CABARAN DAN HALATUJU PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS.
1.0 PENGENALAN
Sistem
pendidikan di negara kita masa kini
telah banyak melalui transformasi yang memerlukan komitmen guru yang amat tinggi. Perubahan
dan pembaharuan dalam sistem pendidikan
dilihat sebagai peluang untuk menguji
potensi, kemampuan dan cara untuk mengoptimumkan
pembangunan individu. Mereka perlu sedar akan kekuatan dan kelemahan diri dan
di atas kesedaran itu sanggup meningkatkan keupayaan diri serta bersedia
melakukan perubahan mengikut keperluan. Guru bertaraf dunia bukan sahaja merancang strategi pengajaran-pembelajarannya
dengan teliti dan sentiasa membuat persediaan untuk membuka peluang kepada
pelajar melakukan penerokaan malah merancang pelbagai laluan pembelajaran dengan
kemahiran yang tinggi.
Cabaran dalam profesion perguruan masa kini memerlukan
pengorbanan yang sangat tinggi. Pekerjaan yang penuh cabaran ini menguji
kemampuan dan ketabahan dalam menguruskan suatu organisasi dengan
bijaksana. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (
2007 : 232) cabaran didefinisikan sebagai hasil
yang mencabar kemampuan dan ketabahan seseorang dalam pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Dalam
konteks perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu menyahut cabaran untuk
melihat keupayaan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya bukan dengan
muridnya tetapi juga bersama organisasi dan rakan sekerja yang mempunyai
pelbagai kepakaran. Pengurusan dalam pendidikan
mempunyai satu organisasi yang dibentuk
yang mempunyai hala tuju yang mahu dicapai.
Halatuju
pula bermaksud penetapan matlamat dan sasaran yang hendak dicapai dalam sesuatu
organisasi. Pendidikan khas perlu mempunyai visi, misi dan objektif utama dalam
mengurus tadbir sesuatu organisasi. Halatuju merangkumi perancangan
pentadbiran, program-program utama, peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam
kaedah pengajaran dan pembelajaran dan membentuk kepakaran yang beretika.
2.0
Cabaran yang dimaksudkan boleh dilihat
dalam pelbagai aspek:
2.1
Individu dan keluarga
Dari
aspek penglibatan ibu bapa, didapati di Malaysia tahap kesedaran ibu bapa
mengenai masa depan anak-anak yang berkeperluan khas masih berada dalam keadaan
yang minima. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di kalangan ibu bapa yang
mempunyai anak istimewa yang tinggal di luar bandar. Hal ini kerana terdapat
setengah ibu bapa yang beranggapan anak yang istimewa ini tidak layak dan tidak
berkeupayaan untuk mendapat pendidikan yang seimbang dan sempurna. Disebabkan
anggapan sedemikian maka wujudlah keciciran murid-murid berkeperluan khas
daripada alam persekolahan. Perkara ini terus menyebabkan kanak-kanak istimewa
ini tidak mempunyai kemahiran hidup yang baik dan akhirnya memberi bebanan
kembali kepada keluarga masing-masing.
Selain itu juga, terdapat juga ibu
bapa yang masih kurang sedar mengenai betapa pentingnya memberi pendidikan atau
pun kemahiran mengurus diri kepada
anak-anak yang istimewa. Faktor utama yang menyebabkan perkara ini berlaku
disebabkan kurangnya keyakinan akan kebolehan anak-anak istimewa mereka ini.
Sebagai contoh, pengajaran amali kemahiran memasak dan menjahit, mungkin boleh
menyebabkan timbulnya perasaan risau ibu bapa terhadap anak-anak mereka berada
di dapur. Hal ini mungkin disebabkan memikirkan keadaan yang mungkin boleh
mengundang bahaya semasa di dapur dan semasa menggunakan jarum untuk menjahit.
Disebabkan sikap yang terlalu obses akan perkara negatif inilah menyebabkan
mengapa kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia agak ketinggalan.
Selain itu juga, terdapat juga ibu
bapa yang hanya bergantung kepada pihak sekolah semata-mata sahaja dalam usaha
memberi didikan kepada anak mereka terutama dalam aspek pengurusan diri.
Disebabkan itulah terdapat murid-murid yang masih tidak tahu untuk membuang air
kecil atau besar di tempat yang sepatutnya iaitu tandas. Perkara ini sedikit
sebanyak agak mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.
Akibatnya guru sendiri terpaksa membantu menguruskan kanak-kanak tersebut
semasa berada di dalam kelas.
Segelintir mereka mengharapkan
sesuatu yang mustahil dalam masa yang singkat. Keenganan ibu bapa memahami
perjalanan pengurusan pendidikan khas menjadikan ianya semakin sukar untuk
dilaksanakan. Bagi mereka anak mereka harus diajar seperti murid aliran perdana
yang lain. Keghairahan menjadikan anak mereka sama dengan rakan sebaya sedikit
sebanyak memberikan tekanan kepada pengurusan pendidikan khas. Walau
bagaimanapun ada sebahagian mereka pula menyerahkan sepenuhnya anak mereka
kepada pihak sekolah.
Mereka mengharapkan sepenuhnya kepada guru pendidikan khas
mendidik anak mereka dalam segala aspek.
Kedua-dua situasi ini menjadi satu cabaran yang besar dalam pendidikan khas.
Hal yang demikian kerana tidak ada kesinambungan dan komitmen daripada pihak ibu
bapa terhadap pembelajaran anak mereka di luar waktu persekolahan. Peranan sesebuah institusi keluarga dan
sekolah amat penting dalam membantu membina kemahiran-kemahiran yang seharusnya
dikuasai murid berdasarkan transformasi dalam pendidikan. Terdapat sebahagian ibu bapa merasa rendah
diri kerana mempunyai anak yang tidak sempurna dan berasa malu pada ahli
keluarga yang lain. Ada sebahagiannya
pula mengasingkan diri dari ahli keluarga lain.
Dari
aspek individu murid pula adalah berbeza diantara satu sama lain. Menurut
Khairul Yusri (2007), perbezaan individu bermaksud variasi atau ketidaksamaan
individu daripada norma kumpulannya sama ada dari segi sifat kognitif, emosi,
fizikal, moral, tingkah laku, sosial atau bakat dan aspek – aspek yang lain
mungkin terdapat sesama individu dalam sesuatu kumpulan. Cabaran utama
bagi guru-guru pendidikan khas bagaimana untuk mendapat kepercayaan dari
anak-anak istimewa ini. Bukan senang untuk berhadapan dengan mereka kerana
setiap orang kanak-kanak istimewa tersebut biasanya mempunyai pelbagai
kelainan. Kesediaan anak-anak istimewa ini memasuki alam persekolahan juga
dengan cara yang berbeza. Ini dapat dilihat pada faktor kematangan dan
kesediaan fizikal berhadapan dengan rakan-rakan baru di sekolah. Besar
kemungkinan layanan yang diterima di sekolah tidak sama dengan dirumah. Setiap
hari mereka perlu mengikuti peraturan-peraturan sama seperti rakan sebaya mereka.
Guru akan menghadapi berbagai –bagai gaya dan
karenah daripada murid-murid pendidikan khas ini kerana kebanyakan mereka tidak
pernah mengenali alam persekolahan pada
peringkat awal. Mereka mahu dilayan sebagaimana ibu bapa mereka melayan mereka
di rumah. Guru sebagai pengganti ibu bapa perlu peka kepada keperluan mereka
setiap masa. Termasuklah dalam pengurusan emosi dan amalan berdikari.
Cabarannya ialah mungkin apa yang diberi oleh guru tidak sama dengan apa yang
mereka terima dirumah. Sangat sukar bagi guru berhadapan dengan mereka yang
mempunyai kepelbagaian yang pelbagai. Hanya dengan kesabaran dan keperihatinan
serta kemampuan memberikan layanan yang baik dalam pelbagai aspek mampu
meningkatkan kepercayaan murid terhadap guru pendidikan khas. Kepercayaan dan kasih sayang mereka terhadap
guru akan melebihi kepercayaan dan kasih sayang terhadap ibu bapa mereka
sekiranya kita dapat menyesuaikan diri dengan kepelbagaian mereka.
Cabaran
juga dilihat dalam menguruskan murid-murid pendidikan khas yang berada di dalam
kelas inklusif . Kelas
inklusif yang berjaya memerlukan
guru biasa dan
guru Pendidikan Khas
perlu bersikap jujur dan terbuka.
Perkara yang sering diperkatakan ialah layanan yang diberikan terhadap murid
pendidikan khas dan keprihatinan guru dalam membimbing mereka bersama murid
biasa. Kita juga melihat peranan yang
perlu dipikul oleh guru pendidikan khas semasa menghantar murid mereka ke kelas
inklusif. Murid inklusif ini mempunyai
potensi untuk cemerlang sama dengan murid biasa tetapi mereka memerlukan lebih
bimbingan dan motivasi yang tinggi untk berdaya saing.
2.2 Sosial dan
persekitaran
Sosial dan persekitaran merupakan salah
satu aspek penting dalam pengurusan pendidikan khas. Sikap dan keprihatinan
masyarakat terhadap kepentingan
murid-murid pendidikan khas merupakan satu lonjakan ilmu yang perlu diterokai bersama. Masyarakat
mempunyai pelbagai perbezaan gaya hidup dan kepercayaan. Cabaran yang sangat
besar bagi pengurusan pendidikan khas
adalah dalam memberikan kesedaran dan membetulkan tanggapan mengenai
pendidikan untuk kanak-kanak kelainan upaya. Bukan semua daripada mereka mempunyai
kemampuan untuk memenuhi keperluan perbelanjaan sara hidup anak-anak mereka. Malah kebanyakan kanak-kanak kelainan upaya
ini datang dari keluarga yang mempunyai kemampuan yang tinggi untuk
memberikan kemudahan-kemudahan yang
sesuai dengan keperluan.
Kita
mengharapkan sokongan dan komitmen dari ahli masyarakat dalam menangani
masalah tingkah laku dan displin serta
penderaan kanak-kanak.
Sokongan masyarakat sangat penting bagi
meredakan kegundahan hati ibu bapa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan
cabaran membesarkan anak-anak kurang upaya. Ibu bapa sendiri perlu bersikap
terbuka bagi menggalakan masyarakat bersifat
penyayang dan prihatin. Hubungan
dengan ahli komuniti yang lain perlu
dijaga supaya semua orang sekeliling faham mengenai pengurusan
anak-anak pendidikan khas. Pengurusan pendidikan khas menghadapi cabaran dalam
menerapkan nilai-nilai simpati dan empati dalam kalangan ahli masyarakat atas
nama kesedaran dan tangungjawab. Kegiatan-kegiatan kerja amal dalam masyarakat
masih lagi kurang mendapat sambutan dan penglibatan dalam badan-badan sukarela
hanya dalam kalangan ahli yang terlbat sahaja.
Oleh yang demikian pelbagai kemudahan dalam
persekitaran dapat diusahakan bersama . Namun demikian bukan disemua tempat
segala kemudahan itu disediakan malah ada segelintir yang menyalahgunakannya.
Menerapkan kesedaran dalam kalangan ahli masyarakat mengenai keperluan golongan kelainan upaya
bukanlah sesuatu yang mudah. Lontaran pandangan sinis dan serong terhadap golongan ini secara negatifnya akan
memberi impak kepada pergaulan kanak-kanak kelainan upaya dalam masyarakat.
Kita lihat juga di persekitaran sekolah dimana penerimaan pentadbiran sekolah
dalam membuka ruang kepada murid-murid pendidikan khas. Pengintegrasian sesuatu
program bukanlah sesuatu yang mudah hendak dilaksanakan. Kesanggupan berkongsi
segala kemudahan yang ada dan memberikan keutamaan kepada murid-murid pendidikan khas merupakan antara
sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan.
Kebanyakan sekolah lebih berfokus kepada
kecemerlangan dan bukan kepada kebajikan kerana ianya membawa kepada impak yang lebih besar.
Bukan semua program integrasi mendapat tempat yang selesa dan mempunyai ruang
yang cukup bagi menampung keperluan aktiviti mereka. Pentadbir melihat program
pendidkan khas ini seolah sekadar menumpang disatu sudut yang lain atau menjadi
tempelan sahaja kepada sekolah.
Masyaralat sekolah memandang ianya satu program yang bukan menyumbang
kepada kecemerlangan dan pembangunan sekolah.
Inilah cabaran yang sangat besar yang
perlu dihadapi oleh pengurusan pendidikan khas.
Dalam melaksanakan tugasan hakiki dan berdaya saing dengan ahli masyarakat sekolah yang lain maka
pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai hala tuju supaya program ini akan
dipandang sama hebat dengan program lain. Kerjasama dengan badan-badan atau
persatuan yang boleh memperjuangkan hak-hak kanak-kanak kelainan upaya sangat
memberi impak. Kita semua perlu bersatu menetapkan satu perjuangan yang sama
supaya akan timbul kesedaran dalam kalangan mereka bagi menghargai golongan
yang kurang bernasib baik.
Jabatan-jabatan kerajaan turut memainkan peranan membuka ruang dan
menjalankan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap
tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan berbanding kepentingan peribadi.
Pelbagai aktiviti dan program perlu
dirancang bagi membuktikan bahawa pengurusan pendidikan khas boleh berdaya
saing dan mempunyai matlamat jangka panjang. Kesedaran dapat dilihat sudah
banyak badan-badan sukarela menjalankan aktiviti-aktiviti bersama dan memberikan bantuan kepada yang memerlukan.
2.3 Personel dan Kepakaran
Asas terpenting yang perlu dimiliki
dalam sesuatu organisasi pendidikan ialah personel yang terdapat dalam sesuatu
organisasi. Personel inilah yang akan membentuk dan menggerakkan sesuatu
organisasi untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Menurut Greenlaw dan
Kohl dalam buku Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan(zaidatol,2003), pengurusan
personel merangkumi semua keputusan yang berkaitan dengan sesebuah organisasi.
Termasuklah aspek motivasi, melatih dan menyediakan keperluan serta kefungsian
personel.
Dalam konteks cabaran dalam pengurusan
pendidikan khas, pengurusan sekolah berusaha membentuk personel seorang guru yang mempunyai nilai-nilai etika dan kredibiliti sebagai seorang pendidik.
Semua peringkat dalam pengurusan perlu memberikan perhatian dan mengambil berat
kebajikan guru dalam memberikan ruang keselesaan. Pengurusan perlu bijak
meletakkan guru di tempat yang betul dengan minat dan kepakarannya. Kecekapan
sesuatu pengurusan dapat dilihat dengan sumbangan dan kerja buat seorang guru
yang mampu melaksanakan tugasan dengan efisyen.
Tugas seorang guru sebagai pengurus
kanak-kanak istimewa ini sangat mencabar.
Sebagai seorang guru, adalah penting untuk mengetahui dan
meneliti pendekatan yang
bersesuaian yang dibawa oleh setiap murid pendidikan khas, bakat serta minat
mereka ke dalam situasi pembelajaran. Sewajarnya guru perlu mengetahui bahawa
setiap individu adalah berbeza dari
aspek budaya, latar belakang keluarga, dan tahap sosioekonomi yang mana sedikit
sebanyak memberi kesan kepada gaya dan corak pembelajaran mereka. Setelah guru
perlu mampu memahami serta mengenali setiap jenis murid didalam kelas supaya
mereka juga boleh mencapai kejayaan
daripada hasil pembelajaran mereka di sekolah. Cabaran yang paling besar bagi
guru pendidikan khas ialah bukan sahaja memberikan pendidikan malah memastikan
mereka juga boleh melakukan amalan berdikari dalam kehidupan harian mereka.
Amat sukar untuk dipastikan sebanyak mana amalan tersebut dipraktikan di rumah
dan mempunyai kesinambungan yang berterusan.
Pengurusan
pendidikan khas juga perlu membuat perancangan mengurus bagi menentukan
keperluan dalam sesuatu organisasi. Ini bermaksud mengetahui bilangan guru yang
diperlukan dalam sesuatu organisasi mencukupi dengan keperluan. Kebanyakan
program pendidikan khas sering mengalami kekurangan guru. Tenaga pengajar yang
tidak cukup akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran murid khas. Oleh
yang demikian lahirlah guru-guru yang dilatih secara segera oleh kementerian
termasuklah yang bertukar opsyen. Pengurusan pendidikan khas terpaksa
berhadapan dengan tenaga kerja yang kurang berpengetahuan, kurang kepakaran dan
tidak mempunyai minat dengan pendidikan khas.
Kewibawaan
dan kebolehan guru pendidikan khas pula sering dipertikaikan kerana usaha
melahirkan seorang kelainan upaya yang cemerlang sangat sukar dilakukan.
Kecemerlangan mereka dinilai
oleh prestasi murid pendidikan khas dalam akademik. Guru perlu sentiasa
mengubahsuai proses pengajaran dan pembelajaran termasuk kesediaan menggunakan
pelbagai alatan pengajaran bagi mencapai objektif pengajaran. Namun
demikian masa untuk menghasilkan seorang
insan yang cemerlang dalam kalangan
kelainan upaya memerlukan masa yang amat panjang. Sikap kebanyakan guru
pendidikan khas sendiri yang terlalu mengambil mudah dan tidak menunjukkan
kesungguhan dalam melaksanakan tugas. Alasan kerana mengajar pendidikan khas
bukanlah satu helah yang baik untuk
tidak memberikan kerjasama dalam organisasi sekolah. Inilah satu cabaran dalam
pengurusan pendidikan khas kerana keseluruhan organisasi akan dipandang sepi
kerana sikap beberapa orang guru yang sedemikian.
Begitu sukar meletakan
satu-satu kepakaran mengikut minat dan kebolehan guru dalam pengurusan
pentadbiran. Kepakaran itu boleh diperolehi dengan usaha latihan dan bacaan,
kursus, pembelajaran kendiri. Inidividu guru itu sendiri perlu mengapliksikan
kepakaran yang ada bersama organisasi lain atau kepakaran itu tidak boleh dikongsikan dengan orang lain. Ini satu
cabaran yang sukar dihadapi kerana ianya bergantung kepada minat dan komitmen
guru dalam menjana idea dan perkongsian maklumat. Bekerjasama sebagai satu kumpulan guru-guru biasa dan guru
khas merupakan satu himpunan kepakaran
dan resos yang
boleh digunakan untuk
memenuhi keperluan kepelbagaian murid.
Kesepaduan tenaga dan
pemikiran tersebut akan mengurangkan pergantungan kepada
pendekatan pengasingan.
Pengurusan
pendidikan khas perlu melahirkan
personel yang mempunyai kepakaran dan kualiti kerja yang seimbang dengan
penampilan peribadi. Cabaran memupuk hubungan baik dengan dalam satu organisasi
bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan daya pengeluaran dalam satu kerja
berpasukan. Struktur organisasi perlu membina hubungan baik dan menyediakan
latihan bagi meningkatkan semangat kerja berpasukan dan mempertingkatkan
kepakaran personel.
3.0 HALATUJU
PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS
Halatuju
dalam amalan pendidikan telah jelas
dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Khas iaitu satu usaha yang berterusan
untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya,beriman,
berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi
diri sebagai individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Halatuju bermaksud menetapkan sasaran,
misi, visi dan objektif keseluruhan dalam sesuatu organisasi.
Pengurusan
pendidikan khas dalam sesuatu organisasi akan berjaya apabila terdapat komitmen
sepenuhnya terhadap kualiti. Pentingnya melaksanakan visi dan misi haruslah
seiring dengan kecemerlangan tindakan. Tribus 1994, dalam buku Mengurus Kualiti
Di Sekolah(2004), mengatakan matlamat
hendaklah tetap dan tidak berubah-berubah setiap hari. Justeru itu hasrat
organisasi untuk mempunyai hala tuju yang betul perlu selari dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dan misi pendidikan untuk berdepan dengan cabaran-cabaran
dalam pendidikan. Secara keseluruhannya perbincangan halatuju dalam konteks pengurusan
pendidikan khas merangkumi aspek:
3.1 Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan Khas
Misi Pendidikan Khas
menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid dengan keperluan khas untuk
menjadikan mereka insan yang dapat berdikari,berjaya dalam hidup dan memberikan
sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara. Visi Pendidikan Khas pula bagi
menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada mereka dengan keperluan khas
kearah kecemarlangan hidup sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.
Pentadbiran pendidikan khas
perlu menyusun atur bidang tugas dengan bijak supaya tidak berlaku pertindihan
tugas yang boleh menjejaskan kualiti guru dan keseluruhan organisasi.
Pembahagian tugas yang adil dan sentiasa memantau pengurusan kerja serta
memberikan khidmat bantu membolehkan
seseorang guru itu menjalankan tugas di atas landasan yang betul. Pentadbiran
pendidikan khas perlu mempunyai acuan
yang tersendiri dengan gaya kepimpinan yang berkesan. Pentadbiran pendidikan
khas perlu melihat secara menyeluruh dari aspek pengurusan kurikulum, kokurikulum,
hal ehwal murid, pengurusan kewangan dan pentadbiran. Tugas-tugas tersebut
harus difahami dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Pengurusan pendidikan khas
perlu mempunyai penetapan perancangan strategik dengan sumber-sumber yang cukup
sesuai dengan keupayaan membangunkan organisasi. Hubngan baik dengan rakan
sekerja yang bersedia menerima kritikan, idea dan mencari jalan penyelesaian
masalah.
3.2 Personel Dan Kepakaran
Menurut Atan
(1991), guru mempunyai tugas yang mulia dan penting kerana di tangan gurulah
letaknya rakyat pada masa hadapan. Jika
tugas guru itu dijalankan dengan baik, masyarakat beruntung kerana menjadi
rakyat yang berguna tetapi jika berlaku sebaliknya, masyarakat akan menanggung
kerugian yang besar. Sebagai seorang
pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah
yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa
kelak. Mereka perlu diberi ruang menjalani kehidupan
yang bermakna dan mampu menjalani hidup berdikari dalam masyarakat.
Pendidikan
Khas adalah pengajaran yang direka bagi memenuhi keperluan pendidikan murid
dengan keperluan khas. Pendidikan ini dirancang secara tersendiri, dilaksanakan
secara teratur serta dinilai keberkesanannya secara teliti bagi membantu murid
dengan keperluan khas mencapai tahap berdikari tinggi dan kejayaan hidup
memuaskan. Cikgu Donny
Chin (Utusan Online, 2011), menyatakan bahawa mendidik murid kelas pendidikan
khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu pendekatan kreatif dan
kritis dalam pembelajaran kerana setiap setiap daripada mereka memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.
Pentadbir pendidikan
khas perlu merupakan seorang yang menjadi pakar rujuk dalam segala
aspek. Pengetahuan dan pengalaman adalah gabungan yang boleh memimpin guru-guru
lain. Halatuju yang cemerlang memerlukan guru yang mempunyai keperibadian yang
unggul, bersikap positif, memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran dan
beretika. Guru perlu berusaha meningkatkan profesionalisme keguruan supaya
kewibaan dan kebolehan mengendalikan murid-murid pendidikan khas tidak boleh
dipertikaikan. Justeru itu keupayaan berkomunikasi dan berkolaborasi dengan
semua pihak membawa kepada satu budaya kerja cemerlang dan berkualiti.
Guru pendidkan seharunya berani membuat anjakan minda dan
sentiasa membuat pelabagai inovasi dalam pengajaran sebagai tuntutan atas satu usaha yang
bersungguh-sungguh. Kepakaran yang dimiliki menjadi amalan dalam pengajaran dan
pembelajaran yang membawa kepada kecemerlangan dalam pendidikan khas.
Perkongsian ilmu dapat meningkatkan prestasi kerja dan memperbaiki kelemahan
diri. Mohd Taib Hj Dora, 2005 dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan
Profesioanal(2010), mengatakan seorang guru itu perlu pakar dalam ilmu
pengetahuan dan berkualiti untuk meningkatkan profesion perguruan.
Guru
pendidikan khas perlu mempunyai pengurusan emosi dan spiritual yang tinggi
supaya dapat mengekalkan kualiti dalam perkhidmatan. Ketrampilan diri hendaklah seiring dengan kepercayaan pada
diri sendiri dan berteraskan iman yang kuat agar tidak kecundang dengan tewas
dengan tanggapan negatif pihak lain. Halatuju guru dalam merealisasikan misi
Kementerian Pendidikan, khasnya meningkatkan kualiti sekolah ialah guru
haruslah sentiasa berusaha meningkatkan taraf professional melalui latihan
dalam perkhidmatan, perlaksanaan penyelidikan tindakan secara kolaborasi,
membuat refleksi kendiri, memupuk budaya ilmu, menambah ilmu dan kemahiran
melalui e-pembelajaran dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang
terkini untuk merancang serta melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
dengan berkesan.
Seorang
guru berkualiti juga perlu mempertingkatkan profesionalisme. Guru harus sedar
tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan
mencapai wawasan negara. Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu
dikemaskini setiap masa. Disamping itu
berusaha mengaplikasi kaedah- kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Guru
pendidikan khas perlu menyambut baik dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan
yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib agar dapat mempertingkatkan
keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran yang semakin kompleks
ini. Selain itu juga seorang guru perlulah berpengetahuan, berdaya fikir dan
berakhlak mulia. Guru yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah
pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk
dibincang dan mencari penyelesaian.
Guru-guru yang terlibat
dalam kelas inklusif hendaklah bersedia
untuk menghadapi sebarang
rintangan dan halangan yang mendatang.
Mereka juga perlu belajar untuk
berkompromi dan juga membuat sesuatu yang berlainan sama sekali daripada yang
dirancangkan. Disamping itu juga guru
kelas biasa dan guru kelas Pendidikan Khas perlu bekerjasama dan menerima kanak-kanak
berpendidikan khas yang mempunyai berbagai-bagai perbezaan individu. Kedua-dua guru kelas biasa dan guru khas perlu bersedia
untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab
yang dipersetujui serta berkesanggupan untuk merancang dan bekerjasama dalam semua aspek aktiviti dan
isu. Penting sekali adalah kita tidak
boleh mengenepikan, mengabaikan atau
mengecilkan pendidikan kanak-kanak bekeperluan
khas ini. Isu –isu pengasingan dan pelabelan
membangkitkan semangat dan kekuatan untuk bangun berdaya saing.
Murid-murid pendidikan sudah boleh berada
dalam kelompok murid-murid biasa dan menjalankan aktiviti kurikulum serta
kokurikulum bersama. Program
inklusif banyak membantu menjadikan
mereka berdaya saing dan berketrampilan setanding dengan rakan sebaya. Justeru itu program inklusif perlu
dilaksanakan dengan sebaik-baiknya supaya murid-murid pendidikan khas boleh
berpeluang membuktikan keupayaan mereka dalam bidang akademik. Guru pendidikan khas harus berusaha dan menunjukkan kepakaran dalam pelbagai bidang
supaya kebolehan dan kepakaran itu tidak boleh dipertikaikan. Kajian Haniz Ibrahim (1998)
mendapati bahawa guru aliran perdana sekolah rendah dan menengah bersikap
negatif terhadap pendidikan inklusif. Penerimaan guru aliran perdana terhadap
murid yang belum didiagnosis lebih positif berbanding murid yang sudah dilabel
dengan sesuatu masalah.
3.3
Peranan Ibu bapa dan Masyarakat
Kita
melihat perkembangan program pendidikan khas masa kini semakin diterima dengan
baik. Sambutan dari pihak ibu bapa
sangat menggalakan demi kesedaran dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak
istimewa. Akta pendidikan wajib telah
memperlihatkan kedudukan kanak-kanak
kelainan upaya juga berhak diberi pendidikan yang selayaknya seperti
kanak-kanak yang seusia mereka. Bukan
mudah bagi pihak ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada orang tidak mereka
kenali. Guru sentiasa perlu bersedia memberikan harapan dan menunjukkan
kecekapan mereka agar kewibawaan mereka dalam mendidik anak-anak kelainan upaya
tidak dipandang remeh.
Pihak pengurusan pendidikan khas
perlu mempunyai hubungan baik dengan ibu bapa dan sentiasa berkolaborasi demi
kejayaan anak-anak pendidikan khas. Keberkesanan dan pemantapan program sangat
memerlukan sokongan daripada institusi keluarga dan masyarakat. Pendapat
Sharifah Alwiyah Al Sagoff, 1985 dalam buku Kepimpinan Pendidikan di
Malaysia92005), mengatakan sekolah dan keluarga perlu mempunyai aspirasi ,
nilai dan sikap yang ada kesinambungan
antara sekolah dan rumah. Hal ini akan mengeratkan hubungan baik dua pihak
dalam mencapai visi pengurusan pendidikan khas. Ibu bapa dan masyarakat juga
akan menjadi role model kepada ibu bapa lain dan anak-anak pendidikan khas.
Kesediaan ibu bapa dan masyarakat memberi sokongan dalam program-program
anjuran sekolah dan penglibatan dalam majlis ilmu seperti seminar ke ibu bapaan
membawa kepada hala tuju yang sama.
Kerjasama dengan badan-badan sukarela
dan NGO akan membuka ruang dan pemikiran yang lebih luas dan terbuka. Disinilah
tempat yang paling sesuai untuk mereka bertukar-tukar pendapat, menjana idea
dan memberikan kritikan membina dalam usaha memahami keperluan pendidikan masa
kini. Kesedaran dalam kalangan mereka merupakan satu sokongan dan berfungsi
sebagai penyumbang dalam kemajuan pendidikan. Persepsi ibu bapa dan masyarakat
terhadap pengurusan sekolah perlu berubah
mengikut keperluan semasa tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
4.0 Rumusan
Kesimpulannya cabaran dan halatuju
pengurusan pendidikan khas perlu seiring.
Isu-isu yang dihadapi bukanlah satu halangan dalam mentadbir sesuatu
program. Semua pihak perlu bekejasama dan berganding bahu supaya murid-murid
pendidikan khas mendapat peluang dan hak yang sama dalam pendidikan. Kecekapan
pengurusan sangat bergantung kepada kebijaksanaan mellaksanakan hal-hal yang
berkaitan dengan komunikasi dua hala. Pihak-pihak yang terlibat secara langsung
seharusnya diberi pendedahan yang sebaiknya mengenai pengurusan dan pentadbiran
pendidikan khas. Dengan adanya kerjasama
dan hubungan baik, maka kecemerlangan murid-murid pendidikan khas sudah pasti
dapat ditingkatkan. Pendidkan Khas juga mempunyai murid yang mempunyai matlamat mencapai kehidupan
bermakna dan berketrampilan dengan didikan golongan guru yang inovatif dan
kreatif. Berikan ruang kepada mereka untuk menjadi rakyat yang berpendidikan
selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Senarai
rujukan:
Atan Long.(1991).Isu-isu
latihan mengajar:Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
Habib,M (2005).,Profil kesediaan guru sekolah menengah terhadap
pelaksanaan perubahan kurikulum.Tesis Ph.D.Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.
Mohd Taib.(2010).Asas kepimpinan
dan perkembangan profesional.Kuala
Lumpur: PTS Profesional Publishing
Sdn. Bhd.
Mohd,A(2008),Mengurus kanak-kanak yang susah belajar.Kuala
Lumpur:PTS
Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Noriati, A (2010), Guru dan cabaran semasa.Shah Alam:Oxford
Fajar.
Razhiyah,K (2008), Menjadi guru pendidikan khas,Kuala
Lumpur:PTS
Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Robiah ,S(1994). Pendidikan
di Malaysia: Cabaran untuk masa depan.Kuala
Lumpur: Fajar
Bakti.
Syed Ismail, Ahmad
Subki.(2010).Guru dan cabaran
semasa.Kuala Lumpur:
Penerbitan
Multimedia.
Zaidatol
Akmaliah(2003)Pengurusan dan kepimpinan pendidikan satu langkah
ke
hadapan.Universiti Putra Malaysia:Serdang
Zharulnizam,S (2010),Kepimpinan dan pengurusan pendidikan khas.Kuala
Lumpur: Utusan Publication.