KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Wednesday 17 July 2013

GURU SEBAGAI SATU PROFESION

PERGURUAN SEBAGAI SATU PROFESION

Konsep perguruan

Menurut Kamus Dewan (1970), ‘guru’ bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Jika dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik bermaksud orang yang memelihara dan melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi petunjuk kepada orang lain, manakala pengasuh memberi makna orang yang memelihara, menjaga dan mendidik. Manakalaperguruan ialah sesuatu yang mempunyai perkaitan dengan bidang menuntut ilmu atau tempat mendapatkan ilmu sepertisekolah, tempat belajar, pengajaran dan pembelajaran dan sebarang perkara yang mempunyai perkaitan dengan guru.

Berdasarkan pengertian yang dihuraikan di atas, dapatlah dirumuskan bahawa perguruan merupakan suatu bidang yang berkaitan dengan guru yang mengajar atau melaksanakan pengajaran di sekolah atau di institut-institut pendidikan lain untuk menyampaikan ilmu kepada anak murid atau masyarakat.

Pekerjaan yang dianggap professional.


Ciri-ciri pekerjaan yang dianggap profesional ialah:

1. Pekerjaan itu merupakan perkhidmatan yang unik dan penting.

- Sesebuah pekerjaan yang profesional mestilah merupakan pekerjaan yang unik dan penting, sama ada kepada masyarakat atau negara.

2. Banyak menggunakan keupayaan intelek.

- Memerlukan keupayaan intelek yang tinggi untuk melakukannya. Tugas guru contohnya merupakan suatu pekerjaan yang perlu ada intelek yang tinggi agar guru-guru dapat menyampaikan ilmu dengan berkesan.

3. Pakar dalam bidang pekerjaannya dan mempunyai autonomi semasa menjalankan tugas.

- Pekerjaan yang profesional juga memerlukan seorang yang pakar dalam suatu bidang tersebut dan benar-benar mahir dalam bidangnya.

4. Mendapat latihan khusus.

- Bidang kerja profesional adalah pekerjaan yang penting dan harus dilakukan dengan betul. Oleh itu, seseorang haruslah mendapat latihan ikhtisas terlebih dahulu sebelum menceburkan diri dalam bidang tersebut. Latihan ikhtisas ini membolehkan mereka mahir dan faham tanggungjawab yang harus mereka pikul semasa melaksanakan tugas mereka.

5. Mementingkan mutu perkhidmatan serta dedikasi terhadap kerja.

- Bidang profesional memerlukan seseorang pekerja yang rajin, cekap dan dedikasi terhadap kerjanya. Sikap ini akan menjamin kualiti kerana mementingkan mutu dan perkhidmatan yang cemerlang merupakan ciri penting dalam pekerjaan profesional.

6. Merupakan ahli kepada autonomi yang menentukan nilaitaranya.

- Seseorang yang terlibat dalam pekerjaan profesional mestilah menjadi ahli kepada organisasi di mana mereka bekerja. Ahli dalam organisasi itu pula terikat dengan autonomi organisasi yang akan menentukan peraturan-peraturan yang harus dipatuhi oleh semua ahli organisasi. Peraturan-peraturan tersebut diwujudkan demi mengawal kualiti perkhidmatan.

7. Mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasi profesion tersebut.

- Setiap jenis profesion mempunyai kod etika tersendiri dan berlainan dengan profesion yang lain. Namun begitu, tujuannya adalah sama, iaitu untuk membolehkan seseorang pekerja itu mematuhi garis panduan dan dasar etika yang telah ditetapkan oleh organisasi.

8. Bertanggungjawab terhadap semua keputusan yang dibuatnya.

- Pekerjaan yang profesional memerlukan pekerja yang bukan sahaja rajin dan cekap, malahan juga perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab tersebut bukan hanya meliputi tugas-tugas yang mesti dilaksanakannya tetapi turut merangkumi segala keputusan-keputusan yang telah dibuat. Jika seseorang itu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuatnya, maka jelaslah bahawa sesuatu kerja itu mempunyai ciri-ciri pekerjaan atau profesion yang profesional.

Mengapakah taraf professional dalam bidang perguruan sering dipertikaikan?


Sesetengah masyarakat masih lagi menganggap profesion perguruan bukanlah suatu pekerjaan yang profesional. Ini kerana ramai di kalangan individu yang terbabit memikirkan bahawa profesion keguruan ini tidak ‘seglamour’ pentadbir, eksekutif firma-firma, akauntan, doktor perubatan ataupun peguam. Mereka juga seringkali menganggap kerja ini sebagai ‘pilihan terakhir’ dan ‘terpaksa’. Sebab itulah ada di kalangan mereka yang beranggapan sedemikian.

Faktor lain yang menyebabkan timbulnya sebab mereka mempertikaikannya ialah mereka menganggap pekerjaan tersebut merupakan pekerjaan biasa yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Mereka masih terpengaruh dengan keadaan lampau di mana seseorang yang telah tamat Darjah Enam boleh menjadi guru. Wujudnya guru pengganti semasa seorang guru cuti bersalin juga adalah satu sebab yang mendorong mereka mengatakan bahawa pekerjaan guru bukanlah satu pekerjaan yang profesional.

Berdasarkan pengalaman anda sila beri pandangan peribadi anda adakah jawatan guru layak dianggap sebagai jawatan profesional? Berikan alasan untuk memperkukuhkan jawapan anda.

Pada pandangan saya, jawatan guru memang layak dianggap satu pekerjaan profesional. Hal ini tidak boleh dipertikaikan lagi kerana, ciri-ciri pekerjaan ini banyak mengandungi ciri-ciri sebuah pekerjaan yang profesional. Mungkin sesetengah orang yang tidak terlibat dalam profesion ini menganggap pekerjaan ini tidak profesional kerana tugas guru hanya mengajar sahaja. Namun, sekiranya mereka terlibat secara langsung dalam pekerjaan ini, barulah mereka sedar bahawa seorang guru bukan hanya perlu mengajar, tetapi perlu juga melakukan banyak tugas lain yang bukannya senang untuk dilakukan oleh orang yang tidak berpengalaman.

Mengapakah sesetengah masyarakat tidak memandang pekerjaan guru sebagai profesional sedangkan mereka tidak tahu tugas guru sebenarnya? Pendek kata, tugas seorang guru bukan hanya mengajar semata-mata, malah boleh juga melakukan tugas-tugas golongan profesional yang lain, contohnya menjadi doktor, akauntan, eksekutif, hakim, polis, jurutera, kerani dan sebagainya.

Etika perguruan.

Etika ialah suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak dan tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar ini meliputi aspek-aspek moral yang baik dan yang buruk, serta yang betul dan yang salah dengan tujuan memberi garis panduan kepada ahli-ahli berkenaan.

Dalam konteks perguruan, etika yang dipegang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah “Tatasusila Profesion Keguruan”. Etika tersebut menjadi garis panduan dan dasar yang harus dipatuhi oleh semua kakitangan perguruan. Seseorang yang melanggar etika tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib dan dikenakan hukuman sewajarnya.

Hubungan penghayatan tatasusila dengan peningkatan taraf profesionalisme keguruan

Seperti mana sebuah kata-kata yang sering diungkapkan, “Segala sesuatu itu bermula daripada diri kita dulu”. Ungkapan tersebut akan menjelaskan hubungan penghayatan tatasusila dengan peningkatan taraf profesionalisme keguruan.

Terlebih dahulu, kita cuba memahami makna penghayatan tatasusila. Penghayatan tatasusila bermakna seseorang pendidik memahami dan mematuhi etika perguruan atau tatasusila yang telah ditetapkan oleh organisasi pendidikan. Maksudnya, jika seseorang itu memahami dan mematuhi segala peraturan yang termaktub dalam etika perguruan maka dia telahpun menghayati tatasusila tersebut.

Peningkatan taraf profesionalisme pula bermakna menaikkan atau meningkatkan martabat profesion keguruan khususnya di negara kita. Martabat yang tinggi akan menjadikan profesionalisme itu disanjung tinggi, mempunyai nilai dan berkualiti tinggi.

Perlu diingat, sekiranya kita hendak menaikkan taraf profesionalisme keguruan, diri kita sendiri haruslah telah bersedia terlebih dahulu. Kesediaan tersebut adalah dari segi memahami tanggungjawab sebenar seorang guru, mematuhi tatasusila dan sedia menerima segala perubahan. Sifat-sifat diri seperti itu yang wujud daripada pemahaman tatasusila akan melahirkan seorang guru yang berkualiti dan seterusnya dapat meningkatkan taraf profesionalisme keguruan.

Pembelajaran sepanjang hayat


Konsep pembelajaran sepanjang hayat atau lifelong learning bukanlah merupakan satu konsep yang baru dalam sistem pendidikan negara. “Belajar sepanjang hayat”, membawa makna: Kita harus sentiasa belajar sepanjang hidup kita dan yang paling penting sekali ialah pembelajaran mestilah melahirkan tindakan pro-kehidupan.

Pembelajaran sepanjang hayat dari segi konsepnya merangkumi pengertian yang begitu luas. Konsep ini merujuk kepada proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional, atau secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di sekolah.

Pengalaman yang bersifat pengetahuan seperti ini tidak akan dapat dipelajari secara bentuk yang biasa, tidak juga secara formal dan latihan. Ia memerlukan pusingan yang berterusan mencipta, dissemination dan memahami erti perkongsian ilmu. Berdasarkan kepada pandangan di atas, pembelajaran sepanjang hayat dapat disimpulkan kepada proses seperti berikut:

Proses pembelajaran seseorang secara berterusan sama ada bagi tujuan meningkat kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan pada masa sekarang, mahupun pada masa akan datang.
 Proses pembelajaran seseorang bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tidak akan berakhir apabila seseorang itu meninggalkan alam persekolahan, ia adalah proses sepanjang hayat.

Menghayati dan mengamalkan prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat.


Sebagai seorang pendidik, kita haruslah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang dinamik. Oleh itu, setiap guru harus menerima dan menambahkan ilmunya melalui pembelajaran sepanjang hayat untuk disebarkan kepada para pelajar.

Guru harus memahami dan menghayati tugasnya sebagai guru yang menghendaki agar kita bertanggungjawab terhadap tugas-tugas lain selain daripada mengajar. Oleh itu, guru haruslah sentiasa belajar memahami tugas-tugasnya.

Guru juga perlu mengamalkan prinsip-prinsip pembelajaran sepanjang hayat agar sentiasa mempertingkatkan mutu kehidupan dan dapat membentuk individu yang berfikiran rasional, inovatif, kreatif dan mempunyai daya tahan fizikal dan mental.

Selain menjadi sumber maklumat kepada para pelajar, guru juga menjadi bahan rujukan rakan setugas dan ibu bapa. Oleh itu, mengamalkan prinsip pembelajaran sepanjang hayat akan menjadikan ilmu seseorang guru itu sentiasa dinamik.
Guru perlu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat agar dapat memahami budaya ilmu yang akan diterapkan kepada para pelajar.

Langkah yang boleh anda dan guru lakukan untuk mempertingkatkan tahap profesionalisme perguruan.

1. Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan

o Kemahiran ikhtisas penting bagi setiap guru kerana itu mendorong dan membantu guru menyampaikan pengajaran kepada para pelajar.

o Bagi memperkembangkan kemahiran, guru boleh mengikuti kursus-kursus peningkatan profesionalisme yang dianjurkan oleh jabatan. Kursus-kursus tersebut termasuklah juga Kursus Dalam Perkhidmatan dan Kursus Dalaman.

2. Membuat penyelidikan dan penulisan

o Penyelidikan dan penulisan dalam pendidikan antaranya bertujuan untuk mencari kelemahan-kelemahan atau masalah yang terdapat dalam sistem pendidikan atau pengajaran seseorang guru.

o Contoh permasalahan yang boleh dikenalpasti dalam proses penyelidikan ialah, penggunaan bahan bantu pelajaran, strategi dan kaedah mengajar, pengurusan aktiviti berkumpulan, perancangan aktiviti pemulihan dalam pendidikan dan penyediaan lembaran kerja sebagai penilaian.

3. Usaha ke arah perkembangan kendiri

o Guru perlu meningkatkan perkembangan kendiri masing-masing. Perkembangan tersebut akan melibatkan pembentukan konsep kendiri seterusnya mempengaruhi cara kerja seseorang guru.

o Guru yang mempunyai konsep kendiri yang baik seperti yakin, bersikap terbuka, percaya dan mempunyai nilai-nilai diri yang baik akan membantu guru tersebut melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan. Ini seterusnya akan meningkatkan kualiti pengajaran seseorang guru.

4. Peka terhadap perkembangan pendidikan dan teknologi terkini

o Guru yang baik perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran serta peka terhadap perkembangan pendidikan terkini. Mereka harus sentiasa memperkembangkan ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan zaman.

o Setiap guru juga perlu bersedia menerima sebarang perubahan sistem pendidikan agar pengetahuannya selari dengan keperluan masa kini.

5. Pembelajaran sepanjang hayat

o Pembelajaran sepanjang hayat membolehkan ilmu seseorang guru itu lebih dinamik.

o Ilmu pengetahuan akan membolehkan guru menyampaikan banyak maklumat kepada pelajar. Ini akan mewujudkan keyakinan dan kebolehpercayaan pelajar terhadap seseorang guru.

Akauntabiliti keguruan.

Akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan oleh seseorang guru. Dalam erti kata yang lain, akauntabiliti keguruan membawa maksud tanggungjawab terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi bidang pekerjaan, sekolah, tingkah laku, murid-murid dan profesion keguruan.

Hubungan akauntabiliti dengan peningkatan profesionalisme keguruan.

Memahami akauntabiliti bererti memahami tanggungjawab sebenar seseorang guru. Penghayatan akauntabiliti akan meningkatkan profesionalisme keguruan kerana semua guru akan menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh dedikasi.

Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang merangkumi bidang pekerjaan, sekolah, tingkah laku, murid-murid dan profesion keguruan akan ditingkatkan sekiranya seseorang itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik. Peningkatan dalam bidang tersebut melambangkan tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan meningkatkan taraf profesionalisme keguruan khususnya di negara kita.

Pentingnya kesedaran akauntabiliti keguruan dihayati oleh semua guru.

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, setiap guru perlu sedar akan tanggungjawabnya terhadap tugas agar mereka dapat melaksanakan tugas itu dengan bersungguh-sungguh dan dedikasi.

1 comment: