BY.... http://yushazwani.blogspot.com
Pengenalan
Masalah bahasa dan komunikasi
seringkali terjadi pada kanak-kanak yang berkategori kanak-kanak khas.
Antara contoh kanak-kanak yang akan mengalami masalah bahasa dan
komunikasi ini adalah seperti kanak-kanak sindrom sown, cerebral palsi,
autisme dan lain –lain lagi. Masalah bahasa adalah ketidakupayaan
seorang kanak-kanak seorang kanak-kanak menguasai kemahiran berbahasa
yang terdiri daripada lima komponen iaitu fonologi, morfologi ,
sintaksis , semantik dan pragmatik. Manakala masalah komunikasi pula
terjadi apabila terdapat satu penyimpanan daripada pendengaran
pertuturan atau bahasa yang normal mengganggu komunikasi. Contohnya
adalah seperti kesengauan dan juga gagap di kalangan kanak-kanak.
Bagi artikel kali ini saya akan
mengutarakan beberapa masalah bahasa dan komunikasi yang dihadapi oleh
kanak-kanak autisme. Sebelum kita mengetahui masalah bahasa dan
komunikasi kanak-kanak autisme ini eloklah dulu jika kita mengetahui
apakah yang dimaksudkan dengan kanak-kanak autisme ini.
Menurut istilah.Autisme berasal dari perkataan autos iaitu diri sendiri dan isme yang bermaksud aliran.
Jadi dalam erti kata lain kanak-kanak autisme diertikan sebagai
kanak-kanak yang berada dalam dunianya sendiri. Oleh sebab itu, jika
kita lihat kanak-kanak ini sukar didekati dan berkomunikasi secara
verbal. Hal ini kerana, seperti yang sedia maklum, kanak-kanak autism
adalah merupakan seorang kanak-kanak yang sukar untuk didekati kerana
sikapnya yang suka untuk bersendirian. Autism merupakan salah satu
daripada kecacatan yang kadangkala dipanggil “ pervasive developmental
disorders” ataupun autisme spectrum. Walaupun symptom autism berbeza,
namun terdapat beberapa perwatakan yang biasa. Ini termasuklah,
kelemahan interaksi sosial yang seperti saya telah katakan tadi.
Perbezaan dalam hubungan sosial kemungkinan ciri yang paling menonjol
dalam spectrum disorders. Kanak-kanak ini kebiasaannya sukar memberi respons kepada ibubapa ataupun penjaga yang lain.
Anggaran menunjukkan bahawa
sesetengah daripada mereka tidak faham apa yang dipertuturkan.(Rutter
and Shoppler, 1987) . Kesukaran komunikasi dan berbahasa adalah bukti
bagi kebanyakan kanak-kanak yang mengalami autism dan ini berlanjutan
sehingga dewasa. Selain itu juga, kanak-kanak autism sering berkelakuan
aneh dan berbeza berbanding budak normal yang lain. Kanak-kanak ini
sering dianggap berkelakuan pelik seperti suka memukul kepala mereka,
menepuk tangan dan membuat apa saja yang mereka suka. Mereka juga akan
merasa sedih jika terdapat sesuatu yang berlainan daripada
asal.(Puttar& Schopler, 1987).
Antara sebab-sebab yang
menyebabkan autism ini ialah disebabkan faktor genetik. Selain itu ada
juga mencadangkan kecacatan dalam sistem otak mungkin menyebabkan
kesukaran dalam memproses maklumat dan kelakuan streotaip pada
kanak-kanak autism.(Tanguny&Edwards,1992). Folstein &Rutter
(1988) pula mengatakan punca autism adalah organic daripada psikososial.
Mungkin ini sahaja yang dikatakan mengenai autism, namun punca sebenar
untuk autism masih belum diketahui. Seterusnya, saya akan mula
membincangkan mengenai kajian kes mengenai kanak-kanak autism yang telah
saya kaji semasa mengikuti program PBS yang lalu. Berikut adalah
merupakan hasil dapatan yang saya perolehi. (rujuk kajian kes di bawah)
LAPORAN PEMERHATIAN
Kategori dan ciri-ciri.
Aiman ( bukan nama sebenar)
adalah merupakan kanak-kanak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak
autisme. Dari aspek fizikal, kanak-kanak ini mempunyai ciri-ciri fizikal
yang kemas dan menarik. Kanak-kanak ini juga mempamerkan ciri-ciri
kebersihan yang sesuai dengan tahap umurnya. Tidak seperti kanak-kanak
normal yang lain, Aiman didapati lebih suka untuk bersendirian dan tidak
gemar untuk bersosial dengan rakan-rakan sekelasnya. Hal ini jelas
menunjukkan Aiman lebih suka untuk melakukan sesuatu aktiviti secara
sendirian.
Selain itu, Aiman juga
seringkali melakukan aktiviti yang disukainya iaitu memperbetulkan
stokin. Boleh dikatakan setiap 5 minit Aiman akan sentiasa
memperbetulkan stokin dengan menarik ke atas. Selepas itu, Aiman akan
mula termenung dan mengomel secara bersendiriannya. Dari segi aktiviti
bermain, didapati Aiman tidak berapa memberi tumpuan terhadap aktiviti
bermain yang dilakukan. Ini mungkin disebabkan aktiviti bermain seperti
bermain bola tidak menjadi aktiviti yang digemari oleh beliau. Dari
pengamatan saya, Aiman hanya menggemari permainan puzzle, jadi tidak
hairan sekiranya Aiman boleh bermain puzzle dengan sendirian dan boleh
menyiapkan dengan lebih cepat berbanding rakan-rakan yang lain.Selain
itu, semasa melaksanakan aktiviti pembelajaran, didapati Aiman juga
sukar untuk menyiapkan tugasan yang diberikan kepadanya. Ini kerana
tumpuan yang diberikan tidak lama.
Bahasa dan komunikasi
Melalui pemerhatian saya, Aiman
boleh menuturkan beberapa perkataan dengan jelas namun perbendaharaan
kata yang dimiliki adalah sangat terhad. Ini mungkin adalah disebabkan
beberapa faktor. Pertama sekali adalah disebabkan sikap antisosial Aiman
yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini. Apabila ini berlaku maka
pertukaran bahasa dengan kekerapan yang tinggi tidak akan berlaku. Dalam
erti kata lain, Aiman mungkin tidak mendapat perkataan atau lambang
bahasa baru disebabkan sikapnya yang lebih suka bersendirian.
Selain itu, sikapnya yang tidak
memberi tumpuan semasa proses pembelajaran dan pengajaran juga
menyebabkan Aiman mungkin tidak dapat menguasai perbendaharaan kata yang
baru. Dari segi fonologi bagaimana pun Aiman dapat menuturkan bunyi
bahasa dengan baik.
Semasa pemerhatian saya
juga,didapati kanak-kanak ini seringkali membunyikan sesuatu yang agak
kurang difahami terutama sekali jika kanak-kanak ini bersendirian. Dalam
erti kata yang lain “bubling” juga merupakan salah satu aspek yang
terdapat kepada pencirian kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini juga didapati
lebih suka bernyanyi dan bercakap bersendirian. Ini menunjukkan bahawa
kanak-kanak ini hanya akan berkomunikasi dengan rancak dengan dunia
sendirinya sahaja.
Dalam aspek pertuturan juga,
kanak-kanak ini tidak dapat mengungkapkan ayat yang panjang. Ini adalah
disebabkan faktor bahasanya yang terhad tadi. Seperti kanak-kanak normal
yang lain, Aiman juga mengalami echolalia iaitu jenis “delayed echolalia”.
Sebagai contoh semasa proses pembelajaran, Aiman tidak akan menumpukan
perhatian sebaliknya akan bermain dan melalukan aktiviti yang disukainya
iaitu membetulkan stokinnya. Kanak-kanak ini juga tidak akan
menghiraukan arahan yang dikeluarkan oleh guru kelasnya,namun, setelah
tamat proses pembelajaran Aiman akan secara spontan menyebut beberapa
perkataan yang telah diungkapkan oleh gurunya tadi.
Dari aspek komunikasi, Aiman
merupakan kategori yang agak sukar untuk berkomunikasi dengannya. Ini
adalah disebabkan sikapnya yang lebih menyendiri dan tidak akan
menumpukan apa jua yang akan diperkatakan oleh kita kepadanya. Walaupun
kita masih mendapatkan “eye contact” dengannya, namun hanya beberapa
seketika sahaja. Seterusnya Aiman akan terus mengelamun dan pergi ke
tempat yang lain. Jadi, proses komunikasi bersama Aiman agak sukar.
Akibat daripada ini, maka proses pertukaran maklumat dengan Aiman tidak
dapat berlaku . Jadi untuk mengetahui dan memahami kehendak Aiman
akhirnya menjadi agak sukar.
Dari aspek non verbal Aiman juga
mempamerkan beberapa contoh mimik muka sebagai bahasa isyarat yang
dikeluarkan olehnya. Sebagai contoh sekiranya dia mula hilang tumpuan,
Aiman akan mula mempamerkan raut wajah yang menunjukkan dia sudah jemu
seperti mencebik. Selain itu, Aiman juga akan menggelengkan kepala untuk
membantah dan tidak mahu melakukan sesuatu arahan kepadanya.
Melalui pemerhatian saya juga,
Aiman juga mengalami masalah untuk menaksirkan mesej atau pun kod
bahasa. Ini kerana, untuk bertutur dan memberi arahan kepada Aiman, kita
perlu menunjukkan beberapa contoh sebagai tunjuk ajar. Sebagai contoh,
untuk menyuruh Aiman memasukkan bola dalam bakul, Aiman kelihatan agak
lambat untuk menaksirkan arahan yang disuruh, jadi contoh secara
realistik perlu ditunjukkan dan diajar kepada kanak-kanak ini.
Analisis masalah bahasa dan komunikasi (kekuatan dan kelemahan)
Jika dianalisis masalah bahasa
dan Aiman ini, kita boleh bahagikan kepada masalah dalam fonologi,
sintaksis,morfologi, pragmatik dan semantik. Manakala dari segi
komunikasi, Aiman lebih gemar untuk berkomunikasi secara non verbal
kepada orang ramai. Di sini terdapat kekuatan dan kelemahan yang
terdapat dalam setiap aspek seperti yang dinyatakn seperti tadi. Jadi
saya akan membincangkan kelemahan dan kekuatan bagi setiap aspek itu.
Fonologi.
Dalam aspek fonologi, kekuatan
yang dimiliki oleh Aiman ialah, Aiman dapat menuturkan beberapa bunyi
dengan jelas. Namun begitu, terdapat beberapa kelemahan yang ditunjuk
oleh Aiman terutama sekali nada yang dikeluarkan oleh Aiman semasa
mengeluarkan bunyi. Didapati, kadang-kala Aiman akan mengeluarkan
perkataan mengikut nada yang berbeza-beza iaitu dari rendah ke tinggi
secara tiba-tiba. Kadangkala perbuatan ini menimbulkan sedikit
kekeliruan mengenai apa yang ingin disampaikan oleh Aiman. Dalam erti
kata yang lain, kanak-kanak ini tidak dapat mengawal nada dan jeda yang
dipertuturkan. Selain itu, kadangkala kanak-kanak ini juga kelihatan
bernyanyi apabila ingin menuturkan sesuatu. Hal ini jelas menunjukkan
kanak-kanak ini mengalami masalah dalam suprasegmental.
Menurut (Goldfarb, Braunstein
& Horge, 1956) individu yang mengalami autism seringkali mempunyai
masalah luahan yang rendah dalam suara dan bercakap dalam “ekanada”.
(Fag &Schuler,1980) pula menyatakan bahawa individu autisme ini
mempunyai masalah luahan suara disebabkan oleh ketidakupayaan memproses
cirri-ciri suprasegmental dalam pertuturan. Namun begitu, kekuatan yang
boleh digunakan oleh kanak-kanak ini ialah, kelebihan kanak-kanak untuk
bernyanyi.
Menurut guru kelasnya, Aiman
pernah menjadi johan dalam juara nyanyian di kalangan pelajar pendidikan
khas. Hal ini menunjukkan walaupun kelemahan Aiman ini boleh memberi
tafsiran dan makna yang negatif namun kelebihan yang ada dapat digunakan
oleh Aiman untuk mengasah bakatnya yang terpendam itu.
Sintaksis
Dari aspek pembinaan ayat,
didapati Aiman tidak dapat menuturkan ayat dengan panjang. Aiman juga
hanya boleh bertutur secara ringkas dan pendek sahaja. Sebagai contoh,
jika kita hanya menanyakan adakah Aiman ingin mandi, Aiman hanya
menjawab “tak nak” sambil menggeleng. Di samping itu, jika kita cuba
berkomunikasi secara bertutur dengannya, kanak-kanak ini tidak akan
mengeluarkan perkataan dengan baik. Seolah-olah kanak-kanak ini tidak
tahu berbahasa walaupun hakikatnya kanak-kanak ini jika bertutur, kita
dapat memahami sebutannya itu.Faktor yang menjurus ini mungkin
disebabkan oleh kekurangan bahasa dan kecelaruan yang berlaku dalam
sistem bahasa dalam diri kanak-kanak ini. Dalam erti kata yang lain,
pertuturan kanak-kanak ini kelihatan agak kompleks dan sukar untuk kita
dekati supaya bertutur dengan kita lebih jelas.
Bartak, Rutter & Cox(1975)
membandingkan perkembangan sintaksis pada diri kanak-kanak autisme dan
dysphasia(kecacatan bahasa khusus). Mereka mendapati walaupun
kanak-kanak tersebut lebih kepada ukuran maksud pengucapan, namun
kanak-kanak autism menunjukkan reaksi yang lebih teruk dalam ujian
pemahaman bahasa. Mereka juga mendapati kesukaran pertuturan kanak-kanak
autism lebih luas, melibatkan penggunaan dan pemahaman isyarat dan
penulisan di samping bahasa yang dipertuturkan.
Akan tetapi, walaupupun
kanak-kanak ini tidak dapat membuat ayat dengan baik, kanak-kanak masih
lagi dapat memberi beberapa perkataan yang masih jelas dan boleh
dimengertikan
Morfologi.
Dari segi bidang morfologi,
kanak-kanak ini dapat menggantikan kata ganti nama nya dengan menamakan
dirinya sebagai Aiman. Aiman juga dapat menggantikan namanya sebagai
saya. Namun dari kelemahan aspek morfologi pula, Aiman didapati tidak
tahu untuk menuturkan perkataan yang berimbuhan. Disebabkan itulah,
Aiman hanya sedikit bertutur. Ini membuktikan bahawa perkembangan bahasa
Aiman tidak banyak dan tidak sama dengan kanak-kanak normal lain.
Dalam satu kajian (Fein &
Waterhouse, 1979) jika dibandingkan hasil morfologi kanak-kanak autisme
dalam perkembangan skizofernia( sejenis penyakit jiwa) dan kanak-kanak
tidak upaya , didapati tiada perbezaan yang ketara sama ada yang
berkenaan dengan jumlah angka “morphemes” yang digunakan dengan
kekerapan penggunaan “morphemes” .
Semantik
Dari segi semantik, seperti
kanak-kanak yang lain, kanak-kanak ini juga mempunyai bahasanya
tersendiri iaitu bahasa idiosinkratik. (Volden & Lord ,1991),
mendefinisikan bahasa idiosinkratik sebagai penggunaan ayat atau frasa
dalam keadaan berbeza untuk menyampaikan maksud yang spesifik.
Tidak seperti kanak-kanak yang
normal,jika Aiman mengelamun, beliau seringkali mengeluarkan bunyi yang
sukar untuk difahami. Walaupun begitu, bahasa ini hanya difahami oleh
kanak-kanak ini sahaja. Oleh itu, kekuatan bahasa idiosinkratik ini
sebenarnya boleh menjadi satu medium bagi Aiman untuk berkomunikasi
dengan orang lain.
Sebagai contoh, bagi mengingati
suatu frasa atau perkataan yang diajar, Aiman mungkin mengeluarkan bunyi
yang berbeza walaupun maksudnya sama. Maknanya di sini, mungkin “saya”
bagi Aiman ialah kamu. Walaupun dari sudut negatif kita melihat perkara
ini mungkin menimbulkan kecelaruan tetapi dari sudut positifnya kita
mungkin boleh mengajar Aiman mengikut perspektif yang difahaminya. Apa
yang penting makna bahasa itu adalah betul walaupun ujaran yang
dihasilkan berbeza,
Pragmatik.
Dari segi pragmatik, Aiman
merupakan seorang penutur yang pasif. Seperti yang diperbincangkan tadi,
disebabkan sikapnya yang antisosial maka Aiman tidak dapat
berkomunikasi secara spontan dan seterusnya menghasilkan komunikasi yang
lemah dengan individu yang lain. Dari segi kekuatan, Aiman didapati
boleh berkomunikasi dengan bahasanya iaitu bahasa idiosinkratik. Jadi
ini menjelaskan Aiman mempunyai keunikan tersendiri. Semasa pengamatan
saya, matanya akan terpejam secara tiba-tiba ataupun terkebil jika
berbahasa dengan secara sendirinya. Kita sebagai pendidik seharusnya
harus cuba memahami isyarat dan mesej yang ingin disampaikan bagi
memudahkan kita untuk melakukan proses pembelajaran dan pengajaran
No comments:
Post a Comment