KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Thursday, 22 November 2012

TEORI-TEORI PEMBELAJARAN


PENDAHULUAN
           Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi satu elemen penting dalam perkembangan pendidikan. Perkembangan kemajuan dalam zaman ICT telah membawa jauh alam pendidikan dengan perisian-perisian yang sangat tercanggih. Kaedah – kaedah lama semakin jauh ketinggalan di telan zaman. Walaubagaimanapun  kita masih terikat dengan model-model pengajaran dan  teori-teori yang ada hubungkaitnya dalam psikologi pendidikan. Menurut Griffith W. Williams  psikologi adalah satu cabang penyiasatan tingkah laku manusia dalam suasana pembelajaran . Kajian saintifik terhadap tingkahlaku individu adalah berkait rapat terhadap prinsip dan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang digunapakai untuk menyelesaikan masalah (Smith 1978). Dapatan-dapatan ini akhirnya menghasilkan satu teori atau kaedah dalam perolehan ilmu pengetahuan.
         Pengajaran adalah satu proses penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran supaya dapat dipelajari dengan berkesan. Daripada tidak tahu kepada lebih tahu pelajar akan berubah dan menukar tingkah laku kepada sesuatu yang baru. Drisoll(1994) menghuraikan bahawa pembelajaran  pula adalah satu proses  pembaharuan prestasi secara berterusan dalam diri manusia  hasil interaksi pembelajaran dengan alam sekitar. Pembelajaran adalah satu proses perolehan ilmu pengetahuan melalui pengalaman, membuat penerokaan, mendapat  latihan sehingga berlaku perubahan tingkah laku dalam diri pelajar. Oleh itu pembelajaran  itu adalah satu proses yang mengubah keadaan, sikap, pengetahuan manusia melalui pengalaman
        Pada asasnya konsep pengajaran dan pembelajaran adalah berlandaskan kepada teori-teori pembelajaran masa kini. Teori-teori pembelajaran  terdiri daripada kognitif, konstruktivitisme, behaviorisme dan humanistic. Pengalaman ilmu pengetahuan yang diperolhi dalam proses pembelajaran berlaku secara berperingkat-peringkat yang menghasilkan satu  perubahan tingkahlaku manusia.

TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF.
     Teori adalah berkaitan dengan proses mental yang melibatkan pengamatan, pengetahuan dan pemahaman. Ahli-ahli psikologis yang terkenal seperti  Kohler, Koffa,Piaget,Brunner, Ausuble,dan Gagne. Mereka semua berpendapat proses pembelajaran adalah satu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran yang tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Proses celik akal, pemprosesan maklumat menggunakan struktur dalaman kognitif dari pelbagai peringkat umur dan kebolehan murid.  Semua maklumat  yang di terima di padankan dengan makluamat yang  sedia  ada, diubahsuai dan disusun semula seterusnya menghasilkan sesuatu maklumat  yang baru.

PRINSIP-PRINSIP KOGNITIF:
1.    Bahan –bahan pembelajaran di susun daripada mudah ke susah.
2.    Memahami pembelajaran lebih baik daripada hafazan.
3.    Pengetahuan sedia ada murid digunapakai dan disesuaikan dengan pembelajaran yang baru.
4.    Isi pelajaran perlu disusun mengikut pola-pola yang  tertentu supaya murid lebih mengingati.
5.    Setiap murid mempunyai perkembangan individu yang berbeza.

PENDEKATAN TEORI KOGNITIF.
1.    Menekankan kepada proses mental dalam yang bermaksud maklumat yang di terima diproses melalui perbandingan, peniruan dan penyatuan dengan maklumat lain yang sedia ada, diubahsuai pula dan disusun semula.
2.    Menekankan kepada proses pengamatan, ingatan, pemikiran, dan penyelesaian masalah.

TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVITISME.
     Teori ini adalah berkaitan dengan pengajaran yang berdasarkan kepada penyelidikan dan pengalaman. Pembelajaran terbina daripada hasil pencatuman maklumat dengan pengetahuan sedia ada. Proses pembelajaran di bawah teori ini juga  menggalakan pelajar berkomunikasi dengan bahan untuk mendapatkan jawapan. Murid di beri peluang  meneroka sepuas-puasnya dan mendapatkan jawapan serta kesimpulan sendiri. Tokoh-tokoh  yang terkenal terdiri daripada Jean Piaget, Bruner, Lev Vygotsky dan John Dewey. Kesemua tokoh-tokoh ini melihat proses pembelajaran sebagai aktivfiti pembinaan mental yang dicantumkan dengan maklumat baru. Teori ini menekankan kepada penglibatan pelajar dalam menyelesaikan masalah. Pelajar akan membina pengetahuan sendiri untuk menjana idea dengan berdasarkan pengetahuan sedia ada. Semua maklumat baru yang ada akan diolah dan disesuaikan dengan satu kerangka maklumat baru yang dinamakan Konstruktivistime.

PRINSIP-PRINSIP PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME
  1. Proses pembelajaran yang berlaku adalah proses sesuatu aktiviti yang aktif.
  2. Semasa proses pembelajaran berlaku , ianya melibatkan aktiviti sosial dan perkembangan bahasa sesama murid. Contohnya aktiviti yang dijalankan secara kumpulan ketika bermain lego.
  3. Murid akan  belajar dan mendapat sesuatu input yang baru semasa proses belajar dilangsungkan.
  4. Aktiviti yang dijalankan melibatkan perkembangan minda, pergerakan fizikal dan pengetahuan sedia ada murid.
  5. Guru sebagai fasilitator dalam proses aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan.
  6. Pengetahuan dan idea setiap murid akan digunapakai dalam proses pembelajaran.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIF DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
  1. Guru perlu menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap kebolehan murid supaya mudah difahami dan murid memahami objektif yang hendak dicapai oleh guru.
  2. Guru perlu bersedia dengan bahan-bahan yang dapat meransang minda murid dan senantiasa diubahsuai mengikut aktiviti yang akan dijalankan.
  3. Guru semestinya peka kepada kesesuaian persekitaran pembelajaran terutama dalam bilik darjah supaya dapat mendorong atau memotivasikan murid untuk terlibat dalam aktiviti pembelajaran.
  4. Proses pembelajaran yang berlaku perlu mengambilkira pengetahuan sedia ada murid dan menggunakan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran yang baru. Contohnya aktiviti  makan dan minum yang telah dipelajari dirumah, disekolah guru boleh mengukuhkan lagi dengan menerapkan adap-adap semasa makan.
  5. Guru bertindak sebagai pemudah cara dan sentiasa menbantu murid dalam aktiviti pembelajaran.
  6. Keadah pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif sangat efektif digunakan dalam proses pembelajaran.
  7. Penilaian secara tradisi sangat tidak sesuai digunakan lagi, dan teknik pembelajaran seperti hafazan dan syarahan tidak menjadi begitu efektif berbanding aktiviti berkumpulan.

TEORI  PEMBELAJARAN JEAN  PIAGET
       Teori pembelajaran Piaget lebih menekankan kepada konsep perkembangan, pertumbuhan kecerdasan yang dipengaruhi oleh lingkugan sosial dan kematangan. Ahli psikologis yang berasal dari Switzerland menyatakan bahawa semua kanak-kanak mempunyai kecenderungan yang berbeza mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing. Menurut Piaget ada 4 tahap perkembangan yang akan dilalui oleh semua kanak-kanak.
1)    Tahap sensorimotor iaitu dari lahir sehingga berumur 2 tahun dimana kanak-kanak akan memerhati dan  melalui pengalaman akan mempelajari sesuatu yang dilihat, dirasa dan disentuh.Pada peringkat ini kanak-kanak akan menggunakan deria motor untuk memahami dan berinteraksi dengan persekitaran. Pada tahap ini juga tiada konsep pengekalan kerana kebolehan mental sangat terhad kepada objek yang dapat dilihat sahaja.
2)    Tahap pra-operasi iaitu dari 2 tahun hingga 7 tahun  dimana kanak-kanak mula menggunakan kecekapan  kemahiran motor kasar dan halus  untuk meneroka sesuatu yang baru. Pada peringkat ini kanak-kanak mula memahami symbol dan keupayaan berbahasa yang sangat terhad untuk mengambarkan sesuatu konsep. Perkembangan kognitif akan menjadi lebih pesat apabila kanak-kanak mula fasih bertutur.
3)    Tahap operasi konkrit iaitu dari 7 tahun hingga 11 tahun dimana kanak-kanak mula menggunakan pengetahuan dan akal fikiran untuk mempelajari sesuatu yang konkrit. Kebanyakannya pada tahap ini kanak-kanak memerlukan objek dan peristiwa-peristiwa sebelum dapat menyelesaikan beberapa masalah. Pada peringkat ini juga kanak-kanak sudah boleh mempelajari lebih daripada satu perkara dalam satu masa. Namun demikian keupayaan berfikir secara logik masih terbatas kepada konkrit sahaja.
4)    Tahap operasi formal iaitu berumur 11 tahun  ke atas yang akan lebih mempelajari sesuatu yang lebih abstrak.( dari konkrit ke abstrak).Ini adalah peringkat perkembangan kognitif  yang paling penting di mana kanak-kanak akan berusaha menyelesaikan masalah yang konkrit dan abstrak. Penglibatan kanak-kanak yang lebih aktif akan menggalakan perkembangan pemikiran  dan membuat penaakulan.
      Merujuk kepada tahap-tahap perkembangan di atas,  Piaget telah menunjukkan semua kanak-kanak cuba mengadaptasikannya  mengikut kepada pengalaman dan kesesuaian keadaan. Adaptasi dan keseimbangan adalah saling berkait dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Urutan setiap tahap tersebut tidak dapat diubah dan saling berkaitan secara tidak langsung.Menurut Piaget proses perubahan tingkahlaku individu untuk mengadaptasikan diri dalam alam sekitar adalah sebenarnya proses pembelajaran. Proses asilimasi di mana semua pengalaman lalu akan akan dikaitkan dengan pengalaman yang baru  untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baru. Pengalaman yang baru tersebut pula dinamakan akomodasi  iaitu satu proses yang merubah struktur kognitif.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN PIAGET DALAM  PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
1.    Pengetahuan sedia ada digunakan dalam proses pembelajaran untuk menghasilkan satu sistem maklumat yang baru.
2.    Isi pelajaran akan dikembangkan dan dikaitkan dengan mengikut peringkat kognitif kanak-kanak dan tahap keupayaan masing-masing.Contohnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dengan tema buah-buahan. Murid akan diberi penerangan mengenai jenis –jenis buah-buahan tempatan, serta dikaitkan dengan rasanya. Pada tahap ini murid-murid akan memberikan berbagai cerita atau pendapat berdasarkan pengalaman.
3.    Isi pelajaran akan disusun daripada konkrit ke abstrak iaitu dari senang ke susah. Contoh dalam matapelajaran matematik. Konsep pra nombor akan diajar dulu sebelum mempelajari nombor.
4.    Penglibatan kanak-kanak  adalah secara aktif  dalam aktiviti kumpulan digalakkan dan mereka saling berinteraksi antara satu sama lain. Komunikasi dua hala dan bertukar pendapat semasa menjalankan aktiviti menggalakkan perkembangan bahasa.
5.    Motivasi secara instrinsik dipupuk supaya kanak-kanak dapat digerakkan secara aktif dalam aktiviti. Contohnya dengan memberi pujian , kata-kata galakan, dan sokongan dapat merangsang mereka.

TEORI PEMBELAJARAN  LEV VYGOTSKY.
    Lev Vygotsky adalah seorang ahli psikologis, dan karyanya sangat terkenal di dunia barat pada tahun 1960an.  Teori Vygotsky lebih menekankan kepada  interaksi antara aspek internal dan eksternal dalam pembelajaran . Menurut Vygotsky  sistem sosial sangat penting dalam perkembangan kognitif  kanak-kanak. Mereka akan berinteraksi  dan berkolaborasi untuk mengembangkan sesuatu yang baru.   Vygotsky menekan bahawa perkembangan kognitif seseorang kanak-kanak sangat dipengaruhi oleh sosial dan budaya . Teori  beliau juga ada menyebut mengenai “scaffolding”  iaitu memberikan sejumlah besar bantuan pada tahap awal pembelajaran dan kemudian mengurangi bantuan tersebut dan memberikan kesempatan kepada kanak-kanak mengerjakan sendiri. Bantuan yang diberi adalah seperti  peringatan, petunjuk dan dorongan  sehingga kanak-kanak tersebut boleh  melakukannya. Dalam teori ini menyatakan potensi murid dapat dikembangkan melalui usaha dan pengalaman sendiri dalam proses pembelajaran, sehingga ke satu peringkat kanak-kanak akan boleh melakukannya sendiri tanpa bantuan orang lain.
KONSEP KONSTRUKTIVISME VYGOTSKY
Merujuk kepada gambarajah di atas , Vygotsky telah menerangkan mengenai konsep “scaffolding” . Kanak –kanak mempunyai had perkembangan individu yang berbeza. Setiap kanak-kanak akan melalui proses pembelajaran dengan bantuan rakan dan guru sehingga berjaya menguasai dengan sendiri. Proses ini akan berulang-ulang berkali-kali sehingga kanak-kanak mempunyai keyakinan untuk melakukannya sendiri walaupun masih mengharapkan bimbingan daripada orang lain. Pada peringkat ini kanak-kanak akan menunjukkan kebolehan menyelesaikan masalah melebihi daripada kebolehan diri sendiri. Pada satu peringkat dimana kanak-kanak berjaya melakukan aktiviti-aktiviti yang sukar tanpa bantuan orang lain berdasarkan pengalaman masing-masing.

IMPLIKASI  TEORI PEMBELAJARAN VYGOTSKY TERHADAP PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
1.    Pembelajaran dijalankan secara koperatif supaya murid-murid dapat berinteraksi antara satu sama lain. Contoh dalam mata pelajaran sains, murid akan diminta membuat satu uji kaji mengenai tumbuhan dalam kumpulan. Mereka akan berbincang dan mengeluarkan pendapat masing-masing dengan menggunakan pengetahuan sedia ada untuk mencapai satu keputusan.
2.    Konsep bantu sepenuhnya dan cuba sendiri dalam pembelajaran  merupakan satu interaksi pengalaman yang berkesan. Contohnya ada sekumpulan murid dalam ujikaji sains seperti diatas memerlukan bantuan guru untuk memberi idea dan menggerakkan mereka dalam aktiviti tersebut sehingga mencapai satu keputusan.
3.    Perkembangan kognitif murid akan lebih teransang sekiranya pengetahuan sedia ada digunakan dalam proses pembelajaran. Contohnya dalam aktiviti seperti di atas juga, murid akan cuba menggunakan pengalaman masing-masing untuk di adaptasikan dalam ujikaji sains tersebut. Semasa proses ini berlansung pelbagai percubaan yang berulangkali dilakukan sehingga objektif dapat dicapai.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIVITSME DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS.
1.    Pengalaman –pengalaman belajar perlu disesuaikan dan dikembangkan dengan keperluan kognitif kanak-kanak Ini bermaksud sebelum memulakan proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu mengetahui pengetahuan sedia ada murid agar sesuai dengan isi pelajaran yang akan disampaikan. Contohnya dalam aktiviti kemahiran hidup iaitu komponen berkebun. Bersoal jawab hendaklah berkaitan dengan tanaman atau sayuran yang biasa dilihat oleh kanak-kanak dirumah. Sekiranya kanak-kanak tersebut suka memakan sayuran kacang panjang sudah tertentu ianya akan begitu teruja hendak belajar cara-cara menanam pokok kacang panjang. Isi pelajaran akan lebih bermakna dan kanak-kanak akan mendapat mengembangkan satu maklumat baru yang berkait dengan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada.
2.    Pemusatan perhatian seharusnya lebih ditumpukan kepada proses kognitif kanak-kanak dan tahap keupayaan yang berbeza. Walaupun aktiviti dijalankan dalam kumpulan namun tahap mereka sangat berbeza. Kepakaran guru sangat diperlukan supaya kanak-kanak tidak berasa dipinggirkan. Contohnya dalam kumpulan murid tersebut diberi tajuk yang sama tetapi aktiviti setiap satunya berbeza. Misalan dalam matapelajaran matematik, dengan tajuk nombor 0-5. Jadi dalam satu kumpulan tersebut ada murid yang akan membilang nilai nombor dengan menggunakan alat pembilang atau yang lain akan menggunakan plastesin untuk membentuk nombor. Sementara yang lain pula akan mewarna atau menyambung garisan putus-putus yang berkaitan dengan nombor tersebut. Dalam proses ini guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap orang murid secara individu untuk mencapai objektif pembelajaran.
3.    Keutamaan harus diberikan kepada  penglibatan  murid yang aktif dan berusaha sendiri dalam aktiviti pembelajaran. Ini bertujuan memberi ruang kepada murid untuk berinteraksi dengan rakan dan bahan-bahan pembelajaran secara meluas. Contoh dapat dilihat dalam aktiviti kemahiran manipultif. Kanak-kanak akan diberi peluang bermain dengan lego, berbincang dan bekerjasama dengan rakan untuk mencipta sesuatu binaan. Guru perlu menghidupkan suasana pembelajaran tersebut dengan pelbagai kaedah supaya kanak-kanak merasa ada keinginan untuk melakukannya.
4.     Perbezaaan individu perlu diambil kira supaya setiap aktiviti dapat disusun mengikut tahap keupayaan masing-masing. Pengalaman sebagai guru Pendidikan Khas, kita perlu mengetahui sedikit sebanyak latar belakang kanak-kanak tersebut. Ianya banyak membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya seorang kanak-kanak autisme yang terlalu sukar untuk difahami. Kadang kala beliau akan menjadi pasif dan terlalu aktif dalam setiap masa. Berbanding dengan seorang kanak-kanak perkembangan lambat (slow learner) yang boleh dikategorikan dalam kumpulan yang boleh belajar. Oleh yang demikian bahan –bahan dan aktiviti pembelajaran yang berkaitan adalah sangat berbeza antara keduanya. Guru perlu tahu kehendak dan mood kanak-kanak ini sebelum memulakan pengajaran. Mood dan kehendak itu pula perlu diubahsuai dengan objektif dan aktiviti pembelajaran supaya kanak-kanak tersebut tidak rasa rendah diri dan terasing.
5.    Guru perlu mendorong dan memotivasikan kanak-kanak berkeperluan khas ini dalam proses pembelajaran. Mendekati mereka dengan penuh kepercayaan dan kasih sayang akan membuat mereka rasa dihargai dan rasa diterima. Lenggok dan bahasa badan guru bukan sahaja dapat memberikan keyakinan kepada mereka bahkan melenyapkan sedikit sebanyak rasa rendah diri yang ada dalam diri mereka. Secara tidak langsung mereka akan mempercayai guru adalah rakan yang baik dan boleh menerima mereka. Penggunaan bahasa yang sesuai dengan aras mereka serta mudah difahami banyak membantu menyampaikan maksud atau hasrat yang hendak disampaikan oleh guru. Selain daripada itu ganjaran dari segi materialistik seperti gula-gula, biskut, kata-kata pujian dan senyuman guru akan turut memotivasikan kanak-kanak tersebut. Objektif pembelajaran akan lebih cepat tercapai jika guru dapat menggunakan barang-barang permainan sebagai bahan bantu mengajar. Kanak-kanak akan cepat teransang dan dapat digerakkan untuk melakukan akitviti-aktiviti pembelajaran.
6.    Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, bantuan akan diberikan sepenuhnya pada peringkat awal, yang akan dikurangkan secara beransur-ansur sehingga kanak-kanak tersebut boleh berdikari dengan sendirinya. Contohnya dapat dilihat dengan jelas dalam aktiviti pengurusan diri iaitu memakai pakaian. Pada peringkat pertama guru akan membantu kanak-kanak tersebut memakai pakaian mengikut langkah-langkah betul. Aktiviti ini akan dilakukan secara latihtubi  sehingga kanak-kanak tersebut berkeyakinan untuk melakukan sendiri. Akhirnya kanak-kanak tersebut akan diberi ruang dan masa memakai pakaian dengan sendiri sehingga berjaya. Guru pada ketika itu hanya memberikan arahan sahaja supaya kanak-kanak tersebut dapat mengingati semula langkah-langkah yang telah dipelajari.
7.    Bagi kebanyakan kanak-kanak berkeperluan khas penilaian di buat lebih kepada pemerhatian. Berdasarkan pengalaman saya, penilaian secara pemerhatian banyak membantu guru mengkaji dan memahami perlakuan kanak-kanak tersebut. Pemerhatian boleh dibuat samada secara individu atau ketika kanak-kanak tersebut dalam kumpulan. Perubahan tingkah laku yang ditunjukkan akan  memberikan jawapan kepada guru semasa membuat pemerhatian. Perubahan tingkah laku tersebut boleh berlaku juga apabila kanak-kanak berinteraksi dengan bahan-bahan pengajaran atau bahan media.
8.    Peranan guru pendidikan khas adalah sama dengan tugas guru di arus perdana. Sebelum menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran, perancangan perlu dilakukan dengan teliti supaya objektif dapat dicapai sepenuhnya. Guru mesti memainkan peranannya sebagai pemudah cara atau penolong dalam setiap aktiviti pembelajaran. Guru perlu mahir memilih bahan-bahan yang sesuai dengan aktiviti yang dirancang. Guru juga berperanan sebagai pembimbing yang sentiasa membantu murid-murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

RUMUSAN.
Keseluruhannya teori – teori yang telah dibincangkan di atas telah menyentuhkan banyak perkara dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedua-dua teori tersebut saling berkait antara perkembangan kognitif dan proses penyelidikan, proses meneroka dan cuba jaya. Perubahan tingkah laku yang positif akan dicapai setelah berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran  yang memberi impak kepada pengukuhan pengetahuan dalam memori. Struktur pengetahuan akan berkembang dengan bertambahnya pengetahuan ke dalam ingatan jangka panjang. Teori – teori ini sangat sesuai untuk diaplikasikan dengan kanak-kanak berkeperluan khas. Perkembangan kognitif mereka sangat berkait dengan pengetahuan sedia ada untuk membentuk satu pengalaman yang baru. Proses pengajaran dan pembelajaran perlu memberikan ruang kepada kanak-kanak meneroka sendiri bagi meningkatkan lagi keyakinan diri dan proses interaksi dengan rakan dan bahan.  Berdasarkan teori yang telah dibincangkan di atas, saya berpendapat adalah sangat perlu bagi guru-guru mengaplikasikan kaedah dan teknik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid diberi peluang bergerak bebas menjalankan aktiviti dan berinteraksi dengan bahan dan guru. Akhir sekali keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran saling  bergantung  bersama antara murid, guru  dan bahan.

13 comments:

  1. terima kasih atas maklumat ini dan saya buat untuk assignment. thank moga allah lanjutkan usia cikgu dan di luaskan rezaki. amin

    ReplyDelete
  2. terima kasih cikgu, saya gunakan untuk tujuan assignment :)

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum cikgu...
    mohon di kongsi untuk pembelajaran saya...

    seorang pelajar
    pelajar hingga akhir nyawa
    terima kasih

    ReplyDelete
  4. terima kasihnya. sangat berguna

    ReplyDelete
  5. Salam kenal....
    Duniaku berbagi ilmu
    Terimakasih banyak atas informasinya....salam berbagi

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum cikgu
    izinkan saya menggunakan maklumat di atas untuk tugasan ilmiah saya.
    terima kasih...

    ReplyDelete
  7. assalamualaikum cikgu..
    izinkan saya menggunakan maklumat ini untuk tugasan ilmiah saya.
    terima kasih cikgu

    ReplyDelete
  8. terima kasih atas perkongsian cikgu su. info ini sangat bermanfaat bagi semua guru bagi memperingati kaedah yang bersesuaian dengan pengajaran dan pembelajaran didalam kelas.

    ReplyDelete
  9. Izinkan saya menggunakan maklumat di atas utk assignment saya. terima kasih cikgu.

    ReplyDelete