KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Sunday, 9 December 2012

CABARAN DAN HALA TUJU PENDIDIKAN KHAS


CABARAN DAN HALATUJU PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS.



1.0 PENGENALAN


Sistem pendidikan  di negara kita masa kini telah banyak melalui transformasi yang  memerlukan komitmen guru yang amat tinggi. Perubahan dan pembaharuan dalam sistem pendidikan dilihat  sebagai peluang untuk menguji potensi, kemampuan dan cara untuk mengoptimumkan pembangunan individu. Mereka perlu sedar akan kekuatan dan kelemahan diri dan di atas kesedaran itu sanggup meningkatkan keupayaan diri serta bersedia melakukan perubahan mengikut keperluan. Guru bertaraf dunia bukan sahaja  merancang strategi pengajaran-pembelajarannya dengan teliti dan sentiasa membuat persediaan untuk membuka peluang kepada pelajar melakukan penerokaan malah  merancang pelbagai laluan pembelajaran dengan kemahiran yang tinggi.

            Cabaran dalam profesion perguruan masa kini memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi. Pekerjaan yang penuh cabaran ini menguji kemampuan dan ketabahan dalam menguruskan suatu organisasi dengan bijaksana.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 : 232) cabaran didefinisikan sebagai hasil  yang mencabar kemampuan dan ketabahan seseorang dalam  pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Dalam konteks perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu menyahut cabaran untuk melihat keupayaan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya bukan dengan muridnya tetapi juga bersama organisasi dan rakan sekerja yang mempunyai pelbagai kepakaran. Pengurusan dalam pendidikan  mempunyai satu organisasi yang dibentuk  yang mempunyai hala tuju yang mahu dicapai.

Halatuju pula bermaksud penetapan matlamat dan sasaran yang hendak dicapai dalam sesuatu organisasi. Pendidikan khas perlu mempunyai visi, misi dan objektif utama dalam mengurus tadbir sesuatu organisasi. Halatuju merangkumi perancangan pentadbiran, program-program utama, peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran dan membentuk kepakaran yang beretika.

2.0  Cabaran yang dimaksudkan boleh dilihat dalam pelbagai aspek:

2.1  Individu dan keluarga
                       
Dari aspek penglibatan ibu bapa, didapati di Malaysia tahap kesedaran ibu bapa mengenai masa depan anak-anak yang berkeperluan khas masih berada dalam keadaan yang minima. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa yang tinggal di luar bandar. Hal ini kerana terdapat setengah ibu bapa yang beranggapan anak yang istimewa ini tidak layak dan tidak berkeupayaan untuk mendapat pendidikan yang seimbang dan sempurna. Disebabkan anggapan sedemikian maka wujudlah keciciran murid-murid berkeperluan khas daripada alam persekolahan. Perkara ini terus menyebabkan kanak-kanak istimewa ini tidak mempunyai kemahiran hidup yang baik dan akhirnya memberi bebanan kembali kepada keluarga masing-masing.

Selain itu juga, terdapat juga ibu bapa yang masih kurang sedar mengenai betapa pentingnya memberi pendidikan atau pun kemahiran mengurus diri  kepada anak-anak yang istimewa. Faktor utama yang menyebabkan perkara ini berlaku disebabkan kurangnya keyakinan akan kebolehan anak-anak istimewa mereka ini. Sebagai contoh, pengajaran amali kemahiran memasak dan menjahit, mungkin boleh menyebabkan timbulnya perasaan risau ibu bapa terhadap anak-anak mereka berada di dapur. Hal ini mungkin disebabkan memikirkan keadaan yang mungkin boleh mengundang bahaya semasa di dapur dan semasa menggunakan jarum untuk menjahit. Disebabkan sikap yang terlalu obses akan perkara negatif inilah menyebabkan mengapa kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia agak ketinggalan.
Selain itu juga, terdapat juga ibu bapa yang hanya bergantung kepada pihak sekolah semata-mata sahaja dalam usaha memberi didikan kepada anak mereka terutama dalam aspek pengurusan diri. Disebabkan itulah terdapat murid-murid yang masih tidak tahu untuk membuang air kecil atau besar di tempat yang sepatutnya iaitu tandas. Perkara ini sedikit sebanyak agak mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Akibatnya guru sendiri terpaksa membantu menguruskan kanak-kanak tersebut semasa berada di dalam kelas.
            Segelintir mereka mengharapkan sesuatu yang mustahil dalam masa yang singkat. Keenganan ibu bapa memahami perjalanan pengurusan pendidikan khas menjadikan ianya semakin sukar untuk dilaksanakan. Bagi mereka anak mereka harus diajar seperti murid aliran perdana yang lain. Keghairahan menjadikan anak mereka sama dengan rakan sebaya sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada pengurusan pendidikan khas. Walau bagaimanapun ada sebahagian mereka pula menyerahkan sepenuhnya anak mereka kepada pihak sekolah.

Mereka mengharapkan sepenuhnya kepada guru pendidikan khas mendidik anak mereka  dalam segala aspek. Kedua-dua situasi ini menjadi satu cabaran yang besar dalam pendidikan khas. Hal yang demikian kerana tidak ada kesinambungan dan komitmen daripada pihak ibu bapa terhadap pembelajaran anak mereka di luar waktu persekolahan. Peranan sesebuah institusi keluarga dan sekolah amat penting dalam membantu membina kemahiran-kemahiran yang seharusnya dikuasai murid berdasarkan transformasi dalam pendidikan.  Terdapat sebahagian ibu bapa merasa rendah diri kerana mempunyai anak yang tidak sempurna dan berasa malu pada ahli keluarga yang lain.  Ada sebahagiannya pula mengasingkan diri dari ahli keluarga lain.


Dari aspek individu murid pula adalah berbeza diantara satu sama lain. Menurut Khairul Yusri (2007), perbezaan individu bermaksud variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulannya sama ada dari segi sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku, sosial atau bakat dan aspek – aspek yang lain mungkin terdapat sesama individu dalam sesuatu kumpulan. Cabaran utama bagi guru-guru pendidikan khas bagaimana untuk mendapat kepercayaan dari anak-anak istimewa ini. Bukan senang untuk berhadapan dengan mereka kerana setiap orang kanak-kanak istimewa tersebut biasanya mempunyai pelbagai kelainan. Kesediaan anak-anak istimewa ini memasuki alam persekolahan juga dengan cara yang berbeza. Ini dapat dilihat pada faktor kematangan dan kesediaan fizikal berhadapan dengan rakan-rakan baru di sekolah. Besar kemungkinan layanan yang diterima di sekolah tidak sama dengan dirumah. Setiap hari mereka perlu mengikuti peraturan-peraturan sama seperti  rakan sebaya mereka.

Guru akan menghadapi berbagai –bagai gaya dan karenah daripada murid-murid pendidikan khas ini kerana kebanyakan mereka tidak pernah mengenali  alam persekolahan pada peringkat awal. Mereka mahu dilayan sebagaimana ibu bapa mereka melayan mereka di rumah. Guru sebagai pengganti ibu bapa perlu peka kepada keperluan mereka setiap masa. Termasuklah dalam pengurusan emosi dan amalan berdikari. Cabarannya ialah mungkin apa yang diberi oleh guru tidak sama dengan apa yang mereka terima dirumah. Sangat sukar bagi guru berhadapan dengan mereka yang mempunyai kepelbagaian yang pelbagai. Hanya dengan kesabaran dan keperihatinan serta kemampuan memberikan layanan yang baik dalam pelbagai aspek mampu meningkatkan kepercayaan murid terhadap guru pendidikan khas.  Kepercayaan dan kasih sayang mereka terhadap guru akan melebihi kepercayaan dan kasih sayang terhadap ibu bapa mereka sekiranya kita dapat menyesuaikan diri dengan kepelbagaian mereka.


            Cabaran juga dilihat dalam menguruskan murid-murid pendidikan khas yang berada di dalam kelas inklusif .  Kelas  inklusif   yang berjaya memerlukan guru  biasa  dan  guru  Pendidikan  Khas  perlu  bersikap jujur dan terbuka. Perkara yang sering diperkatakan ialah layanan yang diberikan terhadap murid pendidikan khas dan keprihatinan guru dalam membimbing mereka bersama murid biasa.  Kita juga melihat peranan yang perlu dipikul oleh guru pendidikan khas semasa menghantar murid mereka ke kelas inklusif.  Murid inklusif ini mempunyai potensi untuk cemerlang sama dengan murid biasa tetapi mereka memerlukan lebih bimbingan dan motivasi yang tinggi untk berdaya saing.

                                       
2.2  Sosial dan persekitaran

Sosial dan persekitaran merupakan salah satu aspek penting dalam pengurusan pendidikan khas. Sikap dan keprihatinan masyarakat  terhadap kepentingan murid-murid pendidikan khas merupakan satu lonjakan ilmu  yang perlu diterokai bersama. Masyarakat mempunyai pelbagai perbezaan gaya hidup dan kepercayaan. Cabaran yang sangat besar bagi pengurusan pendidikan khas  adalah dalam memberikan kesedaran dan membetulkan tanggapan mengenai pendidikan untuk kanak-kanak kelainan upaya. Bukan semua daripada mereka mempunyai kemampuan untuk memenuhi keperluan perbelanjaan sara hidup  anak-anak mereka.  Malah kebanyakan kanak-kanak kelainan upaya ini datang dari keluarga yang mempunyai kemampuan yang tinggi untuk memberikan  kemudahan-kemudahan yang sesuai dengan keperluan.
           
            Kita mengharapkan sokongan dan komitmen dari ahli masyarakat dalam menangani masalah  tingkah laku dan displin serta penderaan kanak-kanak.
Sokongan masyarakat sangat penting bagi meredakan kegundahan hati ibu bapa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran membesarkan anak-anak kurang upaya. Ibu bapa sendiri perlu bersikap terbuka bagi menggalakan masyarakat bersifat  penyayang dan prihatin.  Hubungan dengan  ahli komuniti yang lain perlu dijaga  supaya   semua orang sekeliling faham mengenai pengurusan anak-anak pendidikan khas. Pengurusan pendidikan khas menghadapi cabaran dalam menerapkan nilai-nilai simpati dan empati dalam kalangan ahli masyarakat atas nama kesedaran dan tangungjawab. Kegiatan-kegiatan kerja amal dalam masyarakat masih lagi kurang mendapat sambutan dan penglibatan dalam badan-badan sukarela hanya dalam kalangan ahli yang terlbat sahaja.

 Oleh yang demikian pelbagai kemudahan dalam persekitaran dapat diusahakan bersama . Namun demikian bukan disemua tempat segala kemudahan itu disediakan malah ada segelintir yang menyalahgunakannya. Menerapkan kesedaran dalam kalangan ahli masyarakat  mengenai keperluan golongan kelainan upaya bukanlah sesuatu yang mudah. Lontaran pandangan sinis dan serong  terhadap golongan ini secara negatifnya akan memberi impak kepada pergaulan kanak-kanak kelainan upaya dalam masyarakat. Kita lihat juga di persekitaran sekolah dimana penerimaan pentadbiran sekolah dalam membuka ruang kepada murid-murid pendidikan khas. Pengintegrasian sesuatu program bukanlah sesuatu yang mudah hendak dilaksanakan. Kesanggupan berkongsi segala kemudahan yang ada dan memberikan keutamaan kepada  murid-murid pendidikan khas merupakan antara sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan.

Kebanyakan sekolah lebih berfokus kepada kecemerlangan dan bukan kepada kebajikan kerana  ianya membawa kepada impak yang lebih besar. Bukan semua program integrasi mendapat tempat yang selesa dan mempunyai ruang yang cukup bagi menampung keperluan aktiviti mereka. Pentadbir melihat program pendidkan khas ini seolah sekadar menumpang disatu sudut yang lain atau menjadi tempelan sahaja kepada sekolah.  Masyaralat sekolah memandang ianya satu program yang bukan menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan sekolah.

Inilah cabaran yang sangat besar yang perlu dihadapi oleh pengurusan pendidikan khas.  Dalam melaksanakan  tugasan  hakiki dan berdaya saing dengan  ahli masyarakat sekolah yang lain maka pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai hala tuju supaya program ini akan dipandang sama hebat dengan program lain. Kerjasama dengan badan-badan atau persatuan yang boleh memperjuangkan hak-hak kanak-kanak kelainan upaya sangat memberi impak. Kita semua perlu bersatu menetapkan satu perjuangan yang sama supaya akan timbul kesedaran dalam kalangan mereka bagi menghargai golongan yang kurang bernasib baik.  Jabatan-jabatan kerajaan turut memainkan peranan membuka ruang dan menjalankan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan berbanding kepentingan peribadi.

Pelbagai aktiviti dan program perlu dirancang bagi membuktikan bahawa pengurusan pendidikan khas boleh berdaya saing dan mempunyai matlamat jangka panjang. Kesedaran dapat dilihat sudah banyak badan-badan sukarela menjalankan aktiviti-aktiviti  bersama dan memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

2.3 Personel dan Kepakaran
Asas terpenting yang perlu dimiliki dalam sesuatu organisasi pendidikan ialah personel yang terdapat dalam sesuatu organisasi. Personel inilah yang akan membentuk dan menggerakkan sesuatu organisasi untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Menurut Greenlaw dan Kohl dalam buku Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan(zaidatol,2003), pengurusan personel merangkumi semua keputusan yang berkaitan dengan sesebuah organisasi. Termasuklah aspek motivasi, melatih dan menyediakan keperluan serta kefungsian personel.

Dalam konteks cabaran dalam pengurusan pendidikan khas, pengurusan sekolah berusaha  membentuk personel seorang guru yang  mempunyai nilai-nilai etika  dan kredibiliti sebagai seorang pendidik. Semua peringkat dalam pengurusan perlu memberikan perhatian dan mengambil berat kebajikan guru dalam memberikan ruang keselesaan. Pengurusan perlu bijak meletakkan guru di tempat yang betul dengan minat dan kepakarannya. Kecekapan sesuatu pengurusan dapat dilihat dengan sumbangan dan kerja buat seorang guru yang mampu melaksanakan tugasan dengan efisyen.

Tugas seorang guru sebagai pengurus kanak-kanak istimewa ini sangat mencabar.   Sebagai seorang guru, adalah penting untuk  mengetahui  dan  meneliti  pendekatan yang bersesuaian yang dibawa oleh setiap murid pendidikan khas, bakat serta minat mereka ke dalam situasi pembelajaran. Sewajarnya guru perlu mengetahui bahawa setiap individu  adalah berbeza dari aspek budaya, latar belakang keluarga, dan tahap sosioekonomi yang mana sedikit sebanyak memberi kesan kepada gaya dan corak pembelajaran mereka. Setelah guru perlu mampu memahami serta mengenali setiap jenis murid didalam kelas supaya mereka juga  boleh mencapai kejayaan daripada hasil pembelajaran mereka di sekolah. Cabaran yang paling besar bagi guru pendidikan khas ialah bukan sahaja memberikan pendidikan malah memastikan mereka juga boleh melakukan amalan berdikari dalam kehidupan harian mereka. Amat sukar untuk dipastikan sebanyak mana amalan tersebut dipraktikan di rumah dan mempunyai kesinambungan yang berterusan.

Pengurusan pendidikan khas juga perlu membuat perancangan mengurus bagi menentukan keperluan dalam sesuatu organisasi. Ini bermaksud mengetahui bilangan guru yang diperlukan dalam sesuatu organisasi mencukupi dengan keperluan. Kebanyakan program pendidikan khas sering mengalami kekurangan guru. Tenaga pengajar yang tidak cukup akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran murid khas. Oleh yang demikian lahirlah guru-guru yang dilatih secara segera oleh kementerian termasuklah yang bertukar opsyen. Pengurusan pendidikan khas terpaksa berhadapan dengan tenaga kerja yang kurang berpengetahuan, kurang kepakaran dan tidak mempunyai minat dengan pendidikan khas.

Kewibawaan dan kebolehan guru pendidikan khas pula sering dipertikaikan kerana usaha melahirkan seorang kelainan upaya yang cemerlang sangat sukar dilakukan. Kecemerlangan  mereka  dinilai  oleh prestasi murid pendidikan khas dalam akademik. Guru perlu sentiasa mengubahsuai proses pengajaran dan pembelajaran termasuk kesediaan menggunakan pelbagai alatan pengajaran bagi mencapai objektif pengajaran. Namun demikian  masa untuk menghasilkan seorang insan yang  cemerlang dalam kalangan kelainan upaya memerlukan masa yang amat panjang. Sikap kebanyakan guru pendidikan khas sendiri yang terlalu mengambil mudah dan tidak menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan tugas. Alasan kerana mengajar pendidikan khas bukanlah satu helah yang baik  untuk tidak memberikan kerjasama dalam organisasi sekolah. Inilah satu cabaran dalam pengurusan pendidikan khas kerana keseluruhan organisasi akan dipandang sepi kerana sikap beberapa orang guru yang sedemikian.
Begitu sukar meletakan satu-satu kepakaran mengikut minat dan kebolehan guru dalam pengurusan pentadbiran. Kepakaran itu boleh diperolehi dengan usaha latihan dan bacaan, kursus, pembelajaran kendiri. Inidividu guru itu sendiri perlu mengapliksikan kepakaran yang ada bersama organisasi lain atau kepakaran itu tidak boleh  dikongsikan dengan orang lain. Ini satu cabaran yang sukar dihadapi kerana ianya bergantung kepada minat dan komitmen guru dalam menjana idea dan perkongsian maklumat. Bekerjasama sebagai   satu kumpulan guru-guru biasa dan guru khas  merupakan satu himpunan  kepakaran  dan  resos  yang  boleh  digunakan  untuk  memenuhi   keperluan kepelbagaian  murid.   Kesepaduan  tenaga  dan  pemikiran  tersebut  akan mengurangkan pergantungan kepada pendekatan  pengasingan.

Pengurusan pendidikan khas perlu melahirkan  personel yang mempunyai kepakaran dan kualiti kerja yang seimbang dengan penampilan peribadi. Cabaran memupuk hubungan baik dengan dalam satu organisasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan daya pengeluaran dalam satu kerja berpasukan. Struktur organisasi perlu membina hubungan baik dan menyediakan latihan bagi meningkatkan semangat kerja berpasukan dan mempertingkatkan kepakaran personel.

3.0 HALATUJU PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS

Halatuju dalam amalan pendidikan  telah jelas dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Khas iaitu satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya,beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Halatuju bermaksud menetapkan sasaran, misi, visi dan objektif keseluruhan dalam sesuatu organisasi.

Pengurusan pendidikan khas dalam sesuatu organisasi akan berjaya apabila terdapat komitmen sepenuhnya terhadap kualiti. Pentingnya melaksanakan visi dan misi haruslah seiring dengan kecemerlangan tindakan. Tribus 1994, dalam buku Mengurus Kualiti Di Sekolah(2004),  mengatakan matlamat hendaklah tetap dan tidak berubah-berubah setiap hari. Justeru itu hasrat organisasi untuk mempunyai hala tuju yang betul perlu selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan misi pendidikan untuk berdepan dengan cabaran-cabaran dalam pendidikan. Secara keseluruhannya perbincangan halatuju dalam konteks pengurusan pendidikan khas merangkumi aspek:

3.1 Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan Khas

Misi Pendidikan Khas menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid dengan keperluan khas untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari,berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara. Visi Pendidikan Khas pula bagi menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada mereka dengan keperluan khas kearah kecemarlangan hidup sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

Pentadbiran pendidikan khas perlu menyusun atur bidang tugas dengan bijak supaya tidak berlaku pertindihan tugas yang boleh menjejaskan kualiti guru dan keseluruhan organisasi. Pembahagian tugas yang adil dan sentiasa memantau pengurusan kerja serta memberikan khidmat bantu  membolehkan seseorang guru itu menjalankan tugas di atas landasan yang betul. Pentadbiran pendidikan khas perlu  mempunyai acuan yang tersendiri dengan gaya kepimpinan yang berkesan. Pentadbiran pendidikan khas perlu melihat secara menyeluruh dari aspek pengurusan kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid, pengurusan kewangan dan pentadbiran. Tugas-tugas tersebut harus difahami dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai penetapan perancangan strategik dengan sumber-sumber yang cukup sesuai dengan keupayaan membangunkan organisasi. Hubngan baik dengan rakan sekerja yang bersedia menerima kritikan, idea dan mencari jalan penyelesaian masalah.

3.2 Personel Dan Kepakaran

Menurut Atan (1991), guru mempunyai tugas yang mulia dan penting kerana di tangan gurulah letaknya rakyat pada masa hadapan.  Jika tugas guru itu dijalankan dengan baik, masyarakat beruntung kerana menjadi rakyat yang berguna tetapi jika berlaku sebaliknya, masyarakat akan menanggung kerugian yang besar.  Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak. Mereka perlu diberi ruang menjalani kehidupan yang bermakna dan mampu menjalani hidup berdikari dalam masyarakat.

Pendidikan Khas adalah pengajaran yang direka bagi memenuhi keperluan pendidikan murid dengan keperluan khas. Pendidikan ini dirancang secara tersendiri, dilaksanakan secara teratur serta dinilai keberkesanannya secara teliti bagi membantu murid dengan keperluan khas mencapai tahap berdikari tinggi dan kejayaan hidup memuaskan. Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), menyatakan bahawa mendidik murid kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran kerana setiap setiap daripada mereka  memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.

Pentadbir pendidikan  khas perlu merupakan seorang yang menjadi pakar rujuk dalam segala aspek. Pengetahuan dan pengalaman adalah gabungan yang boleh memimpin guru-guru lain. Halatuju yang cemerlang memerlukan guru yang mempunyai keperibadian yang unggul, bersikap positif, memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran dan beretika. Guru perlu berusaha meningkatkan profesionalisme keguruan supaya kewibaan dan kebolehan mengendalikan murid-murid pendidikan khas tidak boleh dipertikaikan. Justeru itu keupayaan berkomunikasi dan berkolaborasi dengan semua pihak membawa kepada satu budaya kerja cemerlang dan berkualiti.

Guru pendidkan seharunya berani membuat anjakan minda dan sentiasa membuat pelabagai inovasi dalam pengajaran  sebagai tuntutan atas satu usaha yang bersungguh-sungguh. Kepakaran yang dimiliki menjadi amalan dalam pengajaran dan pembelajaran yang membawa kepada kecemerlangan dalam pendidikan khas. Perkongsian ilmu dapat meningkatkan prestasi kerja dan memperbaiki kelemahan diri. Mohd Taib Hj Dora, 2005 dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesioanal(2010), mengatakan seorang guru itu perlu pakar dalam ilmu pengetahuan dan berkualiti untuk meningkatkan profesion perguruan.

Guru pendidikan khas perlu mempunyai pengurusan emosi dan spiritual yang tinggi supaya dapat mengekalkan kualiti dalam perkhidmatan. Ketrampilan diri  hendaklah seiring dengan kepercayaan pada diri sendiri dan berteraskan iman yang kuat agar tidak kecundang dengan tewas dengan tanggapan negatif pihak lain. Halatuju guru dalam merealisasikan misi Kementerian Pendidikan, khasnya meningkatkan kualiti sekolah ialah guru haruslah sentiasa berusaha meningkatkan taraf professional melalui latihan dalam perkhidmatan, perlaksanaan penyelidikan tindakan secara kolaborasi, membuat refleksi kendiri, memupuk budaya ilmu, menambah ilmu dan kemahiran melalui e-pembelajaran dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang terkini untuk merancang serta melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Seorang guru berkualiti juga perlu mempertingkatkan profesionalisme. Guru harus sedar tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara. Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu dikemaskini setiap masa.  Disamping itu berusaha mengaplikasi kaedah- kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Guru pendidikan khas perlu menyambut baik dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib agar dapat mempertingkatkan keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran yang semakin kompleks ini. Selain itu juga seorang guru perlulah berpengetahuan, berdaya fikir dan berakhlak mulia. Guru yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian.

Guru-guru yang terlibat dalam kelas  inklusif hendaklah  bersedia  untuk menghadapi  sebarang rintangan dan halangan yang mendatang.  Mereka juga perlu belajar  untuk berkompromi dan juga membuat sesuatu yang berlainan sama sekali daripada yang dirancangkan.  Disamping itu juga guru kelas biasa dan guru kelas Pendidikan Khas perlu bekerjasama dan menerima kanak-kanak berpendidikan khas yang mempunyai berbagai-bagai   perbezaan individu. Kedua-dua guru  kelas biasa dan guru khas perlu bersedia untuk menjalankan tugas  dan tanggungjawab yang dipersetujui serta berkesanggupan untuk merancang  dan bekerjasama dalam semua aspek aktiviti dan isu. Penting sekali  adalah kita tidak boleh mengenepikan,  mengabaikan atau mengecilkan pendidikan  kanak-kanak  bekeperluan  khas  ini.  Isu –isu pengasingan dan pelabelan membangkitkan semangat dan kekuatan untuk bangun berdaya saing.

 Murid-murid pendidikan sudah boleh berada dalam kelompok murid-murid biasa dan menjalankan aktiviti kurikulum serta kokurikulum bersama.  Program inklusif  banyak membantu menjadikan mereka berdaya saing dan berketrampilan setanding dengan rakan sebaya.  Justeru itu program inklusif perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya supaya murid-murid pendidikan khas boleh berpeluang membuktikan keupayaan mereka dalam bidang akademik.  Guru pendidikan khas harus berusaha dan  menunjukkan kepakaran dalam pelbagai bidang supaya kebolehan dan kepakaran itu tidak boleh dipertikaikan. Kajian Haniz Ibrahim (1998) mendapati bahawa guru aliran perdana sekolah rendah dan menengah bersikap negatif terhadap pendidikan inklusif. Penerimaan guru aliran perdana terhadap murid yang belum didiagnosis lebih positif berbanding murid yang sudah dilabel dengan sesuatu masalah. 



3.3  Peranan Ibu bapa dan Masyarakat


Kita melihat perkembangan program pendidikan khas masa kini semakin diterima dengan baik.  Sambutan dari pihak ibu bapa sangat menggalakan demi kesedaran dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak istimewa.  Akta pendidikan wajib telah memperlihatkan  kedudukan kanak-kanak kelainan upaya juga berhak diberi pendidikan yang selayaknya seperti kanak-kanak yang seusia mereka.  Bukan mudah bagi pihak ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada orang tidak mereka kenali. Guru sentiasa perlu bersedia memberikan harapan dan menunjukkan kecekapan mereka agar kewibawaan mereka dalam mendidik anak-anak kelainan upaya tidak dipandang remeh.

            Pihak pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai hubungan baik dengan ibu bapa dan sentiasa berkolaborasi demi kejayaan anak-anak pendidikan khas. Keberkesanan dan pemantapan program sangat memerlukan sokongan daripada institusi keluarga dan masyarakat. Pendapat Sharifah Alwiyah Al Sagoff, 1985 dalam buku Kepimpinan Pendidikan di Malaysia92005), mengatakan sekolah dan keluarga perlu mempunyai aspirasi , nilai dan sikap yang ada  kesinambungan antara sekolah dan rumah. Hal ini akan mengeratkan hubungan baik dua pihak dalam mencapai visi pengurusan pendidikan khas. Ibu bapa dan masyarakat juga akan menjadi role model kepada ibu bapa lain dan anak-anak pendidikan khas. Kesediaan ibu bapa dan masyarakat memberi sokongan dalam program-program anjuran sekolah dan penglibatan dalam majlis ilmu seperti seminar ke ibu bapaan membawa kepada hala tuju  yang sama.

            Kerjasama dengan badan-badan sukarela dan NGO akan membuka ruang dan pemikiran yang lebih luas dan terbuka. Disinilah tempat yang paling sesuai untuk mereka bertukar-tukar pendapat, menjana idea dan memberikan kritikan membina dalam usaha memahami keperluan pendidikan masa kini. Kesedaran dalam kalangan mereka merupakan satu sokongan dan berfungsi sebagai penyumbang dalam kemajuan pendidikan. Persepsi ibu bapa dan masyarakat terhadap pengurusan sekolah perlu berubah  mengikut keperluan semasa tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
           

4.0 Rumusan

            Kesimpulannya cabaran dan halatuju pengurusan pendidikan khas perlu seiring.  Isu-isu yang dihadapi bukanlah satu halangan dalam mentadbir sesuatu program. Semua pihak perlu bekejasama dan berganding bahu supaya murid-murid pendidikan khas mendapat peluang dan hak yang sama dalam pendidikan. Kecekapan pengurusan sangat bergantung kepada kebijaksanaan mellaksanakan hal-hal yang berkaitan dengan komunikasi dua hala. Pihak-pihak yang terlibat secara langsung seharusnya diberi pendedahan yang sebaiknya mengenai pengurusan dan pentadbiran pendidikan khas.  Dengan adanya kerjasama dan hubungan baik, maka kecemerlangan murid-murid pendidikan khas sudah pasti dapat ditingkatkan. Pendidkan Khas juga mempunyai murid  yang mempunyai matlamat mencapai kehidupan bermakna dan berketrampilan dengan didikan golongan guru yang inovatif dan kreatif. Berikan ruang kepada mereka untuk menjadi rakyat yang berpendidikan selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Senarai rujukan:
Atan Long.(1991).Isu-isu latihan mengajar:Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Habib,M (2005).,Profil kesediaan guru sekolah menengah terhadap
pelaksanaan perubahan kurikulum.Tesis Ph.D.Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Mohd Taib.(2010).Asas kepimpinan dan perkembangan profesional.Kuala
            Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Mohd,A(2008),Mengurus kanak-kanak yang susah belajar.Kuala Lumpur:PTS
            Profesional Publishing  Sdn. Bhd.

Noriati, A (2010), Guru dan cabaran semasa.Shah Alam:Oxford Fajar.

Razhiyah,K (2008), Menjadi guru pendidikan khas,Kuala Lumpur:PTS
            Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Robiah ,S(1994). Pendidikan di Malaysia: Cabaran untuk masa depan.Kuala
            Lumpur: Fajar Bakti.

Syed Ismail, Ahmad Subki.(2010).Guru dan cabaran semasa.Kuala Lumpur:
            Penerbitan Multimedia.

Zaidatol Akmaliah(2003)Pengurusan dan kepimpinan pendidikan satu langkah
            ke hadapan.Universiti Putra Malaysia:Serdang

Zharulnizam,S (2010),Kepimpinan dan pengurusan pendidikan khas.Kuala
            Lumpur: Utusan Publication.




No comments:

Post a Comment