaan saya
Dan cuba memahami mengapa saya ingin membesar seperti saya;
Tidak seperti yang dikehendaki oleh emak
Atau tidak seperti yang diharapkan oleh bapa
Atau guru saya memikirkan apakah sepatutnya saya menjadi.
Tolong cuba memahami dan menolong saya membesar seperti saya!
(Fleming, 1976).


Bagaimanakah kita menolong murid-murid membesar dan menjadi seperti mereka? Guru-guru mempunyai tanggungjawab yang sangat besar untuk menolong murid-murid membesar dan berkembang sebagai individu. Guru-guru juga bertanggungjawab memberi peluang kepada murid-murid untuk mencipta dan melahirkan perasaan dan fikiran. Melaksanakan program pergerakan kreatif bukanlah satu tanggungjawab yang mudah, terutama jika kelas dipenuhi dengan kanak-kanak yang sangat aktif dan pelbagai masalah dengan tempoh masa perhatian yang singkat. Kanak-kanak yang mempunyai daya tenaga yang berlebihan sering mencabar keupayaan guru.


Namun jika guru mempunyai kesedaran yang tinggi tentang pentingnya pergerakan kreatif kepada murid-murid berkeperluan khas ini, mereka akan mengajar bersungguh-sungguh di sekolah agar dapat membentuk sahsiah murid berkeperluan khas sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang sempurna dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.


Tuesday, 22 May 2012


BAB 9 : PUSAT PERKHIDMATAN PENDIDIKAN KHAS

·         Pusat Perkhidmatan Pendidikan (3PK) ialah sebuah pusat yang ditubukan untuk membantu individu dengan keperluan khas mendapat khidmat nasihat dan bimbingan ke arah kualiti hidup yang lebih baik.

·         Peranannya adalah  sebagai pusat penyebaran maklumat pendidikan khas dan khidmat kepakaran, pusat bimbingan dan kaunseling serta sebagai pusat perantaraan bagi individu berkeperluan khas dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

9.1 Visi
Memartabatkan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas sebagai pusat terapi dan rehabilitasi yang berkesan untuk insan dengan keperluan khas.

9.2 Misi
Memberi perkhidmatan berkualiti kepada invidu berkeperluan khas untuk memperkembangkan potensi mereka agar menjadi insan yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.

9.3 Sasaran 3PK

1.    Murid dengan keperluan khas dalam semua kategori
2.    Calon murid program pendidikan khas yang berada di bawah umur persekolahan
3.    Ibu bapa dan penjaga murid berkeperluan khas
4.    Guru-guru PendidikanKhas
5.    Masyarakat setempat
9.4 Objektif 3PK
  1. Menawarkan perkhidmatan pakar (Audiologis,Patologis Pertuturan Bahasa, Psikologis, Jurupulih Anggota, Jurupulih Carakerja, Peripatetik, Orientasi Mobiliti dan Low Vision) secara percuma kepada semua kategori murid-murid berkeperluan khas.
  2. Menyediakan khidmat pembuatan acuan telinga secara percuma.
  3. Menyediakan khidmat baik pulih Alat Bantu Pendengaran dan ‘brailler’ kepada murid-murid dengan keperluan khas.
  4. Menjalankan Program Intervensi Awal untuk kanak-kanak di bawah umur persekolahan.
  5. Menawarkan khidmat bantu dan nasihat berkenaan pendidikan khas, kebajikan sosial, serta prospek pendidikan dan kerjaya individu berkeperluan khas.
  6. Menawarkan latihan khusus kepada paraibu bapa, guru pendidikan khas, serta orang ramai yang berminat.
  7. Menyediakan bahan-bahan maklumat berkaitan pendidikan khas untuk disebarkan kepada masyarakat.

9.5 Perkhidmatan Yang Disediakan

  • Intervensi Awal,Terapi Pertuturan,Ujian Saringan, Ujian Pendengaran, Khidmat nasihat / kaunseling ibu bapa, latihan bahasa isyarat dan maklumat berhubung pendidikan khas.
  • Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas Pahang
d/a Sekolah Pendidikan Khas Kuantan
25200 Bandar Indera Mahkota
KUANTAN









BAB 7 : RANCANGAN PENGAJARAN INDIVIDU

7.1   Pengenalan
·         Melalui Seksyen 41 Akta Pendidikan 1996 Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2007 mengariskan: ”Rancangan Pendidikan Individu” ertinya satu dokumen yang menjelaskan matlamat perancangan pendidikan yang dirancang untuk setiap murid pendidikan khas dan dijadikan panduan oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan boleh menyatakan tahap pencapaian murid.
·         Rancangan Pendidikan Individu (RPI) diguna pakai dalam pelaksanaan kurikulum Pendidikan Khas yang digubal oleh Panel Khas RPI juga berperanan sebagai rekod pengajaran guru.
·         Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2004:  Pelaksanaan Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah, para (5) menyebut, “Bagi memastikan keberkesanan kurikulum ini (kurikulum alternatif) Rancangan Pendidikan Individu (RPI) setiap murid hendaklah di sediakan”.

7.2   Definisi RPI
·         RPI merupakan satu dokumentasi perancangan berstruktur dengan langkah yang berbeza dan keperluan pengajaran yang sepatutnya untuk membantu murid berkeperluan khas mencapai objektif yang telah dikenalpasti.                          
7.3   Rasional Penghasilan RPI
·         Mengikut Renault (1987), penghasilan RPI bukan sahaja untuk murid-murid bermasalah pembelajaran, tetapi juga digalakkan bagi murid-murid yang mempunyai prestasi pencapaian yang amat rendah berbanding dengan rakan se kelas atau sebaya dalam sebahagian besar kurikulum, serta memerlukan langkah-langkah intervensi jangka panjang.
·         RPI juga sesuai bagi murid bermasalah pembelajaran tetapi juga murid berkeperluan khas lain, seperti mereka yang mempunyai masalah pendengaran, penglihatan, cacat anggota dan lain-lain kecacatan.
·         Kemahiran atau masalah yang perlu fokus utama ialah pengurusan diri, interaksi sosial, masalah tingkah laku,  emosi dan intelek. Guru perlu pilih satu sahaja mana-mana yang perlu diutamakan mengikut masalah yang paling berat sekali.
·               Bagi murid yang mengikuti program inklusif akademik samada masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pembelajaran dan pelbagai kecacatan, RPI haruslah dibina berdasarkan aspek sosial, emosi dan rohani atau subjek akademik yang penting seperti  Bahasa Malaysia dan Matematik.

7.4  Elemen Rancangan Pendidikan Individu
·         Fokus kepada 3 atau 4 sasaran utama dipilih daripada komponen yang berkaitan dengan bidang utama komunikasi, literasi, matematik, tingkah laku, dan kemahiran sosial yang sesuai dengan keperluan murid. Elemen utama yang perlu ada:
4.1 Kekuatan dan kelemahan murid
4.2 Matlamat jangka panjang
4.3 Objektif jangka pendek
4.4 Strategi pengajaran yang dicadangkan
4.5 Kemudahan atau perkhidmatan sokongan yang diperlukan
4.6  Penyemakan semula perancangan dan penilaian.
·         Guru tidak digalakkan meletakkan terlalu banyak sasaran/ objketif pada  satu masa .
·         Pelaksanaan RPI bukan hanya  diatas kertas guru mesti melaksanakan intervensi dengan strategi yang dirancangkan dalam tempoh waktu yang ditetapkan.




7.5  Ciri-ciri Rancangan Pendidikan Individu
·         Komprehensif dan merangkumi pelbagai bidang
·          Matlamat yang spesifik dan objektif yang boleh diukur
·         Berasaskan urutan perkembangan kemahiran
·         Bersesuaian dan realistik (boleh dicapai)
·         Penggunaan bahasa yang mudah difahami
·          Digubal dan dipersetujui  bersama pasukan pelbagai disiplin

7.6  Konsep RPI
·         RPI menjadi perancangan berasaskan:
i)     ‘Apa’ yang diajar
ii)    ‘Bagaimana’ sepatutnya diajar
iii)    ‘Kekerapan’ pengetahuan, kefahaman dan kemahiran  sasaran sepatutnya
      diajar melalui penambahan atau aktiviti yang berpandukan kurikulum.

·         RPI merupakan satu dokumentasi perancangan berstruktur dengan langkah yang berbeza dan keperluan pengajaran yang sepatutnya untuk membantu murid berkeperluan khas mencapai objektif yang telah dikenalpasti.
·         RPI  adalah satu dokumen kerja rasmi yang mesti dilaksanakan dan kegagalan menyediakan dokumen tersebut boleh dikenakan tindakan tatatertib.
·         RPI  mestilah mudah diakses dan difahami oleh semua yang berkenaan.
·          RPI  juga sesuai dihasilkan bagi murid berkeperluan khas yang mengikuti kurikulum kebangsaan.

7.           Kepentingan Rancangan Pendidikan Individu

7.1   Murid
·         Setiap RPI yang digubal untuk mengenalpasti keperluan murid-murid dan  cara bagaimana keperluan-keperluan tersebut dapat dipenuhi seperti  peralatan khas seperti alat bantu mendengar, kanta pembesar dan   mesin  Braille. Juga bidang khas seperti orientasi dan mobiliti, kemahiran hidup dan  bahasa isyarat.

7.2    Guru matapelajaran/kelas/resos
·         Memberi peluang kepada guru untuk mendapat maklumat tentang murid.
·          Menyediakan forum untuk mendapatkan sokongan dan khidmat bantu daripada pihak yang berkenaan.
·         Menyediakan dokumentasi bagi tujuan kesinambungan amalan dalam khidmat bantu sokongan diperlukan. 
·          Memastikan bidang tugas yang memerlukan nasihat golongan professional.
·          Memastikan salinan dokumen RPI disediakan untuk ibu bapa dan murid.
·          Memastikan RPI disimpan dan difailkan dengan baik serta  hasil laporan dimasukkan dalam rekod kemajuan atau profil murid.
·         Menyediakan penilaian diagnostik yang sesuai bagi memastikan kekuatan dan keperluan murid.
·         Menyemak , mengemaskini matlamat dan objektif di awal tempoh persediaan RPI.
·         Memberi nasihat bagi keperluan peralatan khas.
·         Bertanggungjawab membina aktiviti pembelajaran yang dapat memenuhi keperluan murid,
·         Mengajar dan menilai pencapaian setiap objektif RPI.
·         Mengekalkan komunikasi dan hubungan baik dengan pihak ibu bapa, guru-guru  lain, profesional dan pegawai khidmat bantu yang terlibat.

7.3        Ibu Bapa
·         Memberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam penyediaan matlamat dan objektif pembelajaran anak mereka.
·          Memberi peluang untuk mendapat penerangan dengan jelas tentang perkara yang perlu dilakukan bagi membantu pembelajaran anak mereka di rumah.
·          Menyediakan  forum untuk meminta pertolongan, resos, sokongan dan perkhidmatan daripada pihak yang berkenaan.
·          Memberi peluang untuk  berkongsi maklumat dengan golongan professional yang terlibat secara langsung dengan anak mereka.
·          Ahli Pasukan Pelbagai Disiplin yang berkaitan.
·          Memperolehi maklumat yang sistematik melalui penilaian pelbagai disiplin untuk mengenal pasti keperluan individu murid
·          Mengenal pasti program latihan dan penilaian semula yang bersesuaian dengan keperluan murid.

7.4  Jawatankuasa RPI
·         Dapat berbincang tentang kemudahan (contohnya penterjemah bahasa isyarat dan lain-lain) yang dapat membantu murid belajar dengan lebih berkesan.
·          Mengenalpasti bentuk khidmat bantu yang diperlukan.
·         Menyediakan rangka panduan pembelajaran yang selari dengan keperluan pentaksiran kurikulum.
·         Setiap  ahli dapat berkongsi maklumat tentang tingkah laku dan bentuk atau kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan individu murid.
·         Menentukan peranan dan tanggungjawab setiap ahli pasukan setiap ahli memainkan peranan penting dan perlu bekerjasama di dalam proses membina  RPI.
·          Memastikan perlaksanaan RPI dengan menilai dan mengemaskini laporan sekurang-kurangnya dalam tempoh  3 bulan atau 6 bulan sekali mengikut keperluan.
·         Memastikan perbincangan keperluan transisi dapat diusahakan bersama pihak ibu bapa, komuniti tempatan dan juga institusi pendidikan tinggi.




8. Garis Panduan Penghasilan RPI
·         Jawatankuasa RPI hendaklah dianggotai oleh Pengetua atau Guru Besar, Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Guru Penolong Kanan Pendidikan khas atau Penyelaras Program Pendidikan Khas, semua guru pendidikan khas,  semua ibu bapa atau wakil kumpulan ‘multi-disciplinary’ mengikut keperluan dan  murid.
·         Guru pendidikan khas menjalankan ujian diagnostik secara pemerhatian, temubual, ujian lisan, ujian bertulis.
·         Perbincangan  dan laporan dibuat bersama ibu bapa dan jawatankuasa.
·         Menetapkan kemahiran atau masalah yang perlu diberi perhatian.
·         Menetapkan matlamat dan objektif.
·         Membina RPI dan menetapkan cadangan strategi untuk atasi masalah.
·         Menjalankan intervensi bersama sumber dan alatan yang diperlukan.
·         Menetapkan tarikh semakan semula dan menganalisis dapatan.
·         Menjalankan laporan pencapaian berjaya atau gagal.
·         Sekiranya gagal , menetapkan semula  strategi dan tarikh semakan semula oleh jawatankuasa.

Rumusan
·         Penghasilan dokumen bertulis RPI yang lengkap dan mantap dapat membantu ke arah mencapai matlamat ‘Pendidikan Untuk Semua’ dan   ‘Pendemokrasian Pendidikan’.
·         Penjanaan RPI membantu dalam memaksimumkan potensi semula jadi murid.
·         Garis panduan pelaksanaan RPI boleh dirujuk di dalam buku Panduan Rancangan Pengajaran Individu terbitan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia.