Kemahiran
berbahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.
Kemahiran berbahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.
Penguasaan kesemua kemahiran ini amat penting dalam proses pengajaran
dan pempelajaran supaya berjalan dengan lancar dan berkesan. Kemahiran
bahasa yang berhubung dengan kemahiran lisan melibatkan dua komponen
asas, iaitu mendengar dan bertutur. Kedua-dua komponen ini berkait rapat
dan saling melengkapi. Kemahiran membaca dan menulis pula merupakan
kemahiran bukan lisan.
2.1 Kemahiran Mendengar
2.1.1 Pengenalan
Kemahiran
mendengar merujuk kepada keupayaan pelajar mendengar dengan teliti dan
memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti
cerita, arahan, perbualan, soal jawab, laporan berita, dan
perbincangan. Kemahiran mendengar ini adalah kemahiran lisan yang paling
asas dan ia berlaku pada peringkat penerimaan (receptive level).
Seseorang
pelajar yang telah dapat menguasai kemahiran mendengar harus dapat
mendengar dengan baik apa sahaja yang dituturkan oleh orang lain dan
dapat memahami maksud serta boleh mentafsir apa sahaja yang didengar itu
dengan tepat. Kemahiran ini juga dimulakan pada peringkat awal
pengajaran bahasa yang bertujuan untuk memungkinkan pelajar fasih
bercakap dalam bahasa yang dipelajari itu.
Menurut ILA (1996),
kemahiran mendengar merupakan satu proses menerima atau memahami makna
dan tindak balas terhadap percakapan atau bukan percakapan untuk
mendengar sesuatu yang melibatkan proses minda atau pemikiran.
Menurutnya lagi, terdapat dua cara komunikasi yang berkesan iaitu,
bergantung kepada percakapan dan pendengaran.
Menurut Yahya
Othman dalam buku ‘Pedagogi Bahasa’ pula menyatakan bahawa mendengar
adalah kemahiran bahasa yang penting dan perlu dipelajari secara
intensif terutama semasa belajar di sekolah rendah dan menengah seperti
yang terkandung dalam sukatan pelajaran. Aktiviti mendengar penting
untuk dikuasai kerana penggunaannya begitu meluas dalam kehidupan
seharian.
Sehubungan itu, dianggarkan lebih kurang 60 peratus
daripada masa yang digunakan adalah bagi tujuan mendengar. Keupayaan
mendengar yang berkesan perlu ditekankan supaya pelajar dapat menguasai
semua mata pelajaran ketika di dalam kelas.
Pada peringkat yang
lebih tinggi, pelajar mendengar pada jangka masa yang lama sebelum
mencuba untuk bertutur. Kemahiran mendengar juga memberikan peluang
kepada pelajar mendapatkan makna bagi mesej yang didengar bagi bahasa
itu. Hal ini juga dapat membantu pelajar memperbaiki kemampuan dari segi
penggunaan bahasa dengan lebih baik lagi. Sekirannya pelajar tidak
menguasai kemahiran mendengar ini dengan baik, maka mereka tidak dapat
menumpukan sepenuh perhatian dan tidak memahami apa yang disampaikan
oleh guru semasa pengajaran di dalam kelas.
Pendengaran
(listening) merupakan suatu kemahiran yang asas dan utama dalam proses
komunikasi. Tetapi, aktiviti ini diabaikan dan tidak diberikan perhatian
yang serius oleh kebanyakan orang.
Menurut seorang pakar
komunikasi, Paul Rankin (1929), 70% daripada waktu tidak tidur kita
dalam sehari digunakan untuk berkomunikasi dan 45% pula digunakan untuk
mendengar sesuatu. Manakala 30% lagi digunakan untuk percakapan atau
perbualan, sebanyak 16% daripada masa komunikasi anda digunakan untuk
bacaan dan hanya 9 % masa anda dihabiskan untuk penulisan. Kajian yang
telah dibuat oleh kebanyakan pakar menunjukkan bahawa kira-kira 85%
daripada pengetahuan kita diperolehi melalui pendengaran.
Menurut
Markgraf (1957) yang dipetik oleh Koh Boh Boon dalam bukunya iaitu
‘Perspektif-perspektif Dalam Pengajaran Bahasa Malaysia’ menyatakan ,
kajian terhadap murid-murid sekolah tinggi pula menunjukkan bahawa
pelajar ini telah menggunakan 46% daripada masa mereka di sekolah untuk
mendengar sahaja dan 60% daripada aktiviti pendengaran itu adalah untuk
mendengar percakapan guru. Seterusnya, terdapat beberapa kaji selidik
yang dijalankan yang berkaitan tentang kepentingan kemahiran mendengar
yang diajar di luar dan dalam bilik darjah.
Kesimpulannya,
kemahiran mendengar ini merupakan sebahagian daripada proses komunikasi
antara manusia. Mendengar adalah aktiviti aktif dari segi mental kerana
kemahiran ini melibatkan kefahaman dan pemprosesan maklumat yang
didengar.
2.1.2 Definisi Mendengar
Terdapat
perbezaan antara “listening” dan “hearing”. Kedua-dua perkataan bahasa
Inggeris tersebut mempunyai maksud yang sama dalam bahasa Melayu. Namun
sebenarnya “hearing” adalah mendengar yang bersifat fizik, bermaksud ada
suara yang didengari oleh telinga kita, namun tidak diperhalusi oleh
fikiran kita, jadi apa-apa yang didengari oleh kita bersifat angin lalu,
iaitu tidak berkesan. “Listening” pula melibatkan usaha-usaha aktif
dari fikiran kita dan perhatian penuh atas apa yang kita dengar melalui
telinga kita.
Dengan demikian mendengar yang efektif adalah
seperti “listening” dalam Bahasa Inggeris yang merupakan sebuah proses
serius yang tidak boleh dilakukan hanya dengan mengandalikan kebiasaan,
refleks atau perasaan. Mendengar yang efektif adalah upaya untuk
menghubungkan titik-titik yang kadangkala menyatakan nasihat yang
tersembunyi yang perlu kita tahu.
Sayangnya kita kurang memberi
perhatian tentang pentingnya mendengar secara efektif, sehingga
seringkali menyebabkan kesilapan dalam komunikasi, salah menerima
maklumat atau tindak balas dari pendengar yang tidak diharapkan.
Salah
satu penelitian menunjukkan rata-rata orang menghabiskan satu pertiga
daripada waktunya dalam organisasi untuk mendengar. Sehingga jika kita
memiliki kecekapan mendengar yang baik, waktu yang kita habiskan untuk
mendengar akan lebih bermakna.
Implikasi kurangnya perhatian pada
kecakapan mendengar secara efektif adalah fakta bahawa menjadi
pembicara yang efektif sudah seringkali kita dengar, namun latihan untuk
mendengar yang efektif rasanya jarang kita temui. Padahal kecekapan
mendengar sangatlah penting. Orang bijak mengatakan kita dikurniakan
oleh Tuhan dengan dua telinga untuk lebih banyak mendengar dan hanya
satu mulut untuk lebih sedikit berbicara.
2.1.3 Konsep-konsep Penting dalam Pendengaran.
Pendengaran boleh dikonsepsikan dengan pelbagai cara iaitu :
i. Pendengaran merupakan gabungan segala yang didengari, difahami dan diingati.
ii. Pedengaran berlaku melalui latihan-latihan khas yang dilakukan secara berperingkat-peringkat.
iii. Individu lebih banyak mendengar melalui pengalaman daripada melalui kecerdasan otaknya.
iv. Aspek fizikal, psikologi dan neurologi mempengaruhi proses pendengaran.
v. Pendengaran yang cekap memerlukan penyatuan idea yang logik dan berkesan.
vi. Pendengaran harus berlaku melalui fikiran dan bukan perasaan.
vii. Pendengaran untuk mengkritik memerlukan pendengaran yang berpusatkan idea utama, hujah dan bukti.
viii.
Pendengaran untuk tujuan hiburan melibatkan tindak balas positif
terhadap muzik, kesusasteraan, drama dan lain-lain bahan kreatif.
ix. Pendengaran untuk tujuan apresiasi memerlukan analisis kritis terhadap bentuk dan isi.
2.1.4 Proses Mendengar.
Proses
mendengar sesuatu yang didengar melibatkan organ telinga untuk
mendengar sesuatu bunyi. Proses mendengar ini juga biasanya berlaku
dalam empat peringkat iaitu :
1. Mendengar deretan bunyi-bunyi bahasa
2. Memahami bunyi-bunyi tersebut
3. Menilai bunyi-bunyi tersebut
4. Bertindak terhadap bunyi-bunyi tadi
Rajah Proses Mendengar
Kita
sedia maklum organ pendengaran manusia terdiri daripada dedaun telinga,
gegendang telinga, bendalir, alat-alat deria telinga tengah dan telinga
dalam. Organ yang sensitif dan kompleks ini menangkap dan menafsir
pelbagai bentuk bunyi sehingga membolehkan kita mendengar sesuatu bunyi.
Pendengaran
adalah satu unsur komunikasi dan tanpa seseorang pendengar sesuatu
komunikasi lisan tidak akan lengkap. Penutur yang merupakan punca
sesuatu komunikasi akan menubuhkan kod-kod tertentu bagi mesej yang
hendak disampaikan itu di dalam otaknya (encode). Kemudian menerusi alat
pertuturannya, kod-kod tersebut akan disampaikan sebagai bunyi bahasa.
Bunyi tersebut akan diterima sebagai gelombang bunyi yang menggentarkan
gegendang telinga pendengar dan di situ bermulalah satu getaran yang
berakhir di bahagian telinga dalam pendengar.
Sehingga kini
proses pendengaran yang berlaku hanyalah bersifat fisiologikal.
Pendengaran dengan kefahaman belum berlaku sehingga mesej yang diterima
itu dianalisis dan ditafsir oleh otak. Sebenarnya rangsangan bunyi
tersebut sampai ke bahagian otak dan saraf tunjang secepat kilat,
sebagai satu desakan saraf yang bertindak sebagai elektrokimia. Di
bahagian otak, rangsangan bunyi itu mula diterima sebagai bunyi
berasingan ataupun sebagai satu kumpulan bunyi yang mesti ditempatkan di
dalam satu konteks tertentu. Kemudian barulah ia dikenali sebagai
simbol perkataan yang bermakna dalam sesuatu bahasa.
Seterusnya
bahagian otak pendengar akan memadankan bunyi perkataan tadi dengan
pengalaman dan kumpulan makna yang telah sedia ada di dalam otaknya,
kemudian barulah pendengar dapat menjangka maksud sebenar bunyi bahasa
yang didengarnya. Secara sedar atau tidak ia telah menilai bunyi
tersebut berdasarkan sikap, nilai dan kepercayaannya sebelum memberi
reaksi terhadap mesej penutur tadi. Segala pengalaman dan maklumat yang
diterima akan disimpan di dalam otak dan dalam keadaan tertentu ia dapat
diingat kembali.
Daripada model pendengaran tadi, kita dapat melakukan beberapa kesimpulan bahawa :
i.
Makna atau maksud sesuatu ujaran itu didapati oleh seseorang pendengar
berdasarkan tanggapan, pengetahuan, pengalaman dan penghargaan sendiri
tentang perkataan itu, tidak semestinya sama dengan maksud yang hendak
disampaikan oleh penutur.
ii. Ketepatan maksud yang ditanggap oleh
pendengar bergantung kepada beberapa faktor lain seperti tahap
kemesraannya dengan penutur, suasana sekeliling, bahan pertuturan,
kesediaan mendengar, penumpuan dan motivasinya.
iii. Perhatian, penerimaan dan persepsi pendengar merupakan kemahiran yang boleh dilatih dan dikuasai.
iv.
Kebiasaan dan tatatertib komunikasi merupakan beberapa perlakuan
tertentu daripada penutur dan pendengar supaya perhubungan itu dapat
berjalan dengan lancar dan berkesan. Kebiasaan mendengar yang buruk
boleh merosakkan persefahaman, tetapi ini dapat diperbaiki dengan
kesedaran dan latihan.
2.1.5 Jenis-jenis Mendengar.
Terdapat dua jenis kemahiran mendengar iaitu :
JENIS- JENIS MENDENGAR
i) Mendengar Secara Aktif.
Mendengar
secara aktif ini dikenali juga sebagai mendengar secara interaktif.
Mendengar secara aktif melibatkan kedua-dua belah pihak iaitu penutur
dan pendengar. Masing-masing berperanan secara aktif semasa sesi
perbualan tersebut. Semasa aktiviti mendengar aktif, seseorang itu boleh
mencelah dengan mengemukakan soalan tambahan bagi mencari penjelasan,
pengulangan ataupun mengucapkan semula. Jadi, pelajar tidaklah merasa
tidak dilibatkan semasa perbualan di dalam kelas. Mereka berpeluang
mempraktikkan mendengar secara interaktif melalui perbualan dalam kelas
biasa yang dapat membantu penguasaan kemahiran itu.
Dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar, masa yang sedikit
diperuntukkan tidak dapat membantu pelajar secara maksimum penguasaan
kemahiran itu. Pelajar tidak berpeluang menjadi pendengar yang baik. Hal
ini disebabkan guru lebih banyak meperuntukkan isi pengajarannya bagi
menyediakan pelajar dengan keperluan penguasaan kemahiran yang berkaitan
dengan peperiksaan. Penekanan ini juga menjadikan pelajar diabaikan
dalam aspek kemahiran mendengar. Penguasaan untuk menguasai kemahiran
mendengar secara efektif yang terbatas boleh mengakibatkan pelajar
tersebut gagal dalam mengaplikasikan kemahiran mendengar tersebut dalam
kehidupan seharian.
Dari segi kenyataan, aktiviti mendengar wujud
dalam situasi yang berbeza dengan penutur yang berbeza. Fikirkan semua
individu berbeza yang sudah bertutur dalam jangka masa 24 jam dengan
kita. Anda sebenarnya mendengar beberapa individu bertutur dengan cara
yang berbeza. Berdasarkan kepelbagaian pengalaman dalam aktiviti
mendengar, pelajar sebenarnya memerlukan latihan tambahan untuk
menyediakan diri sebagai pendengar yang baik.
Pendengaran secara
aktif juga merupakan suatu kemahiran dan seperti kemahiran yang lain,
latihan dan amalan adalah penting. Kita boleh mempelajarinya untuk
berbuatnya secara baik serta berkesan. Tambahan pula, kita boleh
menambahbaikkannya sepanjang hayat kita.
Pendengaran aktif adalah
penting untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan kita. Kita perlu
mengubah tabiat buruk pendengaran kita dan menjadi sebagai seorang
pendengar aktif yang baik. Anda menjadi pendengar aktif apabila anda
membuat suatu ringkasan atau rumusan mengenai hujah atau alasan penting
yang dikemukakan oleh seseorang, menilainya dan menanya soalan bagi
mendapat penjelasan mengenai apa yang diutarakan oleh seorang penutur.
Tumpuan perhatian kepada minat ,kebimbangan atau kerisauan, bunyi
bising, gangguan dan rupa serta perawakan penceramah menjadi halangan
kepada pendengaran yang berkesan atau aktif.
Dalam mewujudkan
kemahiran berkomunikasi yang berkesan dalam sesebuah organisasi pelbagai
cara dan kaedah boleh digunakan. Untuk menjadi pendengar yang baik,
kita perlu menghayati apa yang diperkatakan. Menghayati memerlukan
perhatian, penganalisisan dan mengingati setiap stimulasi yang didengar.
Kedua-dua aspek ini penting untuk membolehkan seseorang menjadi
pendengar yang aktif. Mendengar tanpa menghayati adalah perkara yang
sia-sia sahaja.
Sebagai panduan, adalah wajar seseorang itu mendengar dengan aktif dan serius tentang apa yang diperkatakan dari segi :
i. Intensif.
ii. Empati.
iii. Membina kemahiran mendengar yang efektif.
iv. Membina kemahiran bertindak balas.
i. Intensif.
Seseorang
pendengar yang aktif akan memberi penumpuan secara intensif kepada apa
yang diperkatakan oleh penutur dan pada masa yang sama mampu
menganalisis beribu jenis maklumat. Sebenarnya otak manusia dikatakan
mampu menerima kadar pertuturan sekurang-kurangnya empat kali dari
kelajuan purata pertuturan seseorang penutur. Proses ini memberi peluang
kepada minda untuk berfikir semasa mendengar.
Otak manusia juga dapat meringkaskan dan mengintegrasikan apa yang diperkatakan ketika proses mendengar sedang berlaku.
ii. Empati
Empati
memerlukan pendengar menganggap diri mereka sebagai penutur. Pendengar
yang aktif sedia untuk menerima di samping meninjau lebih jauh apa yang
disampaikan oleh penutur.
Cabaran kepada seseorang pendengar yang
aktif ialah menerima dan menganalisis apa yang diperkatakan dan
menyimpan segala pertikaian yang timbul dlam hatinya sehinggalah penutur
selesai brcakap. Pendengar juga perlu mempunyai kesanggupan untuk
menerima masalah yang dihadapi di samping bersedia emberi buah fikiran
dari kacamata pendengar dan penutur.
iii. Membina Kemahiran Mendengar Yang Efektif.
Terdapat beberapa ciri penting untuk membina kemahiran mendengar yang efektif. Antaranya ialah :
i. Mengadakan interaksi secara berhadapan.
ii. Mengelakkan dari melakukan halangan dari segi gerakan badan.
iii. Menunjukkan tanda pemahaman atau persetujuan seperti anggukan kepala, perubahan air muka dan sebagainya.
iv. Mengutarakan soalan yang berkaitan dengan ikhlas.
v. Mengelakkan diri dari mencelah kata-kata penceramah jika tidak perlu.
vi. Tidak keterlaluan ketika berbicara sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pendengar.
vii. Mewujudkan aliran maklumat yang sempurna antara penutur dan pendengar.
iv. Membina Kemahiran Bertindak Balas.
Tindak
balas yang diperlukan dalam kemahiran mendengar ialah tindak balas yang
positif bukannya tindak balas yang negatif. Untuk membina kemahiran
tindak balas yang positif seseorang itu perlulah menumpukan kepada
gelagat tertentu dan bukannya secara umum. Contohnya memberi pujian
serta- merta terhadap kerja yang baik oleh subordinat serta memberi
alasan mengapa dia perlu mendapat pujian. Jika dia membuat kesalahan,
maka perlulah ditegur dengan baik dan ikhlas supaya dapat diperbaiki .
Selain
itu, menjadikan tindak balas tersebut sesuatu yang tidak formal dengan
tidak mengkritik orang lain secara individu atas sesuatu kegagalan yang
berlaku kerana ini akan menyentuh emosi seseorang. Sebaliknya perlu
ditegur dengan teguran yang membina dan dapat diterima oleh penutur. Hal
ini juga dikatakan tindak balas yang positif dalam kemahiran mendengar.
Untuk
membina kemahiran bertindak balas secara positif, seseorang itu perlu
menjadikan tindak balas tersebut bertepatan dengan masa supaya tindak
balas tersebut lebih rasional dan praktik. Hal ini juga adalah untuk
tindak balas tersebut mudah difahami dan diterima oleh semua pendengar.
ii) Mendengar Secara Pasif.
Mendengar
secara pasif tidak melibatkan tindak balas secara langsung oleh
pendengar. Seringkali juga wujud situasi mendengar secara pasif ini
dalam kalangan pelajar semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Pelajar yang mendengar semasa guru sedang mengajar tidak berpeluang
memberikan respons secara verbal terhadap mesej yang didengar.
Walau
bagaimanapun, bagi mendapatkan suasana berkomunikasi yang baik,
pendengar perlu bersedia dengan situasi itu. Hal ini terjadi di mana
pendengar tidak boleh mencelah dengan mengemukakan soalan ataupun ingin
mendapatkan penjelasan yang terperinci dari penyampai.
Mendengar
jenis ini dipanggil juga sebagai mendengar secara tidak interaktif.
Secara ringkasnya, pendengar tidak berupaya mengambil bahagian dalam
mewujudkan hubungan dua hala seperli mendengar kuliah, radio, menonton
televisyen, filem ataupun siaran langsung.
2.1.6 Peringkat-peringkat Kemahiran Mendengar.
Terdapat tiga peringkat kemahiran mendengar iaitu :
Pada
peringkat awal kemahiran mendengar, pelajar akan diajar untuk mengecam,
mengajuk dan memilih bunyi. Mereka juga diajar untuk mendengar dan
mengecam makna perkataan, rangkai kata dan ayat-ayat dalam petikan. Pada
peringkat ini juga, pelajar akan melakukan perkara dan aktiviti yang
disuruh oleh guru. Sebagai contoh, guru menyuruh pelajarnya menggayakan
gaya seekor kucing, maka pelajar tersebut akan bertindak balas dengan
menggayakan aksi seekor kucing mengikut kekreatifan masing-masing.
Selain
itu, pada peringkat awal ini, pelajar cepat bertindak terhadap soalan
yang mudah. Para pelajar juga dapat mengingat dan memadankan perkataan
dan ayat-ayat mudah dengan tepat.
Pada peringkat kedua atau
peringkat pertengahan dalam kemahiran mendengar ini, pelajar didedahkan
untuk mengecam dan mengingat fakta dan butiran secara tepat dan
terperinci. Pelajar juga diajar untuk mengenal informasi-informasi
spesifik atau maklumat khusus. Sebagai contoh, guru memberitahu pelajar
tentang sebuah kemalangan yang terjadi baru-baru ini. Hal ini dapat
meningkatkan pengetahuan pelajar serta pelajar dapat mengetahui
cara-cara untuk mengelakkan kemalangan itu.
Pada peringkat
ini juga, pelajar didedahkan untuk mengenali sebab dan akibat sesuatu
tindakan yang dibuat. Selain itu, pelajar ini akan diajar untuk mengenal
perhubungan orang-orang yang berinteraksi dalam kehidupan sosial serta
diterapkan ilmu dalam aspek mengenal sikap dan perasaan orang yang
bercakap. Mereka akan dipupuk untuk menjadi seorang pendengar yang baik
dengan sentiasa menumpukan perhatian terhadap penyampai. Hal ini adalah
untuk mengelakkan pelajar tersebut menjaga perasaan penyampai serta ilmu
dan maklumat yang disampaikan itu dapat memberi manfaat kepada pelajar
terbabit.
Peringkat ketiga pula ialah peringkat maju dalam
kemahiran mendengar. Pada peringkat ini, pelajar dilatih untuk mengenal
isi-isi penting. Sebagai contoh, dalam sebuah karangan, guru akan
mengajar bagaimana untuk mencari isi-isi utama dalam karangan tersebut.
Pelajar akan dapat mengenal peranan dan perhubungan orang yang bercakap.
Selain
daripada itu, pelajar akan diajar untuk mentafsirkan maksud orang yang
bercakap. Pelajar tersebut juga dapat membezakan tekanan dan intonasi
dalam sesebuah pertuturan. Contohnya, dalam sukatan pelajar Tahun Empat,
pelajar diajar mendengar dan mengecam intonasi yang betul dalam soalan
tanpa kata tanya. Mereka juga diajar untuk mencari jalan penyelesaian
untuk mengatasi masalah yang didengar sama ada merujuk kepada guru atau
kawan-kawan.
Pada peringkat ini juga, pelajar akan dididik untuk
mengikut aliran dalam dialog atau perbualan serta mereka dapat
menafsirkan tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur nahu.
2.1.7 Bentuk-bentuk Kemahiran Mendengar.
Menurut
Kamarudin Haji Husin di dalam buku ‘Ilmu Bahasa dan Kecekapan
Berbahasa’ menyatakan bahawa kemahiran mendengar boleh berlaku dalam
pelbagai bentuk. Biasanya ia boleh dibahagikan kepada sembilan kategori.
Antaranya adalah :
i. Mendengar Secara Pasif.
Mendengar
secara pasif adalah peringkat kemahiran mendengar yang paling rendah.
Pada peringkat ini pendengar biasanya tidak berupaya memahami makna
keseluruhan yang diucapkan dalam sesuatu pertuturan atau percakapan yang
didengarinya. Pendengar juga kurang memahami dan mengingati serta
menyebutkan semula perkataan yang didengar itu.
Banyak
perkara yang dapat mendorong kanak-kanak mendengar secara pasif.
Antaranya adalah mungkin bahan yang diperdengar itu kurang menarik minat
mereka atau mungkin kerana bahan itu terlalu sukar untuk difahami dan
tidak bermakna kepada mereka. Kanak-kanak yang tidak dapat menguasai
kemahiran mendengar dalam sesuatu bahasa tentu tidak dapat memahami
sepenuhnya pertuturan bahasa tersebut. Keadaan menjadi lebih buruk lagi
jika mereka diganggu oleh pengaruh bahasa ibunda, dialek, terhadnya
perbendaharaan kata atau sebagainya.
ii. Mendengar Secara Bertelau-telau.
Mendengar
secara bertelau-telau ini biasanya berlaku dalam kalangan pelajar
bahasa kedua atau mereka yang mempelajari bahasa asing. Kemahiran ini
lebih tinggi tarafnya berbanding dengan kemahiran mendengar secara
pasif. Dalam kemahiran ini, pendengar biasanya kurang mampu mendengar
bahagian-bahagian ujaran tertentu dalam sesuatu pertuturan. Mereka tidak
berjaya untuk membentuk konsep dan gagal memahami ujaran yang
diperdengarkan kepada mereka itu.
Keadaan ini biasanya
berlaku kerana pelajar tersebut masih lemah dalam bahasa yang
dipelajari. Mereka kurang didedahkan dengan suasana berbahasa dalam
bahasa tersebut serta kurang biasa mendengar dan bertutur serta
berkomunikasi dalam bahasa tersebut.
iii. Mendengar Tanpa Tindak Balas.
Mendengar
tanpa tindak balas bermaksud pelajar-pelajar mendengar tetapi tidak
membuat sebarang tindakan selepas itu. Hal ini berlaku kerana pendengar
tidak peka terhadap kata-kata yang diucapkan itu. Mungkin pendengar
tidak memahami sepenuhnya hubungan makna antara perkataan yang diucapkan
dalam ayat. Dengan kata lain, mereka tidak memberi sebarang reaksi sama
ada marah, sedih, gembira, simpati dan sebagainya.
iv. Mendengar Secara Menebuk-nebuk.
Hal
ini berlaku dalam kalangan pelajar bahasa pertama. Pelajar hanya
menebuk-nebuk perkataan atau rangkai kata yang didengar dan mengambilnya
untuk tujuan tertentu. Pada peringkat ini kemahiran mendengar pelajar
yang menuturkan bahasa itu masih rendah.
Kemahiran mendengar yang
menebuk-nebuk ini juga berlaku dalam kalangan pelajar bahasa ibunda.
Hal ini kerana mereka sudah pasti yang mereka berupaya memahami dan
mampu menggunakan bahasa sendiri. Walhal, kadar kefahaman mereka
terhadap bahasa itu adalah pada peringkat yang masih lemah.
v. Mendengar Dengan Beremosi.
Pada
peringkat ini, pendengar sudah mula mempunyai kemahiran dalam bahasa
yang dituturkannya. Pendengar sudah dapat merasakan sesuatu sehingga
memberangsangkan emosinya. Mereka sudah mula mendengar, memahami dan
bertindak terhadap ujaran yang didengarinya itu. Cuba tafsir ayat yang
berikut :
Orang Melayu semuanya malas.
Sekiranya orang Melayu
mendengar ayat ini, kemungkinan besar mereka akan marah. Ayat tersebut
mungkin dianggap sebagai satu penghinaan dan orang Melayu yang
mendengarnya tidak dapat menerima dengan celaan tersebut. Walau
bagaimanapun, implikasi daripada keadaan emosi yang marah itu mungkin
menyebabkan orang-orang yang terlibat akan bertindak positif, iaitu
dengan meningkatkan tekad untuk bekerja keras dan berjaya dalam hidup
mereka. Namun, ada kemungkinan juga akan berlaku tindak balas negatif
seperti berlakunya pergaduhan, pertengkaran dan sebagainya.
Mendengar
secara beremosi ini berlaku kerana perkataan yang dilafazkan membawa
makna yang berbeza-beza. Kemungkinan orang yang menuturkannya tidak tahu
atau faham adat resam, tradisi dan budaya orang yang mendengarnya.
Perkataan yang dilafazkan secara tidak berhati-hati dan tidak mengambil
kira lingkungan geografis dan budaya boleh menimbulkan salah faham
apabila pendengar tersilap membuat tafsiran.
vi. Mendengar Secara Berhati-hati.
Mendengar
pada peringkat ini memerlukan seseorang itu mendengar dengan teliti dan
secara bersungguh-sungguh. Dia harus menumpukan pendengarannya terhadap
kata demi kata, rangkai kata demi rangkai kata dan ayat demi ayat dalam
sesuatu pengucapan itu. Tujuan mendengar setiap ujaran yang dilafazkan
dengan teliti adalah untuk menentukan supaya setiap butiran yang
dituturkan dapat difahami dengan tepat dan betul.
Kemahiran
mendengar secara berhati-hati ini boleh dicapai dengan memberikan banyak
latihan mendengar kepada pelajar. Mereka dilatih untuk mempelajari
bahasa lisan secara formal lebih berkesan daripada pembelajaran yang
dilakukan secara tidak formal.
vii. Mendengar Secara Kritikal.
Mendengar
secara kritikal biasanya berlaku setelah seseorang itu dapat menguasai
kemahiran berbahasa dengan baik. Pada peringkat ini kemahiran mendengar
telah mencapai tahap yang tinggi. Pendengar bukan sahaja dapat memahami
sesuatu pertuturan dengan baik, bahkan berupaya memilih dan menentukan
perkara-perkara yang benar dan yang palsu.
Seseorang dapat menentukan
kesahihan sesuatu faktor yang didengarnya dan menyedari akan sesuatu
kelemahan yang terdapat dalam pertuturan dan sebagainya.
Mendengar
secara kritikal memerlukan seseorang itu berfikir secara kritis dan
analitis. Untuk mencapai ke peringkat ini, pelajar harus diberi latihan
mendengar dan berfikir secara intensif. Kemahiran ini boleh dilakukan
melalui proses pembelajaran secara tidak sengaja.
viii. Mendengar Dengan Pengamatan.
Kemahiran
mendengar jenis ini biasanya berlaku dalam kalangan pelajar yang sudah
boleh berfikir secara kritikal. Mendengar cara ini akan lebih bermakna
apabila proses mendengar itu berdasarkan kepada pengalaman pendengar.
Hal ini bermakna, pendengar akan lebih mudah memahami sesuatu ujaran
yang dilafazkan apabila ujaran-ujaran itu ada pertalian dengan
pengalamannya. Cuba perhatikan ayat yang berikut :
Perkahwinan adalah sungguh membosankan.
Seseorang
pendengar yang pernah berkahwin dan pernah pula gagal dalam perkahwinan
itu akan lebih mudah memahami ayat tersebut berbanding orang yang tidak
mengalami peristiwa itu.
Begitu juga dengan seorang pelajar, apabila
bahan-bahan yang disampaikan kepada mereka itu terdiri daripada bahan
yang di luar dari pengalaman mereka, tentulah bahan yang hendak
disampaikan itu menjadi hambar dan kurang bermakna.
ix. Mendengar Secara Kreatif.
Kemahiran
mendengar secara kreatif ini pula merupakan kemahiran yang paling
tinggi dan ia menjadi matlamat pengajaran dan pembelajaran lisan di
peringkat mendengar. Pada peringkat ini, pendengar akan menggunakan daya
kreatifnya untuk mencipta sesuatu setelah dia dapat mendengar dengan
baik sesuatu pertuturan itu. Hal ini bermakna dia dapat memahami
ujaran-ujaran yang dikemukakan kepadanya dengan baik.
Seseorang
itu juga dapat membuat tafsiran, mengkritik, menganalisis, membuat
ulasan dan komen yang bernas dan jitu. Biasanya pelajar yang mampu
mendengar secara kreatif adalah yang terdiri daripada mereka yang boleh
berfikir dengan baik, cekap dan bijak. Mereka itu telah mempelajari dan
menguasai bahasa yang hendak digunakan itu dengan baik.
2.1.8 Jenis-jenis Bahan yang Didengar.
Antara jenis bahan yang biasa digunakan dalam kemahiran mendengar adalah seperti :
JENIS BAHAN YANG DIDENGAR
Penerangan
Pengumuman
Syarahan
Ucapan
Ceramah
Berita
Taklimat
Arahan
Lagu atau Puisi
Cerita
2.1.9 Sebab-sebab Perlu Menjadi Pendengar yang Baik.
Terdapat
banyak sebab mengapa kita perlu menjadi seorang pendengar yang baik.
Antaranya adalah untuk memudahkan kita mengenali dan mengingati
penyampai yang memberi maklumat ataupun ucapan kepada kita. Contohnya,
kita pernah menghadiri sebuah seminar dan melalui seminar tersebut kita
dapat mengenali penceramah yang menyampaikan maklumat dengan lebih dekat
lagi.
Selain itu, apabila kita mendengar sesuatu perkara
yang disampaikan dengan tekun, penyampai akan rasa lebih dihargai.
Sebagai contoh yang dapat dilihat, jika kita menyampaikan sesuatu
maklumat dan tiada sesiapa pun yang mendengarnya, hal ini tentu sekali
akan menyebabkan kita terasa hati dengan mereka walaupun kita tidak
menunjukkan kemarahan di hadapan mereka.
Kita juga perlu
menjadi pendengar yang baik untuk menerima dan memahami sesuatu perkara
dengan lebih jelas dan tepat. Sebagai contoh, para pelajar mestilah
menumpukan perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan oleh guru
semasa berada di dalam kelas.
Mereka juga harus mendengar segala
maklumat dan ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh guru untuk dapat
memahami dengan lebih jelas dan terperinci.
Antara sebab lain kita
perlu menjadi seorang pendengar yang baik adalah untuk menilai setakat
mana kemahiran yang dapat kita perolehi dengan mendengar dengan jelas.
2.1.10 Kecekapan Berbahasa Dalam Kemahiran Mendengar.
Kecekapan berbahasa bagi kemahiran mendengar adalah seperti yang berikut:
a. Mendengar dan memahami tentang sesuatu yang diperihalkan oleh orang lain dalam kehidupan seharian.
b.
Mendengar dan memahami maklumat tertentu seperti fakta, idea, dan
hujah-hujah yang terkandung dalam berita, ucapan rasmi serta siaran
media massa.
c. Mendengar dan memahami arahan yang dituju kepadanya serta dapat memberi respons ke atas arahan tersebut.
d. Mendengar dan memberikan respons secara lisan dan bertulis tentang sesuatu yang diperihalkan oleh orang lain.
e. Mendengar dan dapat membuat nota ringkas daripada maklumat yang diperoleh menerusi pelbagai bahan sumber.
2.1.11 Prinsip-prinsip Kemahiran Mendengar.
Kegiatan mendengar harus dijalankan berasaskan prinsip berikut:
a. Pelajar mestilah diberi peluang mendengar Bahasa Malaysia yang standard dan fasih.
b. Tajuk dan tema bahan rakaman haruslah sesuai dengan minat dan perkembangan intelek pelajar.
c. Perhatian yang wajar haruslah diberi kepada intonasi, irama, keselamatan, dan perasaan dalam sesuatu petikan yang didengar.
d. Ujian tertentu boleh dijalankan untuk menilai kemahiran mendengar pelajar.
2.1.12 Cara Meningkatkan Kemahiran Mendengar.
Terdapat beberapa cara untuk meningkatkan kemahiran mendengar ini. Antaranya adalah :
CARA MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENDENGAR
1) Memandang kepada pengucap
2) Berprasangka baik
3) Niat yang betul
4) Tumpuan yang tinggi
5) Perhatikan apa yang ditulis
6) Fokus apa yang ditunjuk
7) Latih diri banyak mendengar dari bertutur
Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran mendengar dalam kalangan pelajar:
a.
Mendengar rakaman kaset yang mengandungi pelbagai jenis pertuturan
seperti perbualan, ucapan, cerita, drama, dan juga pelafazan puisi.
b. Mendengar lagu Melayu yang tema dan bahasanya sesuai dengan perkembangan mental dan emosi pelajar.
c. Pertandingan kuiz di mana pelajar dilatih untuk mendengar soalan yang dibacakan oleh guru serta memberi jawapan yang betul.
d. Menjalankan permainan bahasa yang dapat meningkatkan kemahiran mendengar dalam kalangan pelajar.
Pengalaman
mendengar boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu mendengar bunyi
percakapan (bahasa) dan bukan percakapan. Berikut ialah jenis gerak
kerja yang boleh dijalankan dalam pelajaran bahasa Melayu :
i. Mendengar bunyi alamiah.
-
Mengecam bunyi biasa seperti bunyi kenderaan, binatang dan lain-lain
secara berasingan atau dalam satu turutan bunyi, secara jelas atau
digangguioleh bunyi latar belakang.
- Mendengar dan mengingat semula satu turutan bunyi yang biasa dan jarang didengar.
- Mencari bunyi yang sengaja dihilangkan dalam sesuatu konteks pendengaran.
- Mencari bunyi yang tidak sesuai dalam sesuatu konteks tertentu.
- Memikirkan satu turutan peristiwa berdasarkan satu turutan bunyi yang diberi.
- Memanjangkan arah dan jarak bunyi secara berasingan dan juga bersama-sama dengan bunyi lain.
ii. Kefahaman mendengar (percakapan)
- Mendengar, mengingati dan menyebut semula kenyataan.
- Mendengar. Mengingati dan melakukan arahan dengan teliti.
- Mendengar dan encuba mencari kelainan dan persamaan bunyi.
- Mendengar dan mencari isi atau butir utama dalam sesuatu cerita, laporan, perbahasa, ceramah dan perbualan.
- Mendengar dan mencari suatu butiran terperinci yang dinyatakan terlebih dahulu ataupun tidak.
- Mendengar dan membuat jangkaan daripada sesuatu cerita, kenyataan, pendapat dan sebagainya.
- Mendengar untuk mencari bahan berkaitan ataupun tidak.
- Mendengar dan memahami tafsiran tentang pendapat seseorang.
- Mendengar dan menilai sesuatu kenyataan.
- Mendengar dan membincangkan cerita atau laporan melalui pengingatan.
- Mendengar sesuatu perbualan, kemudian menjangka keadaan, perasaan dan ragam penuturnya.
- Mendengar perbualan dan menjangkakan perhubungan antara penutur.
- Mendengar dan mencari perkara yang bercanggahan dalam sesuatu perbalahan pendapat.
2.1 Kemahiran Bertutur.
2.2.1 Definisi Kemahiran Bertutur.
Kemahiran
bertutur ialah kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada
alat sebutan (artikulator) manusia. Kemahiran tersebut merupakan
kemahiran berinteraksi menggunakan bahasa. Kemahiran bertutur berlaku
pada peringkat pelahiran yang tidak boleh dicipta oleh pelajar, tetapi
mesti ditiru dan diajuk. Model pertuturan yang lemah akan menghasilkan
ajukan yang lemah. Sementara model yang baik belum tentu dapat menjamin
ajukan yang baik. Namun begitu, model yang baik itu sangat diperlukan
kerana model tersebut mungkin akan menghasilkan tindak balas yang baik
juga.
Dalam ilmu linguistik, bahasa diungkapkan dengan
sempurna melalui pertuturan. Hal ini demikian dalam bahasa tulisan,
aspek sebutan seperti intonasi, rentak , tekanan, jeda dan persediaan
tidak dapat digambarkan dengan jelas. Namun demikian, ini tidak bermakna
guru bahasa mengajarkan penguasaan audio-lingual sahaja. Pernyataan di
atas tadi member implikasi bahawa menghurai bahan bertulis dengan tidak
mengetahui pola-pola bahasa seperti yang terdapat dalam pertuturan itu,
sebenarnya tidak lengkap dan tidak sempurna sifatnya.
2.2.2 Konsep Bertutur.
Seperti
yang telah diketahui, hubungan antara kemahiran bertutur dengan
kemahiran mendengar adalah saling berkait rapat. Oleh itu, kemahiran
bertutur melibatkan beberapa konsep iaitu :
a. Pertuturan merupakan gabungan bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan.
b.
Pertuturan berlaku pada peringkat pelahiran setelah penutur dapat lebih
banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada melalui kecergasan
otaknya.
c. Individu lebih banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada melalui kecergasan otaknya.
d. Aspek fizikal, kesihatan, persekitaran dan jantina boleh mempengaruhi kemahiran bertutur.
e.
Pertuturan yang dapat dikuasai dengan baik akan menghasilkan tabiat
berbahasa yang baik. Tabiat berbahasa yang baik itu pula membolehkan
penutur berinteraksi atau berkomunikasi secara berkesan.
f. Penutur
fonologi yang baik boleh menguasai sesuatu bahasa dengan memberi tumpuan
kepada aspek fonologi, struktur, intonasi, dan penguasaan sistem bunyi.
2.2.3 Tujuan Bertutur.
Bertutur
atau bercakap merupakan suatu kemahiran bahasa. Dalam komunikasi lisan
terdapat dua pihak, iaitu penutur sebagai penghantar komunikasi lisan
dan pendengar sebagai penerima komunikasi lisan.Terdapat beberapa tujuan
bertutur iaitu :
i. Bercakap untuk tujuan memaklumkan.
Bercakap
bertujuan memaklumkan orang lain tentang sesuatu perkara yang mungkin
berbentuk nasihat, tunjuki ajar dan berita. Bagi profesion tertentu,
terdapat orang yang tugasnya memeberitahu atau memaklumkan kepada orang
lain tentang sesuatu, misalnya, guru atau pengajar dan jurujual
ii. Bercakap untuk keseronokkan
Di
mana-mana sahaja kita pergi dan apa pun yang kita buat, kita suka
bercakap atau berbual dengan orang lain. Biasanya, bercakap atau
bersembang dengan orang lain memang menyeronokkan kita, terutama apabila
kita berhimpun atau berkumpul dalam sesuatu majlis keramaian seperti
majlis perkahwinan dan majlis kenduri.
Dalam keadaan seperti di atas,
banyak yang berlaku adalah perbualan sosial, kadangkala kita diminta
atau dijemput untuk memberi sedikit ucapan secara spontan yang berkaitan
dengan sesuatu majlis.
iii. Bercakap untuk tujuan mempengaruhi.
Bercakap
untuk memengaruhi orang lain merupakan perkara biasa dalam kehidupan
manusia dan merupakan asam garam dalam perhubungan harian sama ada dari
segi sosial, politik, ekonomi dan agama. Sebagai contoh, ahli politik
yang berkempen semasa pilihan raya bertujuan untuk mempengaruhi rakyat,
begitu juga pendakwah agama, peniaga dan sebagainya.
Malahan,
kadangkala kita bercakap kerana kita berasa amat perlu mempengaruhi
orang lain sama ada untuk kebaikan orang itu atau diri kita sendiri,
atau untuk kebaikkan kedua- duanya.
iv. Bercakap untuk tujuan menyelesaikan masalah
Tiada
manusia yang boleh lari daripada masalah. Oleh yang demikian, apabila
timbul masalah, perkara tersebut perlu diatasi atau diselesaikan.
Masalah itu boleh jadi pada pada peringkat individu, keluarga, sekolah,
institusi, pejabat, negeri atau negara.
Walau pada peringkat apa
pun masalah tersebut, kita perlu bercakap untuk menyelesaikan sebarang
masalah, kesulitan dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita mengadakan
mesyuarat, perbincangan , perundingan, simposium, forum, debat dan
perbicaraan, misalnya perbicaraan di mahkamah, iaitu perbicaraan yang
berbentuk perdebatan antara peguam bela dengan peguam cara yang dihakimi
oleh para juri dan tuan hakim. Tetapi semua pihak perlu bercakap
(termasuk orang yang dikatakan bersalah dan saksi-saksi). Matlamatnya
adalah untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul melalui
perbicaraan tersebut. Pada asasnya cara untuk menyelesaikan masalah itu
adalah dengan bercakap melalui perbicaraan mahkamah yang melibatkan
peguam.
2.2.4 Aspek- Aspek Pertuturan.
Bahasa
pertuturan melibatkan pelbagai aspek. Antara yang penting adalah
sebutan intonasi, tekanan, jeda, mora, dan sebagainya. Berikut
diperlihatkan aspek- aspek tersebut secara ringkas :
2.2.4.1 Sebutan.
Sejak
peringkat rendah lagi, pelajar telah diajar mengenal huruf dan bunyi
setiap huruf, suku kata, perkataan, rangkai kata, dan kalimat. Mereka
kemudian dilatih menyebut aspek tersebut. Semua ini bertujuan untuk
melatih pelajar supaya dapat menyebut sesuatu dengan tepat seperti yang
sepatutnya. Mereka harus boleh menyebut sesuatu dengan betul mengikut
bunyi, ejaan dan makna. Biasanya, kesalahan menyebut sering berlaku
dalam kalangan para pelajar bahasa kedua. Gangguan bahasa ibunda sering
menghalang pembelajaran mereka.
Sebutan ialah cara kita menyebut
atau membunyikan sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa. Dalam mana-mana
bahasa di dunia ini terdapat dua cara penuturnya menyebut sesuatu
perkataan dalam bahasa itu, iaitu sebutan secara standard dan sebutan
secara dialek. Biasanya, dalam negara yang besar saiznya dan ramai
bilangan penduduknya (seperti China, Rusia dan India), sesuatu perkataan
disebut menurut daerah dialek-dialek tersebut.
Sungguhpun
saiz negara kita ini tidak begitu besar dibandingkan dengan negara yang
tersebut di atas, namun terdapat banyak dialek di Malaysia. Selain
dialek atau bahasa daerah, bahasa ibunda murid yang bukan berketurunan
melayu juga boleh mempengaruhi sebutan mereka apabila mereka bertutur
dalam bahasa Melayu. Misalnya: ikan dalam bahasa Melayu baku disebut ike
( dialek Kelantan), ikang (dialek Terengganu)
Biasanya,
murid-murid di Kelantan mengalami masalah sebutan baku. Guru boleh
mengatasi masalah tersebut melalui kaedah yang berikut :
a. Mengadakan latih tubi untuk menyebut perkataan yang bermasalah bagi murid- murid.
b.
Menperdengarkan kepada murid model sebutan bahasa Melayu baku daripada
radio, televisyen dan sumber- sumber lain dengan kerap.
c.
Menggalakkan dan memperbanyakkan latihan murid bercakap menggunakan
sebutan baku dalam situasi formal dan tidak formal, misalnya, di luar
bilik darjah seperti di kantin dan di padang permainan, dan semasa
kegiatan kokurikulum di sekolah.
2.2.4.2 Tekanan.
Tekanan
adalah salah satu cara menyebut perkataan, frasa atau ayat dengan
memberikan tekanan pada tempat-tempat tertentu. Biasanya, tekanan itu
dilakukan pada suku kata dan bertujuan untuk menandakan keras atau
lembut sesuatu ucapan itu.
Dalam
bahasa Melayu, tekanan tidak membezakan makna yang mungkin hanya untuk
menyedapkan percakapan atau bacaan (misalnya dalam sajak) atau
menandakan tempat- tempat penting atau yang perlu diberikan perhatian.
Tekanan
juga adalah tempat-tempat suara ditekankan apabila menyebut sesuatu
perkataan menurut suku kata dalam sesuatu perkataan. Tekanan pada
peringkat perkataan boleh disamakan dengan rentak dalam muzik iaitu
apabila tekanan itu berubah dari satu perkataan kepada satu perkataan
yang lain.
Dalam bahasa Melayu, aspek tekanan bagi peringkat
perkataan (antara suku katanya) kurang ketara jika dibandingkan dengan
peranan tekanan sesuatu suku kata bagi perkataan bahasa Inggeris. Walau
bagaimanapun, tekanan memainkan peranan penting dalam menyebut sesuatu
perkataan atau ayat kerana tekanan menguatkan aspek makna dalam konteks
ayat.
2.2.4.3 Jeda.
Jeda
biasanya disebut juga sebagai persendian iaitu unsur ini digunakan
untuk memisahkan elemen-elemen linguistik seperti perkataan, rangkai
kata, atau ayat. Dalam sesuatu ayat yang diucapkan, jeda digunakan
sebagai hentian sebentar. Lambang jeda ditandai /#/, dan apabila
digunakan jeda boleh membawa makna yang berbeza. Contoh penggunaan jeda
adalah seperti berikut :
/#saja minum susu lembu#/
(maksudnya : orang yang bercakap itu hanya minum susu lembu dan bukan susu yang lain).
/#saja minum susu # lembu #/
(maksudnya:
orang yang bercakap itu memanggil orang yang dilawan bercakap itu
sebagai lembu dan menyatakan yang dia hanya minum susu)
Lambang
jeda yang menunjukkan pemisahan antara suku kata atau perkataan biasanya
digunakan seperti ini /+/. Dalam bahasa Melayu, lambang ini boleh
membezakan makna.
Misalnya, perkataan- perkatan yang berikut:
a. Berikan 1. Ber + ikan (maksud : mempunyai ikan)
2. berikan (maksud : menyerahkan)
b. Beritahu 1. Beri + tahu (maksud : memberi sejenis makanan)
2. beritahu (maksud : member pengetahuan)
2.2.4.4 Intonasi.
Intonasi
ialah keadaan bunyi yang menaik atau menurun sewaktu sesuatu ayat itu
dilafazkan. Kadang-kala disebut sebagai nada suara. Intonasi ayat dalam
bahasa Melayu biasanya tidak sama dan berbeza-beza mengikut jenis ayat
yang dituturkan. Intonasi boleh menurun, boleh menaik, boleh mendatar,
boleh meninggi dan sebagainya. Ayat tanya biasanya mempunyai intonasi
yang menaik pada akhir ayat. Ayat penyata pula mempunyai intonasi yang
menurun.
2.2.4.5 Tatabahasa.
Tatabahasa
adalah satu sistem pertuturan atau undang- undang yang menggabungkan
perkataan untuk membentuk ayat- ayat. Peraturan atau undang-undang ini
mempunyai kaedah dan formula tertentu.
Tatabahasa terdiri daripada
aspek fonologi, morfologi, dan sintaksis. Dalam bahasa pertuturan
(lisan), walaupun lumrahnya aspek tatabahasa tidak begitu
dititikberatkan tetapi untuk memperoleh kebiasaan bertutur dan bercakap
dengan sempurna dan berkesan, aspek ini haruslah ditekankan. Seseorang
pelajar harus dipastikan boleh bercakap mengikut tatabahasa yang betul.
Dari
segi fonologi, pelajar harus boleh membunyikan kata dan menyebutnya
dengan tepat. Dari segi morfologi, mereka harus boleh memilih, membina,
dan menggunakan perkataan dengan tepat dan betul. Dari segi sintaksis
pula, mereka perlulah boleh membina ayat-ayat dengan menggunakan
tatabahasa yang betul, jelas dan kemas. Penggunaan intonasi, tekanan,
jeda, gaya dan sebagainya harus sesuai dengan bahasa yang dituturkan.
2.2.4.6 Kelancaran.
Kelancaran
bermaksud boleh bertutur atau bercakap dengan baik dan kemas. Seseorang
pelajar itu tidak akan menghadapi sebarang masalah atau gangguan semasa
percakapan itu berlangsung.
Dia boleh mengeluarkan idea, pendapat
dan pandangan dengan baik dan menuturkan idea, pandangan dan pendapat
tersebut dalam bahasa yang kemas, licin dan teratur.
2.2.4.7 Kefasihan.
Kefasihan
beerti boleh bercakap bukan sahaja dalam bentuk yang kemas, teratur dan
licin, tetapi boleh juga membunyikan kata atau menyebut perkataan yang
dituturkan itu secara tepat dan jelas. Pada tahap ini, seseorang itu
telah mencapai kesempurnaan berbahasa. Ia boleh menuturkan bahasa itu
seperti seorang penutur jati bahasa tersebut.
2.2.4.8 Laras Bahasa.
Laras
bahasa dalam konteks ini beerti kemampuan menggunakan bahasa itu dalam
berbagai-bagai konteks, suasana dan situasi yang sesuai. Tujuan utama
melatih pelajar menggunakan bahasa mengikut laras-larasnya yang betul
adalah untuk membolehkan mereka menggunakan bahasa itu untuk tujuan
berkomunikasi secara tepat dan dapat digunakan dalam konteks yang
sesuai. Penggunaan bahasa diberi keutamaan di samping kegunaannya.
Laras
yang berkaitan dengan kemahiran bertutur ini adalah laras bahasa lisan.
Konsep laras telah diperkatakan oleh seorang ahli linguistik Barat yang
bernama Reid pada tahun 1956. Antara lain beliau menjelaskan bahawa
seseorang penutur dalam situasi bahasa yang berbeza-beza akan
menggunakan laras mengikut situasi sosial yang berlainan. Dalam erti
kata yang lain, penutur itu akan menggunakan laras yang distingtif. Reid
telah menggunakan konsep ini sebagai istilah teknik untuk menyatakan
perbezaan perlakuan bahasa seseorang individu.
Laras
lisan lebih bersifat sederhana serta kurang mematuhi
peraturan-peraturan nahu seperti yang dimestikan dalam gaya bahasa
tulisan. Ayat-ayat adalah pendek, ringkas dan penggunaanya amat
bergantung kepada intonasi, jeda, tekanan, nada dan sebagainya. Ciri-
ciri paralinguistik yang melibatkan gerak-geri badan juga adalah penting
untuk menyampaikan maksud atau makna tertentu.
Za’ba
membahagikan bahasa lisan kepada dua jenis, iaitu gaya cakap mulut dan
gaya bahasa pasar. Kedua- duanya mempunyai perbezaan. Gaya cakap mulut
digunakan apabila orang Melayu bercakap sesama sendiri.
Bahasa
cakap mulut yang digunakan biasanya mempunyai susunan yang ringkas,
mudah, pendek dan kadang- kala terdapat beberapa perkataan yang tidak
terdapat dalam bahasa Melayu tulisan. Selain itu, gaya bahasa cakap
mulut banyak menggunakan singkatan seperti tak, nak, dah, ni, tu, yang
kata penuhnya terdiri daripada kata tidak, hendak, sudah, ini, dan itu.
Gaya
bahasa pasar Melayu pula ialah bentuk bahasa yang digunakan apabila
orang Melayu bertutur dengan bangsa asing. Gaya bahasa yang digunakan
ketika berkomunikasi ialah gaya kacukan, iaitu yang mengikut gaya mirip
kepada susuk dan telor pengucapan bahasa asing.
Gaya bahasa juga
boleh berdasarkan nada yang telah dikenal pasti oleh Gorys Keraf (1981)
dalam tiga gaya bahasa, iaitu gaya yang sederhana, gaya yang mulia dan
bertenaga dan gaya menengah :
a) Gaya yang sederhana.
Gaya
yang digunakan untuk memberi arahan, perintah, pelajaran, bahan kuliah
dan sebagainya. Ciri-ciri utama gaya ini adalah sifat kesederhanaan yang
berdasarkan tujuan untuk menyampaikan maklumat, bahasa untuk menyentuh
perasaan atau menghasilkan suasana tertentu.
b) Gaya yang mulia dan bertenaga
Gaya
bahasa ini bertujuan menggerakkan pendengar atau pembaca ke arah
sesuatu tindakan. Oleh itu, gaya ini menekankan aspek tenaga yang ada
pada bahasa melalui pilihan atau susunan kata-kata tertentu. Gaya
sebegini juga sering menggunakan nada agung dan kemuliaan.
c) Gaya menengah
Gaya
menengah ialah gaya yang diarah kepada usaha untuk menimbulkan suasana
tenang dan damai. Nada yang bersifat lemah- lembut, penuh kasih sayang
dan mengandungi unsur-unsur lucu yang sihat. Anatara situasi yang
menimbulkan penggunaan gaya menengah ialah situasi berpesta dan
rekreasi.
2.2.4.9 Panjang dan pendek (mora)
Panjang
dan pendek sebutan atau ucapan adalah kadar sesuatu bunyi itu
diucapkan. Konsepnya adalah sama dengan harakat dalam bahasa Arab. Unsur
ini biasanya tidak jelas dalam bahasa Melayu dan sekiranya ada pun
tetap tidak membezakan makna.
Penggunaan unsur mora agak jelas dalam bahasa Inggeris, misalnya:
pendek makna panjang makna
/sit/ sit duduk /si:t/ set tempat duduk
/fit/ fit sesuai /ft:tt/feet kaki
/hit/ hit pukul /hi:t/ heat hangat(haba)
/ful/ full penuh /fu:l/ fool bodoh
2.2.4.10 Nada
Nada
ialah keadaan bunyi yang menaik atau menurun sewaktu sesuatu perkataan
atau suku kata itu dilafazkan. Dalam bidang muzik umpamanya, terdapat
lapan nada, iaitu Do, Re, Mi, Fa, So, La, Ti, Do. Setiap nada tersebut
mewakili satu suku kata. Dalam bahasa Melayu, nada tidak bersifat
fonemik. Kewujudannya lebih ketara dalam bahasa Cina. Misalnya, ma dalam
bahasa itu boleh bermaksud emak, atau kuda, atau jerami, atau marah.
Ini semua bergantung kepada cara yang dilafazkan.
2.2.5 Faktor-faktor yang Mempengaruhi Pertuturan
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pertuturan seseorang individu. Antaranya adalah seperti berikut :
2.2.5.1 Umur
Umur
seseorang dapat membezakan pertuturan. Kanak-kanak bertutur secara
pelat dan tidak lancar manakala orang dewasa pula dapat bertutur dengan
lancar dan butir-butir pertuturan dapat difahami dengan jelas.
2.2.5.2 Alam sekeliling.
Alam
sekeliling atau sesebuah kawasan dapat mempengaruhi pertuturan
seseorang individu ini kerana setiap kawasan yang berbeza mempunyai
dialek kawasan masing-masing. Sebagai contoh, pelajar yang tinggal di
Kelantan akan bertutur dalam dialek Kelantan kerana sejak kecil mereka
telah diajar dan diasuh dengan dialek kawasan tersebut. Biasanya faktor
taraf sosioekonomi dan perhubungan keluarga boleh mempengaruhi
perkembangan bahasa kanak-kanak.
2.2.5.3 Fizikal.
Pertuturan
biasanya terhasil daripada organ-organ vocal manusia. Jika secara
fizikalnya didapati organ-organ ini rosak atau tidak dapat berfungsi
dengan baik, maka sudah pasti kanak-kanak itu tidak dapat bertutur
dengan baik. Kecacatan fizikal dapat mempengaruhi pertuturan sesorang.
Hal
ini kerana, jika seseorang individu itu mengalami kecacatan di bahagian
mulut atau hidung, mereka tidak dapat bertutur dengan baik dan
kadangkala perkataan yang dituturkan sukar difahami oleh orang lain.
2.2.5.4 Jantina
Jantina
yang berbeza dapat mempengaruhi pertuturan. Lelaki kebiasaannya
bertutur dengan suara yang kasar atau parau manakala perempuan pula akan
bertutur dengan sopan dan lemah lembut. Melalui kajian yang dijalankan,
didapati kanak-kanak perempuan terlebih dahulu dapat bercakap
berbanding kanak-kanak lelaki. Hal ini disebabkan oleh perkembangan
jasmani kanak-kanak perempuan yang berkaitan dengan urat saraf
pertuturan mereka yang berlaku lebih cepat berbanding kanak-kanak
lelaki.
2.2.5.5 Kesihatan.
Kesihatan
amat penting untuk mendapatkan pertuturan yang baik dan lancar. Jika
seseorang individu itu menghadapi masalah kesihatan, pertuturan mereka
tidak jelas dan tidak dapat menyampaikan maksud yang ingin dinyatakan .
sebagai contoh, pesakit strok atau angin ahmar, mereka tidak dapat
bertutur dengar lancar dan baik kerana kesihatan mereka amat lemah dan
sukar untuk bercakap.
Hal
ini akan menyebabkabkan halangan dalam komunikasi. Selain itu, jika
seorang kanak-kanak mendapat sakit yang berlanjutan ketika masih kecil,
penguasaan bahasa mereka akan terganggu. Biasanya kanak-kanak yang lemah
dan sakit tidak mempunyai kekuatan untuk berfikir dan bercakap.
2.2.5.6 Kecerdasan.
Kecerdasan
pula melibatkan proses minda. Setiap orang mempunyai kecerdasan otak
masing-masing. Kecerdasan seseorang dapat dibezakan melalui pertuturan
mereka. Sesorang yang cerdas dapat mengeluarkan idea atau pendapat yang
bernas serta dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan cepat dan betul.
Sekiranya seseorang itu bertutur tanpa apa -apa maklumat yang ingin
disampaikan, mereka digolongkan dalam kalangan orang yang kurang cerdas.
2.2.6 Peringkat-peringkat Kemahiran Bertutur.
Untuk
mencapai objektif kemahiran bertutur, iaitu bertutur dengan fasih dan
dapat mengeluarkan bahasa dengan tepat dan sesuai dalam pelbagai situasi
perhubungan di sekolah dan masyarakat, kemahiran bertutur perlu
dipelajari berperingkat-peringkat. Peringkat kemahiran bertutur
terbahagi kepada tiga seperti yang ditunjukkan pada rajah berikut :
2.2.6.1 Peringkat Awal.
Pada
peringkat awal, pertuturan biasanya berlaku dengan bertanya tentang
hal-hal yang berkaitan dengan diri serta pengalaman murid-murid.
Contohnya seperti bertanya khabar serta tentang kehidupan seharian yang
dilalui oleh murid tersebut. Seseorang guru pula haruslah bertutur
dengan pelajar mereka menggunakan perkataan yang sopan dan
bertatasusila. Pada peringkat ini juga, seseorang guru haruslah bercakap
dengan terus terang dan ikhlas terhadap pelajar mereka tentang sesuatu
perkara.
2.2.6.2 Peringkat Pertengahan.
Pada peringkat
pertengahan, murid-murid diajar untuk membuat deskripsi tentang sesuatu
objek dan gambar. Kemudian guru akan bercerita berdasarkan satu siri
gambar atau gambar-gambar bersiri kepada murid-murid tersebut. Selain
itu, pada peringkat ini juga guru akan mendeskripsikan pengalaman atau
sesuatu peristiwa kepada murid-murid tersebut.
Pelajar juga
diajar untuk membuat ucapan pendek dan ringkas serta mengambil bahagian
dalam aktiviti perbualan yang mudah. Kemudian, pelajar yang lain akan
memberi komen secara mudah serta membuat ulasan, memberi pendapat atau
pandangan terhadap sesebuah aktiviti yang dijalankan di dalam kelas.
2.2.6.3 Peringkat Maju.
Pada
peringkat maju pula, proses pertuturan biasanya berlaku untuk membuat
analisis atau inferens, ramalan, pandangan, dan justifikasi seperti
mengemukakan pendapat atau cadangan serta berunding secara santun untuk
mendapat persetujuan dan kata sepakat.
Hal
ini dapat kita perhatikan dalam mesyuarat sosial seharian, perbincangan
untuk mendapatkan kata sepakat merupakan contoh pertuturan peringkat
maju. Selain itu, pada peringkat ini pelajar diajar untuk membuat
pertimbangan untuk mencapai sesuatu keputusan keputusan. Keputusan yang
dipilih mestilah berdasarkan pertimbangan yang dibuat. Pelajar juga
diajar untuk menyampaikan maklumat untuk tujuan tertentu serta dapat
memberi respon peribadi tentang karya sastera ataupun tentang sesuatu
perkara.
2.2.7 Jenis-jenis Aktiviti Bertutur.
Terdapat pelbagai jenis aktiviti yang diklasifikasikan sebagai aktiviti bertutur iaitu seperti berikut :
Berbual
Berceramah
Bercerita
Berpidato
Berpuisi
Berbincang
2.2.9 Cara Meningkatkan Kemahiran Bertutur
Berdasarkan hakikat ini, maka, eloklah guru memilih aktiviti pengajaran untuk tujuan tersebut seperti cadangan yang berikut:
a. Aktiviti bercakap untuk keseronokkan
1. Murid menyampaikan cerita.
2. Murid menyampaikan lawak atau jenaka.
3. Murid menyampaikan sajak atau sebagainya.
4. Murid menyanyi.
5.
Dua orang murid berbual (melalui telefon). Guru boleh menyuruh dua
orang murid berlakon atau berbual seolah-olah mereka sudah lama
berkenalan atau baru sahaja berjumpa dan ingin berkenalan.
6. Murid berucap dalam majlis hari jadi atau majlis perpisahan seseorang kawan atau guru.
7. Murid mengucapkan selamat datang kepada rakan baru dalam kelas atau guru baru yang datang mengajar di kelas mereka.
8.
Murid menyampaikan pidato orang kenamaan. Misalnya, pidato yang pernah
dibacakan oleh Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj pada 31 Ogos 1957.
b. Aktiviti bercakap untuk memaklumkan.
1. Murid membaca berita dalam radio atau televisyen.
2.
Murid membuat demonstrasi di hadapan kawan- kawannya di dalam kelas
tentang cara membuat sesuatu, misalnya, cara menggunakan kamera , atau
cara memasak sesuatu masakan.
3. Murid membuat pengumuman tentang aktiviti yang berlaku di sekolah , misalnya, tentang rancangan atau jadual kokurikulum.
4.
Murid memberi taklimat tentang rancangan atau program yang berkaitan
dengan sesuatu projek sekolah, lawatan, strategi permainan dalam
perlawanan bola sepak, ragbi, bola jaring atau bola keranjang.
5. Murid membuat laporan secara lisan tentang lawatan, aktiviti kelab atau persatuan di sekolah.
6.
Murid membentangkan secara lisan hasil bacaan atau temu duga yang
dijalankan berkaitan dengan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru.
Aktiviti ini adalah kerja kumpulan. Untuk menjalankannya, murid-murid
dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diberikan tugas
oleh guru untuk mencari bahan yang berkaitan dengan subtajuk dalam
sesuatu karangan atau esei.
c. Aktiviti bercakap untuk mempengaruhi.
1. Murid bercakap dalam aktiviti perbahasan (debat) sama ada sebagai pencadang atau pembangkang.
2. Murid berkempen untuk menjadi wakil kelas, ketua darjah atau ketua murid.
3. Murid berucap atau berkempen bagi mendapatkan ahli baru untuk sesuatu persatuan yang diwakilinya di sekolah.
4.
Simulasi murid berkempen untuk mempengaruhi orang supaya membeli atau
mencuba sesuatu barang baru dalam pasaran, misalnya, barang elektrik,
sabun pencuci, berus gigi, pencuci pinggan mangkuk atau penyedut habuk.
d. Aktiviti bercakap untuk tujuan menyelesaikan masalah.
1.
Murid berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Masalah yang
dipilih oleh guru eloklah yang berkaitan dengan kehidupan murid di
sekolah atau di rumah. Misalnya, tentang kes kecurian buku atau wang di
bilik darjah, kebersihan kantin, kes murid merosakkan harta benda
sekolah atau mencalarkan kereta guru.
2. Murid bermesyuarat atau
berbincang tentang bagaimana hendak mengumpulkan wang melalui aktiviti
di sekolah untuk mendapatkan wang bagi membina dewan sekolah, membeli
bas sekolah, membesarkan perpustakaan dan sebagainya.
Dalam hal
ini guru bahasa perlu mengatur, mengajar, mengawas, membimbing, menegur
dan membetulkan murid dalam menjalankan atau mengambil bahagian dalam
mesyuarat, perbincangan atau forum adalah terhad.
3. Simulasi
murid menjadi hakim, peguam bela atau pendakwa dalam sesuatu
perbicaraan. Kes yang dibicarakan biarlah yang boleh menarik minat dan
menyeronokkan murid. Amat baik sekiranya guru mengadakan simulasi
perbicaraan yang menyerupai mahkamah dengan menjadikan kelas itu sebagai
mahkamah. Selain berlakon sebagai hakim, peguam bela, pendakwa dan
orang yang dituduh atau didakwa, murid- murid lain boleh disuruh
berlakon sebagai saksi, pegawai polis dan juri.
4.
Simulasi runding cara antara dua atau tiga murid, dengan seorang
daripada mereka menjadi guru pembimbing, dan yang lain berlakon sebagai
murid yang mempunyai masalah pembelajaran. Mereka bercakap dan berunding
tentang masalah tersebut dan mencari jalan untuk mengatasinya.
5.
Simulasi murid yang bergaduh dan murid ketiga berlakon sebagai orang
ketiga yang cuba mendamaikan atau menyelesaikan perselisihan faham
tersebut dengan cara berunding supaya kedu- duanya berbaik semula.
6.
Simulasi parlimen bersidang. Murid-murid dibahagikan kepada dua
kumpulan iaitu parti pembangkang dan parti pemerintah. Guru atau ketua
darjah boleh menjadi Tuan Pengerusi (Tuan Yang Dipertua). Isu yang
dibincangkan mungkin masalah pendatang haram atau masalah penyalahgunaan
dadah.
2.3 Kemahiran Membaca.
2.3.1 Definisi kemahiran membaca.
Kemahiran
membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang
penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran
membaca adalah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti
mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba
ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi
pengalaman-pengalaman biasa yang lain.
Membaca dapat membantu
memperluaskan pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif
seseorang individu dalam pelbagai bidang. Membaca adalah proses
kebalikan daripada proses menulis. Proses membaca memerlukan seseorang
itu menterjemahkan kembali lambang-lambang bertulis kepada
lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Membaca
berbeza daripada mendengar kerana membaca melibatkan kedua-dua aktiviti
verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca kita akan
menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama
kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran.
Kemahiran
membaca merupakan proses yang dinamik tetapi kompleks. Ia meliputi
keupayaan membaca dengan pantas, memahami fakta, kebolehan mengingati
fakta serta membuat interpretasi secara bijak dan analisis. Ketika
seseorang itu membaca, ia sebenarnya sedang berkomunikasi secara
langsung dan sedar dengan bahan bacaanya. Dia mencuba menyelami
pemikiran dan idea yang cuba disampaikan oleh pengarang. Seseorang yang
berjaya menguasai kemahiran membaca bermakna dia telah berjaya
merobohkan sebuah tembok pemisah yang maha besar antara dirinya dengan
lautan ilmu yang wujud dalam pelbagai bentuk karya (Zulkifley Hamid,
1994).
2.3.2 Konsep membaca.
Pumfrey
(1977) berpendapat membaca bukanlah hanya setakat bersifat mekanik,
iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan
tentang apa yang dibaca, tetapi membaca adalah lebih jauh daripada itu.
Membaca adalah satu proses pemikiran yang membina. Maksud beliau, dengan
membaca, seseorang itu harus dapat membina kebolehan menilai, mengulas
dan mengkritik apa yang dibaca dengan tepat, memahami kehendak situasi
dan aspirasi masyarakat di sekeliling, membina sikap dan cita-cita serta
fikiran yang terbuka dan positif.
Psikolinguitik kognitif
menolak definisi membaca menurut fahaman teori pembelajaran lama yang
mengatakan bahawa membaca adalah satu kegiatan mengenal kata-kata dengan
cara membunyikannya (dalam hati) dan kemudian menarik erti daripada
kata-kata itu.
Definisi ini seolah-olah mementingkan pengenalan kata
yang tepat satu persatu dengan cara menyembunyikannya lebih dahulu
sebelum kita dapat menarik erti sesuatu kalimat. Definisi ini
mengetepikan peranan yang dimainkan oleh pembaca. Pembaca merupakan satu
organisma yang pasif yang hanya menunggu kemasukan erti dari luar. Ini
merupakan satu proses satu hala yang sangat bercanggah dengan keadaan
sebenarnya. Proses satu hala ini ditentang oleh psikolinguistik kognitif
kerana tidak mengambil kira peranan yang dimainkan oleh pembaca.
2.3.3 Proses Membaca
Penyelidik-penyelidik
seperti Goodman (1971, 1973) dan Smith (1971, 1975) misalnya, pernah
menyatakan pendapat bahawa membaca ialah proses psikolinguistik yang
bermula dari detik pembaca itu memerhatikan perkataan pada muka surat
hingga detik pembaca itu dapat membentuk makna. Hal ini bermakna
sepanjang proses membaca terdapat interaksi antara bahasa dengan
pemikiran.
Proses membaca dapat dirumuskan seperti yang berikut :
i. Perlakuan membaca terdiri daripada kemahiran mengenal dan memahami bahan yang dibaca.
ii. Kemudian, perlakuan membaca dapat menghasilkan kefahaman pembaca.
iii.
Dalam proses membaca, seseorang itu akan berfikir, mencuba untuk
merasai dan akan membayangkan maklumat yang dibaca tadi. Dalam hal ini,
aktiviti membaca seolah-olah menjalinkan interaksi antara pembaca dengan
penulis, serta tujuan tertentu yang hendak ditonjolkan.
iv.
Seterusnya , perlakuan membaca memerlukan kebolehan pembaca mengaitkan
dan mengintegrasikan segala aspek yang berkaitan dengan tujuan membaca,
jangkaan, pengetahuan dan pengalaman lalu tentang perkara yang dibaca
bagi menghasilkan sebuah pembacaan yang berkesan dan menerbitkan
pemahaman terhadap bahan yang dibaca.
2.3.4 Jenis-jenis Bacaan
Sebenarnya,
terdapat beberapa jenis bacaan yang tidak kita sedari selama ini kerana
kita hanya sekadar menbaca tetapi tiada kesedaran untuk mengkaji jenis
bacaan yang kita gunakan. Oleh itu, sila lihat rajah di bawah :
2.3.4.1 Bacaan Mekanis (Bersuara)
Membaca
bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca
mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau apa pun
nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca
yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi,
fikiran dan perasaan seseorang pengarang.
Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca.
Lazimnya,
ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang
jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat
agar jelas maknanya bagi para pendengar.
Membaca mekanis
merupakan satu ketrampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut
pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksi suara
yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa,
membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis
pengucapan (pronunciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah
satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta
mengembangkan sejumlah ketrampilan serta minat.
Untuk membolehkan
penguasaan membaca nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca
haruslah dapat terlebih dahulu menguasai keterampilan persepsi yang
melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita mengenal,
memahami kata-kata dengan cepat dan tepat. Aspek lain yang sama
pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan
fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar.
Bacaan bersuara
ialah bacaan mekanis yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas
dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul
dengan menggerakan alat-alat pertuturan.
2.3.4.2 Bacaan Mentalis (Senyap)
Membaca
senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca
yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan
ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh
informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca
dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat
dilakukan di mana-mana sahaja.
Biasanya, membaca dalam hati atau
senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca insentif dan
membaca ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.
Oleh itu, bacaan senyap atau bacaan akaliah ialah bacaan yang disuarakan
dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan
suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara
kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti
nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam
bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai
kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.
2.3.4.3 Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan
intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan
secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci
sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif
ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah
isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca
idea adalah ditekankan.
Bacaan intensif adalah bacaan yang pada
asasnya bertujuan memperkembangankan kebolehan dalam meneliti, memahami
dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga
memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti
pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam
konteks dan situasi yang berlainan.
Bacaan intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai cara iaitu :
i. bacaan pantas
ii. bacaan imbasan (scanning).
Bacaan
pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar
kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau
bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik.
Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa
yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.
Membaca yang dilakukan
dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan
isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep
yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu
perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa.
Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca
dalam.
Ini
kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan
keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca
kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat
pengucapan manusia.
Bacaan imbasan yang juga dikenali sebagai
scanning pula adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas
lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Biasanya.sebelum
kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu
bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini
dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan
tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca.
Membaca
sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks,
melihat daftar kata yang terdapat dalam buku tersebut. Kadang kala
proses melihat-lihat, memeriksa dan meneliti judul-judul bab juga
dilakukan. Hal ini juga berlaku pada skema, rangka kasar buku, bahagian
bibliografi, kandungan prakata, pendahuluan, sinopsis, abstrak dan
sebagainya.
2.3.4.4 Bacaan Ekstensif
Membaca ekstensif
ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin
teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan
membaca ekstensif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan
cepat dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca
ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara yang berikut:
a. Membaca tinjauan (survey reading)
b. Membaca sekilas (skimming)
c. Membaca dangkal (superticial reading)
Membaca
tinjauan (survey reading) dilakukan sebelum kita memulakan sesuatu
bacaan. Biasanya, kita akan meneliti apa yang akan kita telaah itu
terlebih dahulu. Hal ini mungkin melibatkan kita memeriksa, meneliti
indeks dan daftar kata yang terdapat dalam buku-buku tersebut atau
mungkin kita akan melihat-lihat atau meneliti judul, bab, rangka besar,
kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan
menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat
dilakukan.
Membaca sekilas (skimming) adalah sejenis kegiatan
membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat melihat,
memperhatikan bahan-bahan bertulis untuk mencari dan mendapatkan
maklumat dan penerangan.
Skimming adalah satu bentuk kegiatan
membaca yang dilakukan secara sekilas pandang. Biasanya, melalui proses
skimming, mata bergerak dengan cepat, melihat memerhatikan bahan
bertulis untuk mendapatkan maklumat atau penerangan dengan serta-merta.
Satu
daripada tujuan membaca sekilas adalah untuk mendapatkan kesan umum
daripada sesebuah teks yang akan ditelaah. Pembaca mungkin akan
melakukannya dengan jalan meneliti halaman judul, kata pengantar, daftar
isi, gambar dan diagram, indeks dan sebagainya. Daripada tindakan
begini, pembaca akan mendapat satu pandangan atau gambaran yang lebih
baik dengan mempelajari sifat, hakikat dan jangkauan buku tersebut,
susunan dan organisasinya.
Satu lagi tujuan membaca sekilas
adalah untuk menemukan hal-hal tertentu. Lazim juga digunakan untuk
menemukan bahan-bahan daripada pusat sumber atau perpustakaan. Membaca
sekilas merupakan satu keterampilan yang sangat berfaedah sekiranya
tidak disalahgunakan. Sekiranya kita dapat menggunakan dengan bijaksana,
iaitu menggunakannya secara tepat dan cerdas, kita akan kagum betapa
banyaknya maklumat dan fakta yang boleh perolehi dalam satu jangka masa
yang singkat.
Membaca dangkal yang disebutkan juga sebagai
superficial reading adalah bertujuan untuk mendapatkan pemahaman yang
dangkal yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan
bacaan. Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan
aktiviti–aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif
biasanya menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah
kemahiran memaham dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan
membaca. Membina dan mengukuhkan minat membaca dan kebolehan memetik
isi-isi penting.
2.3.4.5 Bacaan Rekreasi
Membaca rekreasi
adalah satu lagi bentuk kegiatan membaca yang tidak melibatkan perahan
otak yang begitu serius. Bacaan jenis ini adalah untuk tujuan
bersenang-senang dan dilakukan dalam keadaan bersantai. Bahan-bahan
bacaannya adalah yang terdiri daripada bahan-bahan ringan yang dapat
merangsang kepuasan dan menghiburkan. Lazimnya bahan-bahan yang dibaca
ialah komik, cerita-cerita pendek, informasi tertentu, berita, bahan
sastera dan pelbagai bentuk pengetahuan yang menyenangkan.
2.3.4.6 Bacaan Kritis
Bacaan
kritis ialah kegiatan membaca yang dilakukan secara bijaksana, penuh
ketelitian, mendalam, evaluatif serta analitis. Bacaan tersebut tidak
hanya tertumpu kepada kesalahan-kesalahan atau kelemahan yang terdapat
dalam bahan-bahan yang dibaca. Membaca kritis biasanya berdasarkan
keupayaan memahami yang tinggi.
Proses bemula dengan penggalian
yang mendalam di bawah permukaan untuk menemukan bukan hanya keseluruhan
kebenaran tentang apa yang diperkatakan, tetapi juga menemukan
alasan-alasan mengapa penulis mengetengahkan perkara yang dibincangkan
itu.
Istilah membaca kritis ini biasanya disamaertikan dengan
apa yang disebut oleh Dawson (1963) sebagai interpretive reading atau
membaca intepretif atau creative reading, iaitu membaca kreatif oleh
Anderson (1972).
2.3.5 Tujuan Membaca
1. Tujuan membaca mekanis:-
a) Membolehkan murid-murid membaca dengan cepat dan pantas dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas.
b) Membolehkan murid-murid membaca dengan irama membaca yang betul.
c) Membolehkan murid-murid tahu menggunakan tanda-tanda baca serta tahu pula berhenti pada tempat berhenti yang betul.
d) Dapat menggunakan kemahiran membaca dalam mata-mata pelajaran yang lain.
e) Untuk membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan untuk membaca bersuara.
2. Tujuan membaca senyap:-
a) Melatih murid-murid supaya boleh membaca dengan sendiri.
b) Melatih murid-murid supaya boleh membaca dan memahami apa yang dibacanya.
c) Melatih murid-murid membaca senyap dengan pantas.
d) Dapat menggunakan kemahiran membaca senyap untuk mendapatkan pengetahuan.
e) Dapat menggunakan kemahiran membaca senyap untuk hiburan.
3. Tujuan Bacaan Intensif
b)
Membolehkan kanak-kanak membaca dengan baik, betul dari segi sebutan,
intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik.
c)
Mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang bertulis dalam bacaan itu
dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus.
d) Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sewajarnya.
e) Menilai atau mengulas isi-isi yang diperolehi daripada bahan-bahan yang dibaca.
f) Mengesan, memahami dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa.
g) Mengenal pasti laras bahasa yang berbagai-bagai.
h) Membuat rumusan atau kesimpulan daripada apa yang dibaca dan sebagainya.
4. Tujuan Bacaan Ekstensif :
a) Membolehkan pelajar-pelajar membaca dengan cara tersendiri tanpa bimbingan secara langsung daripada orang lain.
b) Membolehkan pelajar-pelajar membaca dengan fasih dalam bahasa yang mereka pelajari.
c) Memperkayakan bahasa dan perbendaharaan kata, struktur ayat dan lain-lain.
d) Menambah minat membaca
e) Mempertingkatkan mutu dan kepantasan membaca.
f) Memperkembangan daya kreatif dalam penggunaan bahasa, baik dalam bentuk prosa atau puisi.
2.3.6 Teknik Membaca SQ3R
SQ3R
ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson
(1961). Teknik tersebut merupakan satu kaedah membaca yang memerlukan
seseorang mempersoal kesesuaian maklumat yang terdapat dalam sesuatu
bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan. SQ3R adalah
singkatan bagi :
S (survey) - tinjau
Q (question) - soal/tanya
R (read) - baca
R (recite) - imbas kembali atau nyatakan secara lisan
R (review) - baca semula
Survey
(tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan
tentang apa yang terkandung di dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan
dengan meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau
ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan pengenalan, dan perenggan
terakhir di bahagian-bahagian buku atau teks. Di sini juga pelajar
sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan
scanning.
Question
(soal atau tanya) ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan
satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut
berkaitan dengan keperluan tugasannya. Soalan-soalan tersebut
menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh dari
bahan tersebut, dan ianya menjadi garis panduan semasa membaca kelak.
Pelajar akan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan tersebut.
Read
(baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks
tersebut secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada
soalan-soalan yang telah disenaraiakannya sebelum ini. Ketika membaca,
pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan,
berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginannya sepanjang melakukan
pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoal pendapat atau maklumat yang
terdapat yang ditemuinya.
Recite (imbas kembali) ialah peringkat
yang ketiga.Setelah selesai membaca, pelajar cuba mengingat kembali apa
yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan
maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasannya. Pelajar juga
boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa
merujuk kepada kepada nota atau bahan yang telah dibaca.
Review
(baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca
bahagian-bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan
jawapan-jawapan kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar
juga memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.
2.3.7 Peringkat Kemahiran Membaca
Ada lima peringkat mengajar bacaan yang harus diketahui oleh guru-guru:
Peringkat menyediakan murid.
Peringkat mendirikan asas.
Peringkat melatih membaca dan memaham.
Peringkat melatih membaca untuk menghiburkan hati dan juga untuk mencari pengetahuan.
Peringkat membina dan memperkukuh sikap gemar membaca.
Peringkat menyediakan murid.
Apabila
guru- guru menerima murid- murid baharu dalam setahun, biasanya guru
itu mengajar terus dengan rasminya akan pelajaran membaca dan menulis
kerana telah direncanakan di dalam jadual waktu.
Guru-guru tidak
menyiasat terlebih dahulu adakah murid- murid mereka berkeadaan “sedia’
untuk menerima pelajaran yang akan disampaikan. Keadaan akan menjadi
bertambah buruk lagi apabila latar belakang murid- murid itu kurang
kerana datangnya daripada rumahtangga yang miskin pengalamannya
berhubung dengan buku-buku, gambar-gambar dan huruf-huruf tulisan sangat
kurang.
Oleh sebab itu, kenalah guru-guru menyiasat terlebih
dahulu akan sifat kesediaan murid- murid mereka sebelum memulakan
pelajarannya. Pada peringkat menyediakan murid ini, guru terpaksalah
memberikan perhatian kepada dua perkara yang dikira penting:
Perasaan murid-murid
Bahasa murid-murid
a. Perasaan murid- murid
Murid-
murid yang baharu masuk sekolah akan mengalami perubahan alam keliling.
Mereka mulai beraa bimbang kerana berpisah daripada ibu bapa atau
penjaganya dan tinggal di tempat dan dikawasan yang berlainan daripada
rumah mereka. Ketika itu mereka bercampur gaul dengan kawan- kawan
sebaya yang kebanyakkannya yang mereka tidak kenali. Jadi guru mestilah
bertimbang rasa dan memahami kesulitan dan perasaan mereka. Dalam minggu
pertama itu guru- guru sepatutnya cuba sedaya upaya mencari langkah-
lagkah yang baik bagi menawan hati murid- urid hingga tertanam perasaan
kasih kepadanya, mearuh kepercayaan kepada kata- katanya dan tidak
menganggapnya sebagai orang asing.
b. Bahasa murid- murid
Kesukaran
setengah- setegah guru mengajar membaca adalah kerana mereka itu kurang
menyiasat tentang kebolehan dan keberanian murid-murid bertutur dan
berbahasa, menyatakan perasaan dan fikiran masing-masing dalam bahasa
kandungya.
Soal bahasa ini penting kerana bacaan adalah
menyuarakan lambang-lambang bahasa itu. Sekiranya bahasa murid-murid itu
belum lengkap, pertuturannya belum kemas, dan sebutan serta fahamannya
belum sempurna, akibatnya kelak menyusahkannya membaca dan menulis.
Oleh
itu guru sepatutnya terlebih dahulu menyiasat tentang bahasa
murid-murid itu khasnya tentang bahasa yang akan digunakan dalam
pelajaran bacaan. Sekiranya perbendaharaan kata yang dikehendaki itu
belum ada, patutlah diajarkan melalui pelajaran lisan, cerita dan
sebagainya.
2. Peringkat mendirikan asas bacaan
Asas
beerti satu permulaan atau tapak bagi satu-satu binaan. Dalam soal
mendirikan asas bacaan rumi bahasa Malaysia perkara-perkara seperti
pemilihan ayat, rangkai kata, perkataan, huruf-huruf dan suku kata
berkehendakkan kajian yang mendalam dan teliti daripada pihak guru
supaya pelajaran yang disampaikan itu tidak membosankan murid-murid.
Hal-hal di atas ini berhubung rapat dengan alatan mengajar dan buku-
buku bacaan yang sesuai. Selain daripada papan tulis dan kapur putih,
guru juga mestilah menyediakan kapur yang berwarna, papan magnet,
kad-kad imbasan yang telah tersedia bertulis, kad-kad perkataan suku
kata dan ayat serta gambar-gambar berwarna untuk menarik hati dan minat
mereka.
3. Peringkat melatih membaca dan memaham
Bahan
atau isi bacaan hendaklah sesuai dengan peringkat umur dan
kecenderungan kanak- kanak.guru janganlah hanya mementingkan sebutan
suara dan kelancaran sahaja tetapi mestilah juga sekaligus menyediakan
soalan- soalan yang mudah untuk kefahaman. Jadi kita tidak boleh
pisahkan pelajaran bacaan dengan pelajaran bahasa Malaysia pada
keseluruhannya. Dalam hal ini, bacaan senyap hendaklah juga digalakkan
supaya murid- murid dapat melatih diri sendiri untuk menangkap maksud
isi pelajaran yang dibaca.
Sebagaimana yang telah ditegaskan, tidaklah ada gunanya kanak- kanak membaca kalau mereka tidak faham apa yang dibaca.
4. Peringkat membaca untuk hiburan dan mencari pengetahuan
Kanak-
kanak yang mahir membaca akan terdorong hatinya untuk menggunakan
kemahiran memebacanya untuk menghiburkan hatinya. Oleh hal yang demikian
tersangatlah mustahak pada peringkat ini disediakan pelbagai buku
cerita untuk menyempurnakan kehendak ini. Buku-buku yang biasanya
digemari oleh kanak- kanak ialah buku- buku yang mengandungi cerita-
cerita dongeng, cerita-cerita bergambar, cerita- cerita binatang,
cerita- cerita jenaka dan sebagainya. Buku-buku cerita itu seharusnya
janganlah terlalu panjang atau susah hendak difahami. Kanak-kanak yang
kurang tertarik dengan buku-buku yang bahasanya yang terlalu tinggi dan
susah dibaca.
Untuk mendapat pengetahuan pula, sekolah harus
memperbanyakkan lagi buku- buku seperti itu dan pemilihannya harus
bersesuaian dengan minat dan umur murid. Amatlah mustahak perkara-
perkara ini dipertimbangkan kerana pemilihan yang tepat akan
menggalakkan minat murid untuk terus membaca.
5. Peringkat membina sikap gemar membaca
Sikap
suka belajar patut ada pada murid- murid yang baharu datang ke sekolah
tetapi hidup matinya sikap itu adalah bergantung kepada pengajaran guru.
Sikap ini bukanlah dipelihara semasa murid- murid baharu belajar
membaca tetapi sebenarnya berjalan sepanjang masa, sama dengan
peringkat- peringkat yang lain juga. Bahan- bahan pelajaran yang menarik
dan disusun dengan cermat, teknik mengajar yang baik, kaedaqh yang baik
adalah di antara rahsia bagi mendirikan sikap ini. Oleh itu
tersangatlah mustahak guru- guru berhati- hati memilih bahan –bahan
pelajarannya, buku- buku bacaannya , kaedah mengajarnya dan lain- lain
supaya terbina dan terpelihara sikap’ sentiasa gemar membaca’ itu.
2.3.8 Peringkat Pemahaman
Terdapat beberapa peringkat pemahaman dalam kemahiran membaca ini. Peringkat tersebut adalah seperti yang berikut :
1. Mengecam atau mengenal lambang atau perkataan yang dilihat.
2. mengaitkan lambang atau perkataan tersebut dengan bunyi atau makna.
3. Menterjemahkan makna perkataan itu dengan mengaitkan dengan maklumat yang sedia ada dalam pemikiran.
4. mengumpul dan mencantumkan idea, perkataan dan ayat sehingga menjadi sebuah idea yang lengkap.
5.
Menghuraikan dan mengelaskan idea yang dibaca dalam bentuk penceritaan
semula, menjawab soalan pemahaman dan penulisan biasa dan penulisan
kreatif.
2.3.9 Kecekapan Berbahasa dalam Kemahiran Membaca.
Kemahiran
membaca merujuk kepada keupayaan pelajar membaca dengan sebutan,
intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan
pada aspek pemahaman dan kemahiran menggunakan pelbagai teknik membaca
untuk tujuan menimba ilmu pengetahuan dan memperoleh maklumat daripada
pelbagai bahan bacaan. Kecekapan berbahasa bagi kemahiran membaca adalah
seperti berikut:
a. Membaca secara bersuara/kuat dengan penyebutan dan intonasi yang betul dan juga kelancaran yang sesuai.
b. Memetik isi-isi penting sama ada isi tersurat atau tersirat yang termuat dalam bahan bacaan dengan cepat dan tepat.
c.
Memperkaya dan memperluas perbendaharaan kata pelajar supaya
meninggikan daya mengerti dan juga menggunakan dengan betul
perkataan/frasa dalam konteks ayat.
d. Mentafsir suatu bahan yang
dibaca dengan tepat dan menyatakan tafsirannya dengan menggunakan
perkataan sendiri seberapa banyak yang mungkin dengan jelas.
e. Menghayati bahan sastera Melayu dalam bentuk prosa dan puisi.
2.3.10 Cara Meningkatkan Kemahiran Membaca.
Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh guru untuk meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan pelajar.
a. Membaca dengan nada yang kuat dan menegaskan penyebutan, intonasi yang betul, dan lancar.
b.
Membaca secara senyap dan pantas untuk memahami fakta, idea, isi
penting, nilai pengajaran, tema, dan rumusan yang terkandung dalam
pelbagai bahan bacaan.
c. Mencari erti atau maksud perkataan, frasa, simpulan bahasa, dan peribahasa yang wujud dalam sesuatu petikan.
d. Menjawab soalan sama ada dalam bentuk lisan atau bertulis untuk menguji
kebolehan mengerti dengan menggunakan perkataan sendiri.
e.
Memberi tugasan kepada pelajar untuk membaca petikan (sama ada daripada
akhbar, novel, cerpen, majalah, dan sebagainya) dan membuat ulasan
untuk menunjukkan pemahamannya ke atas petikan tersebut.
f. Membaca petikan kesusasteraan Melayu (prosa dan puisi) untuk memahami dan menghayati keindahannya.
2.3.11 Prinsip-prinsip Kemahiran Membaca.
Kegiatan membaca dan kefahaman haruslah dijalankan berasaskan prinsip berikut:
a.
Penyebutan dan intonasi haruslah diberi penegasan yang wajar dalam
latihan membaca dengan bersuara, dan melibatkan pelajar dalam
pengenalpastian dan pembetulan kesalahan.
b. Dalam latihan
perbendaharaan kata, petikan berkenaan hanya digunakan sebagai konteks
sahaja, dan contoh-contoh patutlah dilanjutkan ke luar petikan.
Penekanan yang wajar mestilah diberi kepada penggunaan perkataan/frasa
dalam ayat yang betul selain penentuan erti/maksudnya.
c. Bacaan
tambahan Bahasa Malaysia harus digalakkan dengan memperkenalkan sumber
lain seperti surat khabar, majalah, novel, cerpen, dan sebagainya kepada
pelajar. Guru juga boleh memperuntukkan satu masa khas untuk tujuan di
atas dalam setiap minggu. Pelajar didorong untuk mencatatkan
perkataan/frasa baru yang dipelajari dalam kamus sendiri.
d. Untuk
mengelakkan aktiviti bacaan dan kefahaman menjadi sesuatu yang
membosankan, isu-isu semasa dan topik-topik hangat juga harus dijadikan
bahan bacaan.
e. Latihan penggunaan kamus dengan cekap untuk mencari erti atau penggunaan perkataan tertentu harus dititik berat.
f.
Soalan kefahaman mestilah juga menguji kebolehan pelajar untuk merumus,
menganalisis dan menilai dan boleh mengaitkan sesuatu di luar petikan
misalnya memerlukan pelajar mengemukakan pandangan terhadap sesuatu.
2.4 Kemahiran Menulis.
2.4.1 Definisi Menulis
Secara
umumnya, menulis merupakan perlakuan menggunakan pen, pensel atau
sebarang alat tulis bagi menulis atau menaip sebarang idea mahupun
pernyataan. Namun begitu, definisi ini begitu umum dan bersifat
mekanikal.
Definisi menulis menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(muka surat 1729), ialah mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai
pena seperti kalam,kapur , pensel dan lain-lain. Di samping itu, menulis
juga bermaksud melahirkan perasaan (fikiran dan lain-lain) dengan
catatan yang memakai huruf, membuat surat atau mengarang.
Menurut
Paul Jennings pula dalam The Reading Bug, “Menulis adalah keperluan
peribadi bukan kerana tugas di dalamnya tetapi ada kesenangan dan ada
manfaat untuk kehidupan sehari-hari. Ada nilai yang tak ternilai dalam
kegiatan ini.”
Sebenarnya, menulis bermaksud kegiatan
simbol-simbol grafik yang disusun atur berdasarkan pertuturan yang
membentuk perkataan seterusnya disusun menjadi ayat-ayat. Tulisan pula
merupakan bahasa yang bertulis dengan lambang-lambang bunyi di samping
sebagai alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan.
2.4.2 Konsep Menulis.
Konsep
menulis secara khusus dikaitkan dengan proses penyaluran ilmu, idea
atau maklumat secara bersistem yang mengambil kira aspek tujuan menulis,
penggunaan bahasa, audiens dan gaya penulisan supaya dapat
menggambarkan keadaan, alam dan kehidupan secara lebih menyeluruh.
Oleh
yang demikian, kemahiran menulis bukan suatu yang bersifat tetap tetapi
mampu membantu ke arah pemahaman pemikiran terhadap proses penulisan
terutama dalam suasana pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah
contohnya keupayaan murid menulis perkataan dan ayat serta mengeluarkan
idea melalui pelbagai jenis penulisan.
Dalam proses pengajaran
dan pembelajaran, peranan tulisan sangat penting kerana tulisan
bertindak sebagai alat bagi menurunkan segala isi pelajaran dan
mempamerkan buah fikiran seseorang. Tulisan berhubung rapat dengan
membaca di mana kedua-duanya mementingkan teknik dan akal. Membaca tidak
mungkin ada kalau tidak ada tulisan begitu juga sebaliknya.
Di
sekolah-sekolah, pelajaran menulis dan membaca bukanlah sesuatu yang
terpisah sifatnya malah seharusnya dijalankan serentak atau dalam masa
selari. Walaupun pada dasarnya membaca seharusnya mendahului tulisan
tetapi kadangkala kanak- kanak telah pandai menulis ketika masuk
sekolah. Ini tidaklah merisaukan kerana sewaktu mereka menulis mereka
juga membaca.
2.4.3 Fungsi-fungsi Kemahiran Menulis.
Ann Raimes (1983 : 3) telah mengemukakan tiga fungsi kemahiran menulis melalui bukunya Techniques In Teaching Writing, iaitu :
1. Merangsang dan memahirkan tatabahasa, idea, perbendaharaan kata dan perasaan.
2. Memberi peluang kepada pelajar untuk menerokai bidang bahasa.
3.
Memperluaskan pengatahuan, melahirkan idea, dan mnggunakan seluruh
anggota mekanis (mata, tangan, akal dan lain-lain) untuk merangsang
pembelajaran.
2.4.4 Tujuan Menulis.
Walau bagaimanapun, fungsi
kemahiran menulis akan lebih jelas peranannya, apabila fungsi itu
dilihat melalui tujuan yang berikut :
2.4.4.1 Tujuan Serta-merta
a) Membina asas menulis yang kukuh untuk membolehkan kanak-kanak menulis dengan baik, cekap dan pantas.
b)
Membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan dengan pantas dan
menyusun ayat-ayat dengan betul dan boleh difahami oleh pembaca.
c)
Membolehkan kanak-kanak mengulangi pelajarannya dengan cara membaca
tulisan-tulisan yang tercatat atau membaca buku-buku luar untuk
menambahkan isi bacaannya.
d) Membolehkan kanak-kanak melahirkan fikiran dan perasaan dengan sempurna dalam bentuk tulisan.
e) Menyuburkan minat suka menulis atau mengarang dalam kalangan kanak-kanak.
f) Menambah dan meluaskan pengetahuan kanak-kanak dalam perbendaharaan kata, perkembangan bahasa dan tulisan.
g) Menyediakan kanak-kanak unuk menghadapi peperiksaan.
2.4.4.2 Tujuan Lanjut
h) Meluaskan pengetahuan pengalaman, perhubungan, dan matlamat menerusi penulisan.
i) Memberikan kepuasan jiwa dalam pemikiran, pengalaman, dan perasaan.
j)
Menyediakan mereka dengan pengetahuan supaya dapat memenuhi kehendak
dan hasrat masyarakat moden, khususnya bagi kepentingan sendiri dan
orang ramai umumnya.
Menurut Down Bryne (1979) pula, kemahiran menulis amat penting untuk dipelajari kerana beberapa tujuan iaitu :
i. Terdapat perbezaan kecenderungan individu atau pelajar yang menguasai kemahiran belajar.
ii. Bagi memenuhi keperluan psikologi pelajar.
iii. Dapat menyediakan pelbagai aktiviti dalam bilik darjah dan ia dapat mengelakkan rasa jemu dan bosan pelajar.
iv. Aktiviti secara formal dan tidak formal dapat dijalankan secara serentak dalam bilik darjah.
Namun, terdapat beberapa tujuan menulis secara yang diterangkan secara umum iaitu :
1. Memberi Respons.
Menulis
bertujuan untuk memberikan reaksi terhadap suatu perkara dengan
menggunakan bahasa sebagai perantara. Apabila menulis, penulis sering
berasakan dirinya dalam situasi terasing seperti perlakuan penulis
dengan helaian kertas yang digunakan semasa menulis. Keadaan tersebut
menggambarkan penulis melakukan tingkah laku sosial bagi memberikan
respons kepada orang lain atau memaparkan persekitaran dan pengalaman
yang dilaluinya.
Hal ini disebabkan oleh aktiviti menulis sering
dilaksanakan dalam situasi dan konteks yang spesifik contohnya penulis
menggambarkan keindahan alam atau perwatakan manusia.
Di samping
itu, penulisan adalah proses menyampaikan buah fikiran, idea, atau
pendapat dengan tepat dan berkesan kepada khalayak atau pembaca dengan
menggunakan bentu grafik. Bentuk grafik tersebut disusun sehingga
melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya .
2. Komunikasi.
Proses
komunikasi sememangnya memerlukan hubungan dua hala antara penulis
dengan pembaca. Dalam hal ini, penulis akan menulis berita, memo, iklan
atau kenyataan untuk dikongsikan bersama pembaca dengan berharap agar
pembaca dapat memahami mesej yang disampaikan. Mesej tersebut dapat
menimbulkan pelbagai reaksi.
Komunikasi sehala yang wujud dapat
membantu melahirkan idea konstruktif dalam kalangan penulis. Keadaan ini
akan menimbulkan suasana perlunya saling memahami antara kedua belah
pihak iaitu penulis dan pembaca, selepas masing-masing mentafsirkan
tulisan yang ditulis dan dibaca dengan rasional.
3. Ekspresi Kendiri.
Penulisan
berbentuk naratif mahupun bukan naratif sebenarnya memberi peluang
kepada penulis menyatakan idea, harapan, falsafah hidup atau gambaran
imaginasi dalaman yang dapat memberikannya kepuasan serta menimbulkan
pelbagai bentuk reaksi daripada pembaca.
Dari segi pernyataan
personaliti, penulisan yang dihasilkan oleh pelajar sering dapat
ditafsirkan oleh guru bagi menggambarkan personalti pelajarnya.
4. Sifat Sejagat.
Dalam
penulisan, sifat umum dapat dilihat melalui prosedur penulisan tersebut
manakala kesejagatan pula daripada segi bahan yang ditulis. Sifat umum
dalam penulisan juga digambarkan dari segi kepentingan menggunakan
bahasa yang baik untuk memudahkan pembaca memahami mesej yang
disampaikan.
Dalam penulisan berita umpamanya, mempunyai mesej
yang sama yang dapat ditulis dalam gaya yang berlainan. Penulisan
berbentuk fiksyen juga begitu, pengolahan cerita biasanya mempunyai
sifat yang sejagat sama ada penghuraian plot, perkembangan watak mahupun
peleraian konflik.
5. Mengikut Peraturan.
Peraturan yang
telah ditetapkan dalam proses menulis adalah bertujuan untuk mengawal
penulis supaya dapat menyampaikan mesej dengan lebih tepat dan memberi
makna kepada pembaca.
Selain itu, peraturan juga dapat menjamin
penulisan tidak bersifat bebas sehingga boleh mengakibatkan salah faham
terhadap maklumat yang disalurkan melalui tulisan. Keberkesanan
peraturan tersebut jelas terdapat dalam penulisan berformat serta
penulisan kreatif. Peraturan dan prosedur penulisan adalah penting
supaya hasil tulisan itu dapat dipertanggungjawabkan.
6. Proses Pembelajaran.
Dalam
konteks pendidikan, kemahiran menulis juga amat penting bagi pelajar
untuk dikuasai menerusi pembelajaran secara formal. Kemahiran tersebut
memerlukan penulisnya menguasai kaedah yang begitu berkesan supaya
penyampaian maklumat dapat disampaikan tanpa sebarang halangan
komunikasi.
Oleh yang demikian, proses memberikan kefahaman kepada
pembaca menjadi lebih baik apabila penulis menunjukkan penguasaan yang
mendalam dalam bidang penulisan secara lebih sistematik.
2.4.5 Jenis-jenis Kemahiran Menulis.
Terdapat
dua jenis kemahiran yang perlu dikuasai dalam menyampaikan pengajaran
kemahiran menulis iaitu kemahiran menulis secara mekanis dan kemahiran
menulis untuk pelahiran (mental).
2.4.5.1 Kemahiran Menulis Secara Mekanis
Kemahiran
menulis secara mekanis merupakan kemahiran menulis secara peringkat
awal yang perlu dikuasai agar para pelajar dapat menghasilkan tulisan
yang kemas dan mudah dibaca.
Aktiviti-aktiviti tulisan seperti
membuat corak, menekap dan membentuk huruf adalah penting untuk memberi
latihan dan pengalaman asas agar pelajar-pelajar dapat menguasai
kemahiran selanjutnya seperti menulis suku kata, rangkai kata dan
sebagainya.
Kebolehan menulis dalam kalangan kanak-kanak timbul
daripada keinginan mereka untuk menyatakan sesuatu melalui perantaraan
tulisan. Sebelum mereka dapat berbuat demikian dengan cara yang dapat
difahami oleh orang lain, mereka perlu menguasai mekanik tulisan itu
dahulu. Keinginan tersebut haruslah digunakan sebagai pemangkin semangat
untuk belajar menulis.
Kematangan urat saraf dan urat daging
adalah diperlukan bagi mengawal jari dan tangan, seterusnya kematangan
tersebut perlu untuk penyelarasan antara mata dan tangan. Contengan
merupakan asas bagi kebolehan menulis kerana semasa kanak-kanak
mempelajari fungsi lambang huruf (tulisan) sebagai mewakili bunyi suara
(bahasa), mereka dapat membezakan bentuk-bentuk huruf yang digunakan
dalam bacaan. Kemudian, daripada latihan contengan tersebut mereka dapat
meniru huruf yang dilihat dalam bacaan mereka.
Aktiviti-aktiviti mekanikal yang perlu ditekankan supaya lebih mahir dalam kemahiran menulis adalah seperti :
a) Latihan pergerakan tangan, otot, jari dan membentuk garisan-garisan, bulatan, segi-segi dan sebagainya.
b) Tunjukkan cara pergerakan tangan, tulis di awangan, pasir, papan tulis dan sebagainya.
c) Bermain dengan benda-benda seperti plastisin dan susun blok mainan serta melatih menulis unsur-unsur huruf dan perkataan.
d) Melatih atau tunjukkan cara membentuk huruf, menulis perkataan dan ayat.
e) Mengawasi tulisan murid tentang bentuk, saiz, jarak, kekemasan dan lain-lain.
f) Melatih menulis cepat, jelas dan senang dibaca.
g) Melatih menulis cantik dan kemas.
2.4.5.2 Kemahiran Menulis Secara Mentalis (Pelahiran).
Kemahiran
menulis untuk pelahiran selalunya dikuasai oleh murid-murid setelah
mereka mendapat kemahiran mekanis. Kemahiran ini banyak melibatkan
mental. Aktiviti-aktiviti yang patut dijalankan untuk mendapatkan
kemahiran menulis untuk pelahiran adalah seperti berikut :
a) Latihan pernyataan fikiran atau pendapat.
b) Latihan pernyataan perasaan.
c) Latihan pernyataan kehendak.
d) Latihan mengeluarkan pendapat-pendapat yang tulen dan asli lahir dari pemikiran sendiri.
2.4.6 Peringkat-peringkat Kemahiran Menulis.
Kemahiran
menulis sememangnya perlu diajar kepada kanak-kanak mengikut
peringkat-peringkat tertentu supaya proses pengajaran dan pembelajaran
menjadi lebih efektif iaitu :
2.4.6.1 Peringkat Pramenulis (Persediaan)
Peringkat
pramenulis ialah tempoh masa murid-murid disediakan dengan
aktiviti-aktiviti menulis sebelum mereka dapat menulis huruf-huruf
dengan kemas dan betul. Ketika tempoh ini, latihan otot-otot, tangan,
dan jari serta koordinasi tangan dan mata diber pendedahan kepada
murid-murid sejak dari awal lagi.
Berdasarkan kajian Wilma dan Davidebbitt (1978), konsep peringkat pramenulis adalah berdasarkan aspek berikut :
i. Melampiaskan otak isi atau idea sesuatu tajuk.
ii. Perbincangan.
iii. Membuat pembacaan dan rujukan.
iv. Membuat rangka dasar.
v. Mencari pendekatan yang sesuai.
Bagi
membolehkan murid-murid menguasai kemahiran membentuk lambang-lambang
yang kemas dan jelas, pelajaran tulisan yang dirancangkan mestilah
sistematik, bertitik-tolak daripada aktiviti-aktiviti pramenulis yang
berbentuk bebas.
Latihan-latihan pramenulis menitikberatkan perkara-perkara berikut :
a) Melakukan latihan-latihan pergerakan tangan.
b) Menguasai gerak tangan yang bebas supaya boleh menulis dengan selesa dan sempurna.
c) Melakukan latihan-latihan pergerakan mata.
d) Melakukan latihan-latihan koordinasi tangan dan mata.
Aktiviti-aktiviti Latihan Pramenulis :
a. Latihan mengikut garisan-garisan rajah atau gambar dari kiri ke kanan. Ini adalah latihan menulis dari kiri ke kanan.
---------- ---------- ---------- ---------- ---------- ---------- ----------
b. Latihan mewarnakan dari kiri ke kanan atau dari kanan ke kiri.
c.Latihan
membentuk bulatan di udara, meja, lantai, atas pasir dan rumput tanpa
menggunakan alat tulis. (bulatan besar – bulatan kecil).
d.
Latihan-latihan gerak jari dengan mempermain-mainkan jari,
menekan-nekankan jari, menggoyangkan tangan, meramas-ramas jari dan
sebagainya.
e. Latihan-latihan membentuk garisan lurus.
f. Latihan membentuk corak-corak campuran bulatan dan garisan lurus. Dilakukan secara bebas
g. Latihan melukis gambar-gambar yang mengandungi garisan-garisan lurus dan bulat.
2.4.6.2 Peringkat Asas Menulis (Mekanis).
Selepas
murid-murid menjalankan latihan pramenulis, faham dan tahu memegang
pensel serta boleh duduk dengan cara yang betul, seterusnya mereka boleh
dilatih membentuk lambang-lambang tulisan.
Peringkat ini
dijalankan secara serentak dengan pengajaran bacaan murid-murid. Mereka
diperkenalkan dengan lambang-lambang huruf yang bersesuaian dengan
gambar dan seterusnya menulis ayat pendek. Semasa menulis, pelajar
digalakkan menyebut huruf dan membaca perkataan tersebut.
Pada
peringkat awal, dicadangkan agar murid-murid membentuk huruf di atas
kertas kosong yang tidak mempunyai sebarang garisan. Setelah didapati
memuaskan, barulah mereka dilatih membentuk huruf pada halaman yang
bergaris. Apabila murid mula membentuk huruf-huruf pada kertas bergaris,
kawalan tulisan perlu dilakukan yang harus bermula daripada garisan
yang lebar hingga kepada lembaran satu garis.
Berikut adalah latihan menulis terkawal dari mula hingga ke lembaran satu garis itu :
i. Latihan membentuk bulatan dan garis lurus dalam keadaan yang terkawal.
ii. Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris dua.
________________________________________________
________________________________________________
________________________________________________
________________________________________________
iii. Latihan menulis huruf di atas kertas bergaris satu.
_________________________________________________
_________________________________________________
iv.
Latihan membentuk lambang tulisan dengan cara yang betul untuk
mendapatkan keseragaman cara menulis bagi menghasilkan tulisan yang
seragam dan mudah dibaca.
______________________________________________________
______________________________________________________
______________________________________________________
Semasa
menyampaikan kemahiran-kemahiran yang telah dinyatakan di atas, guru
haruslah memberi perhatian terhadap beberapa perkara iaitu :
i. Kanak-kanak harus diperkenalkan kepada lambang-lambang huruf-huruf dengan menggunakan gambar.
ii. Sebelum dilatih menulis, baik juga diberi latihan bebas untuk membetulkan urat-urat daging kanak-kanak.
iii. Kanak-kanak menulis dengan mengeja dan menyebut nama-nama huruf.
iv. Menggunakan kertas, mula-mula tidak bergaris kemudian barulah menggunakan buku yang bergaris.
v.
Setelah kanak-kanak dapat menggunakan alat-alat dengan baik, seterusnya
mereka boleh dilatih menggunakan buku dan alat-alat lain yang sesuai.
Aktiviti-aktiviti yang perlu ditekankan dalam melatih murid-murid semasa peringkat asas menulis adalah seperti :
a. Menekap huruf mengikut urutan yang ditetapkan.
b. Menulis huruf mengikut urutan yang ditetapkan.
c. Memadan dan menyalin dua suku kata supaya menjadi perkataan yang bermakna.
d. Menulis huruf yang tertinggal dalam ruang atau petak yang dikosongkan.
e. Menyalin ayat-ayat mudah dan sebagainya.
2.4.6.3 Peringkat Menulis untuk Pelahiran.
Setelah
peringkat asas menulis telah dikuasai oleh murid-murid, mereka
seharusnya digalakkan melahirkan fikiran mereka secara bertulis.
Kaedah-kaedah yang dicadangkan adalah bermula daripada yang terkawal
iaitu berpandukan gambar-gambar dan perkataan, megisi tempat kosong,
melengkapkan ayat-ayat dan perenggan sehingga murid-murid itu boleh
menghasilkan tulisan tanpa panduan.
Contoh-contoh aktiviti yang sesuai dijalankan adalah seperti berikut :
i. Mengisi silang kata.
ii. Mengisi tempat kosong dalam ayat.
iii. Melengkapkan ayat dengan menambahkan rangkai kata yang sesuai.
iv. Menuliskan ayat yang lengkap dengan perkataan yang diberi.
v. Memanjangkan ayat dengan menambahkan rangkai kata yang sesuai.
vi. Membentuk ayat-ayat bagi menyudahkan cerita.
vii. Menulis ayat-ayat berdasarkan gambar yang disediakan.
viii. Menulis jawapan-jawapan kefahaman.
ix. Menulis rencana daripada bahan yang diperlihatkan.
x.
Menulis karangan daripada tajuk yang disediakan dan sebagainya. (rujuk
sukatan pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah di bahagian lampiran).
2.4.7 Kesalahan Biasa Dalam Penulisan.
Pada
peringkat awal murid-murid mempelajari kemahiran menulis, biasanya
tidak sempurna dan sering berlaku kesilapan. Namun begitu,
kesilapan-kesilapan tersebut boleh diperbaiki dari semasa ke semasa
dengan memperbanyakkan latihan menulis serta memberi galakan.
Kesalahan-kesalahan
biasa dalam penulisan yang sering kali terjadi adalah dari segi bentuk
huruf yang buruk, tidak sama besar atau kecil. Selain itu, jarak huruf
atau perkataan yang tidak seimbang, begitu juga dengan kedudukan yang
tegak dan condong. Di samping itu, rupa tulisan juga kadang kala kotor
disebabkan oleh kerap membetulkan kesilapan menggunakan getah pemadam.
Namun
begitu, seperti yang telah dinyatakan di atas, masalah ini mampu
diatasi dengan beberapa cara yang memerlukan bimbingan daripada guru
iaitu :
i. Beri latihan secukupnya pada peringkat permulaan dan peringkat mendirikan asas.
ii. Berilah penerangan dan contoh-contoh yang betul dan sesuai supaya dapat diikuti oleh kanak-kanak dengan mudah.
iii.
Apa yang ditulis oleh guru sama ada sebagai contoh untuk disalin oleh
murid atau sebagainya hendaklah dibuat dengan baik dan betul.
iv. Sediakan kad-kad tulisan untuk melatih kanak-kanak menulis dengan sempurna.
v. Jangan galakkan mereka menggunakan getah pemadam terlalu kerap kerana boleh mengotorkan tulisan.
vi. Banyakkan latihan dan berikan bantuan perseorangan.
vii. Dari segi kedudukan menulis dan cara menulis :
a) Tunjukkan gaya duduk, cara memegang alat tulis, letak buku dan lain-lain dengan betul.
b) Kedudukan bangku, meja, kerusi dan sebagainya biarlah memberi keselesaan.
c) Pada masa menulis, biarlah kedua-dua tangan terletak di atas meja dan tangan kiri menyokong badan.
d) Jarak mata dengan buku adalah lebih kurang antara 8 hingga 10 inci.
e) Jangan memegang pen atau pensel terlalu kuat.
f) Pen atau pensel mestilah dipegang dengan jari telunjuk, ibu jari dan jari hantu.
g) Jangan duduk membongkok ketika menulis.
2.4.8 Jenis-jenis Penulisan.
2.4.8.1 Terkawal dan Separa Terkawal.
Penulisan
peringkat terkawal merupakan penulisan peringkat asas atau pertama yang
harus dilalui oleh murid-murid dalam gerak kerja penulisan. Penulisan
terkawal ialah segala isi dan bahasanya sedia terkawal oleh guru.
(Salleh Akib, (1975:135).
Susunan penulisan ini dkawal ketat dan
sedikit-sedikit dipimpin ke arah penulisan bebas. Tujuan penulisan
terkawal ini adalah untuk mengurangkan kesilapan berlaku dalam kalangan
murid-murid. Kelancaran dalam penggunaan bahasa dan membolehkan
murid-murid mengeluarkan fikiran mereka tanpa diganggu oleh soal bahasa.
Pada
peringkat ini latihan penulisan yang diberi, dikawal sepenuhnya agar
murid-murid tidak melakukan kesilapan. Pengawalan dilakukan terhadap
murid-murid yang seratus-peratus baru sahaja mula belajar mengarang atau
didapati lemah dalam mengarang. Selalunya, mereka menyalin apa sahaja
yang ditulis oleh guru di papan hitam. Latihan-latihan haruslah terdiri
daripada perenggan yang pendek-pendek yang bertujuan sebagai lathan
mekanikal semata-mata.
Walau
bagaimanapun, guru masih boleh memasukkan variasi dan perhidangan dalam
latihan yang diberi pada peringkat tersebut iaitu peringkat menyalin
dan menghasilkan semula. Meraka misalnya, boleh diberi latihan menyalin
ayat-ayat daripada rajah tukar ganti yang mudah. Walaupun latihan
tersebut adalah menyalin, mereka diarahkan memilih satu item yang mereka
suka daripada rajah tukar ganti tersebut. Pada peringkat ini, item yang
mereka pilih itu adalah yang berhubung dengan leksikal, sedangkan
struktur ayat adalah tepat dan sama.
Peringkat penulisan terkawal adalah amat penting yang bertujuan untuk :
i. Cara ini dapat mengurangkan kesilapan yang dibuat oleh kanak-kanak.
ii.
Menjadi asas kepada penulisan bebas. Murid-murid dipimpin dan dilatih
sedikit demi sedikit kea rah penulisan bebas yang menitikberatkan
soal-soal isi dan bahasa.
iii. Supaya murid-murid dapat menggunakan
bahasa dengan lancar dan mengeluarkan isi pemikirannya dengan tidak
diganggu oleh kesulitan-kesulitan berbahasa.
Pelbagai bentuk latihan yang boleh dilaksanakan kepada murid-murid berhubung dengan penulisan terkawal iaitu :
i. Menjawab soalan-soalan yang telah disediakan terlebih dahulu yang berkaitan dengan sesuatu tajuk.
ii. Menulis semula cerita yang dibaca, didengar atau diperdengarkan.
iii. Menulis surat. Isi surat tersebut ditetapkan oleh guru supaya menyenangkan murid-murid menulisnya.
iv. Mengisi tempat-tempat kosong dalam sebuah cerita atau karangan yang telah disediakan.
v. Menulis isi perbualan atau perbincangan yang berhubung dengan sesuatu tajuk, kejadian, peristiwa atau sebagainya.
vi. Menulis ayat atau cerita daripada gambar-gambar yang disediakan.
vii. Membuat ayat-ayat secara lisan atau tulisan daripada perkataan-perkataan yang diberi.
Seterusnya,
pada peringkat separa terkawal pula murid-murid masih diberikan kawalan
walaupun tidak sepenuhnya. Mereka diberi peluang untuk menggunakan
sedikit daya pemikiran untuk memilih perkataan dan disesuaikan dengan
pengajaran guru. Contohnya, guru akan membacakan sebuah karangan pendek
yang sedia ditulis di papan hitam dan kemudian murid-murid diminta
menggantikan beberapa perkataan yang telah dipadam dengan
perkataan-perkataaan lain yang disediakan. Latihan tersebut mungkin
menimbulkan sedikit kesukaran dan murid-murid boleh melakukan kesalahan.
2.4.8.2 Berpandu.
Jenis
penulisan berpandu pula ialah jenis penulisan yang diberi kawalan atau
panduan ketika hendak membuat karangan. Pada peringkat ini, kemungkinan
murid-murid akan melakukan kesalahan-kesalahan yang lebih besar tetapi
ada kekecualian bagi mereka yang telah menerima latihan-latihan yang
banyak dan dapat memahami sepenuhnya cara tersebut pada peringkat
karangan terkawal dan separa terkawal.
Sebagai contoh, guru
membaca sebuah karangan yang sudah disediakan. Kemudian murid-murid
diminta menuliskan semula perenggan-perenggan tersebut berdasarkan garis
panduan atau arahan yang diberi oleh guru. Pada peringkat ini guru
masih memberi bimbingan kepada murid-murid.
2.4.8.3 Separa Berpandu.
Penulisan
separa berpandu pula merupakan jenis penulisan yang tidak dikawal
sepenuhnya. Walau pun diberi garis panduan tertentu, namun murid-murid
diberi sedikit kebebasan untuk membuat karangan. Oleh yang demikian,
kemungkinan peratusan kecil sahaja yang akan berlaku. Melalui cara ini
mereka dapat meluahkan isi fikiran biarpun terdapat sedikit kawalan,
namun sekurang-kurangnya kawalan tersebut dapat memberi cetusan idea.
2.4.8.4 Bebas.
Penulisan
bebas adalah penulisan yang hanya dapat dijalankan setelah murid-murid
sudah mula boleh menguasai bahasa yang diajar itu dengan baik. Pada
peringkat ini, mereka diberi tajuk-tajuk umum dan diminta untuk terus
menumpukan perhatian kepada apa yang hendak ditulis dan bukan lagi
bagaimana hendak menulisnya.
Oleh sebab murid-murid ini telah
mempunyai kemahiran tatabahasa dan kemahiran mekanikal yang mencukupi,
guru hanya perlu menumpukan kepada isi dan kesilapan-kesilapan yang
dilakukan. Perkara penting yang diingatkan di sini adalah mengajar
penulisan yang berbentuk bebas seharusnya dilewatkan oleh guru supaya
murid-murid terlebih dahulu dapat menguasai perkara-perkara asas seperti
penguasaan perbendaharaan kata (pemilihan perkataan) dan sruktur ayat
bahasa tersebut.
Pada peringkat yang lebih tinggi seperti
peringkat sekolah menengah, jenis penulisan sebegini diperluaskan lagi
kepada beberapa bentuk yang dibahagikan kepada lima bahagian iaitu
penulisan berbentuk naratif, deskriptif, imaginatif, kreatif dan
argumentatif.
Penulisan bentuk naratif meliputi jenis-jenis cerita,
berita, laporan, rencana dan ulasan. Penulisan jenis deskriptif pula
merangkumi gambar suasana, peristiwa, benda dan perwatakan. Penulisan
jenis imaginatif berkait rapat dengan pengalaman sementara yang
berbentuk argumentatif pula terlibat dengan perbincangan, kritik dan
perbahasan. Penulisan berbentuk kreatif meliputi puisi, cerpen, drama
dan sebagainya yang merupakan ekspresi dan perasaan serta pengalaman
seseorang melalui tulisan atau perkataan.
2.4.9 Kecekapan Berbahasa bagi Kemahiran Menulis
Dalam
kemahiran menulis, pelajar harus berupaya menghasilkan pelbagai
penulisan dengan tepat dan jelas tentang perasaan, pengalaman diri, dan
ilmu pengetahuan yang ingin disampaikan. penekanan harus diberi pada
penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca, dan ejaan yang betul. Pelajar
juga digalakkan menghasilkan karya yang kreatif berdasarkan pemikiran
yang kritis dan analitis. Kecekapan berbahasa bagi kemahiran menulis
adalah seperti berikut:
a. Pelajar dapat melahirkan secara bertulis
fikirannya, perasaan dan pengalaman dengan jelas, tersusun, logik, dan
menggunakan tatabahasa yang betul.
b. Mengembangkan daya cipta untuk
menulis sesuatu yang kreatif atau kritis seperti cerpen, cerita
imaginasi, pandangan, perbincangan, perbahasan, dan syarahan.
c. Menterjemahkan bahan prosa bahasa tertentu ke dalam bahasa Malaysia Baku dengan memelihara makna asalnya.
d. Menghasilkan rumusan daripada pelbagai bahan prosa.
e. Membolehkan pelajar berkomunikasi secara bertulis dalam urusan rasmi atau rakan sebaya untuk memenuhi pelbagai keperluan.
2.4.10 Prinsip-prinsip Kemahiran Menulis.
Kemahiran
menulis seharusnya diajar dengan prinsip yang betul dan sesuai agar
pengajaran untuk menguasai kemahiran tersebut lebih efektif.
Prinsip-prinsip kemahiran menulis yang boleh dijadikan garis panduan
melakukan latihan menulis adalah seperi berikut :
i. Latihan imlak
mestilah diberi penegasan wajar kerana ia memberi latihan bertulis yang
berguna kepada pelajar dengan memerlukan mereka menyalin dengan tepat
sesuatu yang telah dibaca oleh guru.
ii. Latihan yang mencukupi perlu
dijalankan untuk membolehkan pelajar membuat ayat-ayat yang betul untuk
melahirkan fikiran dan perasaan tertentu.
iii. Pelajar mesti diberi latihan yang memadai untuk menulis perenggan yang terdiri daripada urutan ayat yang teratur dan logik.
iv.
Penulisan karangan pada peringkat awal (menengah rendah) mestilah
bersifat terpimpin atau terkawal dalam erti kata guru memberi bantuan
dari segi perbendaharaan kata dan/atau kandungan.
v. Guru mestilah
menitikberatkan kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar termasuk
kesalahan ejaan, tanda bacaan dan imbuhan.
vi. Untuk membolehkan
pelajar mengenal hasil penulisan yang bermutu tinggi, guru patutlah
mendedahkan mereka kepada karya penulisan yang baik daripada pelbagai
sumber termasuk bahan yang ditulis oleh rakan sebaya.
2.4.12 Cara untuk Meningkatkan Kemahiran Menulis
Peranan
guru amat penting dalam membimbing murid-murid untuk menguasai
kemahiran menulis. Kegiatan pembelajaran yang sesuai dijalankan oleh
guru untuk meningkatkan kemahiran menulis dalam kalangan pelajar :
b. Latihan imlak (dictation) di mana pelajar dikehendaki menyalin dengan betul ayat atau perenggan yang dipilih.
c. Latihan menyempurnakan ayat atau urutan ayat dengan perkataan/frasa yang paling sesuai dan tepat.
d. Latihan menyusun semula bahagian-bahagian ayat supaya menjadi ayat yang betul tatabahasanya.
e. Latihan mengatur semula sebilangan ayat supaya menjadi satu perengan yang tersusun dan logik.
f. Penulisan karangan bergambar sama ada berdasarkan sebuah gambar atau satu gambar bersiri.
g. Penulisan surat biasa kepada ahli keluarga dan sahabat.
h. Penulisan surat biasa kepada guru, jabatan kerajaan, dan syarikat untuk pelbagai tujuan.
i. Penulisan notis, ucapan, mesej, kad jemputan, dan sebagainya.
j.
Latihan mengenal pasti dan membetulkan kesalahan (termasuk
perbendaharaan kata, ejaan, tanda bacaan, imbuhan) dalam sebuah
karangan.
k. Menulis rangka karangan yang tajuknya telah diberi.
l. Menulis karangan berformat (laporan, perbahasan, syarahan, ceramah, dan sebagainya) berdasarkan tugas yang diberi.
m. Menilai suatu karangan dari segi kekuatan dan kelemahannya.
n.
Mengenal teknik-teknik untuk menghasilkan sebuah karangan yang baik
termasuk teknik membuat pendahuluan, huraian dan kesimpulan.
o. Membuat rumusan daripada pelbagai bahan prosa.
p. Menterjemahkan petikan daripada bahasa tertentu ke bahasa Malaysia tanpa menjejaskan makna asalnya.