KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Thursday 19 September 2013

BACAAN MEKANIS

BACAAN MEKANIS (BERSUARA)

Membaca bersuara sering juga memakai nama-nama yang berbeza seperti
membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau
apapun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti
membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan
informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang. Bacaan mekanis adalah
bacaan bersuara yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan
terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengan
menggerakkan alat-alat pertuturan. Orang yang membaca harus mempunyai
kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan
yang dibaca. Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta
pandangan mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata
dengan baik dan tepat agar jelas maknanya bagi para pendengar.

Bacaan mekanis mempunyai beberapa tujuan;
(a) Membolehkan murid-murid membaca dengan cekap dan pantas
dengan sebutan dan intonasi yang betul dan jelas.
(b) Membolehkan murid-murid membaca dengan irama membaca yang
betul.
(c) Mengembangkan atau mempelajari unsur bahasa seperti tatabahasa,
kosa kata dan juga apabila menggunakan kamus.
(d) Membolehkan murid-murid tahu menggunakan tanda-tanda baca serta
tahu pula berhenti pada tempat-tempat berhenti yang betul.
(e) Dapat menggunakan kemahiran bahasa dalam mata-mata pelajaran
yang lain.
(f) Untuk membolehkan murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan
membaca bersuara.
(g) Dapat mengenal pasti laras bahasa yang pelbagai.
(h) Menikmati unsur estetik dalam bahan bacaan.
(i) Dapat mengulas isi yang terdapat dalam bahan bacaan.

No comments:

Post a Comment