Pendidikan
merupakan satu wadah utama untuk pembangunan sesebuah negara. Pendidikan yang
baik ialah pendidikan untuk semua dan merangkumi segala aspek yang diperlukan
oleh setiap murid mengikut perbezaan murid. Ia selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan iaitu “Pendidikan adalah usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini
adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”.
Oleh itu, pendidikan yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan
kanak-kanak yang pelbagai juga perlu disediakan.
Di
Malaysia, pendidikan khas telah mendapat perhatian semua pihak apabila Akta
Pendidikan 1996 menyatakan, program pendidikan khas di sekolah kerajaan dan
bantuan kerajaan layak diikuti oleh murid dengan keperluan khas yang boleh
dididik, iaitu;
“Jika
dia mampu menguruskan diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang lain
dan disahkan oleh suatu panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai
daripada Kementerian Pendidikan dan pegawai daripada Jabatan Kebajikan
Masyarakat, sebagai berupaya mengikut program pendidikan kebangsaan.”
Sehubungan
dengan itu, pendidikan khas di Malaysia pada masa kini adalah di bawah
tanggungjawab empat kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia,
Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia. Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanggungjawab menyediakan
perkhidmatan kepada kanak-kanak yang cacat fizikal, terencat akal sederhana dan
teruk serta kanak-kanak spastik atau terencat. Manakala Kementerian Kesihatan
pula bertanggungjawab menyaring dan mengenalpasti kanak-kanak yang dilahirkan
dalam keadaan berisiko. (Jamila K.A Mohamed, 2006)
Jamila K.A Mohamed (2006) menyatakan bahawa pendidikan khas adalah pengajaran
yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pendidikan murid dengan keperluan
khas. Pendidikan ini dirancang secara teratur serta dinilai keberkesanannya
secara teliti bagi membantu murid dengan keperluan khas mencapai tahap
berdikari tinggi dan kejayaan hidup yang memuaskan.
Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan Khas
(1997), program pendidikan khas bererti suatu program yang disediakan di
sekolah khas bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan ataupun
kecacatan pendengaran. Selain itu, program pendidikan khas juga diertikan
sebagai suatu program percantuman di sekolah biasa bagi murid-murid yang
mempunyai kecacatan penglihatan ataupun kecacatan pendengaran atau mempunyai
masalah pembelajaran dan program pendidikan inklusif bagi murid-murid dengan keperluan
khas yang dapat menghadiri di dalam kelas biasa bersama-sama dengan murid-murid
biasa. (Jamila K.A Mohamed, 2006).
Program Pendidikan Khas di Malaysia terdiri daripada tiga kategori yang utama
iaitu Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran, Program Pendidikan Khas
Bermasalah Penglihatan dan Program Pendidikan Khas Integrasi. Ketiga- tiga
program ini disediakan dari peringkat prasekolah sehinggalah sekolah menengah.
Disamping itu, pendidikan teknik dan vokasional juga disediakan untuk
ketiga-tiga kategori ini, khususnya bagi masalah pendengaran. Malah pelajar
masalah pendengaran yang berkelayakan dapat meneruskan pengajian mereka di
politeknik yang menjalankan program pendidikan secara inklusif.
Secara umumnya, masyarakat melabelkan orang yang memerlukan keperluan khas
sebagai orang cacat,kurang upaya dan ketidaksempurnaan. Menurut Noriati
A.Rashid et al. (2011), kumpulan berkeperluan khas merujuk kepada kanak-kanak
istimewa (luar biasa atau tercabar dari segi intelek, jasmani, sosial atau
emosi). Kumpulan ini dianggap sebagai istimewa kerana ibu bapa dan guru
menumpukan perhatian yang lebih berbanding murid-murid normal. Antaranya murid
yang menghadapi penyakit autisme, sindrom down, masalah pembelajaran disleksia,
lewat perkembangan cerebral palsy, kecacatan pendengaran dan penglihatan,
pintar cerdas, kecelaruan tingkah laku dan lain-lain lagi. Berdasarkan Akta
Pendidikan 1996 di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (1997),
murid-murid dengan keperluan khas bermaksud murid-murid yang mempunyai
kecacatan samaada penglihatan, pendengaran ataupun masalah pembelajaran.
(Jamila K.A Mohamed, 2006)
2.0
PERKEMBANGAN
2.1
PERANAN GURU PENDIDIKAN KHAS
Mengikut
Kamus Dewan (Edisi Ke-4), guru adalah orang yang mengajar, pendidik, pengajar
dan juga pengasuh. Oleh sebab itu, peranan dan tanggungjawab seorang guru
sangat memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap murid. Menurut
Tokoh Guru Peringkat Negeri Kedah, Abdul Rahim Mohd Said (Utusan Online, 2008),
beliau menyatakan bahawa setiap guru perlu memberi keutamaan kepada pelajar dan
ibu bapa mereka sera tahu apa keperluan pelajar bagi menjadi seorang guru yang
baik. Ia sejajar dengan Falsafah Pendidikan Guru iaitu “ Guru yang berpekerti
mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi
negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan
individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik,
progresif dan berdisiplin.”
Profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T.
dan banyak hadis Rasulullah S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi
pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi
menjadi guru pendidikan khas yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa
yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.
Peranan
guru sangat besar apabila mereka dianggap sebagai pengajar kerana tugas utama
guru di dalam bilik darjah adalah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan
sukatan pelajaran serta mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang bermoral
tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah
merancangkan aktiviti pengajaran yang sesuai, alat bantu mengajar untuk
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, melaksanakan rancangan
mengajar yang telah disediakan dan membuat penilaian atas segala aktiviti
pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Melalui maklum balas yang
diperoleh daripada penilaian, guru dapat menambahbaikkan proses pengajaran dan
pembelajaran. Kaedah pembelajaran yang baharu mengikut masalah perlu diwujudkan
apabila penambahbaikkan diperlukan. Oleh sebab itu, guru haruslah menggunakan
pendekatan yang kreatif dan kritis untuk menarik minat murid dalam pengajaran
dan pembelajaran. Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), menyatakan bahawa
mendidik pelajar kelas pendidikan khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi
perlu pendekatan kreatif dan kritis dalam pembelajaran kerana setiap pelajar
pendidikan khas di dalam sesebuah kelas memerlukan kaedah pengajaran
tersendiri.
Guru juga dianggap sebagai pengurus apabila mereka diperlukan untuk mengurus
rutin bilik darjah, mengurus murid supaya menjalankan tugas seperti menjaga
kebersihan kelas, menjaga disiplin pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru
menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang
sihat, disiplin kelas yang mantap dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan
sesuai untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu,
guru pendidikan khas juga bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi
murid mereka. Rekod peribadi mereka sangatlah penting kepada individu lain
untuk mendapatkan maklumat dan sebaginya. Guru juga perlulah sentiasa mengemaskini
rekod peribadi murid-murid ini supaya perkembangan terbaru mereka dapat
diperbaharui.
Kaunselor juga seringkali dikaitkan dengan guru pendidikan khas. ia berlaku
apabila mereka seringkali mempunyai anggapan positif terhadap pelajar mereka.
Mereka tidak pernah menganggap pelajar mereka mempunyai masalah yang tidak
boleh diselesaikan. Justeru itu, mereka sentiasa menerima pelajar mereka tanpa
syarat. Guru Pendidikan Khas juga dianggap kaunselor apabila murid-murid
mengalami masalah sosioemosi seperti rasa takut, kecewa, bosan dan sebagainya
serta masalah pembelajaran hendaklah dibimbing supaya murid dapat membina
keyakinan diri. Sebagai contoh Cikgu Alizah Abdul Malek, Guru Penolong Kanan
Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong telah mengatakan bahawa
beliau bukan sahaja mengajar di sekolah malah pernah diminta oleh ibu bapa
pelajar supaya menelefon dan mengejutkan anak mereka yang enggan ke sekolah
(Utusan Online, 2011). Ini membuktikan bahawa peranan guru pendidikan khas sebagai
kaunselor yang sentiasa menyelesaikan masalah murid walaupun masalah berlaku di
luar sekolah. Lain pula dengan Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah
Menengah Danau Kota apabila terdapat pelajar istimewa yang dirasakan
berpotensi, dia akan membawa mereka pulang ke rumah selepas sekolah dan
mengajar cara-cara pengurusan diri. (Kosmo, 2008).
2.2
CIRI-CIRI GURU PENDIDIKAN KHAS
Guru
adalah orang yang penting dalam riwayat hidup setiap individu sehinggakan ada
pendapat yang mengatakan, “Saya suka subjek itu kerana saya sukakan cara guru
itu mengajarnya”. Apabila kanak-kanak itu mula bersekolah sehinggalah mereka
meningkat dewasa, mereka sentiasa berhadapan dengan guru serta interaksi juga
sering berlaku. Guru mengajar, membimbing, menegur, memuji, memujuk dan
memarahi pelajar-pelajarnya adalah situasi yang sentiasa berlaku semasa
pengajaran dijalankan. Dalam situasi ini terdapat pelbagai kualiti yang
berbeza. Mengikut Atan Long (1992) dalam buku Mengurus Tingkah Laku Pelajar ,
terdapat beberapa ciri menjadi guru yang baik iaitu emosi dan mental yang
stabil dan sihat, dipercayai, sering memberi kerjasama, kesihatan yang baik,
kecerdasan otak dan tingkahlaku yang sopan dan menyenangkan. Kesantunan dan
kepedulian adalah ciri-ciri guru yang baik malah ia adalah perkara-perkara yang
terkandung di bawah etika guru. Mengikut Kamus Dewan Edisi Ke-4, etika ialah
prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan
seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Oleh sebab itu, dapat disimpulkan
bahawa etika guru ialah prinsip moral atau akhlak yang menjadi pegangan seorang
guru.
Jika
dikaitkan dengan kesantunan guru atau etiket, ia terbahagi kepada tiga iaitu
kesantunan berpakaian, kesantunan tingkahlaku dan kesantunan berbahasa.
Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama
oleh suatu kelompok masyarakat tertentu sehingga kesantunan tersebut sekaligus
menjadi prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. (Syed Ismail dan Ahmad
Subki, 2010). Oleh yang demikian, kesantunan guru perlu dipamerkan untuk
membentuk kesantunan di kalangan murid. Kepedulian guru juga adalah salah satu
daripada ciri guru yang baik. Pendekatan kepedulian merupakan kesanggupan
seseorang untuk berkorban demi orang lain. Kepedulian atau dalam istilah yang
lain ialah ‘ambil peduli’, ‘mengambil berat’ dan ‘menyayangi’, yang melibatkan
responsif sensitif terhadap orang lain berdasarkan sikap keterbukaan dan
perhatian terhadap pengalaman mereka. Oleh yang demikian, kepedulian bolehlah
didefinisikan sebagai perasaan ambil berat terhadap orang lain. (Syed Ismail
dan Ahmad Subki, 2010).
Salah
satu ciri guru pendidikan khas yang baik ialah mempunyai sifat sabar yang
tinggi. Kesabaran ini diperlukan ketika menghadapi karenah murid-murid ini. Hal
ini kerana murid berkeperluan khas ini sangat unik dan mempunyai pelbagai
karenah dan perangai tersendiri seperti tidak sabar, memberontak, cepat
menangis dan mengamuk. Untuk menghadapi situasi ini, seorang guru haruslah
sentiasa berupaya mendengar dengan tekun, mengawal perasaan, serta menghargai
murid. Jika kesabaran tidak dapat dipraktikkan, maka guru ini akan mengalami
situasi yang sangat sukar dalam mengendalikan murid-murid dan kemungkinan
guru-guru ini juga akan mengalami kemurungan. Memetik kata-kata Cikgu Lee Fong
Lan dari Sekolah Menengah Danau Kota dalam Kosmo terbitan 2008, beliau
menyatakan bahawa beliau pernah ditendang dan diludah oleh kanak-kanak autisme
tetapi dengan kesabarannya mendidik akhirnya kanak-kanak tersebut semakin
mendengar kata dan berkelakuan baik. Pendapat ini disokong oleh Cikgu Alizah
bahawa guru pendidikan khas memerlukan kesabaran yang tinggi dan dengan
kesabaran itu menjadikan proefesion guru sebagai unik dan menarik.
Selain
itu, guru pendidikan khas juga haruslah bertanggungjawab untuk mendidik
murid-murid berkeperluan khas. Sudah diketahui umum bahawa bukan semua
murid-murid berkeperluan khas ini mampu membaca, menulis seperti rakannya yang
lain tetapi menjadi satu kebanggaan kepada gurunya apabila murid mereka mampu
berdikari dan mengurus keperluan diri sendiri. Ia merupakan kejayaan terbesar
yang dan hadiah yang tidak ternilai untuk seorang guru walaupun setelah masa
yang lama untuk dididik. Justeru itu, guru seharusnya bertanggungjawab
menggunakan pelbagai pendekatan untuk menarik minat murid dalam pembelajaran.
Seperti yang dikatakan oleh Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), bahawa
pengajaran yang dilakukan kepada murid pendidikan khas perlu pendekatan kreatif
dan kritis serta mempunyai kaedah pengajaran tersendiri.
Jika
guru disiplin perlukan sifat yang tegas, guru pendidikan khas pula perlukan
sifat pandai memujuk murid. Sifat ini diperlukan untuk menangani pelajar yang
agrasif. Murid seperti ini tidak boleh dimarahi kerana mereka akan menjadi
lebih agresif. Disinilah pentingnya sifat memujuk dan tahap kesabaran yang
tinggi. Layanan yang diberikan kepada pelajar ini perlulah dengan penuh
berhemah. Sebagai contoh, Cikgu Alizah Abdul Malek telah mengalami situasi
murid telah memanjat pokok dan pujukan diperlukan untuk murid tersebut turun
dengan selamat. (Utusan Online, 2011)
Komunikasi
antara guru dengan murid dan ibu bapa adalah sangat penting dalam mewujudkan
perhubungan yang baik. Ciri positif komunikasi tersebut ialah guru boleh
berinteraksi dengan baik. Dengan interaksi yang berlaku akan mewujudkan
pelbagai perasaan yang positif seperti kepercayaan, empati dalam diri,
penerimaan murid dan sebagainya. Dengan interaksi dua hala ini ibu bapa senang
untuk mengadakan perbincangan dan meluahkan pandangan serta idea. Petikan
daripada Khutbah Jakim juga menyatakan bahawa hubungan baik antara ibu bapa
dengan pihak guru penting supaya usaha mengasuh dan mendidik anak berjalan
dengan lancar dan sempurna. Ibu bapa dan masyarakat perlu menjalin hubungan
erat dan berterusan dengan pihak sekolah supaya permasalahan diselesaikan
secara muhibah. (Berita Harian, 2011)
Untuk
mengatasi segala masalah yang berkaitan, guru haruslah mempunyai ilmu yang
cukup dan kecerdasan minda dalam menyelesaikan masalah. Ilmu menjadi sesuatu
yang penting untuk guru-guru ini mengenalpasti murid-murid mereka dengan baik
dan mencari jalan penyelesaian yang baik dan sesuai untuk setiap murid. Ilmu
bukan sahaja melalui pembacaan tetapi guru-guru ini boleh menghadiri kursus,
menyambung pengajian dan bertanyakan pakar adalah salah satu daripada ilmu yang
diperolehi. Dengan ilmu yang ada, guru-guru dapat menggunakan kecerdasan minda
mereka dalam menghadapi muird-murid ini.
2.3
CABARAN GURU PENDIDIKAN KHAS
Menjadi guru pendidikan khas adalah sesuatu yang amat berbeza dan mencabar
berbanding menjadi guru biasa.(Utusan Online, 2011). Kata-kata tersebut adalah
petikan daripada seorang guru pendidikan khas yang sebelum ini adalah guru
biasa. Menurut Cikgu Alizah Bt Abdul Malek, kehidupan sebagai seorang guru
pendidikan khas sangat mencabar kerana pelbagai karenah murid yang berbeza
terpaksa mereka hadapi. Pendapat ini telah disokong oleh seorang lagi guru
pendidikan khas iaitu Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau
Kota bahawa menjadi guru pendidkan khas sangat mencabar. (Kosmo, 2008)
Cabaran yang paling besar yang perlu dihadapi ialah murid-murid sendiri.
murid-murid ini akan melakukan pelbagai aksi ataupun sikap untuk menunjukkan
sikap memberontak, marah, sedih dan sebagainya. Terdapat juga murid yang
membuat perangai disebabkan inginkan perhatian. Ia telah dialami oleh Cikgu
Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota yang telah digigit dan
dipukul kerana tidak memberikan perhatian kepada seorang pelajar. Disebabkan
kerenah yang pelbagai, guru perlu menggunakan segala kepakaran mereka samaada
memujuk, menyelesaikan masalah dan sebagainya.
Seterusnya ialah cabaran daripada ibu bapa apabila meletakkan harapan yang
tinggi terhadap guru untuk mengubah anak mereka. Apabila wujud kesedaran ibu
bapa terhadap masalah pembelajaran anak-anak mereka, mereka akan
menghantar anak mereka ke sekolah. Mereka akan mula mengharapkan perubahan
terhadap anak mereka sedangkan guru hanya mendidik semasa murid di sekolah
sahaja. Tetapi dengan rasa tanggungjawab dan ikhlas dalam menjalankan tugas,
guru pendidikan khas merasakan mereka mampu membawa perubahan kepada anak-anak
istimewa ini. Seorang ibu iaitu Dayang Kianhing, telah mengatakan bahawa
anaknya telah berlaku perubahan yang memberangsangkan apabila sudah boleh
menghafal surah al-Fatihah dan bersolat serta sudah berminat ke sekolah. Ia
adalah perkembangan yang memberangsangkan kerana anaknya sebelum ini mengalami
masalah hiperaktif dan masalah pertuturan. (Utusan Online,
2011)
3.0 IMPLIKASI
Implikasi
cabaran yang dihadapi oleh guru akan meningkatkan lagi tahap profesional guru
tersebut. Tahap ini dapat ditingkatkan apabila guru mula mengutip pengalaman
semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku. Apabila pelbagai pengalaman telah
dilalui, maka pelbagai perubahan yang baru akan dapat dibuat seiring dengan
perubahan murid dan masa. Selaian itu, tahap profesioanalisme dapat
ditingkatkan apabila guru mula memikirkan cara untuk mendapatkan ilmu sama ada
menyambung pengajaran, menghadiri kursus, membaca dan sebagainya.
Kemahiran-kemahiran baru juga akan dapat dikumpul melalui aktiviti yang
dijalankan.
Selain itu, penyampaian pengajaran guru akan menjadi sesuatu yang menarik dan
pelbagai. Penyampaian yang menarik sangat diperlukan supaya murid tidak merasa
bosan sekaligus tidak ingin hadir ke sekolah. Untuk menjadikan pengajaran
sesuatu yang menarik, guru mestilah menyediakan perancangan pengajaran terlebih
dahulu sebelum menyampaikannya. Bukan sahaja perancangan pengajaran malah bahan
bantu mengajar juga akan disediakan bagi menjadikan sesuatu pengajaran dan
pembelajaran akan berkesan dan menarik.
Etika guru akan terjaga dengan baik apabila menjadi guru pendidikan khas. Disebabkan
guru memerlukan sikap sabar, penyayang, jujur serta bertanggungjawab maka,
keperibadian guru akan meningkatkan ke tahap yang lebih baik. Selain daripada
itu, percakapan yang lembut dan sifat memujuk mampu menjadikan seorang guru
pendidikan khas sebagai guru yang baik dan menjaga tingkahlaku.
Walaubagaimanapun anak-anak murid yang diterima, hubungan guru dengan ibu bapa
akan terjaga dengan baik. Ini adalah kerana interaksi dua hala yang dijalinkan
mampu membina hubungan yang mesra. Dapat dilihat bahawa guru dan ibu bapa akan
sentiasa berhubungan antara satu sama lain untuk mendapatkan maklumat dan juga
membuat perbincangan tentang sesuatu perkara.
Pembentukan tingkahlaku positif dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial
dapat dipupuk. Apabila nilai-nilai murni sering diterapkan dalam diri murid,
maka mereka akan mengaplikasikannya dengan orang persekitaran. Murid juga akan
belajar melalui tingkahlaku dan cara guru mengajar dan mendidik mereka. Ini
disebabkan oleh salah satu dari pembelajaran murid adalah melalui pemerhatian
dan peniruan.
4.0
CADANGAN
Cadangan
pertama untuk guru menghadapi murid-murid ini ialah guru seharusnya memperkasa
emosi dalam membentuk sikap pelajar. (Abdul Ghani Abdullah & Abd. Rahman
Abd. Aziz, 2009). Kamus Dewan edisi ke-4 mentakrifkan emosi sebagai perasaan
pada jiwa yang kuat seperti sedih dan marah. Oleh itu, emosi adalah ciri jiwa
manusia yang mempamerkan perasaan yang berpunca daripada psikologi, tingkahlaku
dan naluri manusia. Guru haruslah mempunyai kesedaran kendiri yang tinggi untuk
menangani ketidakstabilan emosi yang berpunca daripada tekanan dengan positif.
Tanpa kesedaran kendiri, individu itu tidak mampu untuk membina makna hasil
tindakan dan reaksinya pada persekitaran. Disebabkan itu, guru memerlukan
dorongan diri ataupun motivasi yang tinggi dalam kawalan kecenderungan emosi
yang dapat memandu ataupun memudahkan pencapaian matlamat dan kejayaan orang
lain.
Guru
juga boleh menggunakan satu pendekatan untuk membentuk tingkahlaku murid supaya
senang untuk dikawal semasa pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh
aktiviti bercerita dalam membentuk tingkahlaku murid. Cerita boleh dijadikan
sebagai satu terapi untuk intervensi kaunseling kanak-kanak. Terapi bercerita
ialah seni mempengaruhi orang lain dengan bercerita berkenaan dilema
persendirian mereka. Terapi ini juga merupakan media komunikasi antara ahli
terapi dengan klien. (Lee Keok Cheong et al., 2012). Melalui aktiviti
bercerita ini guru boleh menggunakan contoh teladan untuk memberi pengajaran
kepada murid. Akan terdapat murid yang akan mengikut tingkahlaku yang
diceritakan oleh guru. Cerita yang dipilih oleh guru juga hendaklah bersesuaian
dengan perkembangan murid.
Melahirkan guru mesra OKU juga salah satu dari cara untuk membentuk guru
pendidikan khas yang baik dan prihatin serta mesra terhadap murid. Ia haruslah
diberikan latihan semasa guru-guru ini berada dalam latihan perguruan. Ia bukan
merujuk kepada guru pendidikan khas sahaja tetapi juga guru-guru biasa supaya
mereka dapat mengesan ketidaksempurnaan anak didik mereka. Dengan itu,
guru-guru bolehlah membawa masalah ini kepada pakar. Program ini juga disokong
oleh pihak TWINTECH International University College of Technology (TWINTECH)
apabila mereka menawarkan pelbagai program bagi membantu kerajaan melahirkan
guru prihatin dan mesra orang kelainan upaya (OKU). Universti tersebut
mengambil tindakan seperti penguasaan Bahasa Isyarat Malaysia wajib bagi
graduan, melahirkan guru pendidikan khas berkepakaran autisme dan sebagainya. (
Mymetro, 2012)
5.0
RUMUSAN
Pada pandangan saya, tugas guru pendidikan khas sangat mencabar kepada sesiapa
yang menyandangnya. Tugas itu terlalu berat untuk dipikul untuk guru yang masih
belum menguasai tahap kesabaran dan keikhlasan yang tinggi. Pengalaman ini
telah dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia melalui penerbitan Kosmo, 2008
dan Utusan Online, 2011. Cikgu Alizah Abdul Malek (Utusan Online,2011)
menyimpulkan bahawa guru pendidikan khas mempunyai 1001 macam cerita. Cerita
yang mereka sempat berkongsi adalah berkaitan ragam murid-murid dan juga
harapan ibu bapa.
Selain
daripada guru, ibu bapa juga menganggap anak istimewa sebagai cabaran yang
besar. Berikutan kenyataan tersebut, ibu kanak-kanak autisme menyatakan bahawa
sebelum mendapat pendidikan di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia, (NASOM)
anaknya mudah naik angin dan marah apabila keinginan dirinya tidak dipenuhi.
Percakapannya tidak difahami apabila hanya mengeluarkan bunyi seperti
em...em...sahaja. (Berita Harian, 2012). Jika dilihat kenyataan ibu kanak-kanak
tersebut, beliau hanya menghadapi seorang sahaja kanak-kanak istimewa tetapi
guru pendidikan khas menghadapi murid lebih daripada seorang serta mempunyai
kepelbagaian masalah.
Walaupun
pelbagai cabaran yang telah mereka hadapi tetapi dengan kejayaan murid-murid
mereka walaupun hanya sekadar mengurus diri sendiri adalah kejayaan terbesar
dan tidak ternilai oleh mereka. Dengan berkat kesabaran mereka dalam mendidik,
murid-murid ini telah berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh guru
tersebut. Namun terdapat juga murid berkeperluan khas yang telah berjaya dengan
cemerlang dan mendapat pendidkan sehingga peringkat tinggi. Dua orang
pelajar cacat penglihatan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak (SMPKS),
Kuala Lumpur iaitu Tang Kah Hung dan Ahmad Shahide Ruslan telah mendapat 10 A
untuk SP 2010. (Berita Harian, 2010) Ini menunjukkan terdapat juga murid
berkeperluan khas yang berjaya sehingga ke peringkat tinggi.
Oleh
yang demikian, jangan dipandang murid berkeperluan khas hanya memberikan beban
yang besar kepada orang sekeliling mereka tetapi pandanglah mereka sebagai
anugerah yang terindah. Saya memetik kata-kata Rosmah Mansur yang juga Yang
Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), iaitu “hanya
dengan mendampingi mereka, barulah ia dapat membuka hati dan minda kita supaya
lebih menghayati keperluan mereka dan seterusnya memperjuangkan nasib golongan
OKU.”(Berita Harian, 2011)
Sebagai
kesimpulan, menjadi seorang guru pendidikan khas bukan sekadar menjadi guru
biasa tetapi sebagai guru yang baik kerana tahap kebergantungan murid kepada
guru adalah melebihi murid-murid yang normal. Namun, sebagai seorang guru,
keikhlasan dalam mendidik menjadikan mereka seorang yang berfikiran positif,
bersikap menerima dan sebagainya. Walaupun banyak cabaran yang ditempuhi
tetapi didiklah mereka kerana mereka berpeluang untuk meningkatkan kualiti
hidup dan mengurangkan kebergantungan kepada keluarga, masyarakat dan negara.
No comments:
Post a Comment