KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Saturday, 24 November 2012

CONTOH RUMUSAN PNP


1.PENGENALAN
Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP] (1994) mendefinisikan  pelaksanaan pengajaran sebagai aktiviti melaksanakan, menjalankan atau mengusahakan sesuatu rancangan. Pelaksanaan itu merujuk kepada rancangan dan tugas yang telah dilaksanakan oleh guru semasa menyampaikan pengajaran bahasa Melayu. Pelaksanaan pengajaran adalah bermula dari langkah set induksi sehingga langkah penutup sesuatu sesi pengajaran.

Konsep pengajaran dijelaskan dengan pelbagai definisi (Sharifah Alwiah, 1983; Tengku Iskandar,1986; Yaxley, 1991), menganggap pengajaran sebagai aktiviti atau proses kerana apabila mengajar, aktiviti seperti menyoal, menerangkan, mendengar, menggalakkan sesuatu, dan berbagai-bagai aktiviti lain akan berlaku. Pengajaran merupakan suatu proses komunikasi walaupun tidak semua aktiviti pengajaran merupakan komunikasi antara guru dengan pelajar. Ada pendapat mengatakan , pengajaran merupakan satu tindakan yang bertujuan untuk membawa perubahan dari segi kepercayaan, nilai dan makna serta  melihat pengajaran sebaga aktiviti intelek yang melibatkan pemikiran, perasaan dan penilaian. Dewan Bahasa dan Pustaka  mengatakan pengajaran merupakan satu perbuatan mengajar atau apa-apa yang diajarkan. Secara keseluruhannya pengajaran melibatkan aktiviti mengajar yang dilakukan oleh guru semasa menyampaikan isi kandungan pelajaran.

Konsep pembelajaran adalah proses atau kegiatan belajar (Tengku Iskandar, 1986) yang berlaku dalam pelbagai bentuk.  Bagi Gagne, pembelajaran merupakan perubahan dari segi kecenderungan atau kemampuan seseorang memperolehi sesuatu dalam tempoh masa yang tertentu. Pembelajaran juga merupakan perubahan tingkah laku atau kebolehan untuk menunjukkan perlakuan yang dikehendaki hasil daripada latihan ataupun pelbagai bentuk pengalaman. Proses pembelajaran memerlukan penglibatan murid secara menyeluruh supaya apa yang hendak disampaikan difahami oleh murid.

Kaedah pembelajaran perlu menggabungkan isi kandungan pelajaran dengan  pengalaman hidup harian individu, masyarakat dan alam pekerjaan. Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di peringkat Pendidikan Khas juga menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Khas. Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.  
Omardin Ashaari  (1999) berpendapat pengawalan kelas merupakan salah satu aspek yang yang penting. Pengetahuan mengenai perbezaan personaliti di kalangan murid akan menentukan strategi dan pendekatan yang sesuai bagi mengatasi masalah modifikasi tingkah laku dalam kelas. Menurut Mok Soon Sang (2003) keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah banyak bergantung pada corak interaksi guru dengan murid, murid dengan murid, dan murid dengan bahan pembelajaran. Faktor–faktor yang boleh mempengaruhi corak dan suasana interaksi di dalam bilik darjah pada lazimnya boleh diklasifikasikan kepada 3 kategori, iaitu faktor fizikal, faktor kemanusiaan dan faktor teknikal.
Kepentingan pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik sangat membantu keseluruhan proses pembelajaran di dalam kelas. Seorang guru yang bergelar pendidik perlu membuat persediaan agar objektif dapat dicapai dan murid mendapat input yang berkesan. Perancangan perlu dibuat dengan baik supaya hubungan antara guru dan murid mempunyai kolaborasi yang bermakna.


Berikut adalah beberapa kepentingan yang perlu diambil perhatian bagi persediaan pengajaran dan pembelajaran:
1. Persediaan pengajaran dan pembelajaran  merupakan satu pelan bertindak bagi sesuatu pelajaran. Berdasarkan persediaan tersebut,  guru  akan boleh melaksanakan rancangan mengajarnya dengan sistemtik, lancar dan berkesan, serta mengelakkan kegagalan  dalam kelas.
2. Persediaan pengajaran dan pembelajaran membantu guru mengingati isi pelajaran yang hendak disampaikan tanpa sebarang keraguan.
3. Di samping itu, guru  boleh menyediakan alat bantu mengajar serta menggunakannya dalam masa yang sesuai sebagaimana yang dirancangkan dalam persediaan mengajar.
4. Ia juga dapat membantu guru menentukan objektif pelajaran, memilih isi pelajaran dan strategi pengajaran yang sesuai demi meningkatkan keberkesanan pelajarannya.
5. Dengan adanya rancangan yang disediakan secara rapi, persediaan mengajar boleh membantu guru mengawal disiplin bilik darjah dengan baik.
6. Berdasarkan isi pelajaran yang dirancangkan, guru boleh merancang aktiviti-aktiviti susulan yang selanjutnya.




Pengajaran Bahasa Melayu:

Pengajaran Bahasa Melayu dalam Pendidikan Khas bertujuan memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi,rohani dan jasmani. Komponen Bahasa Melayu dalam kurikulum ini menyediakan murid Pendidikan Khas untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi bersesuaian dengan tahap kefungsian mereka kearah kehidupan yang bermakna. Objektif utama komponen Bahasa melayu membolehkan murid-murid Pendidikan Khas;
a)    Mendengar dan memberi respon kepada pelbagai sumber
b)    Bertutur dengan sebutan yang betul dan bertatasusila
c)    Membaca dan memahami isi bacaan sesuai mengikut perkembangan dan kebolehan murid
d)    Menulis perkataan dan ayat mudah dengan betul
e)    Melibatkan diri dalam interaksi sosial melalui perbualan, permainan, penulisan untuk menjalinkan dan mengeratkan hubungan berurus untuk mendapatkan perkhidmatan.
Beberapa aspek penting dalam Komponen Bahasa Melayu:
a)    Kemahiran Mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengar teliti , memahami perkara yang didengar dengan pelbagai situasi pengucapan serta memberikan maklum balas.
b)    Kemahiran Bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbual untuk mendapatkan maklumat, menyalinkan hubungan, memberikan pendapat, secara kritis dan kreatif dengan sebutan dan itonansi yang betul. Penekanan diberikan kepada penggunaan tatabahasa yang betul.

4

c)    Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan,  dan pengalaman. Dalam masa yang sama mereka  perlu mengetahui tanda baca, ejaan yang betul serta tulisan yang jelas dan cantik. Murid juga digalakkan mengembangkan kreativiti melalui lukisan dan penulisan imanigatif.

d)    Kemahiran Membaca merupakan keupayaan membaca dengan sebutan yang jelas dan lancar dengan itonansi dan jeda yang betul. Penekanan perlu ditekankan kepada aspek pemahaman dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Atan long ( 1976) membaca adalah satu kesinambungan proses menulis kepada proses mentafsir lambang-lambang bertulis untuk mendapatkan makna. Membaca adalah satu proses memindahkan lambing-lambang bertulis kepada suara dan memahami makna yang terkandung dan dikaitkan dengan pengetahuan sedia ada.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran seperti eksperimen, perbincangan, simulasi, projek, lawatan dan kajian masa depan. Dalam kurikulum ini, cadangan kaedah pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai objektif pengajaran yang tertentu dinyatakan secara eksplisit dalam bentuk aktiviti pembelajaran. Walau bagaimanapun, guru boleh mengubah suai cadangan aktiviti pembelajaran jika perlu. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai dapat meningkatkan minat murid terhadap  pelajaran agar yang lebih menarik dan tidak akan membosankan murid.
Guru perlu prihatin terhadap pelbagai kecerdasan di kalangan murid masing-masing. kaedah dan aktiviti yang yang berbeza perlu dirancang untuk murid - murid yang berbeza kecerdasan.
5


3. LAPORAN PENGURUSAN  PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
Satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan kepada murid-murid Pendidikan Khas. Sebelum  memulakan sesi tersebut saya telah membuat perancangan bagaimana proses tersebut harus berlaku. Berikut adalah perkara-perkara yang penting sebagai persediaan awal saya.
3.1 Persediaan pengajaran dan pembelajaran
Sebelum memulakan proses pengajaran didalam kelas, saya perlu  membuat perancangan persediaan mengajar:

a)    Tajuk  dan kemahiran yang akan diajar berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Khas.
b)    Menentukan dan menyenaraikan beberapa objektif yang difikirkan sesuai dan dapat dicapai sesuai dengan tahap keupayaan dan kebolehan murid.
c)    Merancang aktiviti yang sesuai dengan kaedah dan teknik yang berkesan supaya dapat meransang murid.
d)    Membina satu kit pembelajaran yang sesuai dengan aktiviti  untuk meningkatkan kefahaman murid.


3.1.1 Proses pengajaran dan pembelajaran

Saya menyedari guru memainkan peranan yang sangat penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti dalam kelas. Lebih-lebih lagi dengan murid-murid Pendidikan Khas. Mereka sangat memerlukan seorang pembimbing , pendorong, penasihat, juga kaunselor sebagai satu penggerak dalam sesuatu aktiviti. Abu Saleh (1988) mengatakan bahawa kaedah itu ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dan dalam tiap-tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang.
Kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran, tetapi ia merupakan satu jalan untuk mencapai obektif pengajaran. Perkara yang perlu saya fikirkan ialah:
a)    Set induksi sesuatu pengajaran yang boleh meransang murid.
b)    Aktiviti kumpulan yang perlu dijalankan supaya pengayaan dan pemulihan boleh dijalankan.
c)    Sesi penilaian yang boleh memberikan jawapan kepada keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut.

 3.1.2 Pengurusan kelas.
Saya perlu peka kepada pengurusan kelas agar murid rasa selesa dan bersemangat menjalankan aktiviti dengan bantuan bahan-bahan yang sesuai. Selain itu saya perlu mentadbir kelas dengan baik agar menjadi kelas yang kondusif , ceria dan selamat semasa menjalankan aktiviti. Disamping itu saya mengubahsuai kedudukan kerusi meja sesuai dengan aktiviti supaya murid yang lemah tidak akan rasa terabai dan disiplin murid dapat dikawal. Penggunaan alat bantuan mengajar dengan susuan atur yang kemas di setiap sudut-sudut pembelajaran sangat memberi makna dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

3.1.3 Penilaian dan latihan.

Saya juga perlu membuat penilaian terhadap keberkesanan aktiviti  serta memastikan objektif dapat dicapai. Saya tahu ini merupakan satu tanggungjawab yang terakhir didalam setiap sesi pengajaran. Ianya akan membantu saya membuat penambahbaikan terhadap sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang. Bagi memastikan pencapaian murid , saya juga merancang aktiviti pemulihan bagi murid yang lemah dan aktiviti pengayaan bagi murid yang boleh mengikuti pembelajaran dengan baik. Aktiviti pengayaan perlu dirancang supaya murid dapat mengukuhkan lagi pengetahuan yang telah mereka perolehi. Sementara pemulihan dijalankan para aras yang lebih rendah agar murid dapat menguasai kemahiran dan tidak ketinggalan dalam pelajaran.

3.1.4 Peneguhan

Bagi murid-murid Pendidikan Khas ganjaran itu sangat penting. Saya merancang beberapa perkara yang perlu saya lakukan supaya murid rasa dihargai.  Selain daripada berdampingan, membelai, kata-kata pujian , teguran juga perlu supaya tidak timbul masalah tingkah laku dalam kelas. Ganjaran juga diberi dalam bentuk benda seperti gula-gula atau pensel yang boleh menarik minat murid untuk terus kekal dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Eggen & Kauchak (1998) , dalam menyampaikan ilmu dan pengetahuan, guru-guru haruslah mempunyai kefahaman yang mendalam dalam bidang tersebut, dalam teknik arahan serta memahami teori pembelajaran. Selain daripada itu, guru juga bertanggungjawab membuat penilaian ke atas pelajar. Dalam pengajaran, guru seharusnya bekerjasama dan bergabung tenaga sesama sendiri untuk memberikan yang terbaik kepada para murid. Tugas pengajaran bukan sahaja memerlukan guru untuk mengeksploitasi kekuatan murid, guru juga perlu mengeksploitasi kekuatan diri sendiri untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran sebagai satu pengalaman yang unik bagi setiap murid.

3.2  Proses pengajaran dan pembelajaran.

Saya telah memilih mengajar kemahiran berdasarkan pengamatan penglihatan dengan bertemakan benda yang berada  disekeliling sekolah. Saya akan menentukan dan menyenaraikan beberapa objektif yang harus dikuasai oleh murid saya selepas sesi pengajaran dan pembelajaran nanti. Dalam hal ini saya akan cuba mengambilkira tahap kebolehan murid saya agar sesi pengajaran pembelajaran itu akan lebih memudahkan saya dan murid yang akan menerima pelajaran itu nanti. Setelah saya dapat menentukan objektif pengajaran, seterusnya saya akan merancang apakah aktiviti-aktiviti yang sesuai dijalankan untuk diserapkan dalam sesi pengajaran pembelajaran saya.  Aktiviti-aktiviti tersebut mestilah bersesuaian, menarik, kepelbagaian teknik penyampaian, mempunyai bahan bantu mengajar yang mampu memberansangkan minat pelajar dan tidak menjemukan. Bagi saya sekiranya perancangan aktiviti-aktiviti di atas dapat dilaksanakan, pastinya pengajaran dan pembelajaran yang saya laksanakan untuk matapelajaran berkenaan akan menjadi bermakna dan berkesan kepada murid . Saya perlu bertanggungjawab untuk mempastikan pengajaran saya berkesan dan dapat diterima oleh murid saya selain mencapai objektif . Objektif pengajaran saya ialah supaya murid boleh mengenal dan membezakan objek mengikut warna, saiz dan bentuk. Rasionalnya saya memilih tajuk ini ialah supaya murid dapat menggunakan pengamatan penglihatan untuk membuat perbandingan dan persamaan. Bagi murid-murid Pendidikan Khas kemahiran ini sangat penting sebelum melangkah ke aktiviti bacaan. Antara kemahiran yang sangat penting yang perlu saya tekankan ialah:

a)    Kemahiran diskriminasi persamaan dan perbezaan objek
b)    Kemahiran mengelas objek mengikut kumpulan
c)    Mengenal dan mengecam objek , simbol dan bentuk

Saya berpendapat kemahiran pra bacaan ini perlu ditekankan dalam pengajaran bahasa kerana ianya adalah permulaan bagi menguasai asas kemahiran membaca dan menulis.


3.2.1     Set induksi

Merupakan set permulaan bagi sesi pengajaran dengan mengaitkan isi pelajaran bersama pengetahuan sedia ada murid. Saya beranggapan murid-murid sudah biasa melihat dan menyentuh benda atau   objek yang biasa dilihat seperti bola, kotak pensel, buku, dan sebagainya. Oleh yang demikian saya membawa objek yang sebenar dan cuba bersoal jawab dengan murid. Dalam masa yang sama murid dibenarkan menyentuh objek tersebut secara bergilir-gilir.  Contoh soalan saya ialah:
1.    Siapa biasa main bola?
2.    Apakah bentuk bola/
3.    Adakah bola berbentuk bulat?
4.    Namakan benda lain yang berbentuk bulat?
5.    Apakah benda yang berbentuk bulat dalam kelas?
Sebahagian murid memberi respon yang baik walaupun terpaksa ditanya berulang-ulang kali. Tidak kurang juga ada yang tidak faham apa yang saya maksudkan.

a)    Keberkesanannya:
Saya berpendapat ada  sekumpulan murid yang faham apa yang saya sampaikan kerana penggunaan objek yang sebenarnya membantu meningkatkan kefahaman tentang konsep bentuk yang hendak saya sampaikan. Set induksi ini tidaklah terlalu panjang, hanya sekadar dalam tiga minit sahaja. Ini bagi mengelakkan murid menjadi hilang tumpuan dan membosankan murid. Dalam sesi ini murid berpeluang memegang , merasa, dan membuat pemerhatian mengenai bentuk objek yang ditunjukkan. Saya melihat reaksi rakan-rakan dalam kumpulan banyak mempengaruhi suasana pembelajaran kerana ianya membantu  meningkatkan kefahaman mengenai tajuk tersebut. Kemahiran penyoalan yang  digunakan dapat mencungkil fikiran murid untuk membantu mereka mengikuti pelajaran dengan lebih berkesan.  Saya berpendapat guru yang menguasai kemahiran pemudahcaraan ialah guru yang cekap menggunakan kemahiran lisan dan bukan lisan, teknik menyoal serta mempunyai bakat pemimpin.

 Saya sangat bersetuju dengan pendapat mengatakan set induksi memang penting dalam satu-satu pengajaran yang dijalankan oleh guru di dalam kelas. Namun demikian, ada guru yang seolah-olahnya sudah melupakan set induksi ini.  Kebiasaannya, guru akan terus membincangkan topik yang hendak diajar tanpa menggunakan set induksi yang bersesuaian dengan topik tersebut. Sebenarnya, set induksi ini penting untuk menarik perhatian murid agar menumpukan perhatian terhadap topik atau perkara yang hendak dibincangkan oleh guru di dalam kelas. Sekiranya set induksi tidak digunakan dalam pengajaran, sudah pasti murid akan berasa bosan dan kurang memberikan perhatian terhadap pengajaran guru. Oleh itu, guru-guru haruslah menggunakan set induksi yang mudah tetapi menarik perhatian murid di dalam kelas terutamanya bagi kanak-kanak berkeperluan khas.


b)    Kelemahannya:

Walaubagaimanpun  saya dapat merasakan terdapat beberapa kelemahan dalam set induksi yang saya sediakan kerana ada beberapa orang murid  yang tidak memberikan respon pada sesi pengajaran saya. Saya harus sedar dalam kumpulan murid tersebut ada berbagai jenis tahap keupayaan dan kebolehan yang sangat berbeza. Mungkin bagi murid hyperaktif mereka seronok bermain bola dan objek lain yang saya tunjukkan. Sebaliknya bagi murid down syndrome yang pemalu dan suka bersendirian. Saya perlu mengambil kira aspek perbezaan individu kerana kemungkinan mereka mempunyai pengetahuan sedia ada yang berbeza. Hakikatnya tahap penerimaan mereka juga berbeza.  Bagi murid-murid Pendidikan Khas perbezaan tersebut sangat memberikan kesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ada kemungkinan saya gagal menarik perhatian sebahagiannya dan set induksi tersebut belum cukup untuk meransang murid-murid yang rendah keupayaannya.  Ada kemungkinan juga bahan yang saya gunakan bukan lagi sesuatu yang luar biasa bagi mereka. Cadangan untuk menjadikan set induksi lebih menarik:

a)    Membawa murid ke luar dan meneroka objek yang ada diluar kelas.
b)    Menggunakan video atau perisian komputer supaya lebih menarik
c)    Menggunakan gambar-gambar atau kad imbasan yang pelbagai
d)    Menggunakan cerita yang melibatkan kartun dan sebagainya.

Aktiviti yang dicadangkan diatas boleh membantu menjadikan set induksi lebih bermakna. Aspek lain yang perlu saya lihat ialah tempoh masa yang digunakan mungkin terlalu singkat bagi murid-murid berkeperluan khas ini. Berdasarkan pengalaman seorang guru pendidikan khas memerlukan masa untuk memberikan keselesaan kepada murid sebelum setiap satu sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.  Keselesaan itu penting bagi memastikan murid dapat memberikan tumpuan pada guru. Saya akur bukan semua murid ini akan petah berkata-kata dan memerikan jawapan balas dengan baik . Kebanyakan mereka lemah dalam aspek pertuturan lagi. Mereka tidak boleh menyusun perkataan dan menyebut dengan betul. Kekangan ini mungkin dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan masalah keupayaan mental.


 3.2.2  Perlaksaaan aktiviti pengajaran

Seterusnya saya meneruskan langkah pengajaran dengan memperkenalkan bentuk-bentuk menggunakan kad imbasan . Kad imbasan yang disediakan mempunyai permukaan yang kasar supaya murid-murid boleh menggunakan hujung jari untuk merasa dan memegang kad-kad tersebut. Tujuan saya berbuat demikian supaya murid dapat menggunakan kemahiran psikomotor halus mereka mentafsir dan meneroka konsep bentuk yang hendak saya sampaikan.  Dalam masa yang sama murid membuat perbandingan dengan objek yang sebenar. Dalam masa yang sama saya akan memperkenalkan nama-nama bentuk dan membimbing murid menyebut dengan betul. Bagi murid yang boleh saya akan membimbing mereka mengeja dan membatangkan sukukata berkaitan dengan bentuk.


Langkah seterusnya menjalankan aktiviti kumpulan dimana kumpulan A akan memadankan kad-kad bentuk mengikut warna yang sama, Kumpulan B akan memadankan bentuk atau mengikut  acuan yang sama bentuk untuk proses pengecaman. Murid yang boleh memahami konsep yang hendak disampaikan akan diberi pengayaan iaitu dengan bermain puzzle, sementara murid yang lemah pula akan
dibimbing mewarna gambar-gambar bentuk dalam lembaran kerja. Secara keseluruhannya murid boleh mengikuti dengan bimbingan guru dan latihtubi yang berulang kali. Merujuk kepada teori pelaziman saya menjalankan latihtubi yang berulangkali supaya murid dapat menguasai konsep. Bagi murid sedemikian untuk mengekalkan sesuatu ingatan itu bukanlah mudah. Oleh yang demikian amatlah penting bagi saya menjalankan aktiviti ini berulang kali supaya objektif pengajaran tercapai.

a)    Keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran

Saya berpendapat proses pengamatan sangat penting sebelum memulakan aktiviti membaca dan menulis. Kegagalan guru melaksanakan aktiviti pengamatan ini akan turut menganggu proses pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang. Peningkatan kefahaman murid sangat penting dan ianya bermula dengan proses pengamatan. Saya berpendapat murid akan cepat faham sekiranya mereka dapat membuat perbandingan dan persamaan sesuatu objek. Berikut adalah antara sebab mengapa saya sangat mementingkan proses pengamatan tersebut:

i)             Murid boleh mendiskriminasi setiap bentuk, warna dan saiz  objek atau huruf/tulisan dengan tepat
ii)            Murid boleh mendiskriminasi bunyi-bunyi bahasa dan memahami  apa yang didengar.

Janet W. Learner (1971) dalam bukunya “ Children With Learning Disabilities” telah mentafsirkan bahawa pengamatan adalah satu proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera atau mekanisme yang mentafsirkan sesuatu pergerakan panca indera dengan kuasa intelek.
Pada pandangan saya murid dapat memahami konsep yang hendak saya sampaikan bila aktiviti dijalankan sambil bermain. Kad-kad imbasan yang digunakan dengan pelbagai bentuk dan warna menjadi daya penarik dalam sesuatu aktiviti.  Bagi murid –murid Pendidikan Khas keperluan bermain dengan bahan adalah penting. Kolaborasi dengan rakan-rakan berjaya meningkatkan kefahaman mereka. Sepanjang aktiviti pembelajaran dijalankan faktor bahan sangat membantu. Antara ciri-ciri yang perlu saya pertimbangkan dalam penyediaan bahan ialah:
i)             Mudah digunakan dan menarik perhatian
ii)            Boleh motivasikan murid
iii)           Mudah dipegang , diguna dan selamat.
b)    Kelemahan pengajaran dan pembelajaran
Hasil perbincangan dengan rakan-rakan guru, saya dapat mengesan beberapa kelemahan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang saya jalankan. Antaranya ialah:
i)             Sebahagian murid tidak memberikan tumpuan pada sesi pengajaran dan pembelajaran.
ii)            Sebahagian murid tidak sesuai dengan aktiviti kumpulan , mereka lebih kepada pengajaran individu.
iii)           Murid yang mempunyai masalah tingkah laku tidak dapat dikawal.
iv)           Aras soalan – soalan yang dikemukakan dalam sesi soaljawab perlu direndahkan lagi.

Saya sedar apabila berhadapan dengan murid-murid Pendidikan Khas yang terdiri daripada pelbagai kategori banyak cabaran yang perlu dihadapi. Kebanyakkan mereka sukar memberikan tumpuan dan menghadapi masalah tingkah laku. Meskipun dalam kelas saya ada tujuh orang murid sahaja, persediaan saya belum cukup untuk menarik tumpuan sebahagian mereka. Kesukaran yang saya hadapi ialah mengawal  masalah tingkahlaku dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Sebagai seorang guru saya menyedari faktor-faktor yang menyebabkan sebahagian mereka tidak memberikan tumpuan dan mengganggu proses pengajaran. Saya perlu tingkatkan strategi mengatasi masalah tingkah laku semasa mengajar. Ada kemungkinan saya menggunakan model sebagai panduan tingkah laku yang betul. Walaupun saya memberi teguran yang keras dan kadangkala tindakan tanpa lisan , murid tersebut hanya memberi respon yang sekejap sahaja, kemudian mengulangi semua tingkah laku berkenaan.  Saya akui murid yang bermasalah ini akan merosakan mood rakan-rakan yang lain. 
Aktiviti yang dijalankan hanya dalam sekitar sepuluh minit sebenarnya tidak cukup bagi murid-murid Pendidikan Khas. Sesi ini perlu dijalankan beberapa kali lagi dengan teknik dan pendekatan yang berlainan, barulah mereka dapat menguasai kemahiran yang diajar.
Saya perlu menjalankan satu modifikasi tingkah laku untuk mengubah tingkahlaku negatif kepada tingkahlaku positif  demi membentuk iklim bilik darjah yang berdisiplin dan kondusif. Antaranya saya perlu tingkatkan peneguhan dan dendaan yang sesuai dengan situasi tertentu. Kepentingan menguruskan tingkah laku murid penting pada semua guru dan memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Saya perlu tingkatkan kemesraan bersama mereka dan memberikan kepercayaan supaya mereka dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik .


Kadangkala saya cuba menggunakan rakan dalam kelas yang berkelakuan positif sebagai contoh yang baik. Kemungkinan juga saya perlu peka kepada persekitaran kelas atau luar kelas yang menyebabkan murid yang bermasalah tidak selesa bila berada di dalam kelas.
Perkara yang lebih penting yang saya rasa ialah cara komunikasi dan berinteraksi dengan murid-murid Pendidikan Khas. Guru yang perihatin tahu cara bertutur dengan mereka supaya mereka tidak merasa rendah diri dan disayangi.  Kelemahan seorang guru ialah bila gaya pengajarannya tidak seimbang dengan keadaan murid. Bagi golongan ini saya rasa guru perlu menggunakan bahasa yang membawa mereka ke alam kanak-kanak yang sebenar.  Adakalanya mereka ini perlu diajak berbual dulu kemudian barulah masuk kepada sesi pengajaran.
Saya tidak merasa kecewa bila objektif pengajaran tidak tercapai sepenuhnya kerana bagi saya murid-murid Pendidikan Khas memerlukan latihtubi yang berterusan supaya ingatan tentang konsep itu kekal.

3.2.2     Penilaian 

Bagi murid Pendidikan Khas penilaian sebenarnya boleh dijalankan secara pemerhatian semasa melakukan aktiviti. Secara tidak langsung kita dapat menilai berapa murid sudah mendapat input. Aktiviti yang saya jalankan seperti memadankan bentuk mengikut saiz , dan warna bukanlah satu aktiviti yang mencabar bagi murid normal. Namun begitu bagi murid Pendidikan Khas kemahiran pengamatan itu sangat penting pada peringkat awal ini.  Aktiviti pengayaan  bagi saya kadangkala tidak bermakna sekiranya murid tidak boleh menguasai konsep. Saya perlu  membuat diagnostik bagi mengesan perkembangan murid dari semasa ke semasa. Ini memberi peluang kepada saya untuk membetulkan kesilapan dan memperbaiki kelemahan murid serta-merta supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun. Di samping itu saya dapat mengenal pasti kelemahan dan memperkembangkan lagi kekuatan serta potensi murid.


a)    Keberkesanannya

Aktiviti yang dijalankan nampak mudah bagi murid yang sudah boleh menguasai konsep. Kepelbagaian bahan yang disediakan mampu menjana idea dan mengaitkan dengan pengetahuan sedia ada. Saya merancangkan  penilaian  sebelum dan selepas pengajaran atas beberapa aspek yang perlu diambil perhatian:

i. perancangan aktiviti mengikut kesesuaian
ii. menentukan perkara yang hendak dinilai;
iii. menentukan kaedah yang hendak digunakan;
iv. membina dan mentadbir instrumen penilaian;
v. merekod;
vi. menganalisis maklumat penilaian;
vii. melapor; dan
viii. tindakan susulan

Saya berpendapat murid terdorong untuk bersosilisasi dalam kumpulan dan saling menghormati kepelbagaian katogeri antara mereka. Pemerhatian saya jelas mengatakan murid mempelajari sesuatu hasil aktiviti kumpulan yang dijalankan.

b)    Kelemahan

Saya mengesan beberapa kelemahan dalam penilaian yang saya jalankan Keseluruhannya saya berpendapat bagi mempertingkatkan pencapaian murid saya seharusnya :

i)           Menyesuaikan objektif pengajaran dan pembelajaran  mengikut  
      kebolehan murid.
ii)            Mempelbagaikan teknik yang lebih berkesan.
iii)            Menggunakan pelbagai bahan sesuai dengan minat, keperluan dan kebolehan.
iv)           Menggunakan bahasa yang sesuai.
v)            Memberi perhatian yang rapi secara individu atau kumpulan.
vi)           Memberi peluang yang cukup kepada setiap murid.

5. Rumusan
Bahasa merupakan alat perhubungan yang penting dalam kehidupan manusia. Melalui bahasa seseorang itu dapat berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan kehendak, perasaan, pendapat, pengalaman, buah fikiran, pengetahuan, mendapatkan informasi, menambahkan ilmu pengetahuan, memahami orang lain dan sebagainya (Raminah Hj. Sabran,1993). Pembelajaran bahasa secara formalnya berlaku di sekolah. Oleh itu,guru-guru bahasa Melayu memainkan peranan yang utama bagi memastikan murid-murid di sekolah dapat mempelajari bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya. Masalah pengajaran bahasa di kalangan murid-murid Pendidikan Khas meliputi aspek lisan, membaca, dan menulis. Kebanyakan mereka mempunyai keupayaan yang rendah sehingga menyebabkan kesukaran menguasai kemahiran tersebut. Masalah lisan meliputi penguasaan kemahiran mendengar dan bertutur. Oleh sebab itu pengamatan sangat penting dan wajar dilakukan dalam kelas kerana ianya boleh meningkatkan tumpuan dan memperkayakan perkembangan bahasa mereka.  Proses membaca pula perlu dilakukan secara berperingkat kerana ianya sangat rumit bagi murid yang mempunyai masalah sensori pendengaran.

Kemahiran menulis memerlukan mereka menguasai koordinasi psikomotor halus dan cara memegang pensel dengan betul. Kebanyakkan murid Pendidikan Khas mengalami salah satu daripada masalah tersebut.  Justeru itu peranan guru sangat penting supaya menyesuaikan kaedah dan teknik selari dengan tahap keupayaan dan kebolehan murid. Seharusnya segala usaha pengajaran adalah semata-mata ditumpukan untuk merangsangkan murid supaya menggerakkan mereka belajar.  Oleh itu, pengajaran bahasa  mempunyai dua fungsi utama iaitu merangsangkan pembelajaran dan mewujudkan situasi pembelajaran yang berkesan.


Oleh yang demikian, menarik perhatian murid Pendidikan Khas  dalam proses pengajaran dan pembelajaran sangat diperlukan supaya guru dapat mengawal keadaan bilik darjah dengan baik serta  melahirkan murid-murid  yang dapat memberikan perhatian di dalam sesuatu perkara yang penting dalam hidup mereka khususnya pembelajaran akademik di dalam kelas. Segala masalah yang timbul boleh diatasi dengan mencuba dan mempraktikan pelbagai teknik dan kaedah supaya  jalan penyelesaian boleh cari  bagi meningkatkan prestasi mereka.
Bagi murid-murid Pendidikan Khas bahasa semulajadi yang ada pada mereka belum cukup untuk menjadikan mereka setara dengan kanak-kanak normal. Kebanyakkan mereka memerlukan peneguhan dan pengukuhan yang bagi meningkatkan motivasi diri dan latihan pelaziman yang berulang supaya dapat meningkatkan kefahaman dan ingatan.













CONTOH TUGASAN HARIAN GPK PENDIDIKAN KHAS

FAIL MEJA GURU PENOLONG KANAN PENDIDIKAN KHAS
TARIKH     :
HARI          :  ISNIN / SELASA / RABU / KHAMIS / JUMAAT
  PERKARA       CATATAN.
  Menghadiri perhimpunan sekolah  
  Menyemak kehadiran guru  
  Menyediakan jadual guru ganti  
  Memantau perjalanan kelas.  
  Menyelaras  jadual kelas dan guru   
  Mengajar        
  Menyediakan perancangan tahunan  
  Menyediakan perancangan mengajar harian  
  Menyemak buku kerja murid  
  Mentadbir  peperiksaan  
  Mencerap p & p guru    
  Pentadbiran      
  Menyemak fail dan dokumen  
  Kemasmiki data SMPK  
  Kemaskini data EMK  
  Kemaskini data guru  
  Menguruskan pembelian barangan   
  Menyemak laporan perbelanjaan   
  Menyemak stok barangan    
  Mesyuarat /taklimat guru    
  Menjalankan program sokongan sekolah  
  Ladap  
  Mesyuarat Kurikulum  
  Mesyuarat HEM  
  Mesyuarat Kokurikulum  
  Mesyuarat Panatia  
  Mesyuarat AJK / Agung PIBG  
  Mesyuarat sukan Tahunan/ Penyampaian Hadiah  
  Gotong Royong      
  Tugas Dalam Cuti      
     
     
     
     
     
  Cuti sakit / cuti rehat