MAKSUD
LITERASI BAHASA
LITERASI
bahasa atau dalam bahasa Melayu pernah juga disebut sebagai "kenal
huruf" atau "celik huruf" bermaksud kemampuan minimum untuk
membaca dan menulis dalam suatu bahasa. Penulis tidak menggunakan istilah kenal
huruf dalam makalah ini kerana maksud kenal huruf akan terpesong apabila
perbincangan tentang konsep literasi dikupas secara terperinci, dan merangkum
bukan sahaja mengenal huruf dan dapat menulis semula huruf tersebut secara
mekanis. Konsep literasi bahasa lebih meluas daripada istilah kenal huruf yang
kita ketahui selama ini apabila perbincangan menyentuh aspek pemahaman bacaan
dan penulisan yang berkesan, serta menggunakan daya pemikiran yang kritis dan
analitis dalam pembacaan dan penulisan. Pada suatu ketika dahulu seseorang yang
tahu membaca dan menulis namanya sendiri dianggap telah mempunyai keupayaan
literasi bahasa. Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNESCO) mendefinisikan orang yang mempunyai keupayaan literasi sebagai
orang yang 99 membaca dan menulis suatu pernyataan yang pendek dan mudah dalam
kehidupan hariannya. Namun demikian, kita harus sedar bahawa banyak orang yang
dapat membaca sesuatu pernyataan yang ditulis di tempat-tempat awam dengan
lancar seperti papan tanda di hadapan gedung membeli belah, tanda jalan,
peraturan jalan raya dan sebagainya, baik dalam bahasa Melayu atau bahasa
Inggeris, tetapi mereka masih tidak mempunyai keupayaan literasi yang dapat
membantu mereka menggunakan kemahiran membaca dan menulis tersebut dalam
kehidupan harian mereka sepenuhnya kerana kelemahan mereka dalam menguasai
kemahiran bahasa tersebut. Tahap keupayaan membaca dan menulis bagi mengukur
tahap literasi sebenarnya semakin meningkat selaras dengan peredaran masa dan
meningkatnya kemajuan masyarakat menggunakan bahan bercetak dan sumber maklumat
pelbagai media. Bidang kemampuan literasi pun semakin hari semakin bertambah
apabila sesuatu masyarakat menempuh arus kemajuan dalam pelbagai bidang
kehidupan. Keupayaan literasi yang lebih luas ini dapat dihubungkan dengan
literasi budaya, literasi ekonomi, literasi undang-undang, literasi teknologi
maklumat, dan sebagainya. Semakin maju sesuatu masyarakat, semakin banyak
bidang kehidupan yang perlu diketahui oleh anggotanya. Bagi menjadikan tahap
literasi bahasa berfungsi dalam kehidupan hariannya, seseorang itu haruslah
dapat memanfaatkan kebolehan membaca dan menulis sepenuhnya dan berterusan bagi
tujuan pembentukan dirinya dan penglibatan diri dengan masyarakatnya.
LITERASI
BERFUNGSI
LITERASI
berfungsi bermaksud kemampuan menggunakan set minda untuk memanfaatkan
kemampuan membaca dan menulis dalam kehidupan harian dengan lebih bermakna. Hal
ini bermaksud, sekiranya seseorang itu dapat memberikan apa-apa makna dan kesan
terhadap mindanya, atau mempengaruhinya supaya mengambil sesuatu tindakan, maka
proses literasi berfungsi masih tidak berlaku. Hal ini jelas dapat dilihat
dalam situasi orang yang dapat membaca dengan lancar dalam sesuatu bahasa yang
tidak dikuasainya, menjadikan pembacaannya tidak mendatangkan apa-apa makna,
dan tidak pula mendapat apa-apa faedah atau pengajaran daripada apa-apa yang
dibacanya. Tahap literasi berfungsi berbeza-beza juga menurut sejauh mana
pertalian dapat dilakukan antara si pembaca dengan bahan yang dibacanya. Kadangkala
si pembaca hanya dapat memanfaatkan bahan yang dibacanya pada tahap pemahaman
sahaja, iaitu mengetahui maksud perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat
sesuatu teks yang dibaca. Proses literasi berfungsi begini berlaku pada tahap
yang rendah. Pada tahap yang lebih tinggi, proses literasi berfungsi berlaku
apabila si pembaca dapat membuat taakulan, penilaian, dan penghayatan terhadap
bahan yang dibacanya. Pada tahap ini si pembaca bukan sahaja dapat memberikan
makna perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat, tetapi dapat pula membuat
ulasan, analisis, dan sintesis terhadap bahan yang dibacanya. Pada tahap ini,
pembaca bukan sahaja dapat memanfaatkan maklumat yang diperoleh daripada bahan
bacaan, malah dapat pula menghalusi bahasa yang digunakan penulis. Tindak balas
pembaca secara eferen dan estetik (Rosenblatt 1978) terhadap bahan bacaan
adalah matlamat yang harus dicapai dalam pembacaan pada peringkat tertinggi.
Tindak balas secara eferen bermaksud pembaca meneliti bahan bagi mendapatkan
maklumat daripada bahan yang dibaca supaya dapat dijadikan panduan untuk
mengambil tindakan, seperti membaca manual mesin basuh pakaian yang baru dibeli
bagi menggunakan mesin tersebut. Tindak balas estetik pula dilakukan bagi
menikmati bahan bacaan dari sudut keindahan bahasa yang digunakan penulis dalam
bahan penulisannya.
PEMBELAJARAN
LITERASI BAHASA
LITERASI
bahasa ialah kemampuan menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa, iaitu
mendengar, bertutur (kecuali bagi mereka yang mempunyai kecacatan kekal pendengaran
dan pertuturan), membaca, menulis, dan berfikir. Kemahiran-kemahiran tersebut
perlu berlaku serentak dan bukan terpisah-pisah. Kemahiran berfikir mendampingi
keempat-empat kemahiran asas bahasa tersebut. Oleh hal yang demikian, bagi
membantu murid-murid membina dan menguasai literasi bahasa, guru perlu
mengambil kira bahawa setiap komponen kemahiran yang dinyatakan tidak
diabaikan. Setiap kemahiran seharusnya tidak diajarkan secara berasingan atau
diajarkan dalam tajuk yang terpisah-pisah kerana kesemua aspek kemahiran
tersebut terbina secara bersepadu dan saling bantu-membantu antara satu sama
yang lain. Kekurangan pada satu aspek akan menyebabkan berlakunya kekurangan
pada aspek yang lain.
Pada
masa yang lalu, penekanan terhadap aspek bacaan dilakukan pada peringkat awal
persekolahan lagi. Kanak-kanak diajarkan menghafal huruf A hingga Z dan dilatih
tubi dengan membaca carta huruf dan kad imbas supaya dapat menguasai bacaan
berdasarkan suku kata yang terkandung dalam bahasa Melayu. Penekanan kemahiran
bacaan secara ini tertumpu pada tahap mengenal huruf semata-mata, sehingga
kanak-kanak hanya mempunyai kemampuan menyebut perkataan yang ditunjukkan
menerusi carta atau kad imbas tersebut tanpa mengaitkan bahan yang dibacanya
dalam satu situasi yang lebih bermakna. Perkembangan pendidikan bahasa Melayu
di sekolah pada masa yang sama juga percaya bahawa kanak-kanak perlu belajar
membaca terlebih dahulu sebelum diajarkan kemahiran menulis. Pengajaran
penulisan secara bermakna hanya berlaku setelah pelajar memasuki tahun kedua
persekolahan. Penulisan karangan hanya diperkenalkan kepada pelajar pada tahun
tiga atau empat. Kelewatan mendedahkan pelajar pada pengalaman membaca dan
menulis dalam situasi yang sebenar menyebabkan menguasai kedua-dua kemahiran tersebut
terbantut. Kajian yang dijalankan membuktikan bahawa sekiranya pelajar lambat
didedahkan kepada kemahiran membaca dan menulis yang sebenar, dan tidak dapat
menguasai kedua-dua kemahiran tersebut pada akhir tahun ketiga persekolahan,
mereka bukan sahaja akan terus ketinggalan dalam kemahiran membaca dan menulis
tetapi juga dalam semua aspek akademik pada peringkat yang lebih tinggi.
Kanak-kanak
pada usia awal persekolahan perlu didedahkan kepada pengalaman membaca dan
menulis yang sebenar secara bersepadu. Melatih tubi dengan kad imbasan atau
carta huruf yang disediakan oleh guru tidak mencukupi bagi mengayakan mereka
dengan pengalaman tersebut. Mereka perlu disuakan dengan bahan bacaan yang
diterbitkan dalam bentuk yang asal seperti buku cerita yang mempunyai tema dan
mesej yang tertentu, di samping mengandungi pelbagai ilustrasi yang menarik.
Mereka perlu juga diberikan peluang menyalurkan apa-apa yang terkandung dalam
pemikiran mereka dalam bentuk lisan atau penulisan dengan kemampuan yang ada
pada peringkat usia mereka sendiri. Sungguhpun sebahagian daripada hasil
penulisan mereka itu nanti berbentuk cakaran huruf yang tidak jelas, tidak
tepat, dan tidak membawa maksud yang tertentu, latihan begini perlu sebagai
langkah awal bagi membina pengalaman yang lebih kukuh pada peringkat yang lebih
matang. Semakin banyak seseorang kanak-kanak itu mencuba, semakin kukuh
kepercayaannya menyungkil makna daripada bahan yang bercetak dan menyampaikan
maksud menerusi alat tulis dan kertas yang digunakannya. Ejaan ciptaan yang
digunakan kanak-kanak pada peringkat awal ini menjadi asas bagi memperkenalkan
alam penulisan yang sebenar pada peringkat yang lebih dewasa. Contoh pengajaran
guru pada awal makalah ini menunjukkan bagaimana guru tersebut menggunakan buku
cerita Anak Ayam dengan Sang Musang dalam pengajaran bacaan dan
pemahaman bacaannya secara interaktif. Murid-murid yang terlibat secara
langsung mendengar bacaan guru, membuat taakulan, dan memberikan pandangan
secara lisan. Seterusnya, dalam aktiviti perbincangan secara kumpulan,
murid-murid menulis, dan mengemukakan pandangan masing-masing dalam kumpulan
kecil dan dalam bilik darjah. Cara begini mengukuhkan pengalaman literasi
mereka secara langsung.
PENAMPILAN
LITERASI
PADA
masa yang lalu, pendidik bahasa dan bacaan kerap berbicara tentang
"kesediaan membaca" di kalangan kanak-kanak peringkat awal
persekolahan. Mereka berpendapat bahawa pengajaran bacaan hanya dapat
dijalankan sekiranya pelajar dapat menguasai satu set kemahiran asas sebagai
persediaan untuk menguasai kemahiran membaca. Sebagai contoh, kemahiran
mengenal semua huruf seperti yang dibincangkan pada bahagian sebelum ini.
Mereka percaya bahawa kegagalan menguasai prasyarat kemahiran asas ini akan
menggagalkan kemahiran yang seterusnya. Seterusnya mereka percaya bahawa
penumpuan yang perlu dibuat pada peringkat awal usia kanak-kanak yang baru
mengenali literasi ialah pada aspek pembacaan. Hal ini bermaksud juga bahawa
penulisan (kecuali pembentukan huruf secara mekanis dan tulisan tangan) perlu ditangguhkan
sehingga pelajar telah mencapai kemahiran membaca sepenuhnya. Berdasarkan
kepercayaan inilah guru Bahasa Melayu yang mengajar tahap satu atau dua
menekankan aspek kemahiran "mengenal huruf" dalam pengajaran mereka.
Guru yang mendokong kepercayaan ini berpendapat bahawa pelajar perlu
mempelajari teknik membaca, bukan menguasai kemahiran membaca.
Konsep
penampilan literasi dicetuskan daripada kajian-kajian yang dijalankan oleh M.M.
Clay (1967), tokoh bahasa dari New Zealand. Kajian-kajian beliau menekankan
aspek penguasaan bahasa dan tabiat membaca pada peringkat awal kanak-kanak
hinggalah ke alam remaja. Penampilan literasi bermaksud kanak-kanak membina
kemahiran membaca dan menulis tanpa titik permulaan atau pengakhiran. Kedua-dua
kemahiran tersebut terbina secara serentak dan saling bergantung antara satu
sama yang lain tanpa turutan yang tertentu (Strickland 1990; Teale dan Sulzby
1986). Hal ini bermaksud, literasi tampil dalam diri seseorang individu secara
berterusan, tanpa prasyarat mengenal huruf, dan terbina secara bersepadu antara
kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, dan berfikir. Walau
bagaimanapun, proses ini bermula lama sebelum seseorang kanak-kanak memasuki
alam persekolahan - menerusi aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang diperoleh
dalam kehidupan hariannya dan interaksinya dengan rakan sebaya dan orang yang
lebih dewasa (Goodman 1986). Pemelajaran literasi melibatkan kesemua ciri
proses komunikasi - membaca, menulis, bertutur, mendengar, dan berfikir. Hal
ini bermaksud kanak-kanak membina kefahaman membaca dengan berkongsi
bahan-bahan bacaan yang bermakna bagi mereka dengan rakan sebaya atau orang
yang lebih dewasa.
PENGUASAAN
BAHASA SECARA HOLISTIK
SEPERTI
yang dinyatakan di atas, proses menguasai bahasa adalah berterusan dan tidak
ada batasannya. Setiap waktu kita akan terus mempelajari aspek bahasa yang baru
menerusi interaksi dan pengalaman yang kita lalui. Oleh itu, penguasaan bahasa
adalah satu proses sosial dan aktif (Cook-Gumprez 1986, Wells 1990). Dalam
keadaan normal, seseorang kanak-kanak akan dapat menguasai tatabahasa asas
bahasa ibundanya sebelum mencapai ulang tahun kelahirannya yang ketiga. Ketika
memasuki kelas Tadika dan Tahap Satu persekolahan, mereka telah mempunyai asas
bahasa yang kukuh, walaupun mungkin ada antara mereka yang menguasai bahasa
yang tidak bersesuaian dengan bahasa yang perlu digunakan di alam persekolahan
tersebut seperti kanak-kanak yang bukan penutur jati bahasa Melayu dan juga
mereka yang menggunakan dialek daerah atau negeri tertentu. Guru harus sedar
akan perbezaan ini bagi memastikan kanak-kanak ini tidak terpinggir kerana
tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran yang baru ditempuh
mereka pada peringkat awal persekolahannya. Walau bagaimanapun, perbezaan ini
tidak akan menyekat konsep yang ditegaskan pada awal-awal lagi, iaitu kemahiran
literasi terbina daripada penguasaan bahasa yang dipunyai oleh kanak-kanak
secara semula jadi, dan penguasaan literasi perlu dijalankan secara holistik.
Mereka berhak memperoleh kemahiran literasi berasaskan bahasa yang dibawa dari
rumah ke sekolah, walaupun bahan yang digunakan mungkin mempunyai beberapa
perbezaan yang jelas berbanding dengan bahasa mereka. Tugas guru ialah
mengendalikan jurang perbezaan yang terdapat antara kedua-dua bahasa tersebut.
Pada
peringkat awalnya tentulah mereka akan menempuh pelbagai kesukaran dan banyak
melakukan kesilapan dalam proses menguasai "bahasa baru" yang
digunakan di alam persekolahan, terutama bagi kanak-kanak yang bukan penutur
jati bahasa Melayu atau yang menggunakan dialek daerah dan negeri. Banyak teori
penguasaan bahasa yang telah dibincangkan oleh ahli psikologi dan ahli
linguistik. Golongan nativists percaya bahawa kanak-kanak menguasai
bahasa secara semula jadi tanpa perlu dilatih atau dipaksa (Chomsky 1965). Hal
ini bermaksud kanak-kanak akan menguasai bahasa seperti mereka menguasai
kemahiran merangkak, kemudian bertatih, dan akhirnya berjalan. Bahasa dikuasai
kerana memberikan makna dan kemudahan berinteraksi dalam kehidupan kanak-kanak
tersebut, seperti berjalan memberikan mereka kemudahan untuk bergerak ke merata
tempat. Teori ini banyak dipersoalkan kerana terdapat beberapa kes kanak-kanak
tidak menguasai bahasa kerana mereka tidak terdedah kepada bahasa yang
digunakan oleh manusia. Hal ini membuktikan bahawa bahasa tidak dapat dikuasai
secara semula jadi, tanpa penglibatan sosial yang aktif antara manusia.
Mereka
yang mendokong pandangan dari sudut pembangunan kognitif pula berpendapat
bahawa kanak-kanak menguasai bahasa secara berperingkat-peringkat (Piaget dan
Inhelder 1969) dan setiap peringkat harus dilalui dan dikuasai sepenuhnya
sebelum mereka dapat meningkatkan kemahiran pada peringkat yang seterusnya.
Tokoh bahasa Rusia yang disebut di atas, iaitu Vygotsky, percaya bahawa kanak-kanak
akan dapat menguasai kemahiran berbahasa dengan bantuan orang dewasa. Konsep
"sokongan" yang disarankan oleh Vygotsky ialah satu konsep yang
menegaskan bahawa kanak-kanak perlu menerima sokongan daripada orang dewasa
bagi menguasai kemahiran asas berbahasa. Apabila mereka telah mempunyai asas
bahasa yang kukuh ini, maka sokongan tersebut secara beransur-ansur akan
dilepaskan. Konsep ini samalah seperti kita membina bangunan konkrit, yang
memerlukan sokongan pada setiap bahagian bangunan tersebut. Apabila konkrit
telah kering dan kukuh, sokongan akan ditanggalkan dan bangunan akan dapat
berdiri dengan sendiri.
Oleh
hal yang demikian, menurut teori ini, pada peringkat awal kanak-kanak
mempelajari kemahiran berbahasa, interaksi mereka dengan orang dewasa amatlah
penting. Penguasaan bahasa mereka bergantung pada kebiasaan bahasa yang
digunakan oleh orang dewasa yang paling rapat dengan mereka. Jika mereka
menerima sokongan bahasa yang kasar, maka asas pertuturan mereka juga akan
menjadi kasar. Halliday (1975) berpendapat bahawa penguasaan bahasa adalah
proses aktif yang berlaku apabila kanak-kanak mencuba menggunakan bahasa yang
betul menerusi kemampuan mereka meniru. Dalam proses ini, mereka akan melakukan
kesilapan, dan pembetulan terhadap kesilapan tersebut dibuat secara
berperingkat-peringkat. Dengan cara inilah mereka dapat menguasai bentuk bahasa
yang betul.
Menerusi
teori ini kita dapat memahami bagaimana bahasa dikuasai. Secara ringkasnya,
kita mempelajari bahawa bahasa dikuasai:
- Apabila bahasa itu mengandungi makna.
- Menerusi interaksi dengan rakan sebaya atau orang dewasa.
- Dengan melakukan taakulan yang aktif.
- Pada kadar yang berbeza dan menerusi peringkat-peringkat tertentu walaupun mereka akan menerusi peringkat penguasaan yang sama.
Berdasarkan pengetahuan terhadap proses penguasaan bahasa ini kita
dapat merangka satu program pengajaran literasi Bahasa Melayu berasaskan konsep
meningkatkan perkembangan pemahaman bacaan dan kebolehan menulis. Proses
pemelajaran literasi dalam program ini akan menekankan aspek penguasaan bahasa
dan literasi secara bersepadu, bermakna, dan berterusan. Seterusnya, kita akan
dapat merangka bagaimana prinsip asas pengajaran literasi bahasa dapat digubal
berdasarkan teori-teori yang dibincangkan di atas.
No comments:
Post a Comment