KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Friday 29 June 2012


1.1 Definisi Pendidikan Khas 


Pendidikan khas merujuk pada pendidikan bagi kanak-kanak luar biasa, iaitu 'kanak-kanak yang dari segi intelek, fizikal, sosial atau emosi, tidak mencapai pertumbuhan dan penyuburan biasa, hinggakan mereka tidak mendapat faedah sepenuhnya daripada rancangan sekolah biasa'
(Chua,1982)

Pendidikan Khas ialah subsistem dalam sistem pendidikan, yang bertanggungjawab mengadakan peruntukkan kemudahan dan keistimewaan bagi membantu kanak-kanak dan belia yang bersifat luarbiasa.(Gearhart dan Weishahn,1980)

Orang berminat mengkaji tentang pendidikan khas mungkin kerana mereka mempunyai
anak atau ahli keluarga yang memerlukan perkhidmatan khas atau mereka ingin menjadi sukarelawan membantu badan-badan terlibat dengan mendidikan kanak-kanak
berkeperluan khas atau mereka yang ingin menjadi guru pendidikan khas di sekolah
rendah atau menengah. Apakah pendidikan khas? Untuk memahami apa itu pendidikan
khas adalah wajar kita meninjau beberapa definisi yang dikemukankan oleh pakar-pakar dalam bidang:

 Hallahan dan Kauffman
(2006): Pendidikan khas didefinisikan sebagai satu bentuk pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak  berkeperluan khas.

Gargiulo (2003): Pendidikan khas merupakan program pengajaran khusus yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pelajar luar biasa. Ia mungkin memerlukan penggunaan bahan-bahan, peralatan dan kaedah pengajaran khusus.

 Friend (2005): Pendidikan khas adalah pengajaran yang direka bentuk khusus bagi
memenuhi keperluan kanakkanak yang kurang upaya.Pengajaran ini mungkin dikelolakan dalam bilik darjah, di rumah, di hospital atau institusi lain.

Mansor (2005): Program pendidikan khas di Malaysia merupakan satu usaha yang
berterusan untuk menggalakkan perkembangan optima seseorang sebagai seorang yang berkemahiran


Definisi Pendidikan Khas Dalam konteks Malaysia
Pendekatan Baru Definisi Kanak-Kanak Dengan Keperluan-Keperluan Pendidikan Khas menekankan kepada kebolehan, kefungsian, kemahiran, perkembangan, penguasaan dan pencapaian kanak-kanak tersebut dalam kemahiran-kemahiran pengembangan ( development skill). Pendekatan baru menolak pendekatan tradisi yang menekankan kecacatan dan ketidakbolehan (medical defict model).
Penguasaan dan pencapaian dalam kemahiran-kemahiran tersebut berdasarkan kepada peringkat-peringkat kebolehan seseorang murid dan pelajar dengan keperluan pendidikan khas seperti berikut :-
  • kebolehan kognitif
  • perkembangan tingkahlaku sosial / perkembangan kemahiran sosial
  • penguasaan bahasa lisan / pertuturan
  • penguasaan membaca
  • kemahiran matematik
  • kemahiran pertumbuhan asas manusia
  • kemahiran berdikari
  • kemahiran keusahawanan
  • kebolehan penglihatan
  • kebolehan pendengaran
KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS


Dalam Bahasa Ingerís istilah ‘kanak-kanak bekeperluan khas’ dinamakan ‘children with exceptional needs’ atau secara ringkas ‘exceptional children’. Pelbagai istilah lain telah
digunakan untuk ‘kanak-kanak bekeperluan khas’ dan antaranya ialah; kanak-kanak istimewa (special children), kanak-kanak luar biasa, kanak-kanak kurang upaya (children with disabilities), kanak-kanak cacat (handicapped children), kanak-kanak abnormal (abnormal children), kanak-kanak bermasalah (children with impairments) dan kanakkanak terbantut pertumbuhan atau perkembangan

Menurut Kail (2001), hampir 4% daripada populasi dunia terdiri daripada individu luar biasa atau kanak-kanak berkeperluan khas. Terdapat kanak-kanak yang dilahirkan tanpa boleh mendengar apa-apa bunyi, manakala ada juga yang dilahirkan tanpa mempunyai keupayaan untuk melihat objek atau cahaya termasuk muka ibu bapa sendiri. Terdapat kanak-kanak yang mengalami kesukaran memberi tumpuan atau mengala  mi kerencatan mental sejak dilahir. Secara umumnya, kanak-kanak berkeperluan khas berbeza daripada kanak-kanak normal dari segi ciri-ciri mental (pencapaian akademik), keupayaan deria (melihat dan mendengar), keupayaan berkomunikasi (menulis dan bertutur), tingkah laku (mengawal diri) dan emosi (bercampur gaul), dan ciri-ciri fizikal (bergerak dan menjaga diri sendiri). Walaupun istilah kurang upaya dan kecacatan digunakan sebagai sama, kedua-dua istilah ini mempunyai maksud yang berlainan.

(a)  Kurang upaya [atau Bermasalah] (disability or disorder) berlaku apabila sesuatu  kekurangan menghad individu berkenaan melakukan tugas harian atau kerja tertentu seperti berjalan kaki, melihat, mendengar atau pun menyelesai masalah matematik yang mudah seperti 10 + 5. Individu kurang upaya tidak cacat, kecuali kekurangan itu membawa kepada masalah pembelajaran, masalah peribadi, masalah bercampur gaul masalah melakukan pekerjaan dan masalah-masalah lain (Heward, 2003).         Contohnya, seorang kanak-kanak yang lumpuh pada kedua-dua kakinya tetapi boleh pergi ke sekolah menggunakan kerusi roda dan belajar bersama pelajar lain tidak cacat.

Istilah Definisi Kurang upaya (disability) Kecacatan (handicap) Sesuatu yang menghalang seseorang melakukan kerja tertentu yang dapat dilakukan oleh individu normal. Sesuatu kelemahan yang terdapat pada seseorang akhibat daripada sesuatu kekurangan yang menghadkan atau menghalang dia memenuhi peranan sebagai seorang yang normal.

(b)  Kecacatan (handicap) merujuk kepada sesuatu masalah atau penghalang yang dihadapi oleh seorang kurang upaya apabila dia berinteraksi dengan alam sekeliling. Sesuatu jenis kecacatan mungkin menjadi masalah dalam suatu persekitaran tetapi tidak menjadi penghalang dalam persekitaran yang berlainan. Contohnya, seorang pelajar yang pekak mungkin berasa tercacat kerana sukar bermain alat muzik dalam pancaragam sekolah dengan kanak-kanak biasa. Sebaliknya, kanak-kanak yangsama tidak berasa tercacat ketika dalam makmal sains.




KLASIFIKASI KANAK-KANAK PENDIDIKAN KHAS.


Ramai pakar pendidikan khas di merata dunia, menggunakan klasifikasi yang dicadangkan oleh IDEA (1990) di Amerika Syarikat untuk mengklasifikasi kanak-kanak berkeperluan khas. IDEA (PL 105-117) mencadangkan 13 kategori kurang upaya (disability). Untuk tujuan kursus ini, kanak-kanak berkeperluan khas di kategorikan kepada 8 kategori sahaja. Untuk memudahkan perbincangan beberapa kategori telah dicantumkan.

(a) Kanak-kanak Kurang Upaya Pendengaran atau Bermasalah Pendengaran

Kanak-kanak kurang upaya pendengaran terbahagi kepada beberapa kumpulan berdasarkan tahap kehilangan deria pendengaran. Kehilangan deria pendengaran dibezakan sama ada seseorang itu boleh mendengar bunyi pada desibel (dengan ringkas dB yang merupakan ukuran kekuatan bunyi) yang berlainan. Individu yang hanya boleh mendengar bunyi antara 27 hingga 65 dB dikatakan sebagai mengalami kesukaran pendengaran (hard of hearing) manakala individu yang hanya boleh mendengar bunyi pada 90 dB dan ke atas dikatakan sebagai pekak (deaf). Kehilangan deria pendengaran boleh mempengaruhi pertuturan dan penguasaan bahasa. Ini secara langsung akan memberi kesan ke atas kebolehan membaca,
perkembangan tatabahasa dan kemahiran membaca. Penguasaan bahasa akan terjejas bagi kanak-kanak yang menjadi pekak pada usia yang muda (sebelum 3 tahun).


(b) Kanak-kanak Kurang Upaya Penglihatan atau Bermasalah Penglihatan

Kanak-kanak bermasalah penglihatan selalunya dibahagikan kepada dua kumpulan sahaja iaitu:

(i)            Kanak-kanak buta (blind) adalah mereka yang tidak dapat melihat apa-apa, termasuk objek atau sumber cahaya. Mereka belajar melalui deria sentuhan, pendengaran, hidu, dan rasa. Mereka mengunakan tulisan braille. Mereka juga perlu menggunakan tongkat putih apabila bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
(ii)          Kanak-kanak berpenglihatan terhad atau rabun (low vision) mempunyai keupayaan melihat dan boleh membaca, melihat muka orang lain, objek atau gambar setelah diberikan peralatan khas seperti cermin mata, kanta pembesar dan lain-lain. Mereka perlu ditempatkan di bahagian hadapan kelas dan dibantu dengan cahaya yang sesuai dan tulisan bersaiz besar. Kurang upaya penglihatan atau bermasalah penglihatan tidak mempengaruhi kapasiti intelek atau kebolehan untuk belajar. Bagaimana pun kanak-kanak yang buta atau berpenglihatan terhad memerlukan perkhidmatan pendidikan khas untuk berjaya dalam pendidikan. Antaranya ialah bahan dengan saiz huruf besar, bukubuku yang dirakam pada pita audio atau cakera padat dan buku-buku Braille

(c) Kurang Upaya Mental atau Kerencatan Mental

Kurang upaya mental atau kerencatan mental dikaitkan dengan individu yang tidak dapat belajar secepat orang yang normal; tidak dapat menyimpan maklumat sebaik mereka yang normal dan yang dan tidak dapat memahami dengan jelas dan sukar untuk menggunakan maklumat yang diperlukan dalam sesuatu situasi kepada situasi lain. Dengan perkataan lain kanak-kanak kerencatan mental kecelaruan fungsian intelektual dan dua atau lebih daripada kemahiran adaptif berikut: komunikasi, urus diri, kemahiran hidup, kemahiran sosial, arahan kendiri, kesihatan dan keselamatan, akademik, beriaya dah dan kerja. Kerencatan mental lazim berpunca sebelum umur 18 tahun


(d) Kurang Upaya Fizikal

Kurang Upaya Fizikal meliputi kanak-kanak yang diserang penyakit yang merosakkan otak, otot dan tulang belakang seseorang. Terdapat beberapa jenis penyakit sedemikian. Contohnya, kanak-kanak palsi serebral (cerebral palsy) mengalami kesukaran mengerakkan kaki atau tangan atau leher atau lebih daripada satu anggota badan. Keadaan ini wujud disebabkan kecederaan kepada otak yang mengawal fungsi motor atau pergerakan. Keadaan ini bermula pada peringkat bayi dan awal perkembangan seorang kanak-kanak. Lagi satu penyakit yang membawa kepada kurang upaya fizikal ialah spina bifida (spina bifida) yang menyerang dan merosakkan tulang belakang seseorang. Penyakit ini menyebabkan badan menjadi bengkok dan akhirnya lumpuh. Distropi otot (muscular dystrophy) ialah sejenis penyakit yang menyebabkan otot-otot skeletal menjadi lemah. Kanak-kanak yang diserang penyakit ini lama-kelamaan dapati sukar bergerak dan terpaksa menggunakan kerusi roda dan ramai di antara mereka meninggal dunia apabila sampai remaja

(e) Kurang Upaya Pertuturan atau Bahasa

Masalah bahasa merujuk kepada ketidakupayaan seseorang kanak-kanak menguasai kemahiran berbahasa yang terdiri daripada lima komponen bahasa iaitu fonologi, morforlogi, sintaksis, semantik dan aspek pragmatik. Kanak-kanak bermasalah bahasa mengalami kesukaran untuk mengeluar atau menyebut sesuatu perkataan. Masalah berbahasa menyebabkan kanak-kanak mendiamkan diri daripada bertanya dan tidak mahu bertindak balas atau menjawab soalan-soalan, memberi penerangan atau arahan. Mereka akan terus mendiamkan diri kecuali kalau dipaksa untuk menjawab soalan. Kanak-kanak ini akan mengambil masa yang lama untuk memahami dan mengeluarkan pendapat apabila bercakap

(f) Kurang Upaya Pembelajaran

Kanak-kanak kurang upaya pembelajaran atau bermasalah pembelajaran adalah kanak-kanak yang telah dikenal pasti sebagai mengalami kecacatan yang mengganggu pembelajaran. Mereka terdiri daripada kanak-kanak yang mempunyai keupayaan mental yang rendah dan pengubahsuaian tingkah laku yang rendah. Kecacatan yang dialami mempengaruhi kebolehan kognitif, tingkah laku sosial, penguasaan bahasa lisan dan pertuturan, penguasaan membaca, kemahiran dan kemahiran matematik. Masalah pembelajaran dianggap berpunca daripada
ketidakfungsian sistem saraf pusat.

(g) Gangguan Emosi

Emosi bermaksud perasaan pada jiwa yang kuat seperti sedih, marah, gembira dan sebagainya. Emosi berpunca daripada mental seseorang dan wujud bergantung kepada keadaan tertentu. Sesetengah kanak-kanak tidak menunjukkan emosi kanak-kanak lain pula emosi dipamerkan melalui sesuatu tingkah laku. Gangguan emosi mempengaruhi keupayaan untuk belajar, kesukaran membina dan mengekalkan hubungan interpersonal yang baik dengan rakan sebaya dan guru dan mudah merasai sedih. Kanak-kanak yang mengalami gangguan emosi mempamerkan tingkah laku luaran seperti kerap berjalan dalam kelas, menjerit,
mengacau pelajar lain dan sebagainya; dan tingkah laku dalaman seperti memencilkan diri, berkhayalan dan sebagainya.



1 comment:

  1. salam cikgu.. saya merupakan peminat blok cikgu dan selalu sangat baca blok ni. saya merupakan pelajar kos pendidikan kha. saya harap cikgu boleh pos tentang pekak-buta msi.... it will be nice of you

    ReplyDelete