KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Saturday, 18 February 2012

ISU PROFESIONALISMA GURU PENDIDIKAN KHAS


Suatu masa dulu isu kekurangan guru dalam Pendiidkan Khas begitu ketara sekali. Jabatan Pelajaran pernah membuka iklan secara terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk mengajar  ke kelas Pendidikan Khas. Malangnya sambutan yang diterima sangat mengecewakan. Kalau ada pun yang dihantar ke kelas Pendidikan Khas ketika itu adalah guru-guru yang bermasalah kesihatan, disiplin, dan guru yang dianggap tidak berguna dalam aliran perdana. Kesannya sangat meningglkan beban dalam kelas Pendidikan Khas kerana bertentangan dengan kehendak dan keperluan murid. Bagaimana seorang guru dapat membentuk diri murid Pendidikan Khas sedangkan mereka sendiri bermasalah dan tidak boleh memperbaiki diri sendiri. Maka lagilah orang sekeliling memandang sinis kepada Pendidikan Khas dengan anggapan murid dan guru adalah sama sahaja.

Ada juga sebilangan kumpulan guru menawarkan diri untuk mengajar kelas Pendidikan Khas bukan kerana minat tetapi kerana hendak melarikan diri daripada beban tugas di aliran perdana. Mereka menganggap di kelas Pendidikan Khas tidak banyak tugas yang perlu  dilakukan. Namum demikian setelah menjadi warga Pendidikan Khas barulah mereka menyedari hakikat sebenarnya yang dialami oleh guru-guru Pendidikan Khas selama ini. Maka tiak hairanlah ada yang mohon kembali semula ke aliran perdana atau bertukar sekolah sebagai guru akademik.

Berikutan dengan kekurangan guru tersebut maka, Kementerian Pelajaran telah membuka peluang kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih  dalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Pendidikan Khas mula menerima guru-guru KPLI ini yang datang dari pelbagai opsyen. Sedikit sebanyak guru-guru lama merasa agak lega kerana persepsi mungkin akan berubah bila Pendidikan Khas mula diajar oleh guru berijazah.  Kita tidak menafikan ada sebahagiannya sangat komited tetapi bilangan itu sangat sedikit jika dibandingkan dengan pelbagai masalah lain yang timbul selepas itu.  Tidak berminat , terpaksa mengajar juga kerana tiada pekerjaan , tidak boleh memberikan komitmen sepenuhnya dan gagal mengajar dengan baik adalah antara yang menjadi masalah utama dalam Pendidikan Khas.  Tempoh masa yang  diperuntukan  untuk melatih mereka ini sangat tidak relevan untuk menjadi seorang guru lebih-lebih lagi guru Pendidikan Khas. Kurangnya pengetahuan dan pengalaman menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak berkesan dan  ada sebahagiannya merasa tidak selesa bersama dengan murid Pendidikan Khas. Inilah kesannya daripada temuduga yang dijalankan secara tidak telus. Ramai pegawai atasan menggunakan kuasa mereka memilih saudara- mara atau ahli keluarga menceburi bidang ini kerana opsyen yang mereka miliki menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan lain.

Campurtangan yang sedemikian juga melahirkan ramai guru  Pendidikan Khas yang hanya makan gaji dengan pendidikan tetapi mempunyai komitmen lain seperti perniagaan dan sebagainya. Seolah – olah mereka tidak mamapu berbuat apa dan setiap hari hanya menunggu masa untuk balik sahaja sama seperti murid Pendidikan Khas. Jika dulu guru-guru lama membuat semua perkara dengan sendiri termasuk bahan bantu mengajar dan pengurusan kelas. Kumpulan guru baru yang ada sekarang sangat terhad pengalamannya kerana semua kerja-kerja yang sepatutnya tugas guru di serah kepada pembantu pengurusan murid. Maka lahirlah guru-guru yang tidak berkualiti dan tidak mampu mengurus dengan baik.

Mereka juga gagal mewujudkan hubungan baik dengan guru-guru lama dan tidak mahu belajar atau bertanya mengenai proses pengajaran yang berkesan.  Ini kerana jelas mereka sangat kekurangan kemahiran dan pengetahuan ilmu keguruan. Mereka kurang berjaya mengaplikasikan strategi dan pendekatan yang sesuai dengan murid Pendidikan Khas.  Mereka juga cepat berputus asa dengan murid dan bersikap kurang sabar serta cepat jemu. Maka oleh sebab itu guru-guru yang sedemikian  lebih fokus pada tugas-tugas lain seperti kokurikulum dan sebagainya.

Guru pendidikan khas merupakan guru yang dianggap guru yang paling mudah bekerja. Tidak perlu menyemak soalan yang berlambak, tidak perlu memikirkan strategi untuk murid lulus cemerlang, dan hanya terdapat beberapa orang murid sahaja di dalam kelas. Mungkin tekaan itu betul jika guru tersebut mengambil mudah apa yang akan diajar kepada murid pendidikan khas, namun tidak mudah sekiranya guru tersebut benar - benar ingin mengajar muridnya berilmu dan menerima sesuatu apabila hadir ke sekolah setiap hari. Maka semua tugas-tugas penting dipertanggungjawab kepada guru Pendidikan Khas. Kesibukan dan beban tugas yang bukan hakiki menyebabkan perhatian ke atas murid dan kelas Pendidikan Khas terabai dan terbiar.

Guru Pendidikan yang bertanggungjawab akan pandai membahagikan masa dengan baik dan tahu mana satu tugas yag perlu diutamakan. Tetapi ada juga Pendidikan Khas yang mengambil kesempatan dengan menumpukan sepenuhnya pada tugas-tugas luar selama beminggu-minggu tanpa  rasa bersalah terhadap murid Pendidikan Khas. Ini memberi kesan kepada guru-guru Pendidikan Khas yang lain merasa tertekan kerana terpaksa bersama murid sepanjang masa tanpa mengukit giliran jadual.

 Cadangan mengatasi:

Bagi meningkatkan profesionalisma guru-guru Pendidikan Khas pihak sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri perlu merangka program-program atau kursus serta bengkel bagi menambah input –input yang sesuai dengan program pendidikan. Ianya juga perlu dilihat dari aspek agama atas segala tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada semua golongan guru. Guru perlu memiliki pengetahuan profesional  yang serdahana bagi melaksanakan tugas sebagai guru dengan jayanya. Pengetahuan profesional ini perlu bagi memandu pemikiran guru dan bertingkah laku di dalam bilik darjah dan keputusan tentang pembelajaran dan pengajaran, kurikulum dan fenomena bilik darjah.

Sejajar dengan ini, guru seharusnya sentiasa mengemaskini perkembangan  pendidikan diri dengan bacaan dan inkuiri diri yang meluas terutama bidang kepakaran masing-masing.  Guru juga disarankan mengamalkan ciri-ciri penyelidikan profesion yang sentiasa berkembang.  Penyelidikan membawa kepada inovasi dalam pendidikan diri seorang profesional. Guru perlu menganjak dan merubah paradigma melalui amalan penyelidikan yang kukuh.  Guru bersikap terbuka dan tidak mempunyai tanggapan yang menyulitkan tentang sebab-sebab dan hubungan sebab musabab melaksanakan tugas ini. (Prof. Madya Dr. Salleh Abd. Rashid)

Guru perlu menguasai atau mempunyai pengetahuan dasar minimum yang mencukupi sebagai guru. Antara pengetahuan minimum itu ialah pengetahuan isi kandungan,  pegetahuan pedagogi am,pengetahuan kurikulum,  pengetahuan konten pedagogi, pengetahuan tentang pelajar dan ciri-ciri diri ,pengetahuan falsafah, matlamat, tujuan, nilai dan sejarah pendidikan.

Pemilihan dan pengambilan guru pelatih perlu diperketatkan lagi dengan mengambilkira aspek personalti,minat,latar belakang dan kegiatan luar. Ini memberi ruang kepada institusi perguruan membentuk insan guru yang berkualiti dan boleh melaksanakan dasar-dasar negara. Kementerian pelajaran juga perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan guru dapat bertugas dengan dedikasi dan telus.  Pemantauan perlu dijalankan secara sitematik dan berterusan supaya guru sentiasa berusaha dengan lebih cemerlang dan berkualiti.

Bagi Guru Sandaran Tidak Terlatih tempoh masa yang ditetapkan untuk mendapatkan ilmu pedagogi tidak mencukupi. Mereka perlu diberi tempoh masa yang lebih lama supaya mereka dapat mempelajari tenik-teknik dan pendekatan  dalam pengajaran.

No comments:

Post a Comment