Isu Strategi
Dan Penempatan Pelajar.
Isu ini merupakan antara yang sering dibahaskan di
peringkat sekolah antara guru Pendidikan
Khas, Guru Pemulihan dan pihak pentadbir serta ibu bapa. Bagi sebahagian ibu
bapa masih tidak mahu menerima hakikat bahawa anak mereka perlu dimasukkan ke
kelas Pendidikan Khas. Oelh yang demikian kriteria dan instrumen pemilihan
perlu sesuai dengan kepelbagaian katogeri murid. Setiap orang murid adalah
berbeza dari aspek kognitif, emosi dan afektif. Mereka perlu dinilai dengan
cara yang berbeza dan sesuai dengan tahap keupayaan mereka. Meskipun ada instrumen
penempatan yang disediakan oleh kementerian tetapi tidak boleh digunakan kepada
semua murid. Terutama sekali bagi murid dari katogeri slow learner atau lembam.
Cadangan penempatan tersebut perlu dirujuk kepada doktor
atau pakar yang berkelayakan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.
Pada tahun 90an hanya doktor pakar kanak-kanak atau pakar psiktatri sahaja yang
layak membuat ujian penempatan. Ianya mengambil masa dari dua minggu hingga ke
sebulan sebelum mengesahkan kecacatan
yang dialami oleh murid tersebut. Selain daripada beberapa siri pemeriksaan
murid tersebut perlu menjalani beberapa sesi terapi dan tahap kematangan
pemikirannya akan dikukur. Begitulah sukarnya mendapatkan kelulusan dari pihak
doktor.
Isunya ialah sangat berbeza pada masa kini kerana dalam
masa sehari doktor boleh mengesahkan penempatan untuk murid. Ibu bapa selalu
merungut pihak hospital tidak menjalankan rawatan secara terperinci . Lebih
malang lagi ada doktor yang tidak ada pengetahuan langsung dalam bidang Pendidikan Khas. Maka tidak hairanlah ada
sebahagian murid yang dari katogeri lembam atau slow learner ditandakan sebagai
terencat akal. Malahan ada murid down sindrom ditandakan sebagai slow learner.
Hal yang sedemikian mendatangkan masalah dalam kalangan guru menentukan kumpulan belajar atau kelas bagi
murid tersebut. Sangat meragukan pula
ialah kenapa sekarang mana-mana doktor di poliklinik boleh membuat pengesahan
tersebut tanpa merujuk kepada pakar-pakar yang berkelayakan. Senario inilah
yang menjadikan masalah utama dalam penempatan murid Pendidikan Khas. Kita
tidak mempertikaikan kewibaan doktor tersebut tetapi masih kedengaran rugutan
dari penjaga bahawa tidak ada sebarang pemeriksaan dan ujian yang dijalankan oleh
pihak poliklinik memadai dengan instrument yang dibekalkan oleh pihak guru.
Kebimbangannya ialah salah penempatan akan menyebabkan
murid tersebut dibafikan hak mereka dalam mendapatkan pendidikan yang
sewajarnya. Contohnya isu mengenai murid pemulihan yang ditempatkan ke dalam
kelas Pendidikan Khas atau sebaliknya. Kaddangkala keputusan doktor tersebut
terpaksa kita abaikan kerana keputusan penempatan yang tidak sesuai. Kebanyakan
doktor tidak faham program yang berkaitan dengan perkataan integrasi, inklusif,
masalah pembelajaran, kelas biasa, kelas pemulihan dan Pemulihan Dalam
Komuniti.
Mutakhir ini kebanyakan sekolah mengajar status Sekolah
Cemerlang, Berprestasi Tinggi dan sebagainya. Rata-rata guru besar mempunyai
target untuk mencapai cita-cita tersebut. Isunya ialah belum tamat bulan
Januari sudah ada murid tahun satu dikeluarkan dari sekolah mereka kerana tidak
pandai membaca dan menulis dengan baik. Guru Besar kini sudah pandai promosi
kelas Pendidikan Khas kepada penjaga yang ada anak sedemikian. Ini semuanya
bertujuan untuk mengecilkan data murid tegar pada pertengahan tahun nanti. Hak
murid untuk belajar dan dididik dinafikan kerana mereka belum berpeluang pun
untuk merasai suasana persekolahan yang sebenar. Ini kerana pada awal Januari
biasanya program transisi dijalankan sebelum mereka disaring dalam ujian LINUS
saringa 1, 2 dan 3. Sedangkan pihak kementerian telah mengeluarkan pekeliling
mengenai penempatan murid tahun 1 ke kelas Pendidikan Khas hanya selepas
saringan ke 3.
Pihak jabatan pula kurang peka dalam hal ini dan
kadangkala urusan penempatan pun tidak sesuai dengan Program Integrasi. Pernah
berlaku murid cacat pendengaran di tempatkan di kelas masalah pembelajaran.
Alasannya ialah atas permintaan penjaga. Seharusnya pihak jabatan perlu
memaklumkan kepada penjaga tersebut penempatan yang sesuai untuk anak
mereka. Kesilapan yang beginilah yang
menyebabkan guru Pendidikan Khas rasa terbeban dan sukar menjalankan proses
pengajaran dengan berkesan.
Cadangan mengatasinya:
Pihak Jabatan Pelajaran dan Kumpulan Pelbagai Disiplin
termasuk pihak hospital perlu berganding bahu dan saling bekerjasama
dalam isu ini. Kedua pihak perlu melakukan penyebaran ilmu dan pengetahuan yang
mereka ada mengenai murid berkeperluan khas. Kedua pihak perlu berbincang
dan menetapkan keperluan-keperluan dan strategi yang lebih sesuai dalam
isu penempatan ini.
Pembinaan ujian soalan diognostik juga perlu
diselaraskan dan dikeluarkan oleh satu badan yang bertauliah supaya tidak
berlaku penyelewengan ataupun penindasan terhadap murid. Pelbagai aspek
berkaitan murid perlu diambil kire
sebelum memulakan proses penempatan murid berkenaan ke kelas –kelas pendidikan
khas untuk mengelakkan masalah muncul setelah murid ditempatkan. Selain itu
panel-panel yang terlibat semasa proses penempatan pelajar seharusnya
menjalankan tugas dengan penuh professional untuk memberikan satu perkhidmatan
yang terbaik. Ibu bapa sekarang sentiasa
peka mengikuti perkembangan anak-anak mereka. Oleh yang demikian mereka yang
terlibat perlu telus dan menghormati hak individu untuk mendapatkan keperluan
rawatan yang sesuai.
Pentadbir sekolah juga perlu amanah dalam mentadbir program
integrasi ini. Mengejar kecemerlangan biarlah dengan cara yang professional
juga. Hak murid untuk mendapatkan pendidikan dan pelajaran perlu diambil kira.
Bagilah mereka peluang menunjukkan kemampuan dan kebolehan mereka terlebih
dahulu sebelum dihantar ke kelas Pendidikan Khas. Ibu bapa juga perlu
mempertahankan hak untuk anak-anak
mereka. Mereka perlu tahu kriteria yang ditentukan untuk masuk ke kelas
Pendidikan Khas kerana belum pasti cadangan dan pendapat pihak sekolah adalah
benar selagi belum mendapat pengesahan pakar yang berkelayakan.
Pihak Jabatan Pelajaran pula perlu lebih peka dan selari
dengan dasar dan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh pihak kementerian.
Jangan mengharapkan pihak sekolah sahaja yang melaksanakan dasar-dasar tersebut
sedangkan di peringkat jabatan banyak perkara yang terlepas pandang. Sokongan
sedemikian sangat penting supaya guru-guru diperingkat sekolah tidak merasa
tertekan dan diperlekehkan begitu sahaja.
RUMUSANNYA:
Isu-isu yang dibincangkan adalah merupakan antara cabaran
yang perlu dihadapi oleh guru-guru Pendidikan Khas. Meskipun segala keperitan yang dilalui
tersebut mencabar keprofesionalisma
dalam keguruan tetapi guru Pendidikan Khas tetap berdiri teguh bersama anak muridnya. Bilangan mereka saban
tahun semakin bertambah cukup membuktikan kepercayaan dan tanggapan positif
terhadap keperluan pendidikan kepada semua kanak-kanak.
Cabaran tersebut menjadikan guru-guru Pendidikan Khas
semakin matang dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri supaya opsyen ini tidak
lagi menjadi pilihan terakhir dalam bidang keguruan. Cabaran –cabaran yang
mendatang merupakan satu impak yang besar dalam bidang ini kerana ianya telah
membuka ruang yang lebih luas untuk meningkatkan kualiti opsyen Pendidikan
Khas. Secara tidak langsung ianya memberikan ruang kepada Kementerian Pelajaran
dan Pejabat Pelajaran mengatur program dan dasar yang meningkatkan kualiti
Pendidikan Khas.
Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu
harus menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan
dan pembentukan sahsiah (Robiah, 1998).
Harapannya semua pihak akan yang terlibat akan memberikan
kerjasama yang terbaik dan memberi sumbangan idea dalam meningkatkan mutu
Pendidikan Khas. Kecemerlangan tidak berjalan dengan sendiri tanpa sokongan
padu semua pihak . Tanggungjawab mendidik murid Pendidikan Khas adalah tugas
bersama dalam satu komuniti sekolah. Penerimaan masyarakat sekolah terhadap
golongan ini akan memberikan keyakinan untuk berpimpingan tanagan bersama
mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Pendidkan Khas juga mempunyai murid yang mempunyai matlamat mencapai kehidupan
bermakna dan berketrampilan dengan didikan golongan guru yang inovatif dan
kreatif. Berikan ruang kepada mereka untuk menjadi rakyat yang berpendidikan
selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.