Menjadi guru pendidikan khas bermula pada tahun 1996 apabila bertukar mengikut
suami ke Kuantan. Ditempatkan di sebuah sekolah yang tidak kurang gahnya di
Kuantan yang pada masa itu sangat kekurangan tenaga pengajar dalam bidang
berkenaan. Setelah dinasihatkan oleh guru besar yang bersungguh-sungguh meminta
saya mencuba dulu sebelum menolak
daripada mengajar murid-murid Pendidikan Khas. Saya terima cabaran itu kerana saya tidak
pernah mengenali murid-murid seumpama itu. Juga saya tidak pernah membayangkan
bagaimana keadaan murid-murid yang bakal saya hadapi. Apabila berbual dengan guru-guru Pendidikan
Khas yang sedia ada ketika itu, mereka memberikan kata-kata semangat supaya
berkenalan dulu dengan murid-murid. Saya mengambil masa hampir tiga bulan untuk
menyesuaikan diri. Adakalanya menitis juga air mata dan merintih dalam hati
kenapalah murid-murid begini yang perlu saya hadapi. Jauh di sudut hati tidak
berbaloi menjadi seorang guru kalau beginilah murid-muridnya. Begitulah kata
hati.
Saya memerhati rakan sekerja yang lain mengajar dan cuba berdampingan
dengan mereka, jauh disudut hati saya tidak mampu hendak berbuat demikian. Hari
demi hari rasa kecintaan datang berputik sedikit demi sedikit. Murid-murid itu
tidak ada rasa malu, murid-murid itu mahu belajar rupanya, murid-murid itu
punya perasaan rupanya dan murid-murid itu sangat peramah orangnya jika kita
bersedia menerima mereka dengan baik. Dalam kesuraman rasa dan kegundahan lara
saya mula mengorak langkah, belajar, bertanya dan membaiki diri dari semasa ke
semasa. Pada masa itu hubungan dengan rakan guru sangat baik, seperti adik
beradik. Apabila seorang terluka semuanya akan terasa pedih. Apabila kata-kata
tak sama dengan apa yang dibuat semua orang akan kena tempiasnya. Pada zaman
90an itu belum banyak program yang di buka dan muridnya tidak ramai. Pada masa
itu juga kadangkala hubungan baik itu akan goyah kalau tidak kena sepakatnya.
Dalam kalangan guru Pendidikan Khas ada yang berbeza perwatakannya, ada yang
bersungguh-sungguh mengajar dan tidak kurang juga yang sibuk dengan urusan
sekolah sehingga mengabaikan anak-anak khas.
Pada masa itu tekanan dari pihak pentadbir dan guru lain
sangat hebat. Masih menjadi igauan lagi….” apa yang saya nak nilai
awak?...murid-murid awak tidak menyumbang apa-apa kepada sekolah….apa yang awak
ajar itu tidak bermakna apa-apa…”. Namun kata-kata itulah pembakar semangat
walau pedih terhiris namun digagahi juga demi maruah anak-anak khas. Betul
murid-murid khas kami tidak memberi apa-apa kepada sekolah, tidak menaikkan
prestasi sekolah, tidak menjulang nama sekolah dalam kegiatan luar namun mereka
ada harga diri dan maruah sama seperti insan lain. Mereka tidak minta dijadikan
begitu. Malah ketika itu jauh di sudut hati masih mampu berkata-kata kalau
tidak ada mereka sudah tentu manusia ini akan alpa. Begitu besar ciptaan illahi
sebenarnya menjadikan mereka untuk menguji hati insan lain supaya insaf dan
sedar Allah mengkehendaki ianya berlaku dengan izinnya. Berbuat baik kepada mereka akan mampu
menghapuskan dosa-dosa masa lalu kita dan memandang rendah kepada mereka
bermakna kita memandang rendah juga apa yang Allah jadikan. Kehadiran mereka
bukan sekadar untuk menguji hati manusia malah satu peringatan kepada yang
lain.
“ Awak bukan mengajar macam cikgu di arus perdana, awak
tak ubah macam pengasuh je……”. Benar…pengasuh inilah yang memberi erti
kehidupan kepada murid-murid khas. Pengasuh inilah yang membimbing tingkah laku
dan adap sopan yang mana ibu bapa tidak mampu pun mendidik mereka sedemikian
kerana kasih sayang yang melimpah ruah. Pengasuh inilah yang menyuapkan makanan
tatkala cikgu lain berseronok menikmati makanan. Pengasuh inilah yang
mendukung, mengangkat pergi ke tandas kerana tidak mahu mereka dianggap tidak
berguna oleh guru lain. Pengasuh inilah yang melenting bila ada guru lain yang
memperlekehkan anak muridnya. Pengasuh inilah yang memimpin tangan mereka masuk
ke kelas dengan harapan segunung tinggi. Walaupun murid hanya mampu menyebut
sepatah perkataan …” egu…”( cikgu ) maka
berderailah airmata pengasuh ini kerana rupanya muridnya ada suara dan memahami
apa yang diajarnya. Murid ini akan bertepuk
tangan bila nampak guru menuju ke kelas dan murid ini akan lari lintang
pukang kerana pengasuh ini sangat tegas kerana menjadikan mereka
manusia-manusia yang kenal erti disiplin. Pengasuh inilah yang menjadikan
mereka ramah dan boleh bertegur sapa. Pengasuh inilah yang selalu menjadi
sebutan di rumah dan menjadi bualan dengan ibu bapa serta adik beradik.
Pengasuh ini jugalah yang menyambut dan menghantar mereka di pintu pagar
sekolah setiap hari,
Pengasuh inilah yang berlari keliling sekolah kerana
takut keselamatan murid-murid mereka sedangkan guru lain hanya ketawa. Pengasuh
ini yang setiap hari pakaiannya disalut dengan air liur dan hingusan
murid-murid khas. Sedangkan guru lain angkat kaki bila nampak kelibat murid-murid khas ini. Mereka
tidak faham apa-apa tetapi yang
berkecil hati adalah pengasuh ini, yang menitiskan air
mata. Memandang hina kepada muridnya bermakna hina jugalah dirinya. Pada waktu
itu kudrat dan semangat masih kuat. Biarpun cabaran yang mendatang di terima
dengan positif dan berusaha membuktikan saya mampu melakukan semua tugas dengan
baik. Beban tugas bukan penghalang lagi sekiranya kita mampu berusaha secara
positif. ….”Guru Pendidikan Khas perlu menjawat semua jawatan penting dalam
sekolah barulah boleh nilai prestasi kerjanya….”. Saya kesal ramai guru
sealiran mengambil kesempatan dari kesibukan itu sehingga mengabaikan proses
pengajaran dan pembelajaran murid –murid khas. Kesibukan dengan aktiviti luar
sekolah pastinya menyebabkan rakan sekerja menerima tekanan dalam mengurus
murid-murid khas, pengajaran pun tidak dapat berjalan dengan sempurna.
Kekecewaan inilah yang mendorong ramai guru Pendidikan
Khas menyambung pengajian kerana tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi dan
kehadiran mereka selama ini seolah tidak disedari. Pada masa itu belum ada
peruntukan perbelanjaan bagi murid-murid Pendidikan Khas, elaun RM 60.00 itulah
yang saya gunakan untuk meyediakan bahan pengajaran dan peralatan untuk
kegunaan murid-murid Pendidikan Khas. “ Awak tak layak dapat elaun ni…..apa
kerja yang awak buat elaun sama banyak dengan pentadbir….awak sepatut balik
lewat sama macam pentadbir…” . Sesekali semangat itu akan luntur juga ,
kekuatan itu akan lebur dan langkah kaki menjadi lemah berjalan menuju ke
sekolah dengan hampa. Bukan mudah untuk bangunkan kelas Pendidikan Khas supaya
gahnya sama dengan kelas arus perdana. Banyak masa dan perkara perlu
dikorbankan demi membuktikan bahawa kami juga ada cita-cita dan keinginan untuk cemerlang. Saya bina rasa kekecewaan
itu bersama tekad dan hasrat sekolah
saya pada ketika itu akan menjulang namanya demi anak-anak khas.
Gahnya nama sekolah ketika itu, ramai pelawat datang
menjengah kononnya antara program yang terbaik
di negeri Pahang. “…..Apa yang ada kat sini , sampai semua orang datang
melawat…..saya tengok biasa je….murid-murid tak cemerlang pun…harapkan kelas je
yang cantik…..”. Saya tahu sebagai manusia biasa jauh di sudut hati pastinya
ada rasa bangga bila nama sekolah jadi sebutan walaupun masyarakat sekolah itu
sendiri tidak sedar kewujudan kelas Pendidikan Khas. Belum pun sembuh luka yang ditinggalkan , bertambah
parutnya dengan sikap rakan-rakan seangkatan. Tidak ada kesungguhan , yang
penting dapat gaji …..” buat apa nak susah-susah buat program….murid bukan tau
apa pun….” . Itulah yang ada dalam minda mereka , setiap hari perbincangan hanya tertumpu pada baju, kasut, beg tangan , alat solek dan
sebagainya. Niat ke sekolah bukan kerana murid-murid Pendidikan Khas tapi
sekadar petunjukan fesyen dan gaya terkini. Malang sekali saya rasa terkesan
bila ada segelintirnya mempunyai sikap sambil lewa dan tidak ambil kisah pada
murid-murid Pendidikan Khas. Ada yang murid boleh belajar terabai kerana tidak
ada kesungguhan.
Sebahagian guru-guru baru yang ada hanya sekadar tempelan
sahaja. Bukan sahaja bangga dengan kelulusan yang mereka ada bahkan sikap dan
intrapersonal tidak sesuai dengan kelulusan yang ada. Hebat berkata-kata dan
semangat serta hebatnya mengajar hanya
dalam tempoh praktikum sahaja. Kesungguhan hanya kerana ingin
mendapatkan nama sebagai seorang guru dan mendapat
pekerjaan. Guru-guru lama tersinggung kerana sikap dan lakunya yang kadangkala
tidak profesional. Apabila dah bergelar guru semuanya hampa belaka, yang
penting bagi mereka, dapat gaji setiap bulan. Murid masih berada di tahap yang
lama , kadangkala murid sendiri boleh menilai bagaimana guru itu mengjara
mereka. Memang patut pun sekiranya ada penjaga selalu komplen yang mana anak
mereka tidak apa-apa di sekolah kerana p@p kurang ditekankan. Guru asyik dengan
aktiviti lain sehingga masa mengajar terabai hingga tamat persekolahan. Harapan
ibu bapa supaya anak-anak dapat menguasai sedikit kemahiran 3M kerana bagi
mereka tujuan hantar ke sekolah untuk pandai membaca.
“….Cikgu anak saya ni takut nak pergi sekolah sebab cikgu
paksa dia menulis……tak payah la mengajar beria sangat….takkan
pandainya…..asalkan ada orang jaga kat sekolah sudah le…..”. Guru mana yang
tidak kecewa bila ada ibu bapa begini. Ini belum lagi soal makan minum dan
pakaian sekolahnya. Simpati dengan
murid-murid Pendidikan Khas memuncak bila sesetengah ibu bapa tidak pernah
mengambil berat bahkan bertanya kepada guru mengenai masalah anak mereka. ….”
Cikgu boleh tak saya nak keluarkan elaun anak saya sebab nak beli telefon……anak
saya mesti ganti balik telefon saya
….dia yang rosakkan….”, sedangkan pakaian sekolah anak pun tidak terurus dengan
baik. Saya sedih dengan sikap ibu bapa
yang selalu ambil mudah hal anak-anak khas ini. Guru akan rasa cemas bila
murid-muridnya lari dari kawasan sekolah tetapi ibu bapanya selamba je kerana
mereka tahu guru akan cari sampai jumpa dan hantar ke semula ke rumah.
Kadangkala sebagai guru saya kecewa dengan sikap ibu bapa
yang tidak perihatin dan mengambil kesempatan dengan bantuan kewangan yang
diperolehi. Anak tetap seperti itu juga dengan pakaian yang tidak terurus. Tergamaknya
pinjam duit anak nak buat berniaga , nak bayar sewa rumah, nak bayar yuran adik
beradik lain sedangkan yang punya hak tidak terbela nasibnya. Guru-guru
bersungguh-sungguh supaya murid dapat belajar dengan sempurna sedangkan ibu
bapa tidak ada rasa bersalah pun hanya kerana anak itu tidak dalam golongan
yang cerdik pandai.
Saat yang paling menyedihkan apabila saya kehilangan seorang
sahabat yang sama-sama berjuang menaikan nama sekolah , sama-sama menahan
kesabaran menjulang nama baik Pendidikan Khas , sama-sama membuktikan bahawa
akhirnya berbaloi menjadi guru Pendidikan Khas.
Seiring bersama menimba ilmu , sepakat membuat program, sama-sama
memberi tunjuk ajar dan saling
memperingati antara satu sama lain. Saya rasa kehilangannya amat dirasai kerana
sudah pastinya tidak akan pengganti seumpamanya. Beliau pernah melahirkan
kekesalan dengan sikap guru-guru yang tidak komited dan menghormati beliau
sebagai pemimpin di sekolah tersebut. Ilmu yang ada pada beliau sempat saya
pelajari dan praktikan di sekolah baru saya. Kerugian yang amat sangat bila
sudah tiada barulah masing-masing sedar bahawa selama ini memandang tidak tepat
, teguran tidak dihirau. Kehilangan yang sangat terkesan pada semua hati rakan
dan kehilangan beliau belum tentu dapat menutup segala kesedihan dan rasa
terkilan beliau pada rakan seangkatan.
Bahkan ada yang mengambil kesempatan cuba menafikan apa yang beliau
lakukan dalam Pendidikan Khas. Sehingga hari ini masih tidak dapat mencari
pengganti beliau Cuma yang ada hanya kawan-kawan yang meneruskan usaha beliau
supaya ilmu yang ditinggalkan dapat dimanfaatkan selamanya.
Kadangkala bila seseorang sudah tiada barulah kita sedar
bahawa ada banyak perkara yang kita
tidak sempat hendak tunaikan. Tidak bermakna
biarpun menggunung penghargaan yang
telah tiada pergi dengan rasa kecewa dan terkilan. Terkilan dengan
kawan-kawan yang tidak memberi komitmen yang baik, kawan-kawan yang selalu alpa
dengan kesenangan yang ada sehingga lupa ada banyak tanggungjawab yang perlu
ditunaikan. Kealpaan itu tersentak dengan kepergian arwah, hilang dari
pandangan sekelip mata. Namun jauh dari sudut hati seakan kami merasa arwah tetap
ada selagi kami bersama dengan murid-murid khas.
Guru lain mula memandang opsyen Pendidikan Khas bila
elaun dinaikkan dan beban tugas diarus
perdana semakin berat. Guru yang pernah mencemuh dan memandang sinis Pendidikan
Khas cuba menanam minat mengajar murid-murid ini tetapi sebenarnya mereka tidak
memandang dengan kasih sayang , tidak
rela mencemarkan diri dengan
murid-murid ini. Sebenarnya mereka tidak tahu betapa penatnya , betapa peritnya
menjadikan insan yang kurang upaya ini sebagai insan yang dipandang normal oleh
orang lain.”……….kalau saya mengajar Pendidikan Khas …saya tak nak ajar
murid-murid yang berhingus tu….”. Jadi jelas dan nyatalah bahawa niat mereka
bukan kerana kasih sayang terhadap murid-murid khas, hanya sekadar elaun dan
mengelak dari beban tugas lain di sekolah. Guru itu tidak sedar bahawa semua
jawatan penting dalam sekolah semua di sandang oleh guru Pendidikan Khas.
Begitulah tanggapannya.
Kehadiran Pembantu
Pengursan Murid (ppm) sangat bermakna bagi kami. Terima kasih kepada yang sudi menjadi ppm kerana tidak
akan ada pekerja yang sebaik mereka.
Sebelum kehadiran mereka semuanya perlu dilakukan oleh guru tetapi pada masa
itu semuanya mampu dilakukan. Guru menjadi ibu, pengasuh dan pendidik. Dulu
program pendidikan khas belum ada peruntukan kewangan yang dibekalkan oleh
kementerian. Berbekalkan elaun mengajar RM 60 itu digunakan untuk menyediakan
sebarang kelengkapan dalam kelas dan bbm murid. Hari ini sangat susah hendak
mentadbir sesebuah kelas sekiranya tidak ada ppm kerana kebanyakan murid
mempunyai masalah yang pelbagai.
Walaupun demikian ada segelintir ppm yang mempunyai kelulusan yang lebih
tinggi dari guru tidak mampu memberi komitmen yang baik sejajar dengan bidang
tugas mereka. Mereka seolah hendak
menjadi seorang guru juga. Kadangkala mereka juga tertekan kerana selalu
menerima sindiran daripada pembantu tadbir sekolah. Itulah cabaran menjadi ppm
yang sentiasa menjadi rebutan antara guru dan pihak pentadbir. Bagi saya masalah
tidak akan timbul sekiranya mereka faham bidang tugas masing-masing.
Bukan senang hendak membentuk satu komuniti kecil yang
boleh bekerjasama, seiring sependapat kerana setiap orang ada kepentingan
masing-masing. Pentadbir lain selalu berkata guru-guru pendidikan khas terlalu
berkira dengan kerja. Tanggapan itu ada kalanya salah kerana kebanyakan tugas
utama semua terletak di atas bahu kami. Akhirnya ada juga guru besar mengakui kalau tidak ada guru
pendidikan khas mungkin banyak aktiviti tidak dapat dijalankan. Itulah
kelebihan sekolah integrasi walaupun ada guru terpaksa menjalankan tugas dengan
rasa terpaksa. Tanggapan itu juga ada kalanya benar kerana kebanyakan guru baru
, generasi baru dalam pendidikan khas sukar dibentuk dan tidak sependapat
dengan generasi lama. Melaui jalan singkat untuk menjadi seorang guru
menyebabkan tidak ada rasa empati dan kesungguhan yang mendalam. Lebih-lebih
lagi bila datang dengan kelulusan yang tinggi banyak pekerjaan lain yang dibuat
dalam masa yang sama. Pekerjaan sebagai guru hanya tempat untuk bertapak dengan
selesa. Dalam minda golongan ini sudah pasti tidak tercatat wajah-wajah murid
khas tetapi bagaimana nak tambah
pendapatan yang lebih banyak. Waktu dalam kelas pun sibuk dengan merancang dan
melaksanakan tugasan luar.
Saya pernah berkata kalau rasa dengan pendapatan guru
tidak cukup untuk menampung hidup dan tidak boleh menggunakan ilmu yang ada
untuk kemajuan murid khas baiklah letak jawatan daripada terus menanggung
hutang dengan murid. Bagi saya individu
yang macam inilah yang akan memusnahkan kerjaya guru-guru pendidikan khas dan
prasangka yang kita cuba tepis selama ini tidak ada menjadi kenyataan.
Bagaimana perasaan ibu bapa jika mereka melihat guru-guru ini sibuk dengan pakaian,
kasutnya , beg tangannya, andamannya, dalam kelas sedangkan murid terbiar
dengan pembantu yang tugasnya untuk menjaga murid. Berapa banyak dosa lagi yang
harus ditanggung dan dipikul jika waktu pengajaran dan pembelajaran pun kita tidak beratkan. Sangat susah nak ubah
tanggapan ke atas guru-guru muda mengenai
tanggungjawab yang perlu dipikul dalam mendidik anak-anak khas. Sikap
dan rasa lebih hebat dari guru lama kerana dengan kelulusan yang mereka.
Walaubagaimanapun disebalik kesedihan dan keperitan
itu tercatat seribu kenangan manis bersama
ibu bapa dan penjaga. Guru mana yang tidak rasa seronok bila kepercayaan yang menggunung daripada pihak
ibu bapa. Kami guru sebagai tempat
mengadu hal dan segala masalah, kadangkala sehingga
kepada masalah rumahtangga. Kami sentiasa memberi motivasi dan perangsang kepada mereka kerana berat mata memandang berat lagi bahu
yang memikulnya. Sekurang-kurangnya perasaan yang lama terpendam dapat
dirungkaikan sedikit bersama keyakinan meneruskan kehidupan. Jika guru berasa
susah dengan murid-muridnya, lebih lagi ibu bapa yang memikulnya kerana bukan
semua penjaga dapat menerima hakikat bahawa anak mereka adalah istimewa.
Saat manisnya sangat indah sekali dan kemana saya pergi
pun ada ibu bapa yang menegur dan menceritakan hal anaknya. Berhadapan dengan
murid-murid sedemikian memerlukan kesabaran yang tinggi. Seronok melihat murid
saya berjalan dengan yakin ,boleh bertegur sapa menghulur salam, boleh
menikmati makanan yang lazat walau tidak dibekalkan belanja oleh ibu bapa. Tidak
ada saat yang paling indah dalam hidup saya apabila murid-murid khas ini sering
mengingati nama kita dalam hidup mereka. Kalau terserempak dimana-mana pun
mereka tahu dan kenal cikgu mereka. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa bangganya
menjadi guru pendidikan khas jika melihat anak murid yang naik ke sekolah
menengah dapat memberikan kejayaan yang baik. Terasa pulak dalam hati selama di
sekolah rendah seolah saya tidak pernah berbuat apa-apa. Namun saya tahu
pengalaman dan pengetahuan di sekolah rendah yang membawa keyakinan kepada
kepada mereka. Sedikit pengetahuan yang ada membolehkan mereka rasa diterima di
alam remaja dan boleh bekerja dengan baik.
Apabila kita ikhlas membangunkan sesuatu program itu
sudah pastinya orang lain akan membuat perbandingan. Apa yang boleh dibanggakan
ilmu yang dimanfaatkan dapat diteruskan oleh rakan sejawat dan memjadikan
program itu lebih gah lagi. Meskipun kita tahu murid-murid khas ini agak jauh ketinggalan dalam akademik namun saya
yakin ilmu pengetahuan itu bukan diukur dengan angka tetapi bagaiman ilmu yang
ada itu dapat menjadikan seorang insan yang tidak berupaya boleh hidup dengan
masyarakat sekeliling. Saya rasa seronok melihat mereka boleh bergaul dengan
murid lain di arus perdana, boleh memberikan persaingan dalam aspek-aspek
tertentu.
Bagi saya murid-murid pendidikan khas menjadi pendorong
untuk terus belajar menambah ilmu pengetahuan. Ketabahan dan kekuatan yang ada
kerana kesusahan yang alami bersama dengan murid-murid khas. Saya ingin
membuktikan bahawa guru pendidikan khas juga mempunyai wawasan dan cita-cita
demi memajukan bidang pendidikan khas. Saya ada kekuatan untuk menghadapi apa
sahaja, menepis apa sahaja, dan membina satu program yang pada masa akan datang
menjadi gah atas nama pendidikan khas.
Saya sangat percaya suatu hari nanti Program Integrasi akan menaikkan nama
sekolah sekaligus menjadi pendidikan khas sebagai satu ikon kepada guru lain
bahawa mereka juga mampu meninggalkan sesuatau yang bermakna kepada
sekolah. Saya tidak kisah apa tanggapan
orang lain kerana mereka juga bukanlah orang yang layak dan tahu tentang urusan
kita dalam pendidikan khas. Kami
guru-guru pendidikan khas akan merasa sangat teruja bila ada murid-murid yang
mampu mengatasi keupayaan murid di arus perdana. Ini akan memberi semangat agar kami terus berusaha sebaik mungkin.
Suatu hari nanti tidak akan ada dah orang berkata
“…macam mana murid khas, macam itulah juga
guru-gurunya……”. .Betapa bangganya menjadi guru pendidikan khas bila akhirnya
ada juga pentadbir mengakui kalau tidak ada pendidikan khas nama sekolah ini
tidak akan dikenali.
Walaubagaimanapun
saya sangat memahami apa yang tersirat dalam hati sanubari guru-guru
pendidikan khas selama ini. Mereka mengharapkan dapat bernaung dibawah satu
pentadbiran yang mantap , yang memahami kesusahan itu, yang tahu menghargai
bila perlu kerana yang berada di sekolah itu cabarannya sangat hebat. Kami
semua mahu rakan sekerja bersatu hati dan berpegang pada satu prinsip yang
sama. Pemimpin yang mempunyai jiwa dan mampu menyelami ke dasar hati sanubari warga pendidikan khas. Setinggi
mana sekalipun kita berada jika hati dan perasaan tidak sehaluan dengan situasi
sekarang tidak perlu memaksa diri meneruskannya kerana ianya akan lebih
menyakitkan. Jika suatu masa dulu kita tidak berkesempatan melakukan yang
terbaik maka sekarang la masanya dengan jawatan yang kita sandang supaya dapat
menebus semula segala dosa masa lalu.
Buatlah yang terbaik supaya pohon keluarga pendidikan khas yang kita
bina sejak bertahun dulu akan terus mekar dan mampu mengukir senyuman kejayaan
dalam pelbagai peringkat mengikut kemampuan yang ada. Guru-guru tidak akan dapat bangun dengan tegap
sekiranya akar umbinya tidak kukuh dan kuat. Kesepakatan dan kesepaduan sangat
penting hanya kerana kita tidak
berfungsi maka tercampaklah ke tempat yang kita ada sekarang.
Semua mata sedang memandang dan menilai, sudah sampai
masanya kita sentap hati-hati mereka yang alpa atau kita buang terus supaya
tidak menjadi duri dalam daging. Duri itu wajar kita gantikan dengan dengan
kasih sayang sejagat sehingga timbullah ungkapan rasa dari anak-anak khas iaitu:
Kedatangan
guru yang dimuliakan
Kedatangan
ditunggu dengan lapang dada
Kedatangan
ditunggu dengan kasih sayang
Kedatangan
disambut dengan rasa syukur
Kehilangan
yang pasti akan amat dirasai.
Cikgusue pkhas.
Cikgu, boleh terangkan pada saya berkaitan dengan kelas intergrasi dalam pendidikan khas?
ReplyDeletekelas integrasi bermaksud program pendidikan khas yang dijalankan bersama kelas aliran perdana dengan mnggunakan segala kemudahan yang ada di sekolah tersebut, ditadbir oleh pentadbir yang sama tetapi mempunyai penruntukan kewangan berasingan.
ReplyDeleteterjumpa blog cikgu semasa mencari sekolah yg ada kelas pendidikan khas. Anak akak dah masuk tahun yg ke 12 tahun ini didalam aliran pendidikan khas, terus terang akak nyatakan, akak mmg kecewa dengan pencapaian anak akak. Anak akak seorang austistik (austism), pada umur beliau 3 tahun sehingga 8 tahun, akan masukkan dia di tadika ELP (early learning program bagi kanak-kanak istemewa ini. Dia banyak belajar, malah boleh mengira dan menulis 2, 3 patah perkataan. Bercakap dia mmg holeh cuma perlu memberi penekanan yg mana yg elok dan yg mana yag tidak boleh digunakan apabila berbicara sesama kawan, guru dan orang tua.
ReplyDeleteDi pendekkan cerita, bila dia memasuki kelas di sekolah biasa walaupun di kelas pendidikan khas, seperti yg cikgu beritahu tadi, ada yg benar-benar iklas untuk mengajar kanak-kanak seperi ini, ada juga yg hanya memikirkan elaun khas yg semakin lama semakin tinggi nilainya, tapi kurang memberi pendidikan dan perhatian pada kanak-kanak tersebut..apatah lagi dgn ada PPM yg telah di perkenalkan, makin lemak jugaklah pada sesetengah cikgu, masing-masing dgn bangga menunjukkan kegarangan mereka agar murid-murid ini berdisplin, tapi pernah kah mereka terfikir bagaimana sebenarnya approach yg betul bagi setiap kanak -kanak istemewa ini? Terlalu panjang akak menulis, mmg rasa kecewa. Tapi apa-pun, akak benar-benar terharu adik/cikgu merupakan 10 antara 100 yg benar-benar memahami mereka ini, terima kaseh, teruskan perjuangan, sekiranya kita iklas atas pekerjaan kita, Allah akan memberi berlipat kali ganda lagi rezeki. Insy Allah...
Salam cg sue, saya ayuni.pelajar tahun dua pelajar audiologi uia kuantan. Kami sedang siapkan research kami berkaitan dengan early intervention utk anak-anak berpendikan khas. Kami perlu menjalankn interview kepada ibu bapa pelajar untuk berkongsi sedikit sbyk pengalaman mereka..bgaimana cara kami utk mencari ibu bapa yang sudi utk berkongsi pengalaman..kami sangat berharap dengan research dapat membantu anak2 istimewa seterusnya memberi motivasi kepada ibu bapa yg mempunyai anak-anak istimewa tentang early intervention..harap cg sue dapat membantu kami.
DeleteW'salam...........lebih baik saudari pergi kerumah-rumah dan melihat sendiri kehidupan anak OKU............dan boleh juga berbincang dengan saya......setakat yang boleh dibantu.
ReplyDeletemantaplah cikgu
ReplyDeleteTerharu baca...terima kasih mendidik anak2 khas cikgu
ReplyDeletemenyelami dasar hati seorang guru pendidikan khas..kekadang rasa kecewa itu dirintihkan dalam hati mengadu padaNya..membaca kisah ini bagai memberi kekuatan dalaman yang sebenar.Terima kasih di atas perkongsian ini
ReplyDelete