KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Tuesday 24 September 2013

BAHASA DAN KOMUNIKASI MURID AUTISM

BY.... http://yushazwani.blogspot.com
Pengenalan

Masalah bahasa dan komunikasi seringkali terjadi pada kanak-kanak yang berkategori kanak-kanak khas. Antara contoh kanak-kanak yang akan mengalami masalah bahasa dan komunikasi ini adalah seperti kanak-kanak sindrom sown, cerebral palsi, autisme dan lain –lain lagi. Masalah bahasa adalah ketidakupayaan seorang kanak-kanak seorang kanak-kanak menguasai kemahiran berbahasa yang terdiri daripada lima komponen iaitu fonologi, morfologi , sintaksis , semantik dan pragmatik. Manakala masalah komunikasi pula terjadi apabila terdapat satu penyimpanan daripada pendengaran pertuturan atau bahasa yang normal mengganggu komunikasi. Contohnya adalah seperti kesengauan dan juga gagap di kalangan kanak-kanak.

Bagi artikel kali ini saya akan mengutarakan beberapa masalah bahasa dan komunikasi yang dihadapi oleh kanak-kanak autisme. Sebelum kita mengetahui masalah bahasa dan komunikasi kanak-kanak autisme ini eloklah dulu jika kita mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan kanak-kanak autisme ini.

Menurut istilah.Autisme berasal dari perkataan autos iaitu diri sendiri dan isme yang bermaksud aliran. Jadi dalam erti kata lain kanak-kanak autisme diertikan sebagai kanak-kanak yang berada dalam dunianya sendiri. Oleh sebab itu, jika kita lihat kanak-kanak ini sukar didekati dan berkomunikasi secara verbal.  Hal ini kerana, seperti yang sedia maklum, kanak-kanak autism adalah merupakan seorang kanak-kanak yang sukar untuk didekati kerana sikapnya yang suka untuk bersendirian. Autism merupakan salah satu daripada kecacatan yang kadangkala dipanggil “ pervasive developmental disorders” ataupun autisme spectrum. Walaupun symptom autism berbeza, namun terdapat beberapa perwatakan yang biasa. Ini termasuklah, kelemahan interaksi sosial yang seperti saya telah katakan tadi. Perbezaan dalam hubungan sosial kemungkinan ciri yang paling menonjol dalam spectrum disorders. Kanak-kanak ini kebiasaannya sukar memberi respons kepada ibubapa ataupun penjaga yang lain.

 Anggaran menunjukkan bahawa sesetengah daripada mereka tidak faham apa yang dipertuturkan.(Rutter and Shoppler, 1987) . Kesukaran komunikasi dan berbahasa adalah bukti bagi kebanyakan kanak-kanak yang mengalami autism dan ini berlanjutan sehingga dewasa. Selain itu juga, kanak-kanak autism sering berkelakuan aneh dan berbeza berbanding budak normal yang lain. Kanak-kanak ini sering dianggap berkelakuan pelik seperti suka memukul kepala mereka, menepuk tangan dan membuat apa saja yang mereka suka. Mereka juga akan merasa sedih jika terdapat sesuatu yang berlainan daripada asal.(Puttar& Schopler, 1987).

Antara sebab-sebab yang menyebabkan autism ini ialah disebabkan faktor genetik. Selain itu ada juga mencadangkan kecacatan dalam sistem otak mungkin menyebabkan kesukaran dalam memproses maklumat dan kelakuan streotaip pada kanak-kanak autism.(Tanguny&Edwards,1992). Folstein &Rutter (1988) pula mengatakan punca autism adalah organic daripada psikososial. Mungkin ini sahaja yang dikatakan mengenai autism, namun punca sebenar untuk autism masih belum diketahui. Seterusnya, saya akan mula membincangkan mengenai kajian kes mengenai kanak-kanak autism yang telah saya kaji semasa mengikuti program PBS yang lalu. Berikut adalah merupakan hasil dapatan yang saya perolehi. (rujuk kajian kes di bawah)

LAPORAN PEMERHATIAN

Kategori dan ciri-ciri.

Aiman ( bukan nama sebenar) adalah merupakan kanak-kanak yang dikategorikan sebagai kanak-kanak autisme. Dari aspek fizikal, kanak-kanak ini mempunyai ciri-ciri fizikal yang kemas dan menarik. Kanak-kanak ini juga mempamerkan ciri-ciri kebersihan yang sesuai dengan tahap umurnya. Tidak seperti kanak-kanak normal yang lain, Aiman didapati lebih suka untuk bersendirian dan tidak gemar untuk bersosial dengan rakan-rakan sekelasnya. Hal ini jelas menunjukkan Aiman lebih suka untuk melakukan sesuatu aktiviti secara sendirian.


Selain itu, Aiman juga seringkali melakukan aktiviti yang disukainya iaitu memperbetulkan stokin. Boleh dikatakan setiap 5 minit Aiman akan sentiasa memperbetulkan stokin dengan menarik ke atas. Selepas itu, Aiman akan mula termenung dan mengomel secara bersendiriannya. Dari segi aktiviti bermain, didapati Aiman tidak berapa memberi tumpuan terhadap aktiviti bermain yang dilakukan. Ini mungkin disebabkan aktiviti bermain seperti bermain bola tidak menjadi aktiviti yang digemari oleh beliau. Dari pengamatan saya, Aiman hanya menggemari permainan puzzle, jadi tidak hairan sekiranya Aiman boleh bermain puzzle dengan sendirian dan boleh menyiapkan dengan lebih cepat berbanding rakan-rakan yang lain.Selain itu, semasa melaksanakan aktiviti pembelajaran, didapati Aiman juga sukar untuk menyiapkan tugasan yang diberikan kepadanya. Ini kerana tumpuan yang diberikan tidak lama.

 
Bahasa dan komunikasi

Melalui pemerhatian saya, Aiman boleh menuturkan beberapa perkataan dengan jelas namun perbendaharaan kata yang dimiliki adalah sangat terhad. Ini mungkin adalah disebabkan beberapa faktor. Pertama sekali adalah disebabkan sikap antisosial Aiman yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini. Apabila ini berlaku maka pertukaran bahasa dengan kekerapan yang tinggi tidak akan berlaku. Dalam erti kata lain, Aiman mungkin tidak mendapat perkataan atau lambang bahasa baru disebabkan sikapnya yang lebih suka bersendirian.

Selain itu, sikapnya yang tidak memberi tumpuan semasa proses pembelajaran dan pengajaran juga menyebabkan Aiman mungkin tidak dapat menguasai perbendaharaan kata yang baru. Dari segi fonologi bagaimana pun Aiman dapat menuturkan bunyi bahasa dengan baik.

Semasa pemerhatian saya juga,didapati kanak-kanak ini seringkali membunyikan sesuatu yang agak kurang difahami terutama sekali jika kanak-kanak ini bersendirian. Dalam erti kata yang lain “bubling” juga merupakan salah satu aspek yang terdapat kepada pencirian kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini juga didapati lebih suka bernyanyi dan bercakap bersendirian. Ini menunjukkan bahawa kanak-kanak ini hanya akan berkomunikasi dengan rancak dengan dunia sendirinya sahaja.

Dalam aspek pertuturan juga, kanak-kanak ini tidak dapat mengungkapkan ayat yang panjang. Ini adalah disebabkan faktor bahasanya yang terhad tadi. Seperti kanak-kanak normal yang lain, Aiman juga mengalami echolalia iaitu jenis “delayed echolalia”. Sebagai contoh semasa proses pembelajaran, Aiman tidak akan menumpukan perhatian sebaliknya akan bermain dan melalukan aktiviti yang disukainya iaitu membetulkan stokinnya. Kanak-kanak ini juga tidak akan menghiraukan arahan yang dikeluarkan oleh guru kelasnya,namun, setelah tamat proses pembelajaran Aiman akan secara spontan menyebut beberapa perkataan yang telah diungkapkan oleh gurunya tadi.

Dari aspek komunikasi, Aiman merupakan kategori yang agak sukar untuk berkomunikasi dengannya. Ini adalah disebabkan sikapnya yang lebih menyendiri dan tidak akan menumpukan apa jua yang akan diperkatakan oleh kita kepadanya. Walaupun kita masih mendapatkan “eye contact” dengannya, namun hanya beberapa seketika sahaja. Seterusnya Aiman akan terus mengelamun dan pergi ke tempat yang lain. Jadi, proses komunikasi bersama Aiman agak sukar. Akibat daripada ini, maka proses pertukaran maklumat dengan Aiman tidak dapat berlaku . Jadi untuk mengetahui dan memahami kehendak Aiman akhirnya menjadi agak sukar.

Dari aspek non verbal Aiman juga mempamerkan beberapa contoh mimik muka sebagai bahasa isyarat yang dikeluarkan olehnya. Sebagai contoh sekiranya dia mula hilang tumpuan, Aiman akan mula mempamerkan raut wajah yang menunjukkan dia sudah jemu seperti mencebik. Selain itu, Aiman juga akan menggelengkan kepala untuk membantah dan tidak mahu melakukan sesuatu arahan kepadanya.

Melalui pemerhatian saya juga, Aiman juga mengalami masalah untuk menaksirkan mesej atau pun kod bahasa. Ini kerana, untuk bertutur dan memberi arahan kepada Aiman, kita perlu menunjukkan beberapa contoh sebagai tunjuk ajar. Sebagai contoh, untuk menyuruh Aiman memasukkan bola dalam bakul, Aiman kelihatan agak lambat untuk menaksirkan arahan yang disuruh, jadi contoh secara realistik perlu ditunjukkan dan diajar kepada kanak-kanak ini.



Analisis masalah bahasa dan komunikasi (kekuatan dan kelemahan)

Jika dianalisis masalah bahasa dan Aiman ini, kita boleh bahagikan kepada masalah dalam fonologi, sintaksis,morfologi, pragmatik dan semantik. Manakala dari segi komunikasi, Aiman lebih gemar untuk berkomunikasi secara non verbal kepada orang ramai. Di sini terdapat kekuatan dan kelemahan yang terdapat dalam setiap aspek seperti yang dinyatakn seperti tadi. Jadi saya akan membincangkan kelemahan dan kekuatan bagi setiap aspek itu.

Fonologi.

Dalam aspek fonologi, kekuatan yang dimiliki oleh Aiman ialah, Aiman dapat menuturkan beberapa bunyi dengan jelas. Namun begitu, terdapat beberapa kelemahan yang ditunjuk oleh Aiman terutama sekali nada yang dikeluarkan oleh Aiman semasa mengeluarkan bunyi. Didapati, kadang-kala Aiman akan mengeluarkan perkataan mengikut nada yang berbeza-beza iaitu dari rendah ke tinggi secara tiba-tiba. Kadangkala perbuatan ini menimbulkan sedikit kekeliruan mengenai apa yang ingin disampaikan oleh Aiman. Dalam erti kata yang lain, kanak-kanak ini tidak dapat mengawal nada dan jeda yang dipertuturkan. Selain itu, kadangkala kanak-kanak ini juga kelihatan bernyanyi apabila ingin menuturkan sesuatu. Hal ini jelas menunjukkan kanak-kanak ini mengalami masalah dalam suprasegmental.

Menurut (Goldfarb, Braunstein & Horge, 1956) individu yang mengalami autism seringkali mempunyai masalah luahan yang rendah dalam suara dan bercakap dalam “ekanada”. (Fag &Schuler,1980) pula menyatakan bahawa individu autisme ini mempunyai masalah luahan suara disebabkan oleh ketidakupayaan memproses cirri-ciri suprasegmental dalam pertuturan. Namun begitu, kekuatan yang boleh digunakan oleh kanak-kanak ini ialah, kelebihan kanak-kanak untuk bernyanyi.

Menurut guru kelasnya, Aiman pernah menjadi johan dalam juara nyanyian di kalangan pelajar pendidikan khas. Hal ini menunjukkan walaupun kelemahan Aiman ini boleh memberi tafsiran dan makna yang negatif namun kelebihan yang ada dapat digunakan oleh Aiman untuk mengasah bakatnya yang terpendam itu.

Sintaksis

Dari aspek pembinaan ayat, didapati Aiman tidak dapat menuturkan ayat dengan panjang. Aiman juga hanya boleh bertutur secara ringkas dan pendek sahaja. Sebagai contoh, jika kita hanya menanyakan adakah Aiman ingin mandi, Aiman hanya menjawab “tak nak” sambil menggeleng. Di samping itu, jika kita cuba berkomunikasi secara bertutur dengannya, kanak-kanak ini tidak akan mengeluarkan perkataan dengan baik. Seolah-olah kanak-kanak ini tidak tahu berbahasa walaupun hakikatnya kanak-kanak ini jika bertutur, kita dapat memahami sebutannya itu.Faktor yang menjurus ini mungkin disebabkan oleh kekurangan bahasa dan kecelaruan yang berlaku dalam sistem bahasa dalam diri kanak-kanak ini. Dalam erti kata yang lain, pertuturan kanak-kanak ini kelihatan agak kompleks dan sukar untuk kita dekati supaya bertutur dengan kita lebih jelas.

Bartak, Rutter & Cox(1975) membandingkan perkembangan sintaksis pada diri kanak-kanak autisme dan dysphasia(kecacatan bahasa khusus). Mereka mendapati walaupun kanak-kanak tersebut lebih kepada ukuran maksud pengucapan, namun kanak-kanak autism menunjukkan reaksi yang lebih teruk dalam ujian pemahaman bahasa. Mereka juga mendapati kesukaran pertuturan kanak-kanak autism lebih luas, melibatkan penggunaan dan pemahaman isyarat dan penulisan di samping bahasa yang dipertuturkan.

Akan tetapi, walaupupun kanak-kanak ini tidak dapat membuat ayat dengan baik, kanak-kanak masih lagi dapat memberi beberapa perkataan yang masih jelas dan boleh dimengertikan
Morfologi.

Dari segi bidang morfologi, kanak-kanak ini dapat menggantikan kata ganti nama nya dengan menamakan dirinya sebagai Aiman. Aiman juga dapat menggantikan namanya sebagai saya. Namun dari kelemahan aspek morfologi pula, Aiman didapati tidak tahu untuk menuturkan perkataan yang berimbuhan. Disebabkan itulah, Aiman hanya sedikit bertutur. Ini membuktikan bahawa perkembangan bahasa Aiman tidak banyak dan tidak sama dengan kanak-kanak normal lain.

Dalam satu kajian (Fein & Waterhouse, 1979) jika dibandingkan hasil morfologi kanak-kanak autisme dalam perkembangan skizofernia( sejenis penyakit jiwa) dan kanak-kanak tidak upaya , didapati tiada perbezaan yang ketara sama ada yang berkenaan dengan jumlah angka “morphemes” yang digunakan dengan kekerapan penggunaan “morphemes” .

 
Semantik

Dari segi semantik, seperti kanak-kanak yang lain, kanak-kanak ini juga mempunyai bahasanya tersendiri iaitu bahasa idiosinkratik. (Volden & Lord ,1991), mendefinisikan bahasa idiosinkratik sebagai penggunaan ayat atau frasa dalam keadaan berbeza untuk menyampaikan maksud yang spesifik.

Tidak seperti kanak-kanak yang normal,jika Aiman mengelamun, beliau seringkali mengeluarkan bunyi yang sukar untuk difahami. Walaupun begitu, bahasa ini hanya difahami oleh kanak-kanak ini sahaja. Oleh itu, kekuatan bahasa idiosinkratik ini sebenarnya boleh menjadi satu medium bagi Aiman untuk berkomunikasi dengan orang lain.

Sebagai contoh, bagi mengingati suatu frasa atau perkataan yang diajar, Aiman mungkin mengeluarkan bunyi yang berbeza walaupun maksudnya sama. Maknanya di sini, mungkin “saya” bagi Aiman ialah kamu. Walaupun dari sudut negatif kita melihat perkara ini mungkin menimbulkan kecelaruan tetapi dari sudut positifnya kita mungkin boleh mengajar Aiman mengikut perspektif yang difahaminya. Apa yang penting makna bahasa itu adalah betul walaupun ujaran yang dihasilkan berbeza,

 
Pragmatik.

Dari segi pragmatik, Aiman merupakan seorang penutur yang pasif. Seperti yang diperbincangkan tadi, disebabkan sikapnya yang antisosial maka Aiman tidak dapat berkomunikasi secara spontan dan seterusnya menghasilkan komunikasi yang lemah dengan individu yang lain. Dari segi kekuatan, Aiman didapati boleh berkomunikasi dengan bahasanya iaitu bahasa idiosinkratik. Jadi ini menjelaskan Aiman mempunyai keunikan tersendiri. Semasa pengamatan saya, matanya akan terpejam secara tiba-tiba ataupun terkebil jika berbahasa dengan secara sendirinya. Kita sebagai pendidik seharusnya harus cuba memahami isyarat dan mesej yang ingin disampaikan bagi memudahkan kita untuk melakukan proses pembelajaran dan pengajaran

No comments:

Post a Comment