KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Wednesday 18 July 2012

PERANAN SENI DALAM PENDIDIKAN


Peranan Seni dalam Pendidikan
Mengikut Dr. Sharifah Norul Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan di rujuk sebagai “3R” iaitu membaca, menulis dan mengira. Penggunaan huruf, “R” adalah satu perkataan yang sesuai digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Seni perlu dijadikan “R” keempat atau literasi asas kerana Seni dalam Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Terdapat 3 bidang utama dalam mata pelajaran ini iaitu Seni Visual, Seni Muzik dan Seni Pergerakan. Antara peranan-peranan Seni dalam Pendidikan ialah:
a)    Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih seronok

Pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabungjalin pelbagai unsur seni dan berbeza dari kaedah pengajaran tradisional yang hanya menggunakan kapur dan papan tulis sebagai media dalam penyampaian maklumat dapat menjadikan murid berasa lebih seronok. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar.

b)   Memupuk nilai kerjasama
Secara semula jadi, kebanyakan aktiviti Seni Dalam Pendidikan tidak dapat mengelakkan murid-murid daripada terlibat dalam kegiatan yang beransur kerjasama. Aktiviti berkelompok menuntut setiap individu bergerak dan berinteraksi secara bekerjasama untuk mencapai kejayaan bersama. Aksi-aksi yang terdapat dalam Seni Dalam Penidikan merangkumi aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan mempunyai titik tolak interaksi social yang terjalin melalui deria sentuh.


c)    Memenuhi keperluan sosial yang asas

Apabila semua murid berpeluang menyertai aktiviti –aktiviti yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka, maka akan terbentuk satu situasi ideal yang dapat memenuhi kedua-dua matlamat social iaitu kemilikan dan keinginan diterima sebagai anggota kelompok.

Murid-murid mahukan dirinya diterima sebagai anggota sebuah kelompok dan pada masa yang sama memerlukan kasih sayang. Dalam kegiatan Seni Dalam Pendidikan, keperluan untuk belaian sekurang-kurangnya dipenuhi melalui pujian dan galakan yang diberi sebaik sahaja mereka mempersembahkan aktiviti yang menarik.

Perhubungan mesra antara murid dengan murid dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan menyebabkan murid merasakan bahawa guru dan rakan-rakan prihatin terhdap dirinya danb menghargai bakat yang dimiliki.

d)   Murid berpeluang untuk menjalani proses penerokaan semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), penerokaan dapat ditakrifkan sebagai penyelidikan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahui. Penerokaan dapat dilaksanakan dengan cara menjelajah. Namun begitu, proses ini memerlukan pelbagai bahan dan kaedah. Pengalaman meneroka juga merupakan sesuatu situasi pembelajaran. Meneroka dijalankan dengan membuat eksperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelbagai idea dan bahan. Penerokaan terbahagi kepada tiga kategori iaitu alat dan bahan, cara pengelohan dan manipulasi serta idea dan isi kandungan.

e)    Luahan perasaan dan aras keyakinan yang tinggi

Perasaan merupakan reaksi badan terhadap rangsangan yang diterima sama ada ia bersedia atau tidak. Di samping itu, perasaan juga mungkin dapat memberikan sumber manfaat dan kerugian kepada seseorang. Guru boleh mendapat tahu perasaan sebenar murid melalui tingkah laku yang dipamerkan. Murid yang menyertai aktiviti-aktiviti seperti permainan boleh mewujudkan suasana keriangan, bebas daripada tekanan emosi dan membina kecekalan dalam menghadapi persaingan dan cabaran. Individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat melakukan aktiviti tanpa rasa segan atau bimbang mengenai pandangan orang lain terhadap dirinya. Oleh itu, setiap aktiviti yang dilakukan perlulah ada keyakinan supaya dapat menjamin keberkesanannya.
Kesimpulan:
Kesemua bidang Seni Dalam Pendidikan iaitu seni visual, muzik dan pergerakan perlu diintegrasikan kerana ketiga-tiga subjek ini mempunyai motif dan peranan yang sama. Pengintegrasian ini akan memperkukuhkan dan memantapkan lagi kefahaman pelajar tentang tajuk-tajuk yang diajar. 

No comments:

Post a Comment