KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Friday 29 June 2012


PENTAKSIRAN DALAM PENDIDIKAN KHAS

Konsep dan Definisi 
Dalam konteks pendidikan, pentaksiran dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemah maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.   

Maklumat hasil pentaksiran akan dirujuk untuk memperbaiki kelemahan murid dan meningkatkan pencapaiannya. Pentaksiran dibuat mengikut peringkat kebolehan dan standard perkembangan murid tersebut. Di samping itu juga,  pentaksiran juga memerlukan pengumpulan bukti dan data pencapaian murid dalam tempoh satu masa untuk mentaksir pembelajaran dan pemahamannya.

Pentaksiran dalam Pendidikan Khas pula bermaksud memberi maklumat dan gambaran tentang tahap penguasaan murid dalam pelbagai kemahiran seperti membaca, menulis, mengira dan sebagainya. Dengan cara itu guru dapat mengesan punca masalah yang dihadapi oleh murid dan merangka intervensi, strategi pengajaran dan penempatan yang sesuai mengikut tahap kebolehannya.
 Matlamat keseluruhan pentaksiran ialah untuk kemajuan murid dalam pembelajaran. Pentaksiran memberikan murid, ibu bapa dan guru maklumat yang terperinci tentang perkembangan dan pencapaian murid dalam pembelajaran. Maklumat hasil pentaksiran akan dirujuk untuk memperbaiki kelemahan murid dan meningkatkan pencapaiannya. Pentaksiran yang dibuat adalah mengikut peringkat kebolehan dan standard perkembangan murid tersebut.  

Pentaksiran juga memerlukan pengumpulan bukti dan data pencapaian murid dalam satu tempoh masa untuk mentaksir pembelajaran dan pemahamannya. Bukti dan data ini dapat diambil dalam bentuk dialog, jurnal, lembaran kerja, portfolio dan beberapa jenis ujian seperti ujian diagnostik. Segala bukti dan data tersebut menggambarkan tahap kebolehan, kekurangan dan kelebihan murid berkenaan untuk penempatan yang sesuai mengikut tahap kebolehannya. 

Manakala, menurut Popham (2000), beliau berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan pentaksiran digunakan silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran.

Pentaksiran adalah proses pengumpulan maklumat tentang perkembangan dan kemajuan murid dengan menggunakan pelbagai kaedah. la merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan secara berterusan. la hendaklah dilaksanakan secara tidak formal selaras dengan Seksyen 19 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Manakal menurut Mokhtar Ismail, pentaksiran ialah langkah untuk menentukan tahap sejauhmana seseorang memiliki sifat tertentu. 

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, pentaksiran merupakan proses yang melibatkan pengumpulan data-data kuantitatif mengenai pembelajaran atau perubahan perlakuan pelajar akibat daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Nilai kuantitatif ini melambangkan tahap atau kedudukan pencapaian pelajar dalam sesuatu aspek yang dinilai. 
Pentaksiran boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah seperti ujian, pemerhatian, temu bual, projek, portfolio dan sebagainya. Pemilihan kaedah bergantung kepada jenis maklumat yang diperlukan. Umapamanya, kemahiran bermain hoki boleh diukur melalui pemerhatian sementara nilai dan sikap boleh diukur melalui temu bual.  Oleh itu, kita perlulah menggunakan kaedah dan alat ukur yang sesuai agar pentaksiran yang dibuat itu sah. 

Secara keseluruhannya pentaksiran bertujuan untuk mengenalpasti kecerdasan dan potensi murid bagi memperkukuh dan mempertingkatkan perkembangan mereka. Hasil pentaksiran membolehkan guru mengambil tindakan susulan yang berkesan dan seterusnya membantu guru mengembangkan potensi murid ke tahap optimum dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor.  

OBJEKTIF PENTAKSIRAN  

Pentaksiran bertujuan untuk membantu guru dalam perkara berikut: 
i.     Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh.  
ii.    Mengenal pasti pelbagai potensi murid secara menyeluruh.  
iii.  Mengenal pasti kelebihan dan kekurangan murid dalam pembelajaran dari semasa   ke semasa 
iv.   Merangsang aktiviti mengikut keperluan perkembangan dan pertumbuhan murid.  
v.    Mengesan keberkesanan pengajaran.  
vi.   Mengesan pertumbuhan murid bersesuaian dengan peringkat umur.   

TUJUAN PENTAKSIRAN 
i.      Mengesan keberkesanan pengajaran. 
ii.     Menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan sertamerta.  
iii.    Merancang aktiviti pengajaran mengikut keperluan perkembangan dan pertumbuhan murid. 
iv.    Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh. 
v.     Mengenal pasti kelebihan dan kekurangan murid dalam pengajaran dari masa ke semasa.  
vi.    Mengenal pasti pelbagai potensi murid secara menyeluruh.   
vii.   Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang murid dalam pembelajaran. 
viii.  Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran. 
ix.    Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran. 
x.     Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran. 

PRINSIP-PRINSIP PENTAKSIRAN
·         Instrument
·         Kumpulan yang ditaksir
·         Respon
·         Kumpulan yang menaksiran
·         Skor

CIRI-CIRI PENTAKSIRAN
·      Kesahan skor 
       Merujuk kepada relevan dan kecukupan cakupan.
·      Kebolehpercayaan Skor 
       Merujuk kepada ketekalan dan ketepatan.
·      Keobjektifan 
       Ketepatan seseorang pentaksir memberikan skor
·      Kebolehtadbiran 
     Kelicinan kerja-kerja mentadbir ujian yang dilaksanakan secara berpusat atau  berasaskan sekolah.
·     Kemudahtafsiran 
      Meklumat tentang calon berdasarkan skor, diskriminasi antara calon, ketepatan tujuan mengadakan ujian.
·     Kekomprehensifan
      Kertas soalan mewakili semua objektif penting Sukatan Pelajaran atau pengajaran. 

KEPENTINGAN PENTAKSIRAN DAN PENILAIAN 
1. Mengenalpastia masalah
Ø  Dapat mengesan pelajar sama ada dapat menguasai kemahiran dalam bacaan dan mengira.
Ø  Guru dapat mengesan punca kelemahan pelajar dan kekuatan pelajar.
Ø  Dapat mengesan pelajar yang berisiko tinggi sama ada perlu diberi rawatan
segera.
 
2. Penempatan
Ø  Tahap pencapaian pelajar untuk penempatan seperti kelas khas, pemulihan.
Ø   Penempatan yang sesuai penting untuk mereka supaya dapat membantu mereka mendapat perkhidmatan yang khusus. 
3. Pemilihan strategi pemulihan
Ø  Strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan seperti menggunakan bahan bantu mengajar yang menarik supaya mereka senang menguasai kemahiran.
Ø  Persediaan RPI sebelum pengajaran dijalankan dan tetapkan objektif
pembelajaran.
Ø  Menggunakan strategi seperti melukis gambar, mendengar muzik untuk belajar
bahasa.
Ø   Apabila mereka telah diajar sesuatu, perkara tersebut harus sentiasa
berulang-ulang supaya mereka senang ingat kemahiran.
PROSES PELAKSANAAN PENTAKSIRAN 
a) Merancang: Sebelum sesuatu pentaksiran dilaksanakan, guru hendaklah merancang perkara-perkara berikut: 
i.       Mengenal pasti murid yang hendak dinilai. 
ii.       Menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai.  
iii.       Menentukan instrumen yang hendak digunakan. 
iv.       Menentukan aspek yang hendak diperhatikan.  
xi.        Menentukan tempoh masa pemerhatian. 
xii.       Menentukan bila hendak menjalankan penilaian dan pentaksiran. 

b) Membina Instrumen: Instrumen yang dibina perlu mempunyai ciri-ciri berikut: 
i. Tujuan yang jelas.  
ii. Menepati apa yang hendak dinilai.  
iii. Item boleh diukur. 
iv. Setiap item hanya mengukur satu kemahiran sahaja. 


JENIS-JENIS PENTAKSIRAN  Jenis-jenis pentaksiran dalam pendidikan khas boleh dikategorikan kepada:           
               i.        Pentaksiran Kemahiran Pembelajaran Asas
              ii.        Pentaksiran Sosial dan Tingkah Laku
              iii.       Pentaksiran Kemahiran Lisan
              iv.       Pentaksiran Kemahiran Bacaan
               v.       Pentaksiran Kemahiran Menulis
               vi.      Pentaksiran Kemahiran Matematik








AKTA,PERATURAN DAN PEKELILING.

Dalam Deklarasi Hak-hak Kemanusiaan Sejagat (1948) menegaskan hak bagi
setiap individu mendapat pendidikan. Perkara ini ditegaskan semula dalam
Persidangan Dunia bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’ di Jomtien, Thailand
yang menekankan: Keperluan-keperluan pembelajaran untuk orang kurang upaya
menuntut perhatian khusus. Langkah-langkah perlu diambil untuk menyediakan
persamaan akses kepada pendidikan untuk semua kategori orang kurang upaya
sebagai bahagian yang sepadu dalam sistem pendidikan. [Terjemahan]2. Pada tahun 1959,

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan Hak Kanak-Kanak Sedunia dan antara yang ditegaskan ialah hak kanak-kanak istimewa iaitu mereka berhak mendapat penjagaan yang khusus dan bimbingan mengikut kecacatan yang dialami serta peluang menjadi seberapa normal yang mungkin . Dasar mengenai pendidikan khas di Malaysia dinyatakan dalam Akta Pelajaran1961. Dalam Bahagian I (Tafsiran) Akta ini dinyatakan bahawa; “sekolah khas bermakna sekolah yang menyediakan layanan pendidikan yang khas untuk muridmurid yang kurang upaya”.


Laporan Jawatankuasa Kabinet (1978) yang mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran melalui Perakuan 169 merupakan satu titik tolak yang membawa kepada satu penekanan dan tumpuan yang lebih jelas kepada perkembangan Pendidikan Khas di Malaysia. Perakuan ini menyebut;                                                                                                

Dengan adanya kesedaran bahawa kerajaan seharusnya bertanggungjawab terhadap
pendidikan kanak-kanak cacat adalah diperakukan kerajaan hendaklah mengambil alih
sepenuhnya tanggungjawab pendidikan itu dari pihak-pihak persatuan yang mengendalikannya pada masa ini. Di samping itu penyertaan oleh badan-badan sukarela dalam memajukan pendidikan kanak-kanak cacat hendaklah terus digalakkan.


Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pendidikan telah bersidang pada 30 Jun 1981 dan memutuskan penubuhan sebuah Jawatankuasa Antara Kementerian untuk mengkaji dan menentukan bidang tugas masing-masing mengenai kanak-kanak kurang upaya. Kementerian-kementerian yang terlibat selain daripada Kementerian Pendidikan ialah Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebajikan Masyarakat (kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Kementerian Buruh.
Pada amnya, Jawatankuasa ini menetapkan:

·         Tanggungjawab Kementerian Pendidikan terhadap pendidikan kanak-kanak             bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan kanak-kanak bermasalah pembelajaran (terencat akal) yang boleh dididik.

·         Tanggungjawab Kementerian Kebajikan Masyarakat terhadap pendidikan kanak-kanak yang kurang upaya fizikal, terencat akal sederhana serta kanak-kanak spastik.

.    Tanggungjawab Kementerian Kesihatan untuk mengenal pasti di peringkat awal dan menyaring kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan berisiko. Akta Pelajaran 1961 disemak semula dan digantikan dengan Akta Pendidikan 1996. Satu bab khusus mengenai Pendidikan Khas telah dimasukkan dalam akta tersebut yang menyarankan bahawa: Seksyen 40 and seksyen 41 dalam Akta 1995 dilihat oleh pelbagai pihak sebagai ‘era baru’ dalam dunia pendidikan khas kerana Menteri Pendidikan dikehendaki membuka kelas jika ada permintaan daripada masyarakat. Akta ini juga memperuntukan kuasa kepada Menteri untuk menentukan tempoh persekolahan dan kandungan kurikulum untuk keperluan pendidikan khas. Amalan pada masa ini, kanak-kanak berkeperluan khas dibenarkan bersekolah sehingga mereka berumur 19 tahun.

41. 1. Tertakluk kepada subseksyen (2) dan (3), menteri boleh melalui peraturan-peraturan menetapkan:

(a) Tempoh pendidikan rendah dan menengah yang sesuai dengan keperluan murid yang menerima pendidikan khas;

(b) Kurikulum yang hendaklah digunakan berhubungan dengan pendidikan khas;
(c) Kategori murid yang memerlukan pendidikan khas dan kaedah yang sesuai bagi pendidikan murid dalam setiap kategori sekolah khas; dan

(d) Apa-apa perkara lain yang difikirkan oleh Menteri suaimanfaat atau perlu bagi maksud topik ini.  Menteri hendaklah mengadakan pendidikan khas di sekolah
khas yang ditubuhkan di bawah perenggan 34(1)(b) atau di mana-mana sekolah rendah atau menengah yang difikirkan oleh menteri suaimanfaat.


AKTA ORANG CACAT 2002
BAHAGIAN 2. PENDIDIKAN
1. Setiap kanak-kanak yang mempunyai apa jua jenis atau tahap kecacatan harus menerima pendidikan percuma dalam suasana yang bersesuaian sehingga umur lapan belas tahun.
2. Pendidikan bagi orang kurang upaya harus termasuk ke dalam perancangan pendidikan kebangsaan, perkembangan kurikulum serta organisasi sekolah.
3. Pihak berkenaan harus berusaha mengalakkan mengintegrasikan pelajar kurang upaya ke dalam sekolah biasa.

Untuk memasukkan kemudahan pendidikan bagi pelajar kurang upaya ke dalam sekolah biasa, pihak berkenaan harus -
(a) mengadakan polisi yang jelas, dihayati dan diterima di peringkat sekolah dan masyarakat umum;

(b) membenarkan kelonggaran kurikulum, serta tambahan dan adaptasi;
(c) menyediakan bahan pengajaran yang berkualiti dan mudah didapati, latihan perguruan yang berterusan dan guru penyokong.
4. Pendidikan khas boleh dipertimbangkan di mana sekolah biasa belum mempunyai kemudahan yang diperlukan atau bila mana pendidikan khas dianggap paling sesuai bagi pelajar kurang upaya berkenaan. Ia harus bertujuan menyediakan pelajar untuk dididik sekolah biasa. Kualiti pendidikan harus menggambarkan piawaian serta aspirasi sama seperti pendidikan biasa dan harus berkaitan dengannya. Secara minimum, pelajar kurang upaya harus diberi pengagihan sumber pendidikan sama seperti yang diberi kepada mereka yang bukan cacat.
5. Untuk memastikan pendidikan berkualiti dapaat dinikmati semua, tumpuan khas harus diberikan kepada bidang seperti kurikulum, program pendidikan, kaedah pengajaran dan perkhidmatan sokongan:

 5.1 Bagi mereka yang cacat penglihatan, di peringkat tadika dan sekolah rendah, kurikulum yang diubahsuai yang merangkumi, tetapi tidak terbatas kepada, latihan sensori, kemahiran hidup seharian, cara khas membaca dan menulis brel, orientasi dan pergerakan, pengetahuan asas dalam bidang komputer yang mempunyai perisian pembaca skrin, matematik, muzik dan sukan.
Persediaan untuk 'mainstreaming' harus diuruskan pada tahap awal persekolahan di peringkat sekolah rendah untuk memastikan kanak-kanak cacat penglihatan seperti kanak-kanak kurang upaya yang lain, kecuali mungkin mereka yang terencat akal, diberi pendidikan bersama rakan sebaya yang tidak cacat ke tahap yang setinggi-tingginya. Di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi, mereka akan diintegrasikan bersaama pelajar lain dan mengikuti kurikulum yang sama. Pelajar yang cacat penglihatan di peringkat ini akan diberi perkhidmatan sokongan seperti bahan bacaan dalm bentuk brel atau audio, kelengkapan brel, alat pembaca, komputer yang dilengkapkan dengan kemudahan khas, alat kelengkapan bagi mereka yang kurang penglihatan, orientasi dan pergerakan, kaunseling, dan guru sumber (di sekolah menengah)

 5.2 .Bagi mereka yang cacat pendengaran, kurikulum yang diubahsuai akan menitiberatkan kepada perkembangan komunikasi dan bahasa yang sesuai dengan keperluan pelajar. Kurikulum akan merangkumi cara khas untuk mengajar pertuturan, memahami pertuturan, latihan pendengaran dan rentak menggunakan komunikasi keseluruhan, pelbagai sensori serta pendekatan yang lain. Mereka akan diirujukan kepada staf sokongan seperti jurubahasa isyarat, otologist, audiologist, pakar pemulihan pertuturan, jurulatih auditori dan yang lain seperti diperlukan.

Berdasarkan keperluan khas bagi mereka yang pekak atau pekak-buta, pendidikan bersesuaian boleh dikendalikan di sekolah khas atau pun di kelas atau unit khas di sekolah biasa.

 5.3.Bagi mereka yang mengalami kecacatan otopedik, pendidikan berkualiti akan diberi sama seperti untuk mereka di sekolah biasa, dan mereka akan dibenarkan menghadiri kelas di tingkat bawah bangunan sekolah di mana boleh. Penjadualan kelas serta pertimbangan lain akan dibuat bersesuaian dengan keperluan pendidikan mereka. Usaha akan dibuat supaya bangunan sekolah dan maktab tidak mempunyai sebarang halangan bersifat pembinaan.

 5.4 Bagi mereka yang terencat akal, kurikulum yang diubahsuai akan menitikberatkan latihan megurus diri, sosialisasi, kemahiran hidup seharian yang berdasarkan pergerkan, pra-vokesyenal dan vokesyenal. Bagi mereka yang terencat akal yang teruk, tumpuan akan diberi kepada peningkatan kemahiran penjagaan diri.

5.5 Bagi mereka yang mempunyai masalah perlakuan seperti autisma, mereka yang bermasalah pembelajaran dan mereka yang mempunyai kecacatan pelbagai, kurikulum yang diubahsuai akan merangkumi aktiviti serta teknik penyampaian bagi menormalisasikan perlakuan dan juga kemahiran berdasarkan fungsi serta akademik untuk mengintegrasikan mereka ke dalam masyarakat.

 5.6 Pihak berkuasa berkenaan akan memulakan atau menyebabkan bermulanya penyelidikan yang bertujuan mereka bentuk dan menyediakan alat bantuan, alat bantuan pengajaran, kelengkapan khas pengajaran atau apa sahaja peralatan yang diperlukan untuk memberi peluang pendidikan yang sama rata kepada kanak-kanak kurang upaya.

5.7 Pihak berkuasa berkenaan akan menubuhkan insitusi latihan perguruan yang secukupnya di samping memberi sokongan kepada badan bukan kerajaan untuk mengadakan rancangan pendidikan perguruan dengan pengkhususan dalam bidang mengajar pelajar kurang upaya supaya tenaga pengajar yang terlatih dapat disalurkan ke sekolah khas dan sekolah berintergrasi bagi kanak-kanak kurang upaya.

  5.8 Dengan tidak prejudis kepada peruntukan di atas, pihak berkuasa berkenaan akan menyediakan skim pendidikan yang komprehensif yang merangkumi pelaksanaan rancangan pendidikan individu bagi setiap kanak-kanak kurang upaya di sekolah;
-kemudahan pengangkutan bagi kanak-kank kurang upaya atau bantuan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga utnuk membolehkan anak kurang upaya mereka menghadiri sekolah;

-memberikan secara percuma buku serta alat kelengkapan khas yang diperlukan bagi pendidikan kanak-kanak kurang upaya;

-biasiswa bagi pelajar kurang upaya;

-mengadakan saluran untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh ibu bapa dalam menempatkan kanak-kanak mereka dalam sekolah.

1.1 Definisi Pendidikan Khas 


Pendidikan khas merujuk pada pendidikan bagi kanak-kanak luar biasa, iaitu 'kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial atau emosi, tidak mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa, hinggakan mereka tidak mendapat faedah sepenuhnya daripada rancangan sekolah biasa'
(Chua,1982)

Pendidikan Khas ialah subsistem dalam sistem pendidikan, yang bertanggungjawab mengadakan peruntukkan kemudahan dan keistimewaan bagi membantu kanak-kanak dan belia yang bersifat luarbiasa.(Gearhart dan Weishahn,1980)

Orang berminat mengkaji tentang pendidikan khas mungkin kerana mereka mempunyai
anak atau ahli keluarga yang memerlukan perkhidmatan khas atau mereka ingin menjadi sukarelawan membantu badan-badan terlibat dengan mendidikan kanak-kanak
berkeperluan khas atau mereka yang ingin menjadi guru pendidikan khas di sekolah
rendah atau menengah. Apakah pendidikan khas? Untuk memahami apa itu pendidikan
khas adalah wajar kita meninjau beberapa definisi yang dikemukankan oleh pakar-pakar dalam bidang:

 Hallahan dan Kauffman
(2006): Pendidikan khas didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak  berkeperluan khas.

Gargiulo (2003): Pendidikan khas merupakan program pengajaran khusus yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan-bahan, peralatan dan kaedah pengajaran khusus.

 Friend (2005): Pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi
memenuhi keperluan kanakkanak yang kurang upaya.Pengajaran ini mungkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institusi lain.

Mansor (2005): Program pendidikan khas di Malaysia merupakan satu usaha yang
berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran


Definisi Pendidikan Khas Dalam konteks Malaysia
Pendekatan Baru Definisi Kanak-Kanak Dengan Keperluan-Keperluan Pendidikan Khas menekankan kepada kebolehan, kefungsian, kemahiran, perkembangan, penguasaan dan pencapaian kanak-kanak tersebut dalam kemahiran-kemahiran pengembangan ( development skill). Pendekatan baru menolak pendekatan tradisi yang menekankan kecacatan dan ketidakbolehan (medical defict model).
Penguasaan dan pencapaian dalam kemahiran-kemahiran tersebut berdasarkan kepada peringkat-peringkat kebolehan seseorang murid dan pelajar dengan keperluan pendidikan khas seperti berikut :-
  • kebolehan kognitif
  • perkembangan tingkahlaku sosial / perkembangan kemahiran sosial
  • penguasaan bahasa lisan / pertuturan
  • penguasaan membaca
  • kemahiran matematik
  • kemahiran pertumbuhan asas manusia
  • kemahiran berdikari
  • kemahiran keusahawanan
  • kebolehan penglihatan
  • kebolehan pendengaran
KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS


Dalam Bahasa Ingerís istilah ‘kanak-kanak bekeperluan khas’ dinamakan ‘children with exceptional needs’ atau secara ringkas ‘exceptional children’. Pelbagai istilah lain telah
digunakan untuk ‘kanak-kanak bekeperluan khas’ dan antaranya ialah; kanak-kanak istimewa (special children), kanak-kanak luar biasa, kanak-kanak kurang upaya (children with disabilities), kanak-kanak cacat (handicapped children), kanak-kanak abnormal (abnormal children), kanak-kanak bermasalah (children with impairments) dan kanakkanak terbantut pertumbuhan atau perkembangan

Menurut Kail (2001), hampir 4% daripada populasi dunia terdiri daripada individu luar biasa atau kanak-kanak berkeperluan khas. Terdapat kanak-kanak yang dilahirkan tanpa boleh mendengar apa-apa bunyi, manakala ada juga yang dilahirkan tanpa mempunyai keupayaan untuk melihat objek atau cahaya termasuk muka ibu bapa sendiri. Terdapat kanak-kanak yang mengalami kesukaran memberi tumpuan atau mengala  mi kerencatan mental sejak dilahir. Secara umumnya, kanak-kanak berkeperluan khas berbeza daripada kanak-kanak normal dari segi ciri-ciri mental (pencapaian akademik), keupayaan deria (melihat dan mendengar), keupayaan berkomunikasi (menulis dan bertutur), tingkah laku (mengawal diri) dan emosi (bercampur gaul), dan ciri-ciri fizikal (bergerak dan menjaga diri sendiri). Walaupun istilah kurang upaya dan kecacatan digunakan sebagai sama, kedua-dua istilah ini mempunyai maksud yang berlainan.

(a)  Kurang upaya [atau Bermasalah] (disability or disorder) berlaku apabila sesuatu  kekurangan menghad individu berkenaan melakukan tugas harian atau kerja tertentu seperti berjalan kaki, melihat, mendengar atau pun menyelesai masalah matematik yang mudah seperti 10 + 5. Individu kurang upaya tidak cacat, kecuali kekurangan itu membawa kepada masalah pembelajaran, masalah peribadi, masalah bercampur gaul masalah melakukan pekerjaan dan masalah-masalah lain (Heward, 2003).         Contohnya, seorang kanak-kanak yang lumpuh pada kedua-dua kakinya tetapi boleh pergi ke sekolah menggunakan kerusi roda dan belajar bersama pelajar lain tidak cacat.

Istilah Definisi Kurang upaya (disability) Kecacatan (handicap) Sesuatu yang menghalang seseorang melakukan kerja tertentu yang dapat dilakukan oleh individu normal. Sesuatu kelemahan yang terdapat pada seseorang akhibat daripada sesuatu kekurangan yang menghadkan atau menghalang dia memenuhi peranan sebagai seorang yang normal.

(b)  Kecacatan (handicap) merujuk kepada sesuatu masalah atau penghalang yang dihadapi oleh seorang kurang upaya apabila dia berinteraksi dengan alam sekeliling. Sesuatu jenis kecacatan mungkin menjadi masalah dalam suatu persekitaran tetapi tidak menjadi penghalang dalam persekitaran yang berlainan. Contohnya, seorang pelajar yang pekak mungkin berasa tercacat kerana sukar bermain alat muzik dalam pancaragam sekolah dengan kanak-kanak biasa. Sebaliknya, kanak-kanak yangsama tidak berasa tercacat ketika dalam makmal sains.




KLASIFIKASI KANAK-KANAK PENDIDIKAN KHAS.


Ramai pakar pendidikan khas di merata dunia, menggunakan klasifikasi yang dicadangkan oleh IDEA (1990) di Amerika Syarikat untuk mengklasifikasi kanak-kanak berkeperluan khas. IDEA (PL 105-117) mencadangkan 13 kategori kurang upaya (disability). Untuk tujuan kursus ini, kanak-kanak berkeperluan khas di kategorikan kepada 8 kategori sahaja. Untuk memudahkan perbincangan beberapa kategori telah dicantumkan.

(a) Kanak-kanak Kurang Upaya Pendengaran atau Bermasalah Pendengaran

Kanak-kanak kurang upaya pendengaran terbahagi kepada beberapa kumpulan berdasarkan tahap kehilangan deria pendengaran. Kehilangan deria pendengaran dibezakan sama ada seseorang itu boleh mendengar bunyi pada desibel (dengan ringkas dB yang merupakan ukuran kekuatan bunyi) yang berlainan. Individu yang hanya boleh mendengar bunyi antara 27 hingga 65 dB dikatakan sebagai mengalami kesukaran pendengaran (hard of hearing) manakala individu yang hanya boleh mendengar bunyi pada 90 dB dan ke atas dikatakan sebagai pekak (deaf). Kehilangan deria pendengaran boleh mempengaruhi pertuturan dan penguasaan bahasa. Ini secara langsung akan memberi kesan ke atas kebolehan membaca,
perkembangan tatabahasa dan kemahiran membaca. Penguasaan bahasa akan terjejas bagi kanak-kanak yang menjadi pekak pada usia yang muda (sebelum 3 tahun).


(b) Kanak-kanak Kurang Upaya Penglihatan atau Bermasalah Penglihatan

Kanak-kanak bermasalah penglihatan selalunya dibahagikan kepada dua kumpulan sahaja iaitu:

(i)            Kanak-kanak buta (blind) adalah mereka yang tidak dapat melihat apa-apa, termasuk objek atau sumber cahaya. Mereka belajar melalui deria sentuhan, pendengaran, hidu, dan rasa. Mereka mengunakan tulisan braille. Mereka juga perlu menggunakan tongkat putih apabila bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
(ii)          Kanak-kanak berpenglihatan terhad atau rabun (low vision) mempunyai keupayaan melihat dan boleh membaca, melihat muka orang lain, objek atau gambar setelah diberikan peralatan khas seperti cermin mata, kanta pembesar dan lain-lain. Mereka perlu ditempatkan di bahagian hadapan kelas dan dibantu dengan cahaya yang sesuai dan tulisan bersaiz besar. Kurang upaya penglihatan atau bermasalah penglihatan tidak mempengaruhi kapasiti intelek atau kebolehan untuk belajar. Bagaimana pun kanak-kanak yang buta atau berpenglihatan terhad memerlukan perkhidmatan pendidikan khas untuk berjaya dalam pendidikan. Antaranya ialah bahan dengan saiz huruf besar, bukubuku yang dirakam pada pita audio atau cakera padat dan buku-buku Braille

(c) Kurang Upaya Mental atau Kerencatan Mental

Kurang upaya mental atau kerencatan mental dikaitkan dengan individu yang tidak dapat belajar secepat orang yang normal; tidak dapat menyimpan maklumat sebaik mereka yang normal dan yang dan tidak dapat memahami dengan jelas dan sukar untuk menggunakan maklumat yang diperlukan dalam sesuatu situasi kepada situasi lain. Dengan perkataan lain kanak-kanak kerencatan mental kecelaruan fungsian intelektual dan dua atau lebih daripada kemahiran adaptif berikut: komunikasi, urus diri, kemahiran hidup, kemahiran sosial, arahan kendiri, kesihatan dan keselamatan, akademik, beriaya dah dan kerja. Kerencatan mental lazim berpunca sebelum umur 18 tahun


(d) Kurang Upaya Fizikal

Kurang Upaya Fizikal meliputi kanak-kanak yang diserang penyakit yang merosakkan otak, otot dan tulang belakang seseorang. Terdapat beberapa jenis penyakit sedemikian. Contohnya, kanak-kanak palsi serebral (cerebral palsy) mengalami kesukaran mengerakkan kaki atau tangan atau leher atau lebih daripada satu anggota badan. Keadaan ini wujud disebabkan kecederaan kepada otak yang mengawal fungsi motor atau pergerakan. Keadaan ini bermula pada peringkat bayi dan awal perkembangan seorang kanak-kanak. Lagi satu penyakit yang membawa kepada kurang upaya fizikal ialah spina bifida (spina bifida) yang menyerang dan merosakkan tulang belakang seseorang. Penyakit ini menyebabkan badan menjadi bengkok dan akhirnya lumpuh. Distropi otot (muscular dystrophy) ialah sejenis penyakit yang menyebabkan otot-otot skeletal menjadi lemah. Kanak-kanak yang diserang penyakit ini lama-kelamaan dapati sukar bergerak dan terpaksa menggunakan kerusi roda dan ramai di antara mereka meninggal dunia apabila sampai remaja

(e) Kurang Upaya Pertuturan atau Bahasa

Masalah bahasa merujuk kepada ketidakupayaan seseorang kanak-kanak menguasai kemahiran berbahasa yang terdiri daripada lima komponen bahasa iaitu fonologi, morforlogi, sintaksis, semantik dan aspek pragmatik. Kanak-kanak bermasalah bahasa mengalami kesukaran untuk mengeluar atau menyebut sesuatu perkataan. Masalah berbahasa menyebabkan kanak-kanak mendiamkan diri daripada bertanya dan tidak mahu bertindak balas atau menjawab soalan-soalan, memberi penerangan atau arahan. Mereka akan terus mendiamkan diri kecuali kalau dipaksa untuk menjawab soalan. Kanak-kanak ini akan mengambil masa yang lama untuk memahami dan mengeluarkan pendapat apabila bercakap

(f) Kurang Upaya Pembelajaran

Kanak-kanak kurang upaya pembelajaran atau bermasalah pembelajaran adalah kanak-kanak yang telah dikenal pasti sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu pembelajaran. Mereka terdiri daripada kanak-kanak yang mempunyai keupayaan mental yang rendah dan pengubahsuaian tingkah laku yang rendah. Kecacatan yang dialami mempengaruhi kebolehan kognitif, tingkah laku sosial, penguasaan bahasa lisan dan pertuturan, penguasaan membaca, kemahiran dan kemahiran matematik. Masalah pembelajaran dianggap berpunca daripada
ketidakfungsian sistem saraf pusat.

(g) Gangguan Emosi

Emosi bermaksud perasaan pada jiwa yang kuat seperti sedih, marah, gembira dan sebagainya. Emosi berpunca daripada mental seseorang dan wujud bergantung kepada keadaan tertentu. Sesetengah kanak-kanak tidak menunjukkan emosi kanak-kanak lain pula emosi dipamerkan melalui sesuatu tingkah laku. Gangguan emosi mempengaruhi keupayaan untuk belajar, kesukaran membina dan mengekalkan hubungan interpersonal yang baik dengan rakan sebaya dan guru dan mudah merasai sedih. Kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi mempamerkan tingkah laku luaran seperti kerap berjalan dalam kelas, menjerit,
mengacau pelajar lain dan sebagainya; dan tingkah laku dalaman seperti memencilkan diri, berkhayalan dan sebagainya.