KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Saturday, 18 February 2012

ISU PENEMPATAN MURID PENDIDIKAN KHAS


  Isu Strategi  Dan  Penempatan Pelajar.

Isu ini merupakan antara yang sering dibahaskan di peringkat sekolah antara guru  Pendidikan Khas, Guru Pemulihan dan pihak pentadbir serta ibu bapa. Bagi sebahagian ibu bapa masih tidak mahu menerima hakikat bahawa anak mereka perlu dimasukkan ke kelas Pendidikan Khas. Oelh yang demikian kriteria dan instrumen pemilihan perlu sesuai dengan kepelbagaian katogeri murid. Setiap orang murid adalah berbeza dari aspek kognitif, emosi dan afektif. Mereka perlu dinilai dengan cara yang berbeza dan sesuai dengan tahap keupayaan mereka. Meskipun ada instrumen penempatan yang disediakan oleh kementerian tetapi tidak boleh digunakan kepada semua murid. Terutama sekali bagi murid dari katogeri slow learner atau lembam.
Cadangan penempatan tersebut perlu dirujuk kepada doktor atau pakar yang berkelayakan seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. Pada tahun 90an hanya doktor pakar kanak-kanak atau pakar psiktatri sahaja yang layak membuat ujian penempatan. Ianya mengambil masa dari dua minggu hingga ke sebulan  sebelum mengesahkan kecacatan yang dialami oleh murid tersebut. Selain daripada beberapa siri pemeriksaan murid tersebut perlu menjalani beberapa sesi terapi dan tahap kematangan pemikirannya akan dikukur. Begitulah sukarnya mendapatkan kelulusan dari pihak doktor.
Isunya ialah sangat berbeza pada masa kini kerana dalam masa sehari doktor boleh mengesahkan penempatan untuk murid. Ibu bapa selalu merungut pihak hospital tidak menjalankan rawatan secara terperinci . Lebih malang lagi ada doktor yang tidak ada pengetahuan langsung dalam bidang  Pendidikan Khas. Maka tidak hairanlah ada sebahagian murid yang dari katogeri lembam atau slow learner ditandakan sebagai terencat akal. Malahan ada murid down sindrom ditandakan sebagai slow learner. Hal yang sedemikian mendatangkan masalah dalam kalangan guru  menentukan kumpulan belajar atau kelas bagi murid tersebut.  Sangat meragukan pula ialah kenapa sekarang mana-mana doktor di poliklinik boleh membuat pengesahan tersebut tanpa merujuk kepada pakar-pakar yang berkelayakan. Senario inilah yang menjadikan masalah utama dalam penempatan murid Pendidikan Khas. Kita tidak mempertikaikan kewibaan doktor tersebut tetapi masih kedengaran rugutan dari penjaga bahawa tidak ada sebarang pemeriksaan dan ujian yang dijalankan oleh pihak poliklinik memadai dengan instrument yang dibekalkan oleh pihak guru.
Kebimbangannya ialah salah penempatan akan menyebabkan murid tersebut dibafikan hak mereka dalam mendapatkan pendidikan yang sewajarnya. Contohnya isu mengenai murid pemulihan yang ditempatkan ke dalam kelas Pendidikan Khas atau sebaliknya. Kaddangkala keputusan doktor tersebut terpaksa kita abaikan kerana keputusan penempatan yang tidak sesuai. Kebanyakan doktor tidak faham program yang berkaitan dengan perkataan integrasi, inklusif, masalah pembelajaran, kelas biasa, kelas pemulihan dan Pemulihan Dalam Komuniti.
Mutakhir ini kebanyakan sekolah mengajar status Sekolah Cemerlang, Berprestasi Tinggi dan sebagainya. Rata-rata guru besar mempunyai target untuk mencapai cita-cita tersebut. Isunya ialah belum tamat bulan Januari sudah ada murid tahun satu dikeluarkan dari sekolah mereka kerana tidak pandai membaca dan menulis dengan baik. Guru Besar kini sudah pandai promosi kelas Pendidikan Khas kepada penjaga yang ada anak sedemikian. Ini semuanya bertujuan untuk mengecilkan data murid tegar pada pertengahan tahun nanti. Hak murid untuk belajar dan dididik dinafikan kerana mereka belum berpeluang pun untuk merasai suasana persekolahan yang sebenar. Ini kerana pada awal Januari biasanya program transisi dijalankan sebelum mereka disaring dalam ujian LINUS saringa 1, 2 dan 3. Sedangkan pihak kementerian telah mengeluarkan pekeliling mengenai penempatan murid tahun 1 ke kelas Pendidikan Khas hanya selepas saringan ke 3.

Pihak jabatan pula kurang peka dalam hal ini dan kadangkala urusan penempatan pun tidak sesuai dengan Program Integrasi. Pernah berlaku murid cacat pendengaran di tempatkan di kelas masalah pembelajaran. Alasannya ialah atas permintaan penjaga. Seharusnya pihak jabatan perlu memaklumkan kepada penjaga tersebut penempatan yang sesuai untuk anak mereka.  Kesilapan yang beginilah yang menyebabkan guru Pendidikan Khas rasa terbeban dan sukar menjalankan proses pengajaran dengan berkesan.

Cadangan mengatasinya:
Pihak Jabatan Pelajaran dan Kumpulan Pelbagai  Disiplin  termasuk pihak hospital perlu berganding bahu dan saling bekerjasama dalam isu ini. Kedua pihak perlu melakukan penyebaran ilmu dan pengetahuan yang mereka ada mengenai murid berkeperluan khas. Kedua pihak perlu  berbincang  dan menetapkan keperluan-keperluan dan strategi yang lebih sesuai dalam isu penempatan ini.
Pembinaan ujian  soalan diognostik juga perlu diselaraskan dan dikeluarkan oleh satu badan yang bertauliah supaya tidak berlaku penyelewengan ataupun penindasan terhadap murid. Pelbagai aspek berkaitan  murid perlu diambil kire sebelum memulakan proses penempatan murid berkenaan ke kelas –kelas pendidikan khas untuk mengelakkan masalah muncul setelah murid ditempatkan. Selain itu panel-panel yang terlibat semasa proses penempatan pelajar seharusnya menjalankan tugas dengan penuh professional untuk memberikan satu perkhidmatan yang terbaik.  Ibu bapa sekarang sentiasa peka mengikuti perkembangan anak-anak mereka. Oleh yang demikian mereka yang terlibat perlu telus dan menghormati hak individu untuk mendapatkan keperluan rawatan yang sesuai.


Pentadbir sekolah juga perlu amanah dalam mentadbir program integrasi ini. Mengejar kecemerlangan biarlah dengan cara yang professional juga. Hak murid untuk mendapatkan pendidikan dan pelajaran perlu diambil kira. Bagilah mereka peluang menunjukkan kemampuan dan kebolehan mereka terlebih dahulu sebelum dihantar ke kelas Pendidikan Khas. Ibu bapa juga perlu mempertahankan hak untuk  anak-anak mereka. Mereka perlu tahu kriteria yang ditentukan untuk masuk ke kelas Pendidikan Khas kerana belum pasti cadangan dan pendapat pihak sekolah adalah benar selagi belum mendapat pengesahan pakar yang berkelayakan.
Pihak Jabatan Pelajaran pula perlu lebih peka dan selari dengan dasar dan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh pihak kementerian. Jangan mengharapkan pihak sekolah sahaja yang melaksanakan dasar-dasar tersebut sedangkan di peringkat jabatan banyak perkara yang terlepas pandang. Sokongan sedemikian sangat penting supaya guru-guru diperingkat sekolah tidak merasa tertekan dan diperlekehkan begitu sahaja.

RUMUSANNYA:
Isu-isu yang dibincangkan adalah merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh guru-guru Pendidikan Khas.  Meskipun segala keperitan yang dilalui tersebut mencabar keprofesionalisma  dalam keguruan tetapi guru Pendidikan Khas tetap berdiri teguh  bersama anak muridnya. Bilangan mereka saban tahun semakin bertambah cukup membuktikan kepercayaan dan tanggapan positif terhadap keperluan pendidikan kepada semua kanak-kanak.
Cabaran tersebut menjadikan guru-guru Pendidikan Khas semakin matang dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri supaya opsyen ini tidak lagi menjadi pilihan terakhir dalam bidang keguruan. Cabaran –cabaran yang mendatang merupakan satu impak yang besar dalam bidang ini kerana ianya telah membuka ruang yang lebih luas untuk meningkatkan kualiti opsyen Pendidikan Khas. Secara tidak langsung ianya memberikan ruang kepada Kementerian Pelajaran dan Pejabat Pelajaran mengatur program dan dasar yang meningkatkan kualiti Pendidikan Khas.
Untuk menjadi guru yang profesional, seseorang guru itu harus menekankan tiga aspek penting dalam dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah, 1998).
Harapannya semua pihak akan yang terlibat akan memberikan kerjasama yang terbaik dan memberi sumbangan idea dalam meningkatkan mutu Pendidikan Khas. Kecemerlangan tidak berjalan dengan sendiri tanpa sokongan padu semua pihak . Tanggungjawab mendidik murid Pendidikan Khas adalah tugas bersama dalam satu komuniti sekolah. Penerimaan masyarakat sekolah terhadap golongan ini akan memberikan keyakinan untuk berpimpingan tanagan bersama mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Pendidkan Khas juga mempunyai murid  yang mempunyai matlamat mencapai kehidupan bermakna dan berketrampilan dengan didikan golongan guru yang inovatif dan kreatif. Berikan ruang kepada mereka untuk menjadi rakyat yang berpendidikan selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

No comments:

Post a Comment