KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Sunday 25 December 2011

TERAPI DALAM PENDIDIKAN KHAS



 ARTIKEL: FISIOTERAPI / TERAPI CARAKERJA

1.0 PENGENALAN  TERAPI.
 Perkataan Terapi berasal daripada perkataan Greek iaitu "Therapeia" yang bermaksud
 satu perkhidmatan, satu kehadiran yang berkait  dengan perkataan Greek (kata kerja) "therapeuo" yang bermaksud "i wait upon" .
Aktiviti terapi merupakan salah satu elemen penting dalam Pendidikan Khas. Menurut kamus perubatan Mosley, 2001 terapi merupakan satu rawatan pemulihan ke atas pesakit yang pernah menghadapi sebarang penyakit atau mengalami sesuatu kecederaan yang bertujuan menyebabkab kefungsian badan baik secara normal. Dalam konteks pendidikan khas terapi merupakan satu kaedah bagi membantu individu yang mempunyai pelbagai keperluan khas yang melibatkan kognitif , emosi, sosial dan psikomotor mencapai perkembangan secara maksimum dan digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Aktiviti terapi ini dapat membantu murid menguasai sesuatu kemahiran dari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi.
Kebanyakan murid pendidikan khas mempunyai pelbagai masalah yang boleh melibatkan gangguan kepada emosi dan tingkah laku. Justeru itu terapi adalah merupakan elemen penting bagi membantu mereka melalui perkembangan mental, kestabilan emosi, integrasi sosial dan kemahiran motor mereka untuk mencapai potensi yang maksimum.






2.0  DEFINISI FISIOTERAPI
Terapi fizikal merupakan satu penjagaan kesihatan yang memberi rawatan kepada individu untuk menjaga dan memulihkan fungsi fizikal dan pergerakan tubuh manusia.
Termasuklah rawatan atas sebab-sebab faktor penuaan ,kecederaan, penyakit atau persekitaran. Individu yang terlibat dalam bidang ini dipanggil ahli fisioterapi / jurupulih anggota. Terapi fizikal merupakan salah satu terapi yang penting untuk murid-murid pendidikan khas. Fisioterapi dalam pendidikan khas ialah membantu kanak-kanak mengembangkan kemampuan motor kasar meliputi otot-otot besar dan motor halus untuk pelbagai fungsi seperti berjalan, melompat, berlari, menendang, mengangkat, melempar bola dan sebagainya.  Terapi fizikal ini boleh juga didefinasikan sebagai satu rawatan atas ketidakupayaan kepada sesorang individu dengan egen-egen fizikal  dan kaedah seperti mengurut, manipulasi alatan, latihan teraputik, ransangan penyejukan dan pemanasan, terapi hidro, dan ransangan menggunakan elektrik dan cahaya.

3.0 SEJARAH TERAPI
Terapi fizikal telah dipelopori oleh Hippocrates dan Hector pada tahun 460 s.m .Pada tahun 1894 empat orang jururawat bekerja sebagai sukarelawan di Pusat  Pertubuhan  Terapi.Sejak dari itu pusat terapi ditubuhkan secara formal di Universiti Otago di New Zealand dan Amerika Syarikat pada tahun 1913, Portland (1914). Ianya merupakan satu kaedah urutan dan hippo terapi . Penyelidikan  terapi fizikal pertama telah dicetak di Amerika Syarikat pada Mac 1921 dalam The PT Review. Marry McMillan menubuhkan terapi fizikal-Physical Therapy Association ( kini dikenali,American Physical Therapy Association (APTA). Georgia Warm Springs Foundation perkenalkan terapi fizikal untuk pesakit polio. APTA  juga yang memainkan peranan penting untuk memajukan terapi fizikal secara manual pada tahun 1974.
Zaman 1980an  berlaku perubahan dalam sejarah terapi fizikal  Freddy Kaltenborn telah memperkenalkan komputer ransangan elektrik dan ultrasound.  Profesion ahli terapi semakin diktiraf bila semakin ramai belia-belia mula menceburi bidang tersebut.  Pada tahun 1991 ahli terapi Freddy Kaltenborne dari Norway telah membantu mewujudkan Akademi Terapi Fizikal di Paris. Organisasi ini bertujuan sebagai pusat terapi secara manual dan manipulasi alatan.
Menurut Auxter, Pyfer dan Hueting, (1998) masalah kecacatan fizikal tidak boleh dipulihkan dengan rawatan perubatan sahaja. Pakar perubatan telah telah memperkenalkan program terapi fisio yang dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kebanyakan individu dengan lebih berkesan.

4.0 KEPERLUAN TERAPI FIZIKAL DALAM PENDIDIKAN  KHAS.
Murid-murid pendidkan khas memerlukan terapi  sebagai satu persediaan untuk menghadapi pembelajaran dari aspek mental, fizikal, emosi dan sosiolisasi. Mereka perlu mendapat ransangan untuk bergerak balas secara positif terhadap sesuatu kemahiran yang akan diajar. Terapi fizikal ini mampu meningkatkan perkembangan  fungsi kognitif, emosi, sosial dan psikomotor. Selain daripada itu ianya juga mampu meransang pengaliran darah dan oksigen  ke seluruh anggota badan. Terapi fizikal merupakan satu motivasi kepada mereka dalam membina konsep kendiri yang lebih positif.
Ransangan-ransangan ini akan mampu membina keperluan murid-murid pendidikan khas kearah keseimbangan yang menyeluruh bagi menyediakan mereka kepada kehidupan yang bermakna. Situasi ini juga memberikan peluang kepada ibu bapa berbincang dan mengemukakan pendapat bersama ahli terapi. Ibu bapa dapat mempelajari teknik-teknik yang betul dan cara-cara alternatif untuk berkomunikasi dengan anak-anak mereka.




5.0 AKTIVITI –AKTIVTI DALAM TERAPI FIZIKAL.
A) Aktiviti yang berpusatkan psikomotor halus ialah:
                      i.        Meramas
                     ii.        Merenyuk
                   iii.        Menguli
                   iv.        Mengoyak
                     v.        Menggentel
                   vi.        Menggunting
                  vii.        Memotong
                 viii.        Mencabut
                   ix.        Menggaru
                     x.        Memicit

 B) Aktiviti  yang berpusatkan psikomotor kasar ialah:
                      i.        melambung
                     ii.        membaling
                   iii.        menyambut
                   iv.        menolak
                     v.        menarik
                   vi.        melompat
                  vii.        menendang
                 viii.        memukul
                   ix.        berlari
                     x.        berjalan.

C)  Aktiviti latihan imbangan ialah:
                      i.        berdiri di atas kerusi / bongkah kecil
                     ii.        berjalan di atas tali yang diletakkan atas lantai.
                   iii.        Membawa buku di atas kepala
                   iv.        Membawa bola ping pong dengan menggunakan sudu.
                     v.        Berdiri dengan sebelah kaki.

 D) Latihan koordinasi:
                      i.        melambung dan menyambut bola pelbagai saiz.
                     ii.        Memasukkan jarum ke dalam lubang manik.
                   iii.        Memasukkan benang ke dalam lubang jarum.



6.0 CARA PERLAKSANAAN FISIOTERAPI.
                      i.        Pemerhatian dan penilaian awal terhadap masalah yang dihadapi oleh murid.
                     ii.        Penilaian dijalankan menggunakan instrument yang sesuai dan hasil penilaian dianalisa untuk melihat daerah kelemahan tertentu pesakit.
                   iii.        Merancang proses rawatan sesuai dengan tahap keupayaan pesakit.
                   iv.        Penilaian dijalankan secara berterusan sepanjang tempoh rawatan supaya dapat mengesan keperluan lain pesakit.
                     v.        Penilaian susulan dijalankan bagi melihat keberkesanan terapi atau perlu ditukar kepada aktiviti yang lebih sesuai.

5.0 KEPENTINGAN TERAPI FIZIKAL.
Terapi fizikal sememangnya sangat  efektif kepada murid-murid pendidikan khas kerana ianya mampu meningkatkan kemampuan otot-otot iaitu motor kasar dan motor halus termasuk koordinasi antara keduanya. Aktiviti-aktivti yang melibatkan otot-otot ini memerlukan masa yang lama dan perlu dilakukan berulang kali sehingga kemampuan otot menjadi matang dan murid boleh melakukan sendiri tanpa bantuan orang lain. Contohnya murid dapat berjalan , berlari  dan melompat dengan kaedah yang betul. Selain daripada itu juga pemulihan bagi motor halus adalah sangat penting.  Termasuk juga aktiviti – aktiviti yang melibatkan motor halus seperti memotong, menggunting, mencubit , meramas dan sebagainya. Latihan imbangan merupakan antara aktiviti yang dijalankan bagi membentuk keseimbangan badan seperti berjalan sebelah kaki, meniti diatas bangku dan sebagainya.  Koordinasi kedua motor ini akan mampu meningkatkan kemampuan otak kiri dan kanan berfungsi dengan baik. Antara aktiviti yang boleh dijalankan ialah menyambut bola dengan  pelbagai saiz , mencantum puzzle dan sebagainya. Kesimpulannya kematangan kedua – dua motor halus dan kasar akan dapat meningkatkan tahap kefungsian mereka dalam kehidupan seharian.
Aktiviti terapi ini juga dikatakan mampu meningkatkan daya pengamatan murid-murid pendidikan khas. Mereka memerlukan ketajaman pendengaran , penglihatan dan pemikiran supaya dapat berfungsi dengan baik. Secara tidak langsung murid-murid pendidikan khas ini dapat membuat perbandingan dan mencari persamaan dalam sesuatu aspek. Contohnya boleh  memilih objek yang besar atau kecil, mampu mencari perbezaan dan membuat tafsiran. Pengamatan memerlukan rangsangan pelbagai deria supaya murid-murid pendidikan khas dapat membentuk konsep dengan betul. Oleh yang demkian aktiviti-aktiviti dalam terapi fizikal memberi impak yang besar dalam menghasilkan gerak balas terhadap pengamatan dan daya kosentrasi murid-murid pendidikan khas.
Terapi fizikal  mampu membina keupayaan diri dan keyakinan yang tinggi. Murid-murid akan merasakan sendiri perubahan-perubahan yang mereka alami. Kesabaran dan keinginan yang kuat untuk menjalani rawatan mampu mengubah persepsi diri dan rakan terhadap keupayaan dan kebolehan  sendiri. Ini memberikan kesedaran dalam diri bahawa mereka juga mampu bersaing dengan rakan sebaya yang lain. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan menjadi pendorong atau motivasi kepada sesuatu yang lebih baik. Keazaman yang tinggi menjalani proses terapi membantu mereka membentuk kehidupan  berdikari yang lebih baik.
 Mereka  juga dapat bersosiolisasi dan berkomunikasi dengan baik bersama rakan sebaya.  Keyakinan diri dapat meningkatkan keupayaan berinteraksi dengan alatan dan rakan semasa menjalankan aktiviti terapi. Komunikasi yang baik mampu menggalakan mereka meluahkan perasaan dan bertukar-tukar pendapat . Mereka mampu bercerita mengenai aktiviti yang mereka jalani dan berkongsi keseronokan tersebut. Secara tidak langsung  mereka dapat belajar dalam kumpulan dan mengamalkan nilai-nilai baik dalam kehidupan. Contohnya berkongsi alatan, bersifat sabar dan bekerjasama. Penerapan nilai-nilai baik ini akan menjadi panduan dalam kehidupan mereka. Rantaian nilai-nilai murni diharapkan dapat membentuk insan yang seimbang dan kepatuhan kepada peraturan  serta mampu menjadi insan yang patuh kepada perintah Allah. Secara tidak langsung ianya akan meransang kepada pertuturan murid-murid pendidikan khas.
Aktiviti terapi juga mampu mengubah tingkah laku murid – murid pendidikan khas. Contohnya sikap pendiam , tidak berminat untuk belajar, suka bersendirian, tidak fokus suka mengganggu dan sebagainya. Terutama sekali bagi murid Hyperaktif dan ADHD.  Kemampuan memberikan ganjaran dan pujian semasa aktiviti yang dijalankan boleh meransang mereka mengubah tingkah laku. Bandura dan Walters mendapati bahawa kehidupan sehari-hari banyak tingkah laku yang dipelajari melalui contoh, teladan, dan melalui bahasa. Seandainya tingkah laku ini hendak dipelajari malalui Teori Pelaziman Operan atau Pelaziman Klasik maka sudah tentu kita akan mengambil masa yang cukup banyak bagi menguasai semua tingkah laku yang ada pada diri kita hari ini dan kita mungkin tidak akan mempunyai himpunan tingkah laku sebanyak yang kita ada pada hari ini.  (Amir Awang, 1989). Oleh yang demikian melalui aktiviti-aktiviti terapi  murid akan terikat dengan jadual dan peraturan yang perlu dipatuhi. Pelaziman ini akan memberikan kesan kepada mereka sekiranya aktivti- aktiviti yang dilakukan mampu memberikan ransangan kepada mereka mengamalkan tingkah laku yang baik.
Aktiviti terapi fizikal ini juga turut membantu perkembangan fizikal dan tubuh badan  mereka. Terutama sekali yang melibatkan otot-otot  motor kasar. Contohnya dapat berjalan dan melompat dengan betul bila keseimbangan badan dapat dibentuk dengan baik. Kelembutan dan kelenturan otot-otot semasa melakukan aktiviti berkuda akan membantu menguatkan tubuh badan dan bahagian sendi-sendi. Ramai dalam kalangan murid pendidikan khas ini tidak mempunyai kesempurnaan dalam perkembangan fizikal. Oleh yang demikian latihan yang berterusan akan mampu membentuk tubuh badan yang sihat dan tegap.
Selain dairpada apa yang dibincangkan diatas, aktiviti terapi juga akan dapat membantu murid meluahkan dan melahirkan perasaan. Pakar- pakar  psikologi berpendapat  melalui aktiviti motor kasar dan motor halus yang dijalankan dalam kumpulan atau individu akan membantu mereka melepaskan segala kesusahan dan perasaan yang terpendam dalam hati mereka. Contoh seperti memukul boxing, menyepak bola dan sebagainya.  Aktiviti ini dapat meredakan perasaan mereka terutama sekali bagi murid hyperaktif dan ADHD. Selepas aktiviti ini dijalankan kebanyakan murid akan lebih bertenang dan dapat memerikan tumpuan kepada aktiviti seterusnya.

6.0 PERALATAN YANG DIGUNAKAN DALAM TERAPI FIZIKAL.
6.1 Aktivti Motor Kasar.
AKTIVITI
ALATAN YANG DIGUNAKAN
MENOLAK
kerusi, meja, kotak,
MEMUKUL
bola, boxing, badminton,
MELAMBUNG
bola ,pundi kacang, belon dll
MENYAMBUT
bola, pundi kacang, belon dll
BERJALAN
tali,
BERLARI
tali skipping,
MELOMPAT
gelung rotan, tali skipping
BERKUDA
BERENANG

6.2 Aktivti Motor halus.

AKTIVITI
ALATAN YANG DIGUNAKAN
MEMOTONG
gunting,pisau,pembaris
MENGGUNTING
gunting
MENGGULI
doh, tepung,
MENCUBIT
plastesin, doh, diri sendiri
MERAMAS
kelapa,  span, kertas, bola lembut.garam
MENGENTEL
tepung, kertas, tanah liat
MENGOYAK
kertas dan kain
MENJENTIK
karom, tutup botol, guli



6.3 Latihan Imbangan.

AKTIVITI
ALATAN YANG DIGUNAKAN
BERDIRI DENGAN SEBELAH KAKI.
MENJUNJUNG BUKU / OBJEK DI ATAS KEPALA
Buku atau pundi kacang
MENITI DI ATAS BANGKU
Kayu titi, bangku panjang
BERJALAN DI ATAS TALI DENGAN MENDEPA DUA TANGAN.
Tali.,

6.4 Aktiviti Koordinasi
AKTIVITI
ALATAN YANG DIGUNAKAN
MELAMBUNG DAN MENYAMBUT BOLA PELBAGAI SAIZ.
 Bola.
MEMASUKKAN JARUM DALAM LUBANG MANIK.
 Jarum dan manik
MELENGKAPKAN PUZZLE
puzzle
ANYAMAN
Kertas warna, riben,
MENGGUNTING DAN MENAMPAL
Gunting dang am
BERJALAN DI ATAS GARISAN YANG LURUS DAN BENGKANG BENGKOK
Tali,
JAHITAN
Kain, benang, jarum


7.0 MASALAH DALAM PERLAKSANAAN TERAPI FIZIKAL.
Masalah – masalah yang dihadapi dalam melaksanakan aktivti terapi fizikal terdiri daripada pihak guru, murid dan ibubapa. Majoriti guru-guru pendidikan khas menghadapi dilema dalam menjalankan aktiviti terapi kerana kurang kepakaran. Persepsi pihak sekolah dan ibu bapa dengan melihat secara negatif  menguasai kebimbingan dan ketakutan yang anak mereka akan cedera kerana menjalankan aktiviti terapi. Bagi satu pihak lain kegiatan aktiviti ini dianggap seperti bermain-main dan guru dianggap tidak menjalankan proses pengajaran dengan betul. Selain daripada itu guru juga tidak mempunyai masa yang cukup untuk menjalankan sesi terapi. Aktiviti ini memerlukan masa yang panjang mengikut tahap keupayaan murid. Murid tidak boleh dipaksa menghabiskan aktiviti pada waktu yang ditetapkan atau dipaksa melakukan aktivti  yang tidak boleh mereka lakukan. Kebanyakan ibu bapa tidak memberikan kerjasama yang secukupnya dan tidak komited dalam usaha-usaha memulihkan anak mereka.  Guru sukar memberikan tumpuan kepada murid dan aktiviti terapi kerana murid selalu tidak hadir ke sekolah. Keberkesanan aktiviti terapi tidak dapat dilihat dan dinilai dengan baik kerana murid itu sendiri kadang-kadang tidak memberikan kerjasama kepada guru. Masalah yang paling kritikal bagi guru ialah tiada tempat yang sesuai dan kekurangan keperluan alatan. Kebanyakan pihak pentadbir kurang memberikan kerjasama dalam memenuhi keperluan murid pendidikan khas.
Masalah juga dapat dilihat pada diri murid itu sendiri terutama yang mengalami gangguan emosi dan tingkah laku. Adakalanya murid terlalu sukar dikawal dan terlalu aktif apabila melibatkan beberapa peralatan. Latihan yang  berterusan mendatangkan rasa jemu dan bosan dalam diri murid-murid penddikan  khas. Mereka tidak nampak atau tahu tujuan mereka menjalankan aktiviti terapi. Oleh yang demikian sikap tidak memberikan kerjasama dan perhatian kepada guru merupakan antara kekangan yang sukar guru atasi. Dalam masa yang sama ada juga murid yang mengalami masalah kesihatan dan dibimbangkan aktivti yang dijalankan memberi kesan yang tidak baik kepada mereka. Oleh itu guru perlu merujuk kepada laporan perubatan mereka terlebih dahulu dan mengenalpasti masalah yang akan timbul jika menjalankan aktiviti terapi. Kerencatan mental yang dialami oleh murid menyebabkan murid sukar memahami arahan dan maksud  guru atau ahli terapi  sampaikan. Masalah perkembangan bahasa yang mereka alami lebih menyukarkan kerana kebanyakan mereka tidak boleh memberikan tindak balas yang betul.
Sikap ibu bapa juga dilihat memberikan sedikit sebanyak kekangan kepada program terapi ini. Majoritinya tidak mempunyai pengetahuan dan tidak mendapat pendedahan keperluan terapi bagi anak-anak mereka. Kebanyakkan mereka tidak berminat dan tidak mahu mengikuti perkembangan anak mereka . Persepsi melingkari kehidupan mereka bahawa anak-anak berkeperluan khas ini tidak akan berubah sampai bila-bila. Ketidaksanggupan ibu bapa meluangkan masa bersama semasa sesi terapi juga mempengaruhi sikap anak-anak mereka. Kebanyakan ibu bapa tidak menjalankan sesi terapi di rumah hanya mengharapkan semata-mata di hospital sahaja dan bergantung kepada guru sahaja. Ibu bapa tidak membarikan kerjasama dan tidak berusaha sebaik mungkin untuk mengubah kehidupan anak mereka. Keengganan  mempelajari teknik-teknik terapi dengan betul menyebabkan anak-anak mereka terus terbiar. Pengetahuan yang rendah dalam kalangan ibu bapa sendiri menyebabkan ahli-ahli terapi sukar untuk berinteraksi dengan baik. Ini ditambah lagi dengan masalah kewangan dan pendapat yang rendah menjadi halangan kepada mereka meneruskan aktiviti terapi mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Antara yang menjadi halangan dalam menjayakan aktiviti terapi ialah keperluan kawasan yang sesuai dan kondusif. Masalah ini tidak dapat diatasi dengan segera kerana kebanyakan disekolah semua kelas digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian guru perlu mencari alternatif lain bagaimana hendak menjalankan sesi terapi yang sesuai dengan keperluan sedia ada. Tambahan pula kesukaran mendapatkan alatan yang sesuai terutama sekali yang berkaitan dengan terapi snoezolen. Ada sebahagian alatan yang diperlu diimport dari luar negara dan ianya juga memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. 

8.0 CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Merujuk kepada permasalahan yang dihadapi ada beberapa cadangan yang dikemukan agar segala kekurangan yang ada dapat diperbaiki dari masa ke semasa. Antaranya ialah mengadakan lawatan ke pusat-pusat terapi  supaya guru dan ibu bapa mendapat pengetahuan dan kemahiran mengenai terapi. Melalui sesi ini ibu bapa dan guru dapat berkolaborasi bersama ahli-ahli terapi. Mereka dapat berbincang dan mengemukakan permasalahan yang tentunya boleh diselesaikan secara terus. Pengetahuan dan kemahiran inilah akan memberi impak kepada pihak sekolah apabila ibu bapa menyumbang tenaga dan kewangan atas sebarang usaha yang boleh memulihkan dan merawat anak mereka. Kerjasama kedua-dua pihak sangat penting untuk mencari dana dan kewangan bagi menampung segala kos perbelanjaan terapi di sekolah. Meskipun kesukaran mendapat bilik yang sesuai dan kondusif . Dengan dana yang ada kesemua pihak mampu merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar dan kreatif.
Komitmen guru memerlukan sokongan dan pengorbanan dari ibu bapa dalam kesepakatan dan bekerjasama membina satu komuniti yang boleh memberi kesedaran kepada masyarakat menyediakan ruang-ruang yang membolehkan aktiviti ini dijalankan berpersatuan.  Sekurang-kurangnya dapat menyakinkan ibu bapa dan percaya bahawa terapi merupakan satu aktiviti penting dalam hidup mereka. Secara tidak langsung ibu bapa tidak akan berputus asa. Mereka  sentiasa positif menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan yakin dan melalui aktiviti yang dikelola oleh guru dan pihak sekolah anak mereka akan ada penambaikan. Guru pula perlu menceburi bidang ini dengan lebih mendalam kerana pengetahuan dalam terapi sangat penting. Seminar atau kursus boleh dijalankan bagi meningkatkan lagi profesionalisma  guru .
Ibu dan guru perlu memikirkan satu kaedah bagi mengekalkan minat murid untuk datang ke sekolah dan berminat menjalankan sesi terapi di sekolah atau di pusat-pusat terapi.  Aktiviti yang dirancang perlu lebih menarik dan meransang mereka untuk menjalani aktiviti terapi secara sukarela.
Semua pihak perlu berkerjasama dengan baik dan menyusun jadual-jadual yang sesuai dengan keperluan semua orang dan memastikan jadual tersebut dapat dipatuhi dengan sebaiknya. Terapi sangat memerlukan disiplin yang tinggi kerana akiviti ini bukan sahaja perlu dijalankan sekali dua sahaja bahkan secara berterusan.

9.0 PENUTUP
Messbauer, Pagliano&Verheul, (2009) berpendapat terapi bertujuan meningkat potensi seseorang untuk memberikan tumpuan kepada kehendaknya sendiri dan melibatkan diri pada ransangan motivasi, dengan itu dapat meningkatkan komunikasi dan fungsi.  Perkembangan anak-anak berkeperluan khas sangat bergantung kepada usaha yang dijalankan oleh pihak guru, ibu bapa, ahli terapi dan diri mereka sendiri. Ransangan dan motivasi bukan sahaja kepada murid tetapi perlu  juga kepada guru dan ibu bapa. Ahli terapi memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan keupayaan perkembangan kognitif, emosi dan tingkah laku kanak-kanak. Oleh itu kesedaran awam mengenai terapi adalah perlu dan pada skala yang lebih luas supaya perkembangan dan pemulihan individu dapat ditingkatkan. Dengan menjalani terapi semua pihak secara tidak langsung patuh kepada peraturan dan dan disiplin-disiplin yang telah ditentukan bagi tujuan mencapai matlamat.
Sebagai kesimpulannya terapi dalam pendidikan khas merupakan aktiviti yang saling berkait dalam pembentukan insan yang bersepadu dan seimbang dari aspek jasmani, rohani ,emosi, intelek dan sosial. Proses menjalani kehidupan yang bermakna menjadi pemangkin kepada mereka sebagai satu titik tolak kearah kecemerlangan insan kelainan upaya. Semua pihak perlu memberi mereka ruang dan masa yang secukupnya supaya mereka dapat membuktikan bahawa mereka juga boleh menjadi insan  yang berguna kepada masyarakat dan negara.

                                                                                                                                                                                                                                                                       

3 comments:

  1. Salam, t/kasih sedikit sebanyak maklumat mengenai anak2 khas dpt membantu menambah pengetahuan sebelum mengajar mereka.

    TQVM

    ReplyDelete
  2. maaf..kalau boleh saya dapatkan tajuk buku yg dijadikan sumer rujukan menulis artikel ini?..nak baca tentang fisioterapi :)

    ReplyDelete