PERGURUAN SEBAGAI SATU PROFESION
Konsep perguruan
Menurut Kamus Dewan (1970), ‘guru’ bererti pendidik, pengajar dan
pengasuh. Jika dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik bermaksud
orang yang memelihara dan melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi
petunjuk kepada orang lain, manakala pengasuh memberi makna orang yang
memelihara, menjaga dan mendidik. Manakalaperguruan ialah sesuatu yang
mempunyai perkaitan dengan bidang menuntut ilmu atau tempat mendapatkan
ilmu sepertisekolah, tempat belajar, pengajaran dan pembelajaran dan
sebarang perkara yang mempunyai perkaitan dengan guru.
Berdasarkan pengertian yang dihuraikan di atas, dapatlah dirumuskan
bahawa perguruan merupakan suatu bidang yang berkaitan dengan guru yang
mengajar atau melaksanakan pengajaran di sekolah atau di
institut-institut pendidikan lain untuk menyampaikan ilmu kepada anak
murid atau masyarakat.
Pekerjaan yang dianggap professional.
Ciri-ciri pekerjaan yang dianggap profesional ialah:
1. Pekerjaan itu merupakan perkhidmatan yang unik dan penting.
- Sesebuah pekerjaan yang profesional mestilah merupakan
pekerjaan yang unik dan penting, sama ada kepada masyarakat atau negara.
2. Banyak menggunakan keupayaan intelek.
- Memerlukan keupayaan intelek yang tinggi untuk melakukannya.
Tugas guru contohnya merupakan suatu pekerjaan yang perlu ada intelek
yang tinggi agar guru-guru dapat menyampaikan ilmu dengan berkesan.
3. Pakar dalam bidang pekerjaannya dan mempunyai autonomi semasa menjalankan tugas.
- Pekerjaan yang profesional juga memerlukan seorang yang pakar
dalam suatu bidang tersebut dan benar-benar mahir dalam bidangnya.
4. Mendapat latihan khusus.
- Bidang kerja profesional adalah pekerjaan yang penting dan
harus dilakukan dengan betul. Oleh itu, seseorang haruslah mendapat
latihan ikhtisas terlebih dahulu sebelum menceburkan diri dalam bidang
tersebut. Latihan ikhtisas ini membolehkan mereka mahir dan faham
tanggungjawab yang harus mereka pikul semasa melaksanakan tugas mereka.
5. Mementingkan mutu perkhidmatan serta dedikasi terhadap kerja.
- Bidang profesional memerlukan seseorang pekerja yang rajin,
cekap dan dedikasi terhadap kerjanya. Sikap ini akan menjamin kualiti
kerana mementingkan mutu dan perkhidmatan yang cemerlang merupakan ciri
penting dalam pekerjaan profesional.
6. Merupakan ahli kepada autonomi yang menentukan nilaitaranya.
- Seseorang yang terlibat dalam pekerjaan profesional mestilah menjadi
ahli kepada organisasi di mana mereka bekerja. Ahli dalam organisasi
itu pula terikat dengan autonomi organisasi yang akan menentukan
peraturan-peraturan yang harus dipatuhi oleh semua ahli organisasi.
Peraturan-peraturan tersebut diwujudkan demi mengawal kualiti
perkhidmatan.
7. Mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasi profesion tersebut.
- Setiap jenis profesion mempunyai kod etika tersendiri dan berlainan
dengan profesion yang lain. Namun begitu, tujuannya adalah sama, iaitu
untuk membolehkan seseorang pekerja itu mematuhi garis panduan dan dasar
etika yang telah ditetapkan oleh organisasi.
8. Bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang dibuatnya.
- Pekerjaan yang profesional memerlukan pekerja yang bukan sahaja
rajin dan cekap, malahan juga perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab
tersebut bukan hanya meliputi tugas-tugas yang mesti dilaksanakannya
tetapi turut merangkumi segala keputusan-keputusan yang telah dibuat.
Jika seseorang itu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuatnya,
maka jelaslah bahawa sesuatu kerja itu mempunyai ciri-ciri pekerjaan
atau profesion yang profesional.
Mengapakah taraf professional dalam bidang perguruan sering dipertikaikan?
Sesetengah masyarakat masih lagi menganggap profesion perguruan bukanlah
suatu pekerjaan yang profesional. Ini kerana ramai di kalangan
individu yang terbabit memikirkan bahawa profesion keguruan ini tidak
‘seglamour’ pentadbir, eksekutif firma-firma, akauntan, doktor perubatan
ataupun peguam. Mereka juga seringkali menganggap kerja ini sebagai
‘pilihan terakhir’ dan ‘terpaksa’. Sebab itulah ada di kalangan mereka
yang beranggapan sedemikian.
Faktor lain yang menyebabkan timbulnya sebab mereka mempertikaikannya
ialah mereka menganggap pekerjaan tersebut merupakan pekerjaan biasa
yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Mereka masih terpengaruh
dengan keadaan lampau di mana seseorang yang telah tamat Darjah Enam
boleh menjadi guru. Wujudnya guru pengganti semasa seorang guru cuti
bersalin juga adalah satu sebab yang mendorong mereka mengatakan bahawa
pekerjaan guru bukanlah satu pekerjaan yang profesional.
Berdasarkan pengalaman anda sila beri pandangan peribadi anda adakah
jawatan guru layak dianggap sebagai jawatan profesional? Berikan alasan
untuk memperkukuhkan jawapan anda.
Pada pandangan saya, jawatan guru memang layak dianggap satu pekerjaan
profesional. Hal ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana, ciri-ciri
pekerjaan ini banyak mengandungi ciri-ciri sebuah pekerjaan yang
profesional. Mungkin sesetengah orang yang tidak terlibat dalam
profesion ini menganggap pekerjaan ini tidak profesional kerana tugas
guru hanya mengajar sahaja. Namun, sekiranya mereka terlibat secara
langsung dalam pekerjaan ini, barulah mereka sedar bahawa seorang guru
bukan hanya perlu mengajar, tetapi perlu juga melakukan banyak tugas
lain yang bukannya senang untuk dilakukan oleh orang yang tidak
berpengalaman.
Mengapakah sesetengah masyarakat tidak memandang pekerjaan guru sebagai
profesional sedangkan mereka tidak tahu tugas guru sebenarnya? Pendek
kata, tugas seorang guru bukan hanya mengajar semata-mata, malah boleh
juga melakukan tugas-tugas golongan profesional yang lain, contohnya
menjadi doktor, akauntan, eksekutif, hakim, polis, jurutera, kerani dan
sebagainya.
Etika perguruan.
Etika ialah suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak dan tingkah
laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar ini
meliputi aspek-aspek moral yang baik dan yang buruk, serta yang betul
dan yang salah dengan tujuan memberi garis panduan kepada ahli-ahli
berkenaan.
Dalam konteks perguruan, etika yang dipegang oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia ialah “Tatasusila Profesion Keguruan”. Etika tersebut
menjadi garis panduan dan dasar yang harus dipatuhi oleh semua
kakitangan perguruan. Seseorang yang melanggar etika tersebut akan
dikenakan tindakan tatatertib dan dikenakan hukuman sewajarnya.
Hubungan penghayatan tatasusila dengan peningkatan taraf profesionalisme keguruan
Seperti mana sebuah kata-kata yang sering diungkapkan, “Segala sesuatu
itu bermula daripada diri kita dulu”. Ungkapan tersebut akan
menjelaskan hubungan penghayatan tatasusila dengan peningkatan taraf
profesionalisme keguruan.
Terlebih dahulu, kita cuba memahami makna penghayatan tatasusila.
Penghayatan tatasusila bermakna seseorang pendidik memahami dan mematuhi
etika perguruan atau tatasusila yang telah ditetapkan oleh organisasi
pendidikan. Maksudnya, jika seseorang itu memahami dan mematuhi segala
peraturan yang termaktub dalam etika perguruan maka dia telahpun
menghayati tatasusila tersebut.
Peningkatan taraf profesionalisme pula bermakna menaikkan atau
meningkatkan martabat profesion keguruan khususnya di negara kita.
Martabat yang tinggi akan menjadikan profesionalisme itu disanjung
tinggi, mempunyai nilai dan berkualiti tinggi.
Perlu diingat, sekiranya kita hendak menaikkan taraf profesionalisme
keguruan, diri kita sendiri haruslah telah bersedia terlebih dahulu.
Kesediaan tersebut adalah dari segi memahami tanggungjawab sebenar
seorang guru, mematuhi tatasusila dan sedia menerima segala perubahan.
Sifat-sifat diri seperti itu yang wujud daripada pemahaman tatasusila
akan melahirkan seorang guru yang berkualiti dan seterusnya dapat
meningkatkan taraf profesionalisme keguruan.
Pembelajaran sepanjang hayat
Konsep pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning bukanlah
merupakan satu konsep yang baru dalam sistem pendidikan negara.
“Belajar sepanjang hayat”, membawa makna: Kita harus sentiasa belajar
sepanjang hidup kita dan yang paling penting sekali ialah pembelajaran
mestilah melahirkan tindakan pro-kehidupan.
Pembelajaran sepanjang hayat dari segi konsepnya merangkumi pengertian
yang begitu luas. Konsep ini merujuk kepada proses pendemokrasian
pendidikan yang merangkumi program meningkatkan pengetahuan, kemahiran
dan kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan
vokasional, atau secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan
di sekolah.
Pengalaman yang bersifat pengetahuan seperti ini tidak akan dapat
dipelajari secara bentuk yang biasa, tidak juga secara formal dan
latihan. Ia memerlukan pusingan yang berterusan mencipta, dissemination
dan memahami erti perkongsian ilmu. Berdasarkan kepada pandangan di
atas, pembelajaran sepanjang hayat dapat disimpulkan kepada proses
seperti berikut:
Proses pembelajaran seseorang secara berterusan sama ada bagi tujuan
meningkat kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang
pekerjaan pada masa sekarang, mahupun pada masa akan datang.
Proses pembelajaran seseorang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tidak
akan berakhir apabila seseorang itu meninggalkan alam persekolahan, ia
adalah proses sepanjang hayat.
Menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat.
Sebagai seorang pendidik, kita haruslah dilengkapi dengan ilmu
pengetahuan yang dinamik. Oleh itu, setiap guru harus menerima dan
menambahkan ilmunya melalui pembelajaran sepanjang hayat untuk
disebarkan kepada para pelajar.
Guru harus memahami dan menghayati tugasnya sebagai guru yang
menghendaki agar kita bertanggungjawab terhadap tugas-tugas lain selain
daripada mengajar. Oleh itu, guru haruslah sentiasa belajar memahami
tugas-tugasnya.
Guru juga perlu mengamalkan prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat
agar sentiasa mempertingkatkan mutu kehidupan dan dapat membentuk
individu yang berfikiran rasional, inovatif, kreatif dan mempunyai daya
tahan fizikal dan mental.
Selain menjadi sumber maklumat kepada para pelajar, guru juga menjadi
bahan rujukan rakan setugas dan ibu bapa. Oleh itu, mengamalkan prinsip
pembelajaran sepanjang hayat akan menjadikan ilmu seseorang guru itu
sentiasa dinamik.
Guru perlu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat memahami budaya ilmu yang akan diterapkan kepada para pelajar.
Langkah yang boleh anda dan guru lakukan untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme perguruan.
1. Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan
o Kemahiran ikhtisas penting bagi setiap guru kerana itu
mendorong dan membantu guru menyampaikan pengajaran kepada para pelajar.
o Bagi memperkembangkan kemahiran, guru boleh mengikuti
kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh jabatan.
Kursus-kursus tersebut termasuklah juga Kursus Dalam Perkhidmatan dan
Kursus Dalaman.
2. Membuat penyelidikan dan penulisan
o Penyelidikan dan penulisan dalam pendidikan antaranya bertujuan
untuk mencari kelemahan-kelemahan atau masalah yang terdapat dalam
sistem pendidikan atau pengajaran seseorang guru.
o Contoh permasalahan yang boleh dikenalpasti dalam proses
penyelidikan ialah, penggunaan bahan bantu pelajaran, strategi dan
kaedah mengajar, pengurusan aktiviti berkumpulan, perancangan aktiviti
pemulihan dalam pendidikan dan penyediaan lembaran kerja sebagai
penilaian.
3. Usaha ke arah perkembangan kendiri
o Guru perlu meningkatkan perkembangan kendiri masing-masing.
Perkembangan tersebut akan melibatkan pembentukan konsep kendiri
seterusnya mempengaruhi cara kerja seseorang guru.
o Guru yang mempunyai konsep kendiri yang baik seperti yakin,
bersikap terbuka, percaya dan mempunyai nilai-nilai diri yang baik akan
membantu guru tersebut melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih
berkesan. Ini seterusnya akan meningkatkan kualiti pengajaran seseorang
guru.
4. Peka terhadap perkembangan pendidikan dan teknologi terkini
o Guru yang baik perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu
pengetahuan dan kemahiran serta peka terhadap perkembangan pendidikan
terkini. Mereka harus sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuan dari
semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.
o Setiap guru juga perlu bersedia menerima sebarang perubahan
sistem pendidikan agar pengetahuannya selari dengan keperluan masa kini.
5. Pembelajaran sepanjang hayat
o Pembelajaran sepanjang hayat membolehkan ilmu seseorang guru itu lebih dinamik.
o Ilmu pengetahuan akan membolehkan guru menyampaikan banyak
maklumat kepada pelajar. Ini akan mewujudkan keyakinan dan
kebolehpercayaan pelajar terhadap seseorang guru.
Akauntabiliti keguruan.
Akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus difahami dan
dilaksanakan oleh seseorang guru. Dalam erti kata yang lain,
akauntabiliti keguruan membawa maksud tanggungjawab terhadap
profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang
guru yang dimaksudkan di atas merangkumi bidang pekerjaan, sekolah,
tingkah laku, murid-murid dan profesion keguruan.
Hubungan akauntabiliti dengan peningkatan profesionalisme keguruan.
Memahami akauntabiliti bererti memahami tanggungjawab sebenar seseorang
guru. Penghayatan akauntabiliti akan meningkatkan profesionalisme
keguruan kerana semua guru akan menjalankan tanggungjawab dan
tugas-tugasnya dengan penuh dedikasi.
Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang merangkumi bidang
pekerjaan, sekolah, tingkah laku, murid-murid dan profesion keguruan
akan ditingkatkan sekiranya seseorang itu benar-benar menjalankan
tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik. Peningkatan dalam bidang
tersebut melambangkan tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan
meningkatkan taraf profesionalisme keguruan khususnya di negara kita.
Pentingnya kesedaran akauntabiliti keguruan dihayati oleh semua guru.
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, setiap guru perlu sedar akan
tanggungjawabnya terhadap tugas agar mereka dapat melaksanakan tugas itu
dengan bersungguh-sungguh dan dedikasi.