KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Tuesday 18 December 2012

MODEL PENGURUSAN KELAS KHAS

 MODEL ILTENERAN

Model guru beredar.
Sasaran : semua murid  berkeperluan khas
Cara pelaksanaan:  khidmat bantu secara terus di bilik darjah
Penglibatan: murid dan guru
Skop: terhad
Lokasi: kelas, Tadika, Taman Asuhan, Sekolah integrasi dan PDK


MODEL KONSULTAN


Model perundingan.
Sasaran : kanak-kanak khas, ibu bapa, guru, dan semua pihak yang berkaitan
Cara pelaksanaan:  khidmat bantu secara lebih terbuka
Penglibatan: murid dan guru, KPM, NGO,JKM,KKM, pasukan pelbagai disiplin, pakar berkaitan
Skop: lebih luas
Lokasi: bebas, dalam dan luar sekolah

MODEL BILIK RESOS

Bilik-bilik yang disediakan untuk menjayakan program pendidikan khas. Digunakan sebagai tempat menjalankan bimbingan dan penyimpanan alatan yang dan tempat guru resos menjalankan tugasan. Fungsi guru resos ialah menjalankan pengajaran dan pembelajaran , pengurusan kelas bimbingan, aktiviti tambahan.



MODEL KELAS BIASA( INKLUSIF)

Melibatkan murid pendidikan khas yang belajar bersama dalam kelas biasa bersama murid aliran perdana. Mereka akan mengikuti pelajaran bersama-sama dengan rakan sebaya. Inklusif dijalankan  scara separa dan sepenuhnya . Senarai daftar murid pendidikan khas kekal dalam kelas pendidikan khas.  Guru pendidikan khas berfungsi sebagai guru pendamping. Dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah bergantung kepada prestasi dan RPI. 

MODEL KELAS INTEGRASI

Kelas-kelas pendidikan khas dijalankan dalam sekolah bersama dengan kelas-kelas aliran perdana yang lain. Semua murid pendidikan khas akan belajar di kelas yang disediakan untuk murid-murid pendidikan khas. Semua kemudahan-kemudahan dan infrastruktur di sekolah tersebut akan dikongsi bersama.  Semua murid pendidikan khas akan didaftarkan secara berasingan dan menjalankan aktiviti pnp secara berasingan. 


PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN PENDIDIKAN KHAS



Pengurusan ialah satu proses sosial dibentuk untuk mendapatkan kerjasama, penyertaan dan
penglibatan ahli-ahli dalam sesebuah organisasi untuk mencapai sesuatu maklumat atau objektif
yang paling berkesan.(Drucker, 1972)

Pentadbiran adalah satu proses sosial yang memusat kepada identifikasi, penyelenggaraan,
pengawalan dan penyertaan sumber-sumber baik berupa tenaga manusia mahupun bahan
dalam satu sistem yang bersepadu yang dibentuk untuk mencapai objektif yang telah
ditetapkan.(Knezevich, 1975)

Ciri-ciri Pengurusan dan Pentadbiran yang berkesan.

  •   Kebolehan Merancang
  •   Kebolehan Mengurus
  •   Keanggotaan
  •   Kebolehan Mengarah
  •   Kebolehan  Mengawal




CABARAN DALAM PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS

1. Bilangan guru terlatih yang terhad dan sentiasa tidak mencukupi .

2. Masalah stress dan burn out yang di alami oleg guru-guru pendidikan khas akibat bebanan tugas.

3. Kesukaran mendapatkan  kerjasama dan perkhidmatan khidmat sokongan daripada pelbagai multi disiplin.

4. Kekurangan pakar-pakar yang sangat diperlukan dalam kesinambungan terhadap keperluan murid pendidikan khas seperti pakar audiologi, pakar terapi pertuturan, terapi cara kerja dan sebagainya.

5. Kerjasama ibu bapa dan tanggapan masyarakat terhadap keperluan murid pendidikan khas.

6. Integrasi sosial yang sangat rendah antara murid pendidikan khas dengan murid aliran perdana.

7. Kehadiran guru 'guru ekpatisme' iaitu guru yang menganggap bidang pendidikan khas ini sangat mudah sehingga tidak menunjukkan kesungguhan dalam pendekatan pengajaran dan pembinaan bahan bantu mengajar serta tidak berkeupayaan menggunakan ICT dalam pnp.

8. Peruntukan kewangan untuk murid pendidikan khas tidak disalurkan dengan sebaiknya .

9. Murid pendidikan khas dinafikan hak dalam kegiatan kokurikulum.

10. Pentaksiran terhadap  murid pendidikan khas selalu dipertikaikan  dan tidak dikelolokan dengan baik.

ELEMEN PENTING PENGURUSAN PERSEKITARAN DALAM PNP PENDIDIKAN KHAS

1. Menyediakan kelas yang lengkap dan kondusif. Perkara yang perlu diambil kira ialah keluasan kelas yang sesuai dengan bilangan murid yang ada.

2. Mengambil kira penyediaan ruang pembelajaran mengikut keperluan stesen atau kios. Termasuklah sudut-sudut utama seperti pameran, jadual waktu, jadual bertugas dan sebagainya.

3. Memastikan keselamatan kelas adalah di tahap yang maksimum , termasuk peralatan yang ada, kedudukan kelas dan  ruang pembelajaran.

4. Penyediaan jadual waktu kelas dan jadual peribadi guru.

5. Menempatkan murid-murid dalam kumpulan mengikut katogeri yang sesuai termasuk aspek keupayaan mental supaya pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.

6. Merancang aktiviti-aktiviti yang sesuai mengikut keperluan kurikulum dan kokurikulum.

7. Memastikan kebajikan murid diambil kira termasuklah dalam penyediaan tandas dan laluan yang sesuai. 

Sunday 16 December 2012

GURU PENDIDIKAN KHAS SEBAGAI AGEN SOSIOLISASI


i.              Memberi peluang kepada murid untuk menguasai
pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang difikirkan
sesuai untuk perkembangan diri dan masyarakat

ii.            Memastikan perubahan dan perkembangan tingkah laku
murid adalah mengikut nilai, norma dan kehendak
masyarakat

iii.           Bertanggungjawab untuk memondenisasikan masyarakat
dalam semua bidang untuk meningkatkan perkembangan
dan kemajuan negara

iv.           Membentuk individu yang mampu bersosialisasi dan
memiliki kecerdasan emosi yang tinggi


v.            Terlibat dalam semua aktiviti kemasyarakatan yang
dianjurkan oleh komuniti setempat

vi.           Menjadi jurulatih,pengadil,penceramah,tetamu khas
dalam majlis dalam komuniti setempat 

PERANAN GURU PENDIDIKAN KHAS YANG CEMERLANG


i.              Membuat perancangan pengajaran ,melaksanaan pengajaran
mata pelajaran kepakaran dan pembentukan serta
pembangunan diri pelajar mengikut tahap tertinggi yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia 

                       
ii.            Menjadi pakar rujuk,memberikan khidmat nasihat dan
membimbing guru dalam mata pelajaran kepakaran atau bidang
pengkhususan.                              
                                   
iii.           Menjalankan kajian,menghasilkan penulisan ilmiah dan
            penyelidikan,meneroka inovasidan penemuan baharu dalam
mata pelajaran kepakaran atau bidang pengkhususan dan
membentangkan hasilnya. 
           

iv.           Memimpin dan membantu dalam tugas kurikulum dan
kokurikulum yang berkaitan dengan matapelajaran kepakaran
atau bidang pengkhususan.


v.        Menjaga ketrampilan seorang guru  dengan mengekalkan kesantunan
           tingkah laku, budi bahasa dan ketsabilan emosi yang mantap.

BUDAYA MENINGKATKAN ILMU GURU PENDIDIKAN KHAS



i.         Mengamalkan  Budaya Membaca

            Membaca sebagai satu tabiat & banyak faedah           
            Membaca pelbagai bahan / sumber ilmiah
            Membaca satu budaya dalam kalangan guru
            Mampu menjadi contoh / rol model kepada murid

ii.        Mengamalkan  Budaya Menyelidik

            Aktiviti yang sangat berkesan dalam PSH
            Dapat berfikir,merancang,melakukan tinjauan bacaan
            Guru perlu mengamalkan Kajian Tindakan – berupaya meningkatkan
            kualiti produk & perkhidmatan,kaji tentang suasana social yang sedang
            dialaminya.Banyak kebaikan jika guru melibatkan dalam KT

            iii.        Mengamalkan Budaya Reflektif

Merujuk kepada amalan berfikir – mahupun berkembang sebagai professional & guru berkesan
Mampu menilai hasil perancangan & strategi P&P
Cara-cara guru dapat membuat refleksi – penulisan jurnal ,Portfoliolog, mefatora ,Peta minda ,peta konsep ,pengurusan grafik,peristiwa – peristiwa kritikal,kajian kes,kajian tindakan

           iv.       Mengamalkan Budaya Musywarah /rundingan

Merujuk kepada bekerja dengan guru – guru lain dalam projek bersama dengan matlamat sama.
Kolaborasi membawa kepada rundingan – untuk mencapai kata sepakat terhadap sesuatu tindakan di sekolah.

             v. Mengamalkan  Budaya Berkarya

Suka menulis hasil daripada pembacaan yang luas.
Kolaborasi dengan rakan sejawat untuk menghasilkan karya – karya ilmiah. 
Menulis modul atau buku teks.

Friday 14 December 2012

ISU-ISU ETIKA KEGURUAN PENDIDIKAN KHAS

1.ISU  KESANTUNAN GURU


  • Kesantunan berpakaian-  jenis pakaian yang sesuai, berpakaian sopan  dan sesuai , kesuaian mengikut majlis rasmi dan santai, tidak boleh berpakaian jenis tembus pandang.
  • Kesantunan tingkahlaku- tatacara bertindak dan gerak geri termasuk cara  berurusan, cara makan,cara duduk.
  • Kesantunan berbahasa- cara berkomunikasi, mengambil kira norma budaya, cara berbahasa, cara penyampaian, bersikap terbuka, merapatkan hubungan penutur dan pendengar ,minimunkan perbalahan, 
2.ISU  KEPEDULIAN GURU

  • Ambil berat , ambil tahu.
  • Pendekatan modelling- menunjukkan kepada murid bagaimana untuk mengambil berat dan cara menyayangi dengan hubungan yang baik, mengambil berat perihal rakan sekelas,menjalinkan hubungan rapat antara guru dan murid.
  • Pendekatan Dialog- mewujudkan komunikasi dua hala akan meningkatkan penglibatan murid, dapat meningkatkan kualiti pnp guru, keputusan dan matlamat dicapai dan dipersetuji.
  • Pendekatan Praktis- mempraktikkan cara menunjukkan kasih sayang antara guru dan murid spt bertanya khabar, menggalakan hubungan baik antara guru dan murid.
  • Pendekatan Kepastian- mengenalpasti apa yang hendak dicapai, mengetahui kesukaan dan minat murid, mewujudkan rasa penghargaan dalam kalangan murid, penglibatan aktif dalam pnp guru.
3.ISU  PENAMPILAN GURU

  • watak terpuji, berimej peribadi mulia dan berwawasan.
mempunyai sifat sabar,mesra,bertimbang rasa,kesediaan mendengar,kesediaan menerima kritikan,rajin,adil,periang,berdedikasi,keratif dan inovatif.
  • keimanan yang kental
  • bercakap benar, jujur,tabah, cekal, pemaaf, merendah diri,toleransi, pemaaf,cerdas,
  • menguasai bidang yang diajar, luas pengetahuan, memahami keperluan murid, fasih dan petah.
  • optimis dalam hidup,positif, tidak suka mengambil kesempatan
  • Berpendidikan
  • Berpengalaman
  • mempunyai jati diri
4.ISU BERNIAGA DI SEKOLAH

  • beralih arah
  • melepaskan tangungjawab dan hilang tumpuan
  • menyalahi etika kerja
  • tidak amanah
  • menyalahgunakan kemudahan kerajaan
  • tidak fokus pada tugas hakiki, sambil lewa
5. ISU KERJA SAMBILAN

  • tuisyen, berniaga pasar malam,memandu teksi
  • perancangan mengajar tidak lengkap
  • keletihan kelesuan
  • tiada tumpuan mengajar
  • menyalahi peraturan 5(3)
6. ISU PENGURUSAN MASA

  • kegagalan mengurus  masa  dengan baik
  • aktiviti tidak berfaedah
  • tabiat yang negatif
  • tentukan keutamaan
  • merancang kerja 
  • elak menangguh kerja
  • seimbangkan masa untuk kerjaya, keluarga, masyarakat
  • disiplinkan diri sendiri
7. ISU PENGURUSAN KEWANGAN
  • kenalpasti keperluan dan kehendak
  • fokus pada matlamat
  • kenalpasti kebocoran perbelanjaan
  • rancang kewangan dengan baik
  • simpan rekod kewangan
  • kutipan wang sekolah antara tanggungjawab dan amanah
  • bjak merancang kewangan sekolah
  • elak berhutang


TUGAS GURU


Dari pagi sehingga ke petang
Tugas dijalankan penuh sabar
Tawa tangis tetap anak-anak
Jadilah guru yang dihatiku

Ibu bapa dan juga majikan
Amanah yang telah ku terima
Walau apa rintangan yang datang
Akanku hadapi dengan tenang

Kasih sayang tak minta balasan
Tugas membentuk anak yang mulia
Kanak-kanak yang bisa mendengar
Guru yang ajar dengan rasa sabar

Kumenjadi pengasuh yang cemerlang
Kumenjadi pengasuh yang gemilang
Azam kami biarlah dihargai
Azam kami semoga diberkati..................

MENJADI GURU PENDIDIKAN KHAS YANG BERKESAN.

1.Seorang guru yang sentiasa menunjukkan contoh dan teladan yang utuh di dalam atau luar bilik darjah dan mengajar dengan menggunakan strategi pnp yang menarik dan bermotivasi, kebertanggungjawaban terhadap murid serta mempunyai standard yang tinggi.

2. Mempunyai peribadi guru yang berfikiran terbuka, berlapang dada, merendah diri, bersikap optimis, role model.

3.Berperanan berkesan terhadap murid:


  •   mempunyai empati dan komitmen dalam menghargai maruah anak didik, ibu bapa dan rakan sejawat.
  • Pnp bermatlamat dari aspek afektif, kognitif, psikomotor.
  • menjana idea baru
  • menggalakkan murid mengemukakan soalan
  • hadir dalam aktiivti lain spt kokurikulum dll
Ciri-ciri guru berkesan:

1. melakukan refleksi kendiri
2. adil
3. bersemangat dalam mengajar
4. seorang komunikator yang cemerlang
5. mengukur kemajuan, memberikan maklumbalas
6.merancang pengajaran

Kemantapan pengurusan ilmu:

1. Master dalam bidang
2. Sentiaa dahagakan ilmu.
3.Mempertingkatkan kualiti diri
4. Suka belajar perkara baru
5.Aktif dalam penubuhan profesional
6. Menjadi ahli  komuniti
7.Bina dan mengekalkan hubungan profesional


  • bersikap profesional
  • kaya dan tinggi ilmu
  • bertindak atasa landaan etika kerja
  • bermoral teguh
  • berusaha menungkatkan kualiti pengajaran
  • berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan pnp
  • melengkapkan diri dengan kemahiran 
  • menampilkan watak terpuji, imej, berperibadi mulis, berwawasan
  • bersikap guru mengajar murid belajar
  • melahirkan pelajar berwatak
  • berpatriotik
  • mengangkat martabat profesioan dan negara








SEORANG GURU PENDIDIKAN KHAS YANG MAHIR.

1. Terbaik dalam bidang yang diceburi.

2. Menjadi teladan dalam profesionalisme.

3. Terlibat sepenuhnya dalam kokurikulum.

4. Memiliki kemampuan yang maksima dalam melakukan tugas dan berfungsi  sebagai guru dengan kemampuan maksima.

5. Guru yang terdidik dan terlatih dengan baik.

6. Sentiasa mempunyai sifat ingin tahu, mendorong diri sendiri mempelajari dan menyesuaikan diri dalam dunia pendidikan.

7. Mahir berkomunikasi dengan anak murid dan menghasilkan pnp yang dinamik.

8. Dapat  memberikan motivasi yang berkesan.

9. Murid dapat menerima motivasi secara berhemah dan hikmah.

10. Mempunyai kemahiran ICT dan megaplikasi dalam pnp.

Kemahiran yang perlu ada:


  •            kemahiran dalam penyampaian
  •            kemahiran menilai
  •            kemahiran meransang /meningkatkan minat murid
  •            kemahiran pengurusan bilik darjah.

AKUANTABILITI GURU PENDIDIKAN KHAS

TANGGUNGJAWAB TERHADAP DIRI SENDIRI

1. Berusaha menjadi contoh dan teladan yang baik.

2. Membentuk keperibadian yang unggul.

3. Mengamalkan disiplin yang cemerlang.

4. Sentiasa bekerja keras, menepati waktu, berakhlak mulia dan emosi yang mantap.

5. Penampilan imej yang baik dan cara berpakaian yang sesuai, menjaga tutur kata dan tingkah laku.

6. Sentiasa sedar setiap perlakuan adalah berpandukan aspek keagamaan.

7. Berusaha melengkapkan diri dengan ilmu dan peka dengan persekitaran.

8. Perlu memiliki harga diri dan berteraskan iman yang kuat.

9. Rasional, bersedia menerima teguran dan positif.

10. Elak sentiasa mencari salah orang lain dan sentiasa musahabah diri. 

AKUANTABILITI GURU PENDIDIKAN KHAS

TANGGUNGJAWAB TERHADAP SEKOLAH.

1. Menjalankan tugas seperti yang diamanahkan oleh pihak pentdbir.

2. Berusaha ke arah mencapai misi dan visi sekolah.

3. Memahami hala tuju sekolah.

4. Bersedia membangunkan minda murid-murid ke peringkat yang tertinggi.

5. Memberikan kerjasama dalam semua program sekolah.

6. Tidak meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan tugas di sekolah.

7. Memberikan kerjasama yang erat dalam menangi disiplin murid.

8. Menghormati heiraki tugas dan kuasa peringkat sekolah.

Thursday 13 December 2012

AKUANTABILITI GURU PENDIDIKAN KHAS

TANGGUNGJAWAB TERHADAP RAKAN SEKERJA DAN PROFESIOAN.

1. Mengelakan diri dari membuat kenyataan yang boleh menjatuhkan maruah rakan sejawat  di hadapan murid dan ibu bapa.

2. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kepentingan profesion.

3. Memupuk hubungan peribadi dan profesioanl yang baik sesama guru, mengawal tutur kata dan tingkah laku.

4. Berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam menunaikan tanggungjawab .

5. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat.

6. Mengawal dan mengelak diri dari perkara yang mencemar nama baik profesion.

7. Tidak mewujudkan hubungan yang berdasarkan kaum, agama, status sosial, ekonomi dan kelulusan.

8. Meningkatkan ilmu pengetahuan pedagogi dan kemahiran yang berkaitan dengan dunia pendidikan.

9. Menjadi ahli pertubuhan guru.

10. Hormat menghormati dan nasihat menasihati

11. Sedia memajukan diri dalam pelbagai aktiviti dan program pendidikan formal @ tidak formal

12. Meningkatkan kepakaran dalam bidang berkaitan,  berilmu pengetahuan dan berkualiti.

13. Kreatif dan inovatif

14. Menguasai ilmu pedagogi.

Rujukan: Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru

AKUANTABILITI GURU PENDIDIKAN KHAS

TANGGUNGJAWAB TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA.

1. Tidak menyebarkan ajaran yang boleh merosakkan murid dan masyarakat.

2. Memupuk semangat sikap dan nilai kesetiaan sebagai warganegara bertanggungjawab, menghormati orang yang lebih tua dan menghormati perbezaan budaya dan kepercayaan agama.

3. Menggalakkan kerjasama dan persefahaman antara guru, sekolah, ibu bapa dengan  masyarakat .

4. Memberikan sumbangan secara aktif dan bermoral.

5. Mengamalkan tingkah laku yang boleh diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan dengan baik.

6. Sentiasa memberikan kerjasama dalam peringkat tertinggi profesion dan penglibatan yang menyeluruh sebagai warga pendidik.

7. Role model.

AKUANTABILITI GURU PENDIDIKAN KHAS

TANGGUNGJAWAB TERHADAP IBU BAPA MURID

1. Menghormati tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak.

2. Mewujudkan hubungan yang mesra dan kerjasama.

3. Menyampaikan maklumat murid kepada ibu bapa dan mengawal diri yang boleh menjejaskan kepercayaan ibu bapa.

4. Mengekalkan kerahsiaan maklumat berkaitan murid dan ibu bapa.

5. Membuat laporan yang tepat tentang program sekolah.

6. Tidak bias atas faktor kedudukan ekonomi dan  sosial.

PRINSIP ETIKA SEORANG GURU PENDIDIKAN KHAS

1. NIAT YANG BETUL: mempunyai niat yang ikhlas selari dengan FPK  dan memahami matlamat, misi sert objektif KPM. Dapat memberikan sumbangan yang bermutu dan sentiasa memperbaharui kamhiran dan ilmu pengetahuan.

2. PERLAKUAN YANG BAIK: Sentiasa menunjukkan penampilan diri yang profesional, berkualiti , pertuturan yang baik, mempamerkan perbuatan terbaik sepanjang masa. Sentiasa menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha.

3. PENGGERAK KE ARAH KEBAIKAN:  Hendaklah menampilkan diri sebagai seorang yang dinamik, maju , berdaya saing dan dapat menjadi pendorong kepada orang lain melakukan kebaikan.

4. MEMPERKOTAKAN APA YANG DIKATA:  Berusaha melaksanakan apa yang dikata dan sentiasa menunjukkan ketekalan dalam pengucapan dan tindakan supaya tidak dilabel cakap tak serupa bikin.

5. BERDISIPLIN DAN BERADAB: Sentiasa menjaga adab sopan, mematuhi peraturan  dan arahan perkhidmatan, berdisiplin dan mematuhi ajaran agama.

AKUANTABILITI GURU PENDIDIKAN KHAS.

TANGGUNGJAWAB TERHADAP MURID

1. Mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid , mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat dan mengamalkan budaya penyayang.

2. Bersikap adil terhadap semua murid tanpa mengira faktor perbezaan/ latar belakang keluarga, emosi, politik, sosial, etnik, atau agama. Tidak menafikan hak murid untuk belajar.

3.  Merahsiakan sebarang maklumat murid terutama yang boleh menajtuhkan maruah atau membahayakan kecuali pada yang tertentu atas kepentingan perkhidmatan.

4. Mengajar dan mendidik tanpa mengharapkan balasan atau bayarn lain.

5. Mempraktikan amalan pedagogi dan penyediaan bahan bantuyang sesuai berdasarkan kurikulum kebangsaan.

6. Menjadi role model yang baik seperti berpakaian, tutur kata, dan bermoral.

7. Memelihara dan meningkatkan kecekapan  profesional dan menerima perbezaan individu murid .

Sunday 9 December 2012

CABARAN DAN HALA TUJU PENDIDIKAN KHAS


CABARAN DAN HALATUJU PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS.



1.0 PENGENALAN


Sistem pendidikan  di negara kita masa kini telah banyak melalui transformasi yang  memerlukan komitmen guru yang amat tinggi. Perubahan dan pembaharuan dalam sistem pendidikan dilihat  sebagai peluang untuk menguji potensi, kemampuan dan cara untuk mengoptimumkan pembangunan individu. Mereka perlu sedar akan kekuatan dan kelemahan diri dan di atas kesedaran itu sanggup meningkatkan keupayaan diri serta bersedia melakukan perubahan mengikut keperluan. Guru bertaraf dunia bukan sahaja  merancang strategi pengajaran-pembelajarannya dengan teliti dan sentiasa membuat persediaan untuk membuka peluang kepada pelajar melakukan penerokaan malah  merancang pelbagai laluan pembelajaran dengan kemahiran yang tinggi.

            Cabaran dalam profesion perguruan masa kini memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi. Pekerjaan yang penuh cabaran ini menguji kemampuan dan ketabahan dalam menguruskan suatu organisasi dengan bijaksana.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 : 232) cabaran didefinisikan sebagai hasil  yang mencabar kemampuan dan ketabahan seseorang dalam  pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Dalam konteks perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu menyahut cabaran untuk melihat keupayaan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya bukan dengan muridnya tetapi juga bersama organisasi dan rakan sekerja yang mempunyai pelbagai kepakaran. Pengurusan dalam pendidikan  mempunyai satu organisasi yang dibentuk  yang mempunyai hala tuju yang mahu dicapai.

Halatuju pula bermaksud penetapan matlamat dan sasaran yang hendak dicapai dalam sesuatu organisasi. Pendidikan khas perlu mempunyai visi, misi dan objektif utama dalam mengurus tadbir sesuatu organisasi. Halatuju merangkumi perancangan pentadbiran, program-program utama, peningkatan kemahiran dan pengetahuan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran dan membentuk kepakaran yang beretika.

2.0  Cabaran yang dimaksudkan boleh dilihat dalam pelbagai aspek:

2.1  Individu dan keluarga
                       
Dari aspek penglibatan ibu bapa, didapati di Malaysia tahap kesedaran ibu bapa mengenai masa depan anak-anak yang berkeperluan khas masih berada dalam keadaan yang minima. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa yang tinggal di luar bandar. Hal ini kerana terdapat setengah ibu bapa yang beranggapan anak yang istimewa ini tidak layak dan tidak berkeupayaan untuk mendapat pendidikan yang seimbang dan sempurna. Disebabkan anggapan sedemikian maka wujudlah keciciran murid-murid berkeperluan khas daripada alam persekolahan. Perkara ini terus menyebabkan kanak-kanak istimewa ini tidak mempunyai kemahiran hidup yang baik dan akhirnya memberi bebanan kembali kepada keluarga masing-masing.

Selain itu juga, terdapat juga ibu bapa yang masih kurang sedar mengenai betapa pentingnya memberi pendidikan atau pun kemahiran mengurus diri  kepada anak-anak yang istimewa. Faktor utama yang menyebabkan perkara ini berlaku disebabkan kurangnya keyakinan akan kebolehan anak-anak istimewa mereka ini. Sebagai contoh, pengajaran amali kemahiran memasak dan menjahit, mungkin boleh menyebabkan timbulnya perasaan risau ibu bapa terhadap anak-anak mereka berada di dapur. Hal ini mungkin disebabkan memikirkan keadaan yang mungkin boleh mengundang bahaya semasa di dapur dan semasa menggunakan jarum untuk menjahit. Disebabkan sikap yang terlalu obses akan perkara negatif inilah menyebabkan mengapa kanak-kanak berkeperluan khas di Malaysia agak ketinggalan.
Selain itu juga, terdapat juga ibu bapa yang hanya bergantung kepada pihak sekolah semata-mata sahaja dalam usaha memberi didikan kepada anak mereka terutama dalam aspek pengurusan diri. Disebabkan itulah terdapat murid-murid yang masih tidak tahu untuk membuang air kecil atau besar di tempat yang sepatutnya iaitu tandas. Perkara ini sedikit sebanyak agak mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Akibatnya guru sendiri terpaksa membantu menguruskan kanak-kanak tersebut semasa berada di dalam kelas.
            Segelintir mereka mengharapkan sesuatu yang mustahil dalam masa yang singkat. Keenganan ibu bapa memahami perjalanan pengurusan pendidikan khas menjadikan ianya semakin sukar untuk dilaksanakan. Bagi mereka anak mereka harus diajar seperti murid aliran perdana yang lain. Keghairahan menjadikan anak mereka sama dengan rakan sebaya sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada pengurusan pendidikan khas. Walau bagaimanapun ada sebahagian mereka pula menyerahkan sepenuhnya anak mereka kepada pihak sekolah.

Mereka mengharapkan sepenuhnya kepada guru pendidikan khas mendidik anak mereka  dalam segala aspek. Kedua-dua situasi ini menjadi satu cabaran yang besar dalam pendidikan khas. Hal yang demikian kerana tidak ada kesinambungan dan komitmen daripada pihak ibu bapa terhadap pembelajaran anak mereka di luar waktu persekolahan. Peranan sesebuah institusi keluarga dan sekolah amat penting dalam membantu membina kemahiran-kemahiran yang seharusnya dikuasai murid berdasarkan transformasi dalam pendidikan.  Terdapat sebahagian ibu bapa merasa rendah diri kerana mempunyai anak yang tidak sempurna dan berasa malu pada ahli keluarga yang lain.  Ada sebahagiannya pula mengasingkan diri dari ahli keluarga lain.


Dari aspek individu murid pula adalah berbeza diantara satu sama lain. Menurut Khairul Yusri (2007), perbezaan individu bermaksud variasi atau ketidaksamaan individu daripada norma kumpulannya sama ada dari segi sifat kognitif, emosi, fizikal, moral, tingkah laku, sosial atau bakat dan aspek – aspek yang lain mungkin terdapat sesama individu dalam sesuatu kumpulan. Cabaran utama bagi guru-guru pendidikan khas bagaimana untuk mendapat kepercayaan dari anak-anak istimewa ini. Bukan senang untuk berhadapan dengan mereka kerana setiap orang kanak-kanak istimewa tersebut biasanya mempunyai pelbagai kelainan. Kesediaan anak-anak istimewa ini memasuki alam persekolahan juga dengan cara yang berbeza. Ini dapat dilihat pada faktor kematangan dan kesediaan fizikal berhadapan dengan rakan-rakan baru di sekolah. Besar kemungkinan layanan yang diterima di sekolah tidak sama dengan dirumah. Setiap hari mereka perlu mengikuti peraturan-peraturan sama seperti  rakan sebaya mereka.

Guru akan menghadapi berbagai –bagai gaya dan karenah daripada murid-murid pendidikan khas ini kerana kebanyakan mereka tidak pernah mengenali  alam persekolahan pada peringkat awal. Mereka mahu dilayan sebagaimana ibu bapa mereka melayan mereka di rumah. Guru sebagai pengganti ibu bapa perlu peka kepada keperluan mereka setiap masa. Termasuklah dalam pengurusan emosi dan amalan berdikari. Cabarannya ialah mungkin apa yang diberi oleh guru tidak sama dengan apa yang mereka terima dirumah. Sangat sukar bagi guru berhadapan dengan mereka yang mempunyai kepelbagaian yang pelbagai. Hanya dengan kesabaran dan keperihatinan serta kemampuan memberikan layanan yang baik dalam pelbagai aspek mampu meningkatkan kepercayaan murid terhadap guru pendidikan khas.  Kepercayaan dan kasih sayang mereka terhadap guru akan melebihi kepercayaan dan kasih sayang terhadap ibu bapa mereka sekiranya kita dapat menyesuaikan diri dengan kepelbagaian mereka.


            Cabaran juga dilihat dalam menguruskan murid-murid pendidikan khas yang berada di dalam kelas inklusif .  Kelas  inklusif   yang berjaya memerlukan guru  biasa  dan  guru  Pendidikan  Khas  perlu  bersikap jujur dan terbuka. Perkara yang sering diperkatakan ialah layanan yang diberikan terhadap murid pendidikan khas dan keprihatinan guru dalam membimbing mereka bersama murid biasa.  Kita juga melihat peranan yang perlu dipikul oleh guru pendidikan khas semasa menghantar murid mereka ke kelas inklusif.  Murid inklusif ini mempunyai potensi untuk cemerlang sama dengan murid biasa tetapi mereka memerlukan lebih bimbingan dan motivasi yang tinggi untk berdaya saing.

                                       
2.2  Sosial dan persekitaran

Sosial dan persekitaran merupakan salah satu aspek penting dalam pengurusan pendidikan khas. Sikap dan keprihatinan masyarakat  terhadap kepentingan murid-murid pendidikan khas merupakan satu lonjakan ilmu  yang perlu diterokai bersama. Masyarakat mempunyai pelbagai perbezaan gaya hidup dan kepercayaan. Cabaran yang sangat besar bagi pengurusan pendidikan khas  adalah dalam memberikan kesedaran dan membetulkan tanggapan mengenai pendidikan untuk kanak-kanak kelainan upaya. Bukan semua daripada mereka mempunyai kemampuan untuk memenuhi keperluan perbelanjaan sara hidup  anak-anak mereka.  Malah kebanyakan kanak-kanak kelainan upaya ini datang dari keluarga yang mempunyai kemampuan yang tinggi untuk memberikan  kemudahan-kemudahan yang sesuai dengan keperluan.
           
            Kita mengharapkan sokongan dan komitmen dari ahli masyarakat dalam menangani masalah  tingkah laku dan displin serta penderaan kanak-kanak.
Sokongan masyarakat sangat penting bagi meredakan kegundahan hati ibu bapa berhadapan dengan pelbagai rintangan dan cabaran membesarkan anak-anak kurang upaya. Ibu bapa sendiri perlu bersikap terbuka bagi menggalakan masyarakat bersifat  penyayang dan prihatin.  Hubungan dengan  ahli komuniti yang lain perlu dijaga  supaya   semua orang sekeliling faham mengenai pengurusan anak-anak pendidikan khas. Pengurusan pendidikan khas menghadapi cabaran dalam menerapkan nilai-nilai simpati dan empati dalam kalangan ahli masyarakat atas nama kesedaran dan tangungjawab. Kegiatan-kegiatan kerja amal dalam masyarakat masih lagi kurang mendapat sambutan dan penglibatan dalam badan-badan sukarela hanya dalam kalangan ahli yang terlbat sahaja.

 Oleh yang demikian pelbagai kemudahan dalam persekitaran dapat diusahakan bersama . Namun demikian bukan disemua tempat segala kemudahan itu disediakan malah ada segelintir yang menyalahgunakannya. Menerapkan kesedaran dalam kalangan ahli masyarakat  mengenai keperluan golongan kelainan upaya bukanlah sesuatu yang mudah. Lontaran pandangan sinis dan serong  terhadap golongan ini secara negatifnya akan memberi impak kepada pergaulan kanak-kanak kelainan upaya dalam masyarakat. Kita lihat juga di persekitaran sekolah dimana penerimaan pentadbiran sekolah dalam membuka ruang kepada murid-murid pendidikan khas. Pengintegrasian sesuatu program bukanlah sesuatu yang mudah hendak dilaksanakan. Kesanggupan berkongsi segala kemudahan yang ada dan memberikan keutamaan kepada  murid-murid pendidikan khas merupakan antara sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan.

Kebanyakan sekolah lebih berfokus kepada kecemerlangan dan bukan kepada kebajikan kerana  ianya membawa kepada impak yang lebih besar. Bukan semua program integrasi mendapat tempat yang selesa dan mempunyai ruang yang cukup bagi menampung keperluan aktiviti mereka. Pentadbir melihat program pendidkan khas ini seolah sekadar menumpang disatu sudut yang lain atau menjadi tempelan sahaja kepada sekolah.  Masyaralat sekolah memandang ianya satu program yang bukan menyumbang kepada kecemerlangan dan pembangunan sekolah.

Inilah cabaran yang sangat besar yang perlu dihadapi oleh pengurusan pendidikan khas.  Dalam melaksanakan  tugasan  hakiki dan berdaya saing dengan  ahli masyarakat sekolah yang lain maka pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai hala tuju supaya program ini akan dipandang sama hebat dengan program lain. Kerjasama dengan badan-badan atau persatuan yang boleh memperjuangkan hak-hak kanak-kanak kelainan upaya sangat memberi impak. Kita semua perlu bersatu menetapkan satu perjuangan yang sama supaya akan timbul kesedaran dalam kalangan mereka bagi menghargai golongan yang kurang bernasib baik.  Jabatan-jabatan kerajaan turut memainkan peranan membuka ruang dan menjalankan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sosial yang perlu ditunaikan berbanding kepentingan peribadi.

Pelbagai aktiviti dan program perlu dirancang bagi membuktikan bahawa pengurusan pendidikan khas boleh berdaya saing dan mempunyai matlamat jangka panjang. Kesedaran dapat dilihat sudah banyak badan-badan sukarela menjalankan aktiviti-aktiviti  bersama dan memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

2.3 Personel dan Kepakaran
Asas terpenting yang perlu dimiliki dalam sesuatu organisasi pendidikan ialah personel yang terdapat dalam sesuatu organisasi. Personel inilah yang akan membentuk dan menggerakkan sesuatu organisasi untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Menurut Greenlaw dan Kohl dalam buku Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan(zaidatol,2003), pengurusan personel merangkumi semua keputusan yang berkaitan dengan sesebuah organisasi. Termasuklah aspek motivasi, melatih dan menyediakan keperluan serta kefungsian personel.

Dalam konteks cabaran dalam pengurusan pendidikan khas, pengurusan sekolah berusaha  membentuk personel seorang guru yang  mempunyai nilai-nilai etika  dan kredibiliti sebagai seorang pendidik. Semua peringkat dalam pengurusan perlu memberikan perhatian dan mengambil berat kebajikan guru dalam memberikan ruang keselesaan. Pengurusan perlu bijak meletakkan guru di tempat yang betul dengan minat dan kepakarannya. Kecekapan sesuatu pengurusan dapat dilihat dengan sumbangan dan kerja buat seorang guru yang mampu melaksanakan tugasan dengan efisyen.

Tugas seorang guru sebagai pengurus kanak-kanak istimewa ini sangat mencabar.   Sebagai seorang guru, adalah penting untuk  mengetahui  dan  meneliti  pendekatan yang bersesuaian yang dibawa oleh setiap murid pendidikan khas, bakat serta minat mereka ke dalam situasi pembelajaran. Sewajarnya guru perlu mengetahui bahawa setiap individu  adalah berbeza dari aspek budaya, latar belakang keluarga, dan tahap sosioekonomi yang mana sedikit sebanyak memberi kesan kepada gaya dan corak pembelajaran mereka. Setelah guru perlu mampu memahami serta mengenali setiap jenis murid didalam kelas supaya mereka juga  boleh mencapai kejayaan daripada hasil pembelajaran mereka di sekolah. Cabaran yang paling besar bagi guru pendidikan khas ialah bukan sahaja memberikan pendidikan malah memastikan mereka juga boleh melakukan amalan berdikari dalam kehidupan harian mereka. Amat sukar untuk dipastikan sebanyak mana amalan tersebut dipraktikan di rumah dan mempunyai kesinambungan yang berterusan.

Pengurusan pendidikan khas juga perlu membuat perancangan mengurus bagi menentukan keperluan dalam sesuatu organisasi. Ini bermaksud mengetahui bilangan guru yang diperlukan dalam sesuatu organisasi mencukupi dengan keperluan. Kebanyakan program pendidikan khas sering mengalami kekurangan guru. Tenaga pengajar yang tidak cukup akan menganggu proses pengajaran dan pembelajaran murid khas. Oleh yang demikian lahirlah guru-guru yang dilatih secara segera oleh kementerian termasuklah yang bertukar opsyen. Pengurusan pendidikan khas terpaksa berhadapan dengan tenaga kerja yang kurang berpengetahuan, kurang kepakaran dan tidak mempunyai minat dengan pendidikan khas.

Kewibawaan dan kebolehan guru pendidikan khas pula sering dipertikaikan kerana usaha melahirkan seorang kelainan upaya yang cemerlang sangat sukar dilakukan. Kecemerlangan  mereka  dinilai  oleh prestasi murid pendidikan khas dalam akademik. Guru perlu sentiasa mengubahsuai proses pengajaran dan pembelajaran termasuk kesediaan menggunakan pelbagai alatan pengajaran bagi mencapai objektif pengajaran. Namun demikian  masa untuk menghasilkan seorang insan yang  cemerlang dalam kalangan kelainan upaya memerlukan masa yang amat panjang. Sikap kebanyakan guru pendidikan khas sendiri yang terlalu mengambil mudah dan tidak menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan tugas. Alasan kerana mengajar pendidikan khas bukanlah satu helah yang baik  untuk tidak memberikan kerjasama dalam organisasi sekolah. Inilah satu cabaran dalam pengurusan pendidikan khas kerana keseluruhan organisasi akan dipandang sepi kerana sikap beberapa orang guru yang sedemikian.
Begitu sukar meletakan satu-satu kepakaran mengikut minat dan kebolehan guru dalam pengurusan pentadbiran. Kepakaran itu boleh diperolehi dengan usaha latihan dan bacaan, kursus, pembelajaran kendiri. Inidividu guru itu sendiri perlu mengapliksikan kepakaran yang ada bersama organisasi lain atau kepakaran itu tidak boleh  dikongsikan dengan orang lain. Ini satu cabaran yang sukar dihadapi kerana ianya bergantung kepada minat dan komitmen guru dalam menjana idea dan perkongsian maklumat. Bekerjasama sebagai   satu kumpulan guru-guru biasa dan guru khas  merupakan satu himpunan  kepakaran  dan  resos  yang  boleh  digunakan  untuk  memenuhi   keperluan kepelbagaian  murid.   Kesepaduan  tenaga  dan  pemikiran  tersebut  akan mengurangkan pergantungan kepada pendekatan  pengasingan.

Pengurusan pendidikan khas perlu melahirkan  personel yang mempunyai kepakaran dan kualiti kerja yang seimbang dengan penampilan peribadi. Cabaran memupuk hubungan baik dengan dalam satu organisasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan daya pengeluaran dalam satu kerja berpasukan. Struktur organisasi perlu membina hubungan baik dan menyediakan latihan bagi meningkatkan semangat kerja berpasukan dan mempertingkatkan kepakaran personel.

3.0 HALATUJU PENGURUSAN PENDIDIKAN KHAS

Halatuju dalam amalan pendidikan  telah jelas dinyatakan dalam Falsafah Pendidikan Khas iaitu satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya,beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Halatuju bermaksud menetapkan sasaran, misi, visi dan objektif keseluruhan dalam sesuatu organisasi.

Pengurusan pendidikan khas dalam sesuatu organisasi akan berjaya apabila terdapat komitmen sepenuhnya terhadap kualiti. Pentingnya melaksanakan visi dan misi haruslah seiring dengan kecemerlangan tindakan. Tribus 1994, dalam buku Mengurus Kualiti Di Sekolah(2004),  mengatakan matlamat hendaklah tetap dan tidak berubah-berubah setiap hari. Justeru itu hasrat organisasi untuk mempunyai hala tuju yang betul perlu selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan misi pendidikan untuk berdepan dengan cabaran-cabaran dalam pendidikan. Secara keseluruhannya perbincangan halatuju dalam konteks pengurusan pendidikan khas merangkumi aspek:

3.1 Pengurusan Dan Kepimpinan Pendidikan Khas

Misi Pendidikan Khas menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid dengan keperluan khas untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari,berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat dan negara. Visi Pendidikan Khas pula bagi menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada mereka dengan keperluan khas kearah kecemarlangan hidup sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara.

Pentadbiran pendidikan khas perlu menyusun atur bidang tugas dengan bijak supaya tidak berlaku pertindihan tugas yang boleh menjejaskan kualiti guru dan keseluruhan organisasi. Pembahagian tugas yang adil dan sentiasa memantau pengurusan kerja serta memberikan khidmat bantu  membolehkan seseorang guru itu menjalankan tugas di atas landasan yang betul. Pentadbiran pendidikan khas perlu  mempunyai acuan yang tersendiri dengan gaya kepimpinan yang berkesan. Pentadbiran pendidikan khas perlu melihat secara menyeluruh dari aspek pengurusan kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid, pengurusan kewangan dan pentadbiran. Tugas-tugas tersebut harus difahami dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai penetapan perancangan strategik dengan sumber-sumber yang cukup sesuai dengan keupayaan membangunkan organisasi. Hubngan baik dengan rakan sekerja yang bersedia menerima kritikan, idea dan mencari jalan penyelesaian masalah.

3.2 Personel Dan Kepakaran

Menurut Atan (1991), guru mempunyai tugas yang mulia dan penting kerana di tangan gurulah letaknya rakyat pada masa hadapan.  Jika tugas guru itu dijalankan dengan baik, masyarakat beruntung kerana menjadi rakyat yang berguna tetapi jika berlaku sebaliknya, masyarakat akan menanggung kerugian yang besar.  Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini harus menyedari tugas dan amanah yang diserahkan kepadanya untuk mendidik generasi yang akan menjadi dewasa kelak. Mereka perlu diberi ruang menjalani kehidupan yang bermakna dan mampu menjalani hidup berdikari dalam masyarakat.

Pendidikan Khas adalah pengajaran yang direka bagi memenuhi keperluan pendidikan murid dengan keperluan khas. Pendidikan ini dirancang secara tersendiri, dilaksanakan secara teratur serta dinilai keberkesanannya secara teliti bagi membantu murid dengan keperluan khas mencapai tahap berdikari tinggi dan kejayaan hidup memuaskan. Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), menyatakan bahawa mendidik murid kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran kerana setiap setiap daripada mereka  memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.

Pentadbir pendidikan  khas perlu merupakan seorang yang menjadi pakar rujuk dalam segala aspek. Pengetahuan dan pengalaman adalah gabungan yang boleh memimpin guru-guru lain. Halatuju yang cemerlang memerlukan guru yang mempunyai keperibadian yang unggul, bersikap positif, memiliki ketrampilan pengetahuan dan kemahiran dan beretika. Guru perlu berusaha meningkatkan profesionalisme keguruan supaya kewibaan dan kebolehan mengendalikan murid-murid pendidikan khas tidak boleh dipertikaikan. Justeru itu keupayaan berkomunikasi dan berkolaborasi dengan semua pihak membawa kepada satu budaya kerja cemerlang dan berkualiti.

Guru pendidkan seharunya berani membuat anjakan minda dan sentiasa membuat pelabagai inovasi dalam pengajaran  sebagai tuntutan atas satu usaha yang bersungguh-sungguh. Kepakaran yang dimiliki menjadi amalan dalam pengajaran dan pembelajaran yang membawa kepada kecemerlangan dalam pendidikan khas. Perkongsian ilmu dapat meningkatkan prestasi kerja dan memperbaiki kelemahan diri. Mohd Taib Hj Dora, 2005 dalam buku Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesioanal(2010), mengatakan seorang guru itu perlu pakar dalam ilmu pengetahuan dan berkualiti untuk meningkatkan profesion perguruan.

Guru pendidikan khas perlu mempunyai pengurusan emosi dan spiritual yang tinggi supaya dapat mengekalkan kualiti dalam perkhidmatan. Ketrampilan diri  hendaklah seiring dengan kepercayaan pada diri sendiri dan berteraskan iman yang kuat agar tidak kecundang dengan tewas dengan tanggapan negatif pihak lain. Halatuju guru dalam merealisasikan misi Kementerian Pendidikan, khasnya meningkatkan kualiti sekolah ialah guru haruslah sentiasa berusaha meningkatkan taraf professional melalui latihan dalam perkhidmatan, perlaksanaan penyelidikan tindakan secara kolaborasi, membuat refleksi kendiri, memupuk budaya ilmu, menambah ilmu dan kemahiran melalui e-pembelajaran dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang terkini untuk merancang serta melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Seorang guru berkualiti juga perlu mempertingkatkan profesionalisme. Guru harus sedar tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara. Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu dikemaskini setiap masa.  Disamping itu berusaha mengaplikasi kaedah- kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Guru pendidikan khas perlu menyambut baik dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib agar dapat mempertingkatkan keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran yang semakin kompleks ini. Selain itu juga seorang guru perlulah berpengetahuan, berdaya fikir dan berakhlak mulia. Guru yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian.

Guru-guru yang terlibat dalam kelas  inklusif hendaklah  bersedia  untuk menghadapi  sebarang rintangan dan halangan yang mendatang.  Mereka juga perlu belajar  untuk berkompromi dan juga membuat sesuatu yang berlainan sama sekali daripada yang dirancangkan.  Disamping itu juga guru kelas biasa dan guru kelas Pendidikan Khas perlu bekerjasama dan menerima kanak-kanak berpendidikan khas yang mempunyai berbagai-bagai   perbezaan individu. Kedua-dua guru  kelas biasa dan guru khas perlu bersedia untuk menjalankan tugas  dan tanggungjawab yang dipersetujui serta berkesanggupan untuk merancang  dan bekerjasama dalam semua aspek aktiviti dan isu. Penting sekali  adalah kita tidak boleh mengenepikan,  mengabaikan atau mengecilkan pendidikan  kanak-kanak  bekeperluan  khas  ini.  Isu –isu pengasingan dan pelabelan membangkitkan semangat dan kekuatan untuk bangun berdaya saing.

 Murid-murid pendidikan sudah boleh berada dalam kelompok murid-murid biasa dan menjalankan aktiviti kurikulum serta kokurikulum bersama.  Program inklusif  banyak membantu menjadikan mereka berdaya saing dan berketrampilan setanding dengan rakan sebaya.  Justeru itu program inklusif perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya supaya murid-murid pendidikan khas boleh berpeluang membuktikan keupayaan mereka dalam bidang akademik.  Guru pendidikan khas harus berusaha dan  menunjukkan kepakaran dalam pelbagai bidang supaya kebolehan dan kepakaran itu tidak boleh dipertikaikan. Kajian Haniz Ibrahim (1998) mendapati bahawa guru aliran perdana sekolah rendah dan menengah bersikap negatif terhadap pendidikan inklusif. Penerimaan guru aliran perdana terhadap murid yang belum didiagnosis lebih positif berbanding murid yang sudah dilabel dengan sesuatu masalah. 



3.3  Peranan Ibu bapa dan Masyarakat


Kita melihat perkembangan program pendidikan khas masa kini semakin diterima dengan baik.  Sambutan dari pihak ibu bapa sangat menggalakan demi kesedaran dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak istimewa.  Akta pendidikan wajib telah memperlihatkan  kedudukan kanak-kanak kelainan upaya juga berhak diberi pendidikan yang selayaknya seperti kanak-kanak yang seusia mereka.  Bukan mudah bagi pihak ibu bapa menyerahkan anak mereka kepada orang tidak mereka kenali. Guru sentiasa perlu bersedia memberikan harapan dan menunjukkan kecekapan mereka agar kewibawaan mereka dalam mendidik anak-anak kelainan upaya tidak dipandang remeh.

            Pihak pengurusan pendidikan khas perlu mempunyai hubungan baik dengan ibu bapa dan sentiasa berkolaborasi demi kejayaan anak-anak pendidikan khas. Keberkesanan dan pemantapan program sangat memerlukan sokongan daripada institusi keluarga dan masyarakat. Pendapat Sharifah Alwiyah Al Sagoff, 1985 dalam buku Kepimpinan Pendidikan di Malaysia92005), mengatakan sekolah dan keluarga perlu mempunyai aspirasi , nilai dan sikap yang ada  kesinambungan antara sekolah dan rumah. Hal ini akan mengeratkan hubungan baik dua pihak dalam mencapai visi pengurusan pendidikan khas. Ibu bapa dan masyarakat juga akan menjadi role model kepada ibu bapa lain dan anak-anak pendidikan khas. Kesediaan ibu bapa dan masyarakat memberi sokongan dalam program-program anjuran sekolah dan penglibatan dalam majlis ilmu seperti seminar ke ibu bapaan membawa kepada hala tuju  yang sama.

            Kerjasama dengan badan-badan sukarela dan NGO akan membuka ruang dan pemikiran yang lebih luas dan terbuka. Disinilah tempat yang paling sesuai untuk mereka bertukar-tukar pendapat, menjana idea dan memberikan kritikan membina dalam usaha memahami keperluan pendidikan masa kini. Kesedaran dalam kalangan mereka merupakan satu sokongan dan berfungsi sebagai penyumbang dalam kemajuan pendidikan. Persepsi ibu bapa dan masyarakat terhadap pengurusan sekolah perlu berubah  mengikut keperluan semasa tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
           

4.0 Rumusan

            Kesimpulannya cabaran dan halatuju pengurusan pendidikan khas perlu seiring.  Isu-isu yang dihadapi bukanlah satu halangan dalam mentadbir sesuatu program. Semua pihak perlu bekejasama dan berganding bahu supaya murid-murid pendidikan khas mendapat peluang dan hak yang sama dalam pendidikan. Kecekapan pengurusan sangat bergantung kepada kebijaksanaan mellaksanakan hal-hal yang berkaitan dengan komunikasi dua hala. Pihak-pihak yang terlibat secara langsung seharusnya diberi pendedahan yang sebaiknya mengenai pengurusan dan pentadbiran pendidikan khas.  Dengan adanya kerjasama dan hubungan baik, maka kecemerlangan murid-murid pendidikan khas sudah pasti dapat ditingkatkan. Pendidkan Khas juga mempunyai murid  yang mempunyai matlamat mencapai kehidupan bermakna dan berketrampilan dengan didikan golongan guru yang inovatif dan kreatif. Berikan ruang kepada mereka untuk menjadi rakyat yang berpendidikan selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Senarai rujukan:
Atan Long.(1991).Isu-isu latihan mengajar:Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Habib,M (2005).,Profil kesediaan guru sekolah menengah terhadap
pelaksanaan perubahan kurikulum.Tesis Ph.D.Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Mohd Taib.(2010).Asas kepimpinan dan perkembangan profesional.Kuala
            Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Mohd,A(2008),Mengurus kanak-kanak yang susah belajar.Kuala Lumpur:PTS
            Profesional Publishing  Sdn. Bhd.

Noriati, A (2010), Guru dan cabaran semasa.Shah Alam:Oxford Fajar.

Razhiyah,K (2008), Menjadi guru pendidikan khas,Kuala Lumpur:PTS
            Profesional Publishing Sdn. Bhd.

Robiah ,S(1994). Pendidikan di Malaysia: Cabaran untuk masa depan.Kuala
            Lumpur: Fajar Bakti.

Syed Ismail, Ahmad Subki.(2010).Guru dan cabaran semasa.Kuala Lumpur:
            Penerbitan Multimedia.

Zaidatol Akmaliah(2003)Pengurusan dan kepimpinan pendidikan satu langkah
            ke hadapan.Universiti Putra Malaysia:Serdang

Zharulnizam,S (2010),Kepimpinan dan pengurusan pendidikan khas.Kuala
            Lumpur: Utusan Publication.