KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Sunday, 9 December 2012

Prosiding "Seronoknya Belajar Membaca"


SERONOKNYA BELAJAR MEMBACA

Supiah bt Mat Yusof
Pn. Nor Laini bt Che Mat

ABSTRAK

Kajian tindakan ini dijalankan bertujuan untuk membantu  mengatasi masalah kesukaran membaca dalam kalangan murid-murid  masalah pembelajaran spesifik (disleksia) dalam bacaan. Kajian ini turut meninjau  tahap minat dan  tumpuan murid-murid disleksia dalam aktiviti bacaan dengan menggunakan komputer sebagai alat pembelajaran. Model yang digunakan dalam kajian ini ialah Model  Kemmis dan Mc Taggart. Subjek kajian terdiri daripada empat orang murid lelaki yang berumur Sembilan tahun di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abd. Samad, Kuantan. Data dikumpulkan melalui kaedah pemerhatian dan temu bual yang menggunakan instrumen senarai semak dan ujian diagnostik.  Hasil dapatan ditunjukkan dalam bentuk jadual dan graf bagi menunjukkan perbandingan. Dapatan kajian menunjukkan ada sedikit peningkatan semasa MS Power Point digunakan dalam aktiviti bacaan. Begitu juga dengan perubahan minat terhadap aktiviti bacaan. Oleh itu kajian ini telah mencadangkan beberapa penambahbaikkan supaya masalah kesukaran membaca bukan menjadi masalah utama dalam kalangan murid disleksia malah mereka akan lebih berminat untuk membaca.

PENGENALAN
Penguasaan kemahiran asas adalah penting dalam peringkat persekolahan sekolah rendah. Termasuk juga dalam kalangan murid-murid pendidikan khas yang mempunyai potensi dan boleh berdaya saing seperti disleksia. Murid-murid disleksia sering ditemui mempunyai masalah dalam bacaan. Beberapa kajian mengatakan mereka menghadapi kesukaran dalam pemerolehan mengenal perkataan, kemahiran mengeja dan membaca petikan. Kesukaran tersebut akan berterusan sekiranya mereka tidak mempunyai minat dalam aktiviti bacaan. Masalah yang dihadapi akan menyekat perkembangan bahasa, kefahaman dan kemahiran membaca diperingkat seterusnya. Oleh itu guru pendidikan khas adalah pemangkin utama dalam meningkatkan perkembangan bahasa dan kemahiran membaca sesuai dengan keperluan murid disleksia. Kebanyakan mereka tidak dapat menguasai kemahiran membaca akan menghadapi masalah  dalam pembelajaran dan seterusnya merencatkan tahap keintelektualan seseorang kanak-kanak.

 

Kesukaran membaca yang dihadapi oleh murid disleksia sangat tinggi terutama dalam komponen perkataan dan ayat-ayat dalam petikan. Mereka juga bermasalah membezakan huruf dan perkataan dari ayat dan dari perenggan. Kesukaran membaca dalam kalangan murid-murid disleksia ini telah menyebabkan mereka gagal memperolehi maklumat dan menghadkan kebolehan belajar mereka dalam kelas inklusif. Kekurangan yang tersembunyi ini menyebabkan mereka mengalami kesukaran menamakan sesuatu, kesukaran mengingat susunan sukukata sehingga kurang upaya menyebut perkataan yang panjang. Kesimpulananya kemahiran membaca merupakan komponen yang perlu dikuasai oleh murid-murid masalah pembelajaran disleksia kerana dikatakan tahap keupayaan mereka hampir sama dengan murid biasa.



FOKUS KAJIAN
Kebanyakan murid-murid disleksia yang menghadapi masalah dalam bacaan akan menghadapi masalah dalam tulisan. Kajian ini telah mengenalpasti masalah utama yang dihadapi oleh mereka. Melalui pemerhatian dan ujian diagnostik yang dijalankan, saya dapati mereka akan menghadapi masalah yang ketara apabila membaca petikan.  Ayat-ayat yang kompleks merupakan satu kesukaran untuk dibaca dengan lancar. Kelemahan dalam pengamatan menyebabkan mereka kurang berminat dalam aktiviti bacaan. Berbagai kesalahan kerap dilakukan semasa membaca  seperti tidak menghiraukan tanda baca, menggugurkan perkataan, menggantikan perkataan, menambah perkataan pada bacaannya, melangkau baris dan kesukaran membaca perkataan diftong dan digraf.
 Menurut  Modul Khusus Masalah Pembelajaran Spesifik (2007), beberapa kesalahan yang seing dilakukan oleh murid disleksia adalah seperti kesukaran belajar berbahasa, ketidaksinambungan dengan kebolehan intelektual, tidak lancar ketika membaca sesuatu bahan bercetak, tidak dapat menulis dengan lancar dan tepat, mata cepat penat, dan daya tumpuan yang rendah.
OBJEKTIF KAJIAN
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk:
1.         Membantu mengatasi  masalah kesukaran membaca dalam kalangan murid disleksia.
2.         Meningkatkan penguasaan kemahiran membaca dalam kalangan murid  disleksia.
3.         Meningkatkan   minat murid disleksia dalam kemahiran membaca melalui pembelajaran berbantukan komputer.


SOALAN KAJIAN:

1.         Sejauhmanakah  kesukaran membaca yang dialami oleh murid disleksia dapat diatasi?
2.         Bagaimanakah kemahiran membaca murid-murid disleksia dapat ditingkatkan?
3.         Bagaimanakah minat murid-murid  disleksia dalam membaca dapat ditingkatkan melalui  pembelajaran berbantukan komputer?

KEPENTINGAN KAJIAN:

            1.         Meningkatkan keupayaan membaca murid-murid disleksia.
            2.         Meningkatkan minat murid-murid disleksia dalam aktiviti membaca.
            3.         Memperbaiki amalan dan membantu guru lain dalam menyelesaikan masalah
 kesukaran membaca dalam kalangan murid-murid disleksia.

SOROTAN LITERATUR

Kajian yang saya laksanakan ini bertujuan untuk membantu mengatasi  masalah kesukaran membaca dan meningkatkan minat murid dalam bacaan. Saya telah mengaplikasikan teori Behaviorisme dalam melaksankan intervensi bagi menangani masalah tersebut. Menurut Levinson(1994)dalam Rosdi bin Aziz (2011), murid disleksia  kebanyakannya tidak dapat mengimbangi daya mengingati huruf  dan gabungan perkataan kerana mereka mudah lupa.  Semasa membaca mereka tidak dapat mengimbas huruf, perkataan atau ayat dan menyebabkan mereka sering meninggalkan atau melangkau setiap perkataan yang dibaca. Oleh yang demikian mereka tidak dapat memahami bahan bacaan yang sedang dibaca kerana tiada tumpuan dan lemah pemahaman pada bacaan.

Holmes(1999) dalam Shamsudin bin Ali (2011), mengatakan pengajaran berbantukan komputer melibatkan interaksi pengajaran secara terus antara komputer dengan murid. Antara strategi yang sesuai dijalankan menggunakan kaedah berbantu komputer  adalah seperti latih tubi, simulasi,  dan  pengajaran multimedia. Kurt Y. Michael (1990) dalam Mohd Radzi bin Isa (2011), telah mencirikan beberapa kebaikan – kebaikan yang menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan kajian-kajian diatas, pembelajaran berbantukan komputer dapat mernarik minat murid dan memberikan tumpuan lebih lama dalam aktiviti bacaan.

PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN TINDAKAN

Model Kemmis dan McTaggart(1988), mempunyai empat peringkat dalam melaksanakan kajian tindakan. Huraian dan perbincangan adalah berdasarkan peringkat model yang telah saya aplikasikan dalam kajian. Peringkat-peringkat tersebut ialah merefleksi, merancang, tindakan dan memerhati.

            1. Merancang

Sebelum melaksanakan tindakan, saya telah merancang membuat refleksi pengajaran lepas. Masalah dikenalpasti dengan membuat pemerhatian awal terhadap sesi pengajaran saya dan rakan guru lain. Saya telah menggunakan instrumen senarai semak dalam mengumpul seberapa banyak maklumat mengenai kesukaran membaca dan minat murid terhadap aktiviti bacaan. Dari keseluruhan kelas saya telah mendapati 4 orang murid disleksia mempunyai masalah kesukaran yang tinggi.

            2.Bertindak

Pada peringkat ini, saya telah merancang tindakan bagi  membantu saya mencapai objektif  kajian. Perancangan ini adalah bagi tujuan untuk mencapai objektif  kajian yang dilaksanakan. Saya telah memilih menggunakan MS Power Point bagi meningkatkan kemahiran bacaan dan ransangan bagi menarik minat murid disleksia terhadap bacaan. Saya telah menjalankan ujian pra dengan menggunakan instrument ujian diagnostik bagi mengenal pasti kesukaran murid disleksia dalam bacaan. Ujian diagnostik ini dirujuk kepada kepada Jordan Oral Screening Test  (JOST) yang boleh digunakan sebagai panduan ujian diagnostik  untuk menilai tahap bacaan. JOST mengandungi 12 tahap bacaan daripada yang mudah hingga yang abstrak, Vijaya (2008). Hasil ujian pra telah menunjukkan sampel kajian saya mengalami masalah kesukaran membaca yang sangat tinggi. Berikut adalah prosedur tindakan yang saya jalankan:
Langkah 1        :  Pemerhatian awal dan senarai semak
Langkah 2        :  Ujian Pra / ujian diagnostik
Langkah 3        :  Pengajaran dan pembelajaran
                                                Latih tubi membaca petikan 1
                                                Latih tubi membaca petikan 2
                                                Latih tubi membaca petikan 3
Langkah 4        :  Ujian Pos / ujian diagnostik
Langkah 5        :  Mengumpul dan menganalisis data
Langkah 6        :  Rumusan dan refleksi

            3.       Memerhati

Dalam melaksanakan tindakan, saya telah merancang  beberapa siri aktiviti lisan iaitu bacaan kuat dengan menggunakan MS Power Point. Beberapa petikan teks dimuatkan dalam slaid dengan ayat-ayat yang mudah. Petikan 1 yang saya warnakan perkataan mengikut pecahan suku kata. Petikan 2 pula adalah aktiviti bacaan peringkat kedua. Petikan 3 pula saya menggunakan grafik bagi memudahkan bacaan. Aktiviti bacaan ini dijalankan beberapa sesi iaitu sebelum rehat dan selepas rehat serta di dalam kelas dan bilik akses. Tindakan sedemikian bagi merangsang minat murid dalam aktiviti bacaan. Senarai semak digunakan semasa saya membuat pemerhatian ke atas sesi pengajaran yang berjalan.  Dapatan dinilai dengan analisa  perbandingan dalam ujian pra dan ujian pos bagi melihat peningkatan yang berlaku.  Saya juga menembual mereka bagi mengetahui minat mereka dalam aktiviti bacaan sebelum dan selepas intervensi dijalankan.Saya telah mengumpul dapatan untuk dianalisis selepas ujian pos. Berikut  adalah prosedur tindakan yang telah saya jalankan:


            4.         Mereflek

Selepas beberapa siri aktiviti dijalankan, saya  mula mengumpul data melalui pemerhatian dan temubual serta ujian pos dalam menilai keberkesanan tindakan yang saya jalankan. Hasil ujian pos telah menunjukkan kesukaran membaca dapat diatasi  dan peningkatan murid dalam aktiviti bacaan dan melihat pengaruh komputer boleh menarik minat mereka dalam pembelajaran. Dapatan yang diperolehi digunakan untuk membuat rumusan dan penambahbaikan.

DAPATAN DAN REFLEKSI

Data-data dalam kajian ini yang dikumpul melalui senarai semak, pemerhatian dan temubual. Dapatan data ini membantu saya melihat sedikit perubahan peningkatan dalam aktiviti membaca sebelum dan selepas intervensi dijalankan.

Analisis menunjukkan masalah kesukaran murid disleksia dalam bacaan dan perbandingan sebelum dan selepas aktiviti bacaan dijalankan. Ianya ditunjukkan dalam bentuk jadual dan graf.

Jadual 1: Perbandingan sebelum dan selepas aktiviti bacaan dijalankan
Bil.
Sebelum aktiviti dijalankan
Semasa aktiviti dijalankan
Murid A
6 ayat
8  ayat
Murid B
5 ayat
8  ayat
Murid C
5 ayat
         7 ayat
Murid D
4 ayat
6 ayat



                       




Merujuk kepada  instrumen senarai semak  yang telah digunakan  saya mendapati ada berlaku peningkatan dalam penguasaan kemahiran membaca. Antaranya ialah murid A dari 6 ayat telah dapat membaca kepada 8 ayat, murid B dari 5 ayat kepada 8 ayat juga, murid C dari 5 ayat kepada 7 ayat dan murid D dari 4 ayat kepada 6 ayat. Dapatan ini telah membuktikan bahawa objektif kajian  mengenai mengatasi masalah kesukaran membaca dan meningkatkan penguasaan kemahiran membaca dalam kalangan murid disleksia telah tercapai.

Temubual dijalankan untuk mengenalpasti minat dan kemampuan bacaan murid dalam pembelajaran. Ianya dijalankan secara separa berstruktur dan murid bebas memberikan pendapat. Sepanjang sesi temubual ini saya telah menggunakan senara semak bagi mencatat dapatan mengenai  minat dalam kemahiran membaca. Dari dapatan tersebut maka dapat rumuskan dalam bentuk jadual dan graf bagi menunjukkan perbandingan  temu bual  sebelum dan selepas aktiviti bacaan dijalankan.

Jadual 2:  Dapatan perbandingan minat murid pada sebelum dan selepas aktiviti bacaan dijalankan.

Bil
Murid
% sebelum
% selepas
1.
Murid A
10
15
2.
Murid B
6
12
3.
Murid C
8
10
4.
Murid D
5
8










Berdasarkan pada dapatan yang diperolehi ini, saya melihat ada perubahan minat murid terhadap aktiviti bacaan. Penggunaan komputer sebagai satu rangsangan untuk mengekalkan tumpuan. Perbincangan ini adalah berdasarkan dapatan kajian yang telah dijalankan dan membincangkan masalah kesukaran membaca dalam kalangan murid disleksia. Perbincangan juga memperlihatkan  aktiviti bacaan dengan menggunakan MS power point  yang dijalankan dalam proses pembelajaran dapat membantu meningkatkan minat murid dalam aktiviti membaca. Objektif  untuk meningkatkan minat murid dalam aktiviti bacaan telah tercapai.

Kesukaran membaca ini akan memberi kesan terhadap kemahiran menulis  kerana mereka tidak dapat menzahirkan pemikiran mereka secara bertulis.  Menurut Levinson(1994) dalam Rosdi bin Aziz (2011), murid disleksia  kebanyakannya tidak dapat mengimbangi daya mengingati huruf  dan gabungan perkataan kerana mereka mudah lupa. Semasa membaca mereka tidak dapat mengimbas huruf, perkataan atau ayat dan menyebabkan mereka sering meninggalkan atau melangkau setiap perkataan yang dibaca. Keseronokan belajar akan memupuk minat serta menanamkan sikap yang positif terhadap pembelajaran. Sikap yang positif terhadap pembelajaran akan membawa kepada peningkatan pencapaian murid. Ini adalah selari dengan pendapat Rusmini Ku Ahmad (2003), yang menyatakan pengenalan kepada perisian komputer   telah membawa sikap yang positif dalam kalangan murid. Pembelajaran  berbantukan komputer menimbulkan sifat ingin tahu dan  murid mampu membina pengetahuan sendiri secara semulajadi.

KESIMPULAN
Keseronokan belajar akan memupuk minat serta menanamkan sikap yang positif terhadap aktiviti bacaan.  Menurut Rusmini(2003), yang menyatakan pengenalan kepada perisian komputer   telah membawa sikap yang positif dalam kalangan murid. Pembelajaran  berbantukan komputer menimbulkan sifat ingin tahu dan  murid mampu membina pengetahuan sendiri secara semulajadi. Hasil dapatan kajian mendapati murid –murid pendidikan khas bersedia dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang boleh meningkatkan minat dan tumpuan mereka. Adalah diharapkan kesukaran yang dihadapi oleh murid disleksia akan dapat diatasi dengan keberkesanan pembelajaran berbantukan komputer. Sekaligus mereka boleh berdaya saing dalam bidang akademik.  Usul dan cadangan pemurnian kaedah ini dapat membantu murid-murid disleksia meningkatkan kemahiran membaca dalam aktiviti membaca. Sekiranya tempoh masa kajian ini dilanjutkan saya percaya masalah ini dapat diatasi dengan sebaiknya. Akhir sekali kajian ini diharapkan melahirkan insan istimewa yang berketrampilan dan berdaya saing mengikut tahap keupayaan dan kebolehaan mereka selari dengan Falsafah Pendidikan Khas dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
SENARAI RUJUKAN
Abdul Rahim , Noor Aini & Kamaliah.(2005). “Aplikasi Pengajaran dan Pembelajaran
            Komputer untuk Pelajar Berkeperluan Khas”. Prosiding ICT Education.Putra Jaya:
            Universiti Multimedia.

Chua , Koh. (1992). Pendidikan Khas dan Pemulihan: Bacaan Asas. KualaLumpur: Dewan
            Bahasa dan Pustaka.

Tam. (2007). Kajian Tindakan : Kaedah dan praktikal. Institut Perguruan Raja Melewar. Negeri
            Sembilan.

Effandi Zakaria. (2004). Mengurus Kanak-kanak yang Susah Belajar. Pahang,: PTS Professional
            Publishing Sdn. Bhd.

Kementerian Pendidikan Malaysia.(2007).Modul khusus pendedahan bermasalah
            pembelajaran spesifik.Jabatan Pendidikan Khas: Kuala Lumpur.

Mercer, C.D. (1997). Students with learning disabilities. U.S.A: Merrille Prentice
            Hall.Miles, T.R 1983.Dylexsia: The Pattern Of Difficullties Blackwell:Oxford

Mohd Razi. (2011). Keberkesanan pengajaran sains menggunakan perisian komputer dalam
                 kalangan murid tahun 4. Tesis tidak diterbitkan. Projek Sarjana Pendidikan .OUM

Nik Aida.(2006).  Kajian Tindakan Dalam Pendidikan: Sikap guru program disleksia terhadap        penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran: Fakulti         Pendidikan.Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi.

Rusmini.(2003). Intergrasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran
dan pembelajaran. Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan. Institut   Aminudin Baki. Jilid 13,Bil.01.82-91

Vijayaletchumy.(2008). Disleksia dalam konteks pembalajaran         bahasa di Malaysia.Tesis tidak diterbirkan. Universiti Putra Malaysia.

Zainal Kassab,Suhaila Abdullah.( 2010). Pendidikan Disleksia. Penerbitan Multimedia.
            Selangor.

2 comments:

  1. Perkongsian ilmu yg sgt membantu.terima kasih

    ReplyDelete
  2. Asmkm, perkongsian ilmu yg sgt membantu saya yg mempunyai ank saudara disleksia.terima kasih

    ReplyDelete