KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Saturday, 18 February 2012

ISU PENGLIBATAN IBU BAPA PENDIDIKAN KHAS


 Isu  Penglibatan Ibu bapa:

Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak dapat meneguhkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan membantu mengekalkan kejayaannya (Rohani Abdullah, 2007). Ianya mampu memberikan kesan yang positif terhadap perkembangan anak-anak dengan seimbang dari aspek tingkah laku dan afektif. Ada segelintir ibu bapa malu mempunyai anak yang ada kad OKU dan tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa memikul beban seumur hayat mereka dengan jenama OKU tersebut.

Sebahagian Ibu bapa beranggapan tidak perlu bersusah payah mengajar bersungguh-sungguh kerana mereka sedar anak mereka memang begitu. Memadai hanya pergi ke sekolah , bergaul dengan rakan dan ibu bapa boleh membuat tugas lain sementara anak ke sekolah. Itulah tanggapan yang paling pahit untuk dterima oleh seorang guru Pendidikan Khas. Perasaan kasih sayang itu bertukar kepada kasihan maka sebab itu anak mereka tidak dapat menunjukkan perkembangan dan kebolehan yang sebenar mengikut keupayaan mereka.

Kesibukan ibu bapa sehingga mengurangkan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak mereka.  Bosan menghantar anak mereka ke sesi terapi  yang pada mereka tidak membawa makna apa-apa. Pada hal mereka tidak menyedari perkembangan yang berlaku pada anak-anak mereka. Malahan ibu bapa tidak menjalankan sesi tersebut di rumah secara berterusan .

Ada juga sebahagian daripada mereka tidak memberikan sokongan dan idea kepada program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Program permuafakatan sebagai medan berbincang dan bertukar pendapat  cuma  dianggap satu pembaziran masa yang dianggap tidak bermakna  oleh mereka. Maka oleh yang demikian ada sebahagian ibu bapa tidak mendapat maklumat yang secukupnya dari pihak sekolah.  Guru menghadapi kesukaran untuk mendedahkan keupayaan anak mereka dalam pelbagai aspek. Ini kerana mereka hanya melihat ketidakupayaan anak mereka dari satu sudut sahaja.

Kurang kesedaran dalam ibu bapa kerana kebanyakan anak-anak Pendidikan Khas ini terlalu dimanjakan sehingga tidak pandai mengurus diri dengan baik.  Masih ada ibu bapa tidak percaya dengan keupayaan guru-guru menguruskan anak-anak mereka sehingga sanggup tunggu bersama di sekolah hanya semata untuk memberikan makanan dan menghantarkan ke tandas.  Pihak sekolah sebenarnya boleh menolak penempatan anak mereka sekiranya mereka tidak boleh mengurus diri dengan baik.

Ibu bapa terlalu bergantung kepada pihak sekolah dalam aspek pengurusan diri. Ini sedikit sebanyak telah menganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  Semasa ketiadaan khidmat pembantu pengurusan murid dulu, semua tugas tersebut terpaksa dilakukan oleh guru-guru Pendidikan Khas.  Maka timbul pula isu di mana guru-guru Pendidikan Khas hanya mengasuh murid sahaja bukannya mengajar seperti guru lain.

Selain daripada itu, ada dalam kalangan mereka telah menyalahgunakan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan. Kelengkapan sekolah anak tidak disediakan dengan secukupnya dan anak kerap tidak hadir ke sekolah. Sikap yang sedemikian akan membantutkan usaha guru memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka.

Kebanyakkan juga ibu bapa tidak menitikberatkan pengetahuan asas agama kepada mereka. Anggapan bahawa mereka ini tidak mengetahui apa-apa tentang mempelajari agama adalah silap . Ini kerana  adalah satu kewajiban bagi ibu bapa memberikan pendidikan agama supaya mereka dapat membezakan dosa dan pahala serta perkara baik dan buruk.


Cadangan mengatasi:

Pihak sekolah dan PIBG perlu berusaha mengatur program yang  mampu memberikan kesedaran dan keinsafan kepada ibu bapa dan penjaga tentang amanah yang telah Allah kurniakan kepada mereka.  Permuafakatan antara guru dan ibu bapa sangat penting dalam merancang proses pembelajaran yang berterusan . Selain itu juga, ibu bapa perlu diberi kursus khas oleh pihak badan bukan kerajaan atau pun pihak kerajaan bagi memantapkan lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh dilakukan di rumah. Hal ini kerana, pengetahuan yang diberi ini akan memudahkan ibu bapa mengajar anak-anak mereka dengan metodologi yang bersesuaian dengan kemampuan dan kebolehan anak-anak mereka.

Ibubapa tidak perlu merasa rendah diri dan malu untuk berhadapan dengan masyarakat.  Adalah digalakkan ibu bapa melibatkan diri  dengan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan masalah anak,contohnya Persatuan Syndrome Down, NASOM dan lain-lain lagi. Tindakan ini akan mendedahkan ibu bapa kepada perbincangan dengan ibu bapa lain yang mempunyai masalah yang hampir sama dengan apa yang ditanggung oleh ibu bapa  iaitu berkisar dari masalah kesihatan, perkembangan anak dan pendidikan anak-anak. Hal ini akan memberi rasa kelegaan dan idea baru dalam mendidik anak-anak khas anda.
Ibu bapa perlu banyak berbincang dengan professional perubatan seperti dokor di hospital atau para-profesional yang lain seperti ahli psaikology, jurupulih cara kerja atau audiology. Ibu bapa digalakkan membuat dairi atau catatan perkembangan sesuatu peringkat perkembangan anaknya. Seterusnya berbincang dengan pihak perubatan atau kesihatan dan maklumkan perkembangan yang telah anak anda capai. Maklumat yang terperinci boleh membantu pihak doktor membuat analisa tentang masalah perkembangan anak. Gunakan kesempatan masa berjumpa doktor yang terhad dengan memberi maklumat yang boleh membantu ibu bapa ke arah didikan atau terapi yang merangsang pertumbuhan fizikal atau minda yang selari dengan kanak-kanak normal yang lain.
Selain itu ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa bersama dengan anak-anak bekeperluan khas ini. Mereka memerlukan lebih perhatian dan bimbingan yang berterusan supaya menjalani kehidupan yang kebih bermakna. Ilmu agama itu sangat penting kepada mereka kerana adalah tugas ibu bapa mendidik anak-anak mereka menjadi anak yang soleh dan memahami peratutan-peraturan dalam hidup.

Pendedahan mengenai cara menguruskan kanak-kanak berperluan khas juga perlu diajar dan diberi dengan padat dan mapan kepada ibu bapa. Hal ini mampu memberi ilmu dan pengetahuan yang berguna kepada ibu bapa berkenaan. Apabila ibu bapa sudah tahu mengurus dan memahami anak mereka yang istimewa ini, maka perasaan terbeban dengan karenah anak mereka ini akan menjadi kurang dan sebaliknya mereka akan merasakan sebagai salah satu tugas dan tanggungjawab yang harus dijalankan dengan hati yang mulia dan murni.

No comments:

Post a Comment