KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Monday 1 April 2013

LITERASI BAHASA



MAKSUD LITERASI BAHASA
LITERASI bahasa atau dalam bahasa Melayu pernah juga disebut sebagai "kenal huruf" atau "celik huruf" bermaksud kemampuan minimum untuk membaca dan menulis dalam suatu bahasa. Penulis tidak menggunakan istilah kenal huruf dalam makalah ini kerana maksud kenal huruf akan terpesong apabila perbincangan tentang konsep literasi dikupas secara terperinci, dan merangkum bukan sahaja mengenal huruf dan dapat menulis semula huruf tersebut secara mekanis. Konsep literasi bahasa lebih meluas daripada istilah kenal huruf yang kita ketahui selama ini apabila perbincangan menyentuh aspek pemahaman bacaan dan penulisan yang berkesan, serta menggunakan daya pemikiran yang kritis dan analitis dalam pembacaan dan penulisan. Pada suatu ketika dahulu seseorang yang tahu membaca dan menulis namanya sendiri dianggap telah mempunyai keupayaan literasi bahasa. Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendefinisikan orang yang mempunyai keupayaan literasi sebagai orang yang 99 membaca dan menulis suatu pernyataan yang pendek dan mudah dalam kehidupan hariannya. Namun demikian, kita harus sedar bahawa banyak orang yang dapat membaca sesuatu pernyataan yang ditulis di tempat-tempat awam dengan lancar seperti papan tanda di hadapan gedung membeli belah, tanda jalan, peraturan jalan raya dan sebagainya, baik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, tetapi mereka masih tidak mempunyai keupayaan literasi yang dapat membantu mereka menggunakan kemahiran membaca dan menulis tersebut dalam kehidupan harian mereka sepenuhnya kerana kelemahan mereka dalam menguasai kemahiran bahasa tersebut. Tahap keupayaan membaca dan menulis bagi mengukur tahap literasi sebenarnya semakin meningkat selaras dengan peredaran masa dan meningkatnya kemajuan masyarakat menggunakan bahan bercetak dan sumber maklumat pelbagai media. Bidang kemampuan literasi pun semakin hari semakin bertambah apabila sesuatu masyarakat menempuh arus kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan. Keupayaan literasi yang lebih luas ini dapat dihubungkan dengan literasi budaya, literasi ekonomi, literasi undang-undang, literasi teknologi maklumat, dan sebagainya. Semakin maju sesuatu masyarakat, semakin banyak bidang kehidupan yang perlu diketahui oleh anggotanya. Bagi menjadikan tahap literasi bahasa berfungsi dalam kehidupan hariannya, seseorang itu haruslah dapat memanfaatkan kebolehan membaca dan menulis sepenuhnya dan berterusan bagi tujuan pembentukan dirinya dan penglibatan diri dengan masyarakatnya.
LITERASI BERFUNGSI
LITERASI berfungsi bermaksud kemampuan menggunakan set minda untuk memanfaatkan kemampuan membaca dan menulis dalam kehidupan harian dengan lebih bermakna. Hal ini bermaksud, sekiranya seseorang itu dapat memberikan apa-apa makna dan kesan terhadap mindanya, atau mempengaruhinya supaya mengambil sesuatu tindakan, maka proses literasi berfungsi masih tidak berlaku. Hal ini jelas dapat dilihat dalam situasi orang yang dapat membaca dengan lancar dalam sesuatu bahasa yang tidak dikuasainya, menjadikan pembacaannya tidak mendatangkan apa-apa makna, dan tidak pula mendapat apa-apa faedah atau pengajaran daripada apa-apa yang dibacanya. Tahap literasi berfungsi berbeza-beza juga menurut sejauh mana pertalian dapat dilakukan antara si pembaca dengan bahan yang dibacanya. Kadangkala si pembaca hanya dapat memanfaatkan bahan yang dibacanya pada tahap pemahaman sahaja, iaitu mengetahui maksud perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat sesuatu teks yang dibaca. Proses literasi berfungsi begini berlaku pada tahap yang rendah. Pada tahap yang lebih tinggi, proses literasi berfungsi berlaku apabila si pembaca dapat membuat taakulan, penilaian, dan penghayatan terhadap bahan yang dibacanya. Pada tahap ini si pembaca bukan sahaja dapat memberikan makna perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat, tetapi dapat pula membuat ulasan, analisis, dan sintesis terhadap bahan yang dibacanya. Pada tahap ini, pembaca bukan sahaja dapat memanfaatkan maklumat yang diperoleh daripada bahan bacaan, malah dapat pula menghalusi bahasa yang digunakan penulis. Tindak balas pembaca secara eferen dan estetik (Rosenblatt 1978) terhadap bahan bacaan adalah matlamat yang harus dicapai dalam pembacaan pada peringkat tertinggi. Tindak balas secara eferen bermaksud pembaca meneliti bahan bagi mendapatkan maklumat daripada bahan yang dibaca supaya dapat dijadikan panduan untuk mengambil tindakan, seperti membaca manual mesin basuh pakaian yang baru dibeli bagi menggunakan mesin tersebut. Tindak balas estetik pula dilakukan bagi menikmati bahan bacaan dari sudut keindahan bahasa yang digunakan penulis dalam bahan penulisannya.
PEMBELAJARAN LITERASI BAHASA
LITERASI bahasa ialah kemampuan menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa, iaitu mendengar, bertutur (kecuali bagi mereka yang mempunyai kecacatan kekal pendengaran dan pertuturan), membaca, menulis, dan berfikir. Kemahiran-kemahiran tersebut perlu berlaku serentak dan bukan terpisah-pisah. Kemahiran berfikir mendampingi keempat-empat kemahiran asas bahasa tersebut. Oleh hal yang demikian, bagi membantu murid-murid membina dan menguasai literasi bahasa, guru perlu mengambil kira bahawa setiap komponen kemahiran yang dinyatakan tidak diabaikan. Setiap kemahiran seharusnya tidak diajarkan secara berasingan atau diajarkan dalam tajuk yang terpisah-pisah kerana kesemua aspek kemahiran tersebut terbina secara bersepadu dan saling bantu-membantu antara satu sama yang lain. Kekurangan pada satu aspek akan menyebabkan berlakunya kekurangan pada aspek yang lain.
Pada masa yang lalu, penekanan terhadap aspek bacaan dilakukan pada peringkat awal persekolahan lagi. Kanak-kanak diajarkan menghafal huruf A hingga Z dan dilatih tubi dengan membaca carta huruf dan kad imbas supaya dapat menguasai bacaan berdasarkan suku kata yang terkandung dalam bahasa Melayu. Penekanan kemahiran bacaan secara ini tertumpu pada tahap mengenal huruf semata-mata, sehingga kanak-kanak hanya mempunyai kemampuan menyebut perkataan yang ditunjukkan menerusi carta atau kad imbas tersebut tanpa mengaitkan bahan yang dibacanya dalam satu situasi yang lebih bermakna. Perkembangan pendidikan bahasa Melayu di sekolah pada masa yang sama juga percaya bahawa kanak-kanak perlu belajar membaca terlebih dahulu sebelum diajarkan kemahiran menulis. Pengajaran penulisan secara bermakna hanya berlaku setelah pelajar memasuki tahun kedua persekolahan. Penulisan karangan hanya diperkenalkan kepada pelajar pada tahun tiga atau empat. Kelewatan mendedahkan pelajar pada pengalaman membaca dan menulis dalam situasi yang sebenar menyebabkan menguasai kedua-dua kemahiran tersebut terbantut. Kajian yang dijalankan membuktikan bahawa sekiranya pelajar lambat didedahkan kepada kemahiran membaca dan menulis yang sebenar, dan tidak dapat menguasai kedua-dua kemahiran tersebut pada akhir tahun ketiga persekolahan, mereka bukan sahaja akan terus ketinggalan dalam kemahiran membaca dan menulis tetapi juga dalam semua aspek akademik pada peringkat yang lebih tinggi.
Kanak-kanak pada usia awal persekolahan perlu didedahkan kepada pengalaman membaca dan menulis yang sebenar secara bersepadu. Melatih tubi dengan kad imbasan atau carta huruf yang disediakan oleh guru tidak mencukupi bagi mengayakan mereka dengan pengalaman tersebut. Mereka perlu disuakan dengan bahan bacaan yang diterbitkan dalam bentuk yang asal seperti buku cerita yang mempunyai tema dan mesej yang tertentu, di samping mengandungi pelbagai ilustrasi yang menarik. Mereka perlu juga diberikan peluang menyalurkan apa-apa yang terkandung dalam pemikiran mereka dalam bentuk lisan atau penulisan dengan kemampuan yang ada pada peringkat usia mereka sendiri. Sungguhpun sebahagian daripada hasil penulisan mereka itu nanti berbentuk cakaran huruf yang tidak jelas, tidak tepat, dan tidak membawa maksud yang tertentu, latihan begini perlu sebagai langkah awal bagi membina pengalaman yang lebih kukuh pada peringkat yang lebih matang. Semakin banyak seseorang kanak-kanak itu mencuba, semakin kukuh kepercayaannya menyungkil makna daripada bahan yang bercetak dan menyampaikan maksud menerusi alat tulis dan kertas yang digunakannya. Ejaan ciptaan yang digunakan kanak-kanak pada peringkat awal ini menjadi asas bagi memperkenalkan alam penulisan yang sebenar pada peringkat yang lebih dewasa. Contoh pengajaran guru pada awal makalah ini menunjukkan bagaimana guru tersebut menggunakan buku cerita Anak Ayam dengan Sang Musang dalam pengajaran bacaan dan pemahaman bacaannya secara interaktif. Murid-murid yang terlibat secara langsung mendengar bacaan guru, membuat taakulan, dan memberikan pandangan secara lisan. Seterusnya, dalam aktiviti perbincangan secara kumpulan, murid-murid menulis, dan mengemukakan pandangan masing-masing dalam kumpulan kecil dan dalam bilik darjah. Cara begini mengukuhkan pengalaman literasi mereka secara langsung.
PENAMPILAN LITERASI
PADA masa yang lalu, pendidik bahasa dan bacaan kerap berbicara tentang "kesediaan membaca" di kalangan kanak-kanak peringkat awal persekolahan. Mereka berpendapat bahawa pengajaran bacaan hanya dapat dijalankan sekiranya pelajar dapat menguasai satu set kemahiran asas sebagai persediaan untuk menguasai kemahiran membaca. Sebagai contoh, kemahiran mengenal semua huruf seperti yang dibincangkan pada bahagian sebelum ini. Mereka percaya bahawa kegagalan menguasai prasyarat kemahiran asas ini akan menggagalkan kemahiran yang seterusnya. Seterusnya mereka percaya bahawa penumpuan yang perlu dibuat pada peringkat awal usia kanak-kanak yang baru mengenali literasi ialah pada aspek pembacaan. Hal ini bermaksud juga bahawa penulisan (kecuali pembentukan huruf secara mekanis dan tulisan tangan) perlu ditangguhkan sehingga pelajar telah mencapai kemahiran membaca sepenuhnya. Berdasarkan kepercayaan inilah guru Bahasa Melayu yang mengajar tahap satu atau dua menekankan aspek kemahiran "mengenal huruf" dalam pengajaran mereka. Guru yang mendokong kepercayaan ini berpendapat bahawa pelajar perlu mempelajari teknik membaca, bukan menguasai kemahiran membaca.
Konsep penampilan literasi dicetuskan daripada kajian-kajian yang dijalankan oleh M.M. Clay (1967), tokoh bahasa dari New Zealand. Kajian-kajian beliau menekankan aspek penguasaan bahasa dan tabiat membaca pada peringkat awal kanak-kanak hinggalah ke alam remaja. Penampilan literasi bermaksud kanak-kanak membina kemahiran membaca dan menulis tanpa titik permulaan atau pengakhiran. Kedua-dua kemahiran tersebut terbina secara serentak dan saling bergantung antara satu sama yang lain tanpa turutan yang tertentu (Strickland 1990; Teale dan Sulzby 1986). Hal ini bermaksud, literasi tampil dalam diri seseorang individu secara berterusan, tanpa prasyarat mengenal huruf, dan terbina secara bersepadu antara kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, dan berfikir. Walau bagaimanapun, proses ini bermula lama sebelum seseorang kanak-kanak memasuki alam persekolahan - menerusi aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang diperoleh dalam kehidupan hariannya dan interaksinya dengan rakan sebaya dan orang yang lebih dewasa (Goodman 1986). Pemelajaran literasi melibatkan kesemua ciri proses komunikasi - membaca, menulis, bertutur, mendengar, dan berfikir. Hal ini bermaksud kanak-kanak membina kefahaman membaca dengan berkongsi bahan-bahan bacaan yang bermakna bagi mereka dengan rakan sebaya atau orang yang lebih dewasa.
PENGUASAAN BAHASA SECARA HOLISTIK
SEPERTI yang dinyatakan di atas, proses menguasai bahasa adalah berterusan dan tidak ada batasannya. Setiap waktu kita akan terus mempelajari aspek bahasa yang baru menerusi interaksi dan pengalaman yang kita lalui. Oleh itu, penguasaan bahasa adalah satu proses sosial dan aktif (Cook-Gumprez 1986, Wells 1990). Dalam keadaan normal, seseorang kanak-kanak akan dapat menguasai tatabahasa asas bahasa ibundanya sebelum mencapai ulang tahun kelahirannya yang ketiga. Ketika memasuki kelas Tadika dan Tahap Satu persekolahan, mereka telah mempunyai asas bahasa yang kukuh, walaupun mungkin ada antara mereka yang menguasai bahasa yang tidak bersesuaian dengan bahasa yang perlu digunakan di alam persekolahan tersebut seperti kanak-kanak yang bukan penutur jati bahasa Melayu dan juga mereka yang menggunakan dialek daerah atau negeri tertentu. Guru harus sedar akan perbezaan ini bagi memastikan kanak-kanak ini tidak terpinggir kerana tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran yang baru ditempuh mereka pada peringkat awal persekolahannya. Walau bagaimanapun, perbezaan ini tidak akan menyekat konsep yang ditegaskan pada awal-awal lagi, iaitu kemahiran literasi terbina daripada penguasaan bahasa yang dipunyai oleh kanak-kanak secara semula jadi, dan penguasaan literasi perlu dijalankan secara holistik. Mereka berhak memperoleh kemahiran literasi berasaskan bahasa yang dibawa dari rumah ke sekolah, walaupun bahan yang digunakan mungkin mempunyai beberapa perbezaan yang jelas berbanding dengan bahasa mereka. Tugas guru ialah mengendalikan jurang perbezaan yang terdapat antara kedua-dua bahasa tersebut.
Pada peringkat awalnya tentulah mereka akan menempuh pelbagai kesukaran dan banyak melakukan kesilapan dalam proses menguasai "bahasa baru" yang digunakan di alam persekolahan, terutama bagi kanak-kanak yang bukan penutur jati bahasa Melayu atau yang menggunakan dialek daerah dan negeri. Banyak teori penguasaan bahasa yang telah dibincangkan oleh ahli psikologi dan ahli linguistik. Golongan nativists percaya bahawa kanak-kanak menguasai bahasa secara semula jadi tanpa perlu dilatih atau dipaksa (Chomsky 1965). Hal ini bermaksud kanak-kanak akan menguasai bahasa seperti mereka menguasai kemahiran merangkak, kemudian bertatih, dan akhirnya berjalan. Bahasa dikuasai kerana memberikan makna dan kemudahan berinteraksi dalam kehidupan kanak-kanak tersebut, seperti berjalan memberikan mereka kemudahan untuk bergerak ke merata tempat. Teori ini banyak dipersoalkan kerana terdapat beberapa kes kanak-kanak tidak menguasai bahasa kerana mereka tidak terdedah kepada bahasa yang digunakan oleh manusia. Hal ini membuktikan bahawa bahasa tidak dapat dikuasai secara semula jadi, tanpa penglibatan sosial yang aktif antara manusia.
Mereka yang mendokong pandangan dari sudut pembangunan kognitif pula berpendapat bahawa kanak-kanak menguasai bahasa secara berperingkat-peringkat (Piaget dan Inhelder 1969) dan setiap peringkat harus dilalui dan dikuasai sepenuhnya sebelum mereka dapat meningkatkan kemahiran pada peringkat yang seterusnya. Tokoh bahasa Rusia yang disebut di atas, iaitu Vygotsky, percaya bahawa kanak-kanak akan dapat menguasai kemahiran berbahasa dengan bantuan orang dewasa. Konsep "sokongan" yang disarankan oleh Vygotsky ialah satu konsep yang menegaskan bahawa kanak-kanak perlu menerima sokongan daripada orang dewasa bagi menguasai kemahiran asas berbahasa. Apabila mereka telah mempunyai asas bahasa yang kukuh ini, maka sokongan tersebut secara beransur-ansur akan dilepaskan. Konsep ini samalah seperti kita membina bangunan konkrit, yang memerlukan sokongan pada setiap bahagian bangunan tersebut. Apabila konkrit telah kering dan kukuh, sokongan akan ditanggalkan dan bangunan akan dapat berdiri dengan sendiri.
Oleh hal yang demikian, menurut teori ini, pada peringkat awal kanak-kanak mempelajari kemahiran berbahasa, interaksi mereka dengan orang dewasa amatlah penting. Penguasaan bahasa mereka bergantung pada kebiasaan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa yang paling rapat dengan mereka. Jika mereka menerima sokongan bahasa yang kasar, maka asas pertuturan mereka juga akan menjadi kasar. Halliday (1975) berpendapat bahawa penguasaan bahasa adalah proses aktif yang berlaku apabila kanak-kanak mencuba menggunakan bahasa yang betul menerusi kemampuan mereka meniru. Dalam proses ini, mereka akan melakukan kesilapan, dan pembetulan terhadap kesilapan tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat. Dengan cara inilah mereka dapat menguasai bentuk bahasa yang betul.
Menerusi teori ini kita dapat memahami bagaimana bahasa dikuasai. Secara ringkasnya, kita mempelajari bahawa bahasa dikuasai:
    1. Apabila bahasa itu mengandungi makna.
    1. Menerusi interaksi dengan rakan sebaya atau orang dewasa.
    1. Dengan melakukan taakulan yang aktif.
    1. Pada kadar yang berbeza dan menerusi peringkat-peringkat tertentu walaupun mereka akan menerusi peringkat penguasaan yang sama.
Berdasarkan pengetahuan terhadap proses penguasaan bahasa ini kita dapat merangka satu program pengajaran literasi Bahasa Melayu berasaskan konsep meningkatkan perkembangan pemahaman bacaan dan kebolehan menulis. Proses pemelajaran literasi dalam program ini akan menekankan aspek penguasaan bahasa dan literasi secara bersepadu, bermakna, dan berterusan. Seterusnya, kita akan dapat merangka bagaimana prinsip asas pengajaran literasi bahasa dapat digubal berdasarkan teori-teori yang dibincangkan di atas.

No comments:

Post a Comment