KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Monday, 1 April 2013

RINGKASAN MASALAH PENDENGARAN





  SEJARAH RINGKAS PENDIDIKAN MURID-MURID BERMASALAH
            PENDENGARAN

            Pendidikan Murid-murid Bermasalah Pendengaran di Malaysia telah dimulakan dalam tahun 1954, dengan tertubuhnya sebuah sekolah berasrama di Pulau Pinang yang dikenali sebagai Sekolah Kanak–Kanak Pekak Persekutuan, Pulau Pinang. Sekolah ini telah dipelopori oleh Lady Templer, Dr.Reild, Cik Joyce Hickes dan beberapa orang lain yang berminat dalam kerja–kerja kebajikan. Beberapa orang guru daripada sekolah ini telah dihantarkan ke luar negara untuk mendapatkan latihan di bidang  khas Pendidikan Kanak-Kanak Pekak. Sekolah ini telah bermula dengan hanya bergantung kepada derma daripada orang ramai. Apabila sekolah ini telah berkembang dengan pesatnya maka usaha-usaha untuk membaikinya telah dilipat gandakan dan dengan ini telah diletakkan dibawah Pentadbiran Kementerian Pelajaran.

            Murid–murid sekolah ini datang dari seluruh pelusuk Malaysia untuk menerima pendidikan sekolah rendah dan menengah dan sekarang ini mempunyai 368 orang murid lelaki dan perempuan. Pelajaran mereka adalah seperti murid-murid biasa dengan adanya penekanan kepada pelajaran Vokasional untuk memberi kemahiran seperti menggunting rambut, pertukangan kayu, masak-memasak dan sebagainya . Oleh kerana murid-murid bermasalah pendengaran bertambah ramai maka sekolah di Pulau Pinang tidak dapat lagi menampung semua murid-murid yang terdapat di Malaysia. Maka suatu pelajaran yang digelar “Rancangan Percantuman” untuk murid-murid bermasalah pendengaran telah dimulakan.








5.2.2               RANCANGAN PENDIDIKAN PERCANTUMAN   


            Untuk menyediakan Murid-murid Bermasalah Pendengaran dalam suasana biasa dan supaya dapat di terima sebagai seorang ahli masyarakat, maka murid-murid bermasalah pendengaran ini perlulah bercampur gaul dengan murid-murid biasa. Dengan cara ini juga mereka yang lengkap sifat akan lebih bertanggungjawab terhadap murid-murid bermasalah pendengaran dan dapat mengurangkan perbezaan diantara mereka yang sempurna dengan yang bermasalah khas.

            Percantuman dalam konteks pendidikan khas mempunyai dua pengertian. Pertama untuk memberi peluang pendidikan di peringkat rendah. Murid-murid bermasalah pendengaran dapat belajar bersama-sama dengan mereka yang biasa dalam sesebuah bilik darjah. Kedua percantuman ini dilakukan dengan mengadakan Kelas Khas yang khusus untuk kanak-kanak bermasalah pendengaran di sekolah biasa.

            Pada tahun 1962, dua buah kelas percantuman telah ditubuhkan di sebuah sekolah biasa iaitu di Sekolah Rendah Inggeris, Jalan Kuantan, Kuala Lumpur yang mengandungi 41 orang murid-murid. Murid-muridnya telah mengikuti matapelajaran di sekolah rendah, kecuali matapelajran Agama Islam, kerana tiada guru yang terlatih dalam bidang ini. Murid-murid bermasalah pendengran di sekolah tersebut telah menduduki peperiksaan Darjah Tiga dan peperiksaan Penilaian Darjah Lima. Sesudah tamat pelajaran di sekolah rendah,mereka yang berkeupayaan telah di berikan peluang melanjutkan pelajaran ke sekolah Kanak-kanak Pekak Persekutuan di Pulau Pinang. Dengan ini timbul masalah kekurangan tempat untuk mereka yang tidak dapat ditempatkan di Sekolah Kanak-Kanak Pekak Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran mereka .



            Oleh itu langkah telah di ambil oleh pihak Kementerian Pelajaran untuk membuka Kelas-Kelas Percantuman di sekolah–sekolah menengah biasa dan dalam tahun 1976 Kelas Percantuman Menengah yang pertama telah dibuka di Kajang,Selangor. Dengan bermulanya Kelas Percantuman di Kajang ini, maka di setiap negeri yang lain di Malaysia telah digalakkan membuka Kelas-Kelas Percantuman. Kelas Percantuman bagi murid-murid bermasalah pendengaran telah dimulakan di Sekolah Menengah Aminudin Baki, Johor Bahru dan di Sekolah Menengah Dato, Sri Amar Di Raja, Muar  Johor.

            Mereka yang bersekolah di sekolah menengah telah menerima kursus-kursus seperti murid-murid biasa dengan penekanan kepada matapelajaran Vokasional. Dengan ini mereka mengambil peperiksaan SRP/LCE dan bagi mereka yang berjaya terus melanjutkan pelajaran mereka ke Tingkatan Empat dan Lima dan mengambil peperiksaan SPM / MCE. Di antara yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi adalah Cik Eleanor Culas penuntut dari Sekolah Kanak-Kanak Pekak di Pulau Pinang yang telah melanjutkan pelajaran di Universiti Gallaudet Washington D.C. dalam tahun 1976. Beliau berkelulusan dalam bidang Psikologi dan Sosial Sains. Dengan kejayaan ini adalah diharap agar dapat menjadi perangsang dan dorongan kepada murid-murid bermasalah pendengaran yang lain.
           

   KEMUDAHAN-KEMUDAHAN ALAT-ALAT

Pihak Kementerian Pelajaran telah melengkapkan kelas-kelas khas bermasalah pendengaran dengan alat-alat pendengaran perseorangan, audiometer, alat latihan pertuturan, (sptech trainer) dan alat rakaman. Tetapi sebagai sebuah sekolah yang maju dan moden alat-alat yang ‘sophiscated’ amat diperlukan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid bermasalah pendengaran. Pada tahun 1976 sebuah sekolah di Johor iaitu Sekolah Temenggung Abdul Rahman merupakan sekolah pertama yang mempunyai alat pendengaran kumpulan ‘Amplain 2000’ yang berharga RM11000 atas dayausaha guru besar sekolah tersebut yang disumbangkan oleh Kementerian Kajikan masyarakat. Ini memberi peluang keemasan kepada murid-murid bermasalah pendengaran mengikuti pelajaran dengan lebih berkesan.

Selain daripada alat tersebut pihak Sekolah Temenggung Abdul Rahman juga telah membeli sebuah projector slaid dan projector over head. Dalam pelajaran masa depan sekolah ini bercadang untuk membeli alat Vision 3 yang lebih moden untuk melatih murid–murid dalam bidang pertuturan. Atas daya usaha Tuan Guru Besar sekolah tersebut yang sentiasa berhubung dengan pihak Kebajikan Masyarakat, sekolah ini telah menerima sumbangan alat bantuan pendengaran perseorangan sebanyak 20 unit dari Pejabat Kebajikan Masyarakat.


 PERHUBUNGAN DALAM BIDANG SOSIAL

Murid-murid bermasalah pendengaran sama seperti murid-murid berkeperluan khas yang lain mengambil bahagian dalam kegiatan luar bilik darjah seperti sukan tahunan, hari kebangsaan, hari kesihatan sedunia ,dan sukan untuk orang–orang cacat di negeri Johor .

Selain daripada kegiatan luar, murid-murid bermasalah pendengaran juga mengambil bahagian dalam bidang seni lukis dan hobi kreatif. Soo Meng Teng, Mauritus, Mohd Sofi, dan Ching Chong Sek pernah mendapat hadiah-hadiah di peringkat daerah dan negeri dalam ekspo pendidikan. Cheng Choon Kwee dan Yong Koh pernah mendapat tempat ketiga di peringkat kebangsaan dalam pertandingan melukis poster keselamatn jalan raya kebangsaan . Kejayaan yang terbesar dalam pertandingan seni lukis telah dicapai oleh Nor Azah dan Liong Wei Seng yang mendapat hadiah pertama dan ketiga dalam peraduan seni lukis antarabangsa di Jepun .




MURID-MURID BERMASALAH PENDENGARAN

1954        * Pembukaan kelas khas di Jalan Northam Di Pulau Pinang di bawah kendalian pertubuhan sukarela.
* Pembukaan sekolah kanak-kanak bermasalah pendengaran persekutuan rendah dan menengah Tanjung Bungah.

1963        * Pembukaan kelas-kelas pendidikan khas rancangan percantuman bermasalah pendengaran oleh kementerian pendidikan di sekolah rendah dan menengah.
* Latihan perguruan pendidikan khas bermasalah pendengaran di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras Kuala Lumpur.

1978        * Pengenalan komunikasi seluruh (total communication) oleh Kementerian  Pendidikan / Amerika Peace Corps
* Pengubalan sistem bahasa melayu kod tangan BMKT.
* Penubuhan jawatan kuasa kebangsaan komunikasi seluruh oleh kementerian pendidikan.

1979        * Kursus dalam bidang perkhidmatan bagi guru-guru cacat pendengaran dalam bidang komunikasi seluruh.

1984        * Penubuhan jawatan kuasa kerja penyelarasan komunikasi seluruh untuk perkembangan sistem kod pendidikan Islam.
*  Penubuhan jawatan kuasa kerja kecil kod dasar agama Islam
* Penubuhan jawatan kuasa kerja kecil kod dasar KBSR tahap Bahasa Malaysia kod tangan.
* Penubuhan jawatan kuasa kerja kecil penggubalan kod tangan pendidikan vokosional dan teknikal.

  

1987        *  Sekolah–sekolah pendidikan khas diwujudkan dengan pentadbiran berasingan di bawah tanggungjawab pusat.
* Penubuhan sekolah menengah pendidikan khas vokasional Shah Alam, Selangor.



LITERASI BAHASA



MAKSUD LITERASI BAHASA
LITERASI bahasa atau dalam bahasa Melayu pernah juga disebut sebagai "kenal huruf" atau "celik huruf" bermaksud kemampuan minimum untuk membaca dan menulis dalam suatu bahasa. Penulis tidak menggunakan istilah kenal huruf dalam makalah ini kerana maksud kenal huruf akan terpesong apabila perbincangan tentang konsep literasi dikupas secara terperinci, dan merangkum bukan sahaja mengenal huruf dan dapat menulis semula huruf tersebut secara mekanis. Konsep literasi bahasa lebih meluas daripada istilah kenal huruf yang kita ketahui selama ini apabila perbincangan menyentuh aspek pemahaman bacaan dan penulisan yang berkesan, serta menggunakan daya pemikiran yang kritis dan analitis dalam pembacaan dan penulisan. Pada suatu ketika dahulu seseorang yang tahu membaca dan menulis namanya sendiri dianggap telah mempunyai keupayaan literasi bahasa. Pertubuhan Pendidikan, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendefinisikan orang yang mempunyai keupayaan literasi sebagai orang yang 99 membaca dan menulis suatu pernyataan yang pendek dan mudah dalam kehidupan hariannya. Namun demikian, kita harus sedar bahawa banyak orang yang dapat membaca sesuatu pernyataan yang ditulis di tempat-tempat awam dengan lancar seperti papan tanda di hadapan gedung membeli belah, tanda jalan, peraturan jalan raya dan sebagainya, baik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, tetapi mereka masih tidak mempunyai keupayaan literasi yang dapat membantu mereka menggunakan kemahiran membaca dan menulis tersebut dalam kehidupan harian mereka sepenuhnya kerana kelemahan mereka dalam menguasai kemahiran bahasa tersebut. Tahap keupayaan membaca dan menulis bagi mengukur tahap literasi sebenarnya semakin meningkat selaras dengan peredaran masa dan meningkatnya kemajuan masyarakat menggunakan bahan bercetak dan sumber maklumat pelbagai media. Bidang kemampuan literasi pun semakin hari semakin bertambah apabila sesuatu masyarakat menempuh arus kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan. Keupayaan literasi yang lebih luas ini dapat dihubungkan dengan literasi budaya, literasi ekonomi, literasi undang-undang, literasi teknologi maklumat, dan sebagainya. Semakin maju sesuatu masyarakat, semakin banyak bidang kehidupan yang perlu diketahui oleh anggotanya. Bagi menjadikan tahap literasi bahasa berfungsi dalam kehidupan hariannya, seseorang itu haruslah dapat memanfaatkan kebolehan membaca dan menulis sepenuhnya dan berterusan bagi tujuan pembentukan dirinya dan penglibatan diri dengan masyarakatnya.
LITERASI BERFUNGSI
LITERASI berfungsi bermaksud kemampuan menggunakan set minda untuk memanfaatkan kemampuan membaca dan menulis dalam kehidupan harian dengan lebih bermakna. Hal ini bermaksud, sekiranya seseorang itu dapat memberikan apa-apa makna dan kesan terhadap mindanya, atau mempengaruhinya supaya mengambil sesuatu tindakan, maka proses literasi berfungsi masih tidak berlaku. Hal ini jelas dapat dilihat dalam situasi orang yang dapat membaca dengan lancar dalam sesuatu bahasa yang tidak dikuasainya, menjadikan pembacaannya tidak mendatangkan apa-apa makna, dan tidak pula mendapat apa-apa faedah atau pengajaran daripada apa-apa yang dibacanya. Tahap literasi berfungsi berbeza-beza juga menurut sejauh mana pertalian dapat dilakukan antara si pembaca dengan bahan yang dibacanya. Kadangkala si pembaca hanya dapat memanfaatkan bahan yang dibacanya pada tahap pemahaman sahaja, iaitu mengetahui maksud perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat sesuatu teks yang dibaca. Proses literasi berfungsi begini berlaku pada tahap yang rendah. Pada tahap yang lebih tinggi, proses literasi berfungsi berlaku apabila si pembaca dapat membuat taakulan, penilaian, dan penghayatan terhadap bahan yang dibacanya. Pada tahap ini si pembaca bukan sahaja dapat memberikan makna perkataan demi perkataan dan ayat demi ayat, tetapi dapat pula membuat ulasan, analisis, dan sintesis terhadap bahan yang dibacanya. Pada tahap ini, pembaca bukan sahaja dapat memanfaatkan maklumat yang diperoleh daripada bahan bacaan, malah dapat pula menghalusi bahasa yang digunakan penulis. Tindak balas pembaca secara eferen dan estetik (Rosenblatt 1978) terhadap bahan bacaan adalah matlamat yang harus dicapai dalam pembacaan pada peringkat tertinggi. Tindak balas secara eferen bermaksud pembaca meneliti bahan bagi mendapatkan maklumat daripada bahan yang dibaca supaya dapat dijadikan panduan untuk mengambil tindakan, seperti membaca manual mesin basuh pakaian yang baru dibeli bagi menggunakan mesin tersebut. Tindak balas estetik pula dilakukan bagi menikmati bahan bacaan dari sudut keindahan bahasa yang digunakan penulis dalam bahan penulisannya.
PEMBELAJARAN LITERASI BAHASA
LITERASI bahasa ialah kemampuan menggabungkan keseluruhan kemahiran berbahasa, iaitu mendengar, bertutur (kecuali bagi mereka yang mempunyai kecacatan kekal pendengaran dan pertuturan), membaca, menulis, dan berfikir. Kemahiran-kemahiran tersebut perlu berlaku serentak dan bukan terpisah-pisah. Kemahiran berfikir mendampingi keempat-empat kemahiran asas bahasa tersebut. Oleh hal yang demikian, bagi membantu murid-murid membina dan menguasai literasi bahasa, guru perlu mengambil kira bahawa setiap komponen kemahiran yang dinyatakan tidak diabaikan. Setiap kemahiran seharusnya tidak diajarkan secara berasingan atau diajarkan dalam tajuk yang terpisah-pisah kerana kesemua aspek kemahiran tersebut terbina secara bersepadu dan saling bantu-membantu antara satu sama yang lain. Kekurangan pada satu aspek akan menyebabkan berlakunya kekurangan pada aspek yang lain.
Pada masa yang lalu, penekanan terhadap aspek bacaan dilakukan pada peringkat awal persekolahan lagi. Kanak-kanak diajarkan menghafal huruf A hingga Z dan dilatih tubi dengan membaca carta huruf dan kad imbas supaya dapat menguasai bacaan berdasarkan suku kata yang terkandung dalam bahasa Melayu. Penekanan kemahiran bacaan secara ini tertumpu pada tahap mengenal huruf semata-mata, sehingga kanak-kanak hanya mempunyai kemampuan menyebut perkataan yang ditunjukkan menerusi carta atau kad imbas tersebut tanpa mengaitkan bahan yang dibacanya dalam satu situasi yang lebih bermakna. Perkembangan pendidikan bahasa Melayu di sekolah pada masa yang sama juga percaya bahawa kanak-kanak perlu belajar membaca terlebih dahulu sebelum diajarkan kemahiran menulis. Pengajaran penulisan secara bermakna hanya berlaku setelah pelajar memasuki tahun kedua persekolahan. Penulisan karangan hanya diperkenalkan kepada pelajar pada tahun tiga atau empat. Kelewatan mendedahkan pelajar pada pengalaman membaca dan menulis dalam situasi yang sebenar menyebabkan menguasai kedua-dua kemahiran tersebut terbantut. Kajian yang dijalankan membuktikan bahawa sekiranya pelajar lambat didedahkan kepada kemahiran membaca dan menulis yang sebenar, dan tidak dapat menguasai kedua-dua kemahiran tersebut pada akhir tahun ketiga persekolahan, mereka bukan sahaja akan terus ketinggalan dalam kemahiran membaca dan menulis tetapi juga dalam semua aspek akademik pada peringkat yang lebih tinggi.
Kanak-kanak pada usia awal persekolahan perlu didedahkan kepada pengalaman membaca dan menulis yang sebenar secara bersepadu. Melatih tubi dengan kad imbasan atau carta huruf yang disediakan oleh guru tidak mencukupi bagi mengayakan mereka dengan pengalaman tersebut. Mereka perlu disuakan dengan bahan bacaan yang diterbitkan dalam bentuk yang asal seperti buku cerita yang mempunyai tema dan mesej yang tertentu, di samping mengandungi pelbagai ilustrasi yang menarik. Mereka perlu juga diberikan peluang menyalurkan apa-apa yang terkandung dalam pemikiran mereka dalam bentuk lisan atau penulisan dengan kemampuan yang ada pada peringkat usia mereka sendiri. Sungguhpun sebahagian daripada hasil penulisan mereka itu nanti berbentuk cakaran huruf yang tidak jelas, tidak tepat, dan tidak membawa maksud yang tertentu, latihan begini perlu sebagai langkah awal bagi membina pengalaman yang lebih kukuh pada peringkat yang lebih matang. Semakin banyak seseorang kanak-kanak itu mencuba, semakin kukuh kepercayaannya menyungkil makna daripada bahan yang bercetak dan menyampaikan maksud menerusi alat tulis dan kertas yang digunakannya. Ejaan ciptaan yang digunakan kanak-kanak pada peringkat awal ini menjadi asas bagi memperkenalkan alam penulisan yang sebenar pada peringkat yang lebih dewasa. Contoh pengajaran guru pada awal makalah ini menunjukkan bagaimana guru tersebut menggunakan buku cerita Anak Ayam dengan Sang Musang dalam pengajaran bacaan dan pemahaman bacaannya secara interaktif. Murid-murid yang terlibat secara langsung mendengar bacaan guru, membuat taakulan, dan memberikan pandangan secara lisan. Seterusnya, dalam aktiviti perbincangan secara kumpulan, murid-murid menulis, dan mengemukakan pandangan masing-masing dalam kumpulan kecil dan dalam bilik darjah. Cara begini mengukuhkan pengalaman literasi mereka secara langsung.
PENAMPILAN LITERASI
PADA masa yang lalu, pendidik bahasa dan bacaan kerap berbicara tentang "kesediaan membaca" di kalangan kanak-kanak peringkat awal persekolahan. Mereka berpendapat bahawa pengajaran bacaan hanya dapat dijalankan sekiranya pelajar dapat menguasai satu set kemahiran asas sebagai persediaan untuk menguasai kemahiran membaca. Sebagai contoh, kemahiran mengenal semua huruf seperti yang dibincangkan pada bahagian sebelum ini. Mereka percaya bahawa kegagalan menguasai prasyarat kemahiran asas ini akan menggagalkan kemahiran yang seterusnya. Seterusnya mereka percaya bahawa penumpuan yang perlu dibuat pada peringkat awal usia kanak-kanak yang baru mengenali literasi ialah pada aspek pembacaan. Hal ini bermaksud juga bahawa penulisan (kecuali pembentukan huruf secara mekanis dan tulisan tangan) perlu ditangguhkan sehingga pelajar telah mencapai kemahiran membaca sepenuhnya. Berdasarkan kepercayaan inilah guru Bahasa Melayu yang mengajar tahap satu atau dua menekankan aspek kemahiran "mengenal huruf" dalam pengajaran mereka. Guru yang mendokong kepercayaan ini berpendapat bahawa pelajar perlu mempelajari teknik membaca, bukan menguasai kemahiran membaca.
Konsep penampilan literasi dicetuskan daripada kajian-kajian yang dijalankan oleh M.M. Clay (1967), tokoh bahasa dari New Zealand. Kajian-kajian beliau menekankan aspek penguasaan bahasa dan tabiat membaca pada peringkat awal kanak-kanak hinggalah ke alam remaja. Penampilan literasi bermaksud kanak-kanak membina kemahiran membaca dan menulis tanpa titik permulaan atau pengakhiran. Kedua-dua kemahiran tersebut terbina secara serentak dan saling bergantung antara satu sama yang lain tanpa turutan yang tertentu (Strickland 1990; Teale dan Sulzby 1986). Hal ini bermaksud, literasi tampil dalam diri seseorang individu secara berterusan, tanpa prasyarat mengenal huruf, dan terbina secara bersepadu antara kemahiran mendengar, bertutur, membaca, menulis, dan berfikir. Walau bagaimanapun, proses ini bermula lama sebelum seseorang kanak-kanak memasuki alam persekolahan - menerusi aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang diperoleh dalam kehidupan hariannya dan interaksinya dengan rakan sebaya dan orang yang lebih dewasa (Goodman 1986). Pemelajaran literasi melibatkan kesemua ciri proses komunikasi - membaca, menulis, bertutur, mendengar, dan berfikir. Hal ini bermaksud kanak-kanak membina kefahaman membaca dengan berkongsi bahan-bahan bacaan yang bermakna bagi mereka dengan rakan sebaya atau orang yang lebih dewasa.
PENGUASAAN BAHASA SECARA HOLISTIK
SEPERTI yang dinyatakan di atas, proses menguasai bahasa adalah berterusan dan tidak ada batasannya. Setiap waktu kita akan terus mempelajari aspek bahasa yang baru menerusi interaksi dan pengalaman yang kita lalui. Oleh itu, penguasaan bahasa adalah satu proses sosial dan aktif (Cook-Gumprez 1986, Wells 1990). Dalam keadaan normal, seseorang kanak-kanak akan dapat menguasai tatabahasa asas bahasa ibundanya sebelum mencapai ulang tahun kelahirannya yang ketiga. Ketika memasuki kelas Tadika dan Tahap Satu persekolahan, mereka telah mempunyai asas bahasa yang kukuh, walaupun mungkin ada antara mereka yang menguasai bahasa yang tidak bersesuaian dengan bahasa yang perlu digunakan di alam persekolahan tersebut seperti kanak-kanak yang bukan penutur jati bahasa Melayu dan juga mereka yang menggunakan dialek daerah atau negeri tertentu. Guru harus sedar akan perbezaan ini bagi memastikan kanak-kanak ini tidak terpinggir kerana tidak dapat menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran yang baru ditempuh mereka pada peringkat awal persekolahannya. Walau bagaimanapun, perbezaan ini tidak akan menyekat konsep yang ditegaskan pada awal-awal lagi, iaitu kemahiran literasi terbina daripada penguasaan bahasa yang dipunyai oleh kanak-kanak secara semula jadi, dan penguasaan literasi perlu dijalankan secara holistik. Mereka berhak memperoleh kemahiran literasi berasaskan bahasa yang dibawa dari rumah ke sekolah, walaupun bahan yang digunakan mungkin mempunyai beberapa perbezaan yang jelas berbanding dengan bahasa mereka. Tugas guru ialah mengendalikan jurang perbezaan yang terdapat antara kedua-dua bahasa tersebut.
Pada peringkat awalnya tentulah mereka akan menempuh pelbagai kesukaran dan banyak melakukan kesilapan dalam proses menguasai "bahasa baru" yang digunakan di alam persekolahan, terutama bagi kanak-kanak yang bukan penutur jati bahasa Melayu atau yang menggunakan dialek daerah dan negeri. Banyak teori penguasaan bahasa yang telah dibincangkan oleh ahli psikologi dan ahli linguistik. Golongan nativists percaya bahawa kanak-kanak menguasai bahasa secara semula jadi tanpa perlu dilatih atau dipaksa (Chomsky 1965). Hal ini bermaksud kanak-kanak akan menguasai bahasa seperti mereka menguasai kemahiran merangkak, kemudian bertatih, dan akhirnya berjalan. Bahasa dikuasai kerana memberikan makna dan kemudahan berinteraksi dalam kehidupan kanak-kanak tersebut, seperti berjalan memberikan mereka kemudahan untuk bergerak ke merata tempat. Teori ini banyak dipersoalkan kerana terdapat beberapa kes kanak-kanak tidak menguasai bahasa kerana mereka tidak terdedah kepada bahasa yang digunakan oleh manusia. Hal ini membuktikan bahawa bahasa tidak dapat dikuasai secara semula jadi, tanpa penglibatan sosial yang aktif antara manusia.
Mereka yang mendokong pandangan dari sudut pembangunan kognitif pula berpendapat bahawa kanak-kanak menguasai bahasa secara berperingkat-peringkat (Piaget dan Inhelder 1969) dan setiap peringkat harus dilalui dan dikuasai sepenuhnya sebelum mereka dapat meningkatkan kemahiran pada peringkat yang seterusnya. Tokoh bahasa Rusia yang disebut di atas, iaitu Vygotsky, percaya bahawa kanak-kanak akan dapat menguasai kemahiran berbahasa dengan bantuan orang dewasa. Konsep "sokongan" yang disarankan oleh Vygotsky ialah satu konsep yang menegaskan bahawa kanak-kanak perlu menerima sokongan daripada orang dewasa bagi menguasai kemahiran asas berbahasa. Apabila mereka telah mempunyai asas bahasa yang kukuh ini, maka sokongan tersebut secara beransur-ansur akan dilepaskan. Konsep ini samalah seperti kita membina bangunan konkrit, yang memerlukan sokongan pada setiap bahagian bangunan tersebut. Apabila konkrit telah kering dan kukuh, sokongan akan ditanggalkan dan bangunan akan dapat berdiri dengan sendiri.
Oleh hal yang demikian, menurut teori ini, pada peringkat awal kanak-kanak mempelajari kemahiran berbahasa, interaksi mereka dengan orang dewasa amatlah penting. Penguasaan bahasa mereka bergantung pada kebiasaan bahasa yang digunakan oleh orang dewasa yang paling rapat dengan mereka. Jika mereka menerima sokongan bahasa yang kasar, maka asas pertuturan mereka juga akan menjadi kasar. Halliday (1975) berpendapat bahawa penguasaan bahasa adalah proses aktif yang berlaku apabila kanak-kanak mencuba menggunakan bahasa yang betul menerusi kemampuan mereka meniru. Dalam proses ini, mereka akan melakukan kesilapan, dan pembetulan terhadap kesilapan tersebut dibuat secara berperingkat-peringkat. Dengan cara inilah mereka dapat menguasai bentuk bahasa yang betul.
Menerusi teori ini kita dapat memahami bagaimana bahasa dikuasai. Secara ringkasnya, kita mempelajari bahawa bahasa dikuasai:
    1. Apabila bahasa itu mengandungi makna.
    1. Menerusi interaksi dengan rakan sebaya atau orang dewasa.
    1. Dengan melakukan taakulan yang aktif.
    1. Pada kadar yang berbeza dan menerusi peringkat-peringkat tertentu walaupun mereka akan menerusi peringkat penguasaan yang sama.
Berdasarkan pengetahuan terhadap proses penguasaan bahasa ini kita dapat merangka satu program pengajaran literasi Bahasa Melayu berasaskan konsep meningkatkan perkembangan pemahaman bacaan dan kebolehan menulis. Proses pemelajaran literasi dalam program ini akan menekankan aspek penguasaan bahasa dan literasi secara bersepadu, bermakna, dan berterusan. Seterusnya, kita akan dapat merangka bagaimana prinsip asas pengajaran literasi bahasa dapat digubal berdasarkan teori-teori yang dibincangkan di atas.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN



TEORI PEMBELAJARAN BEHAVIORIS

Antara Implikasi terhadap pembelajaran dan pengajaran adalah:
1. Pastikan maklumbalas diberi dengan kerap, dengan secepat mungkin, dan berbentuk spesifik.
2. Pelbagaikan pengukuhan positif yang digunakan agar dapat mengekalkan keberkesanannya. Jika boleh, gunakan kedua-duanya dan bukan hanya menggunakan pengukuhan primer atau sekunder sahaja.
3. Gunakan pengukuhan berjadual bagi mengekalkan berlakunya pembelajaran.
4. Peka terhadap konsep penghapusan bagi mengurangkan berlakunya tingkah laku yang tidak diingini.
5. Gunakan pengukuhan sebagai satu cara untuk mendorong murid-murid yang kurang bermotivasi untuk belajar dan sebagainya.
6. Mementingkan pembelajaran kemahiran dan sikap.
7. Mementingkan peneguhan.
Manakala dari segi pengajaran terancang pula, terdapat beberapa syor tentang bagaimana teori pembelajaran behavioris dapat diaplikasi dalam bilik darjah. Antaranya adalah:
1. Pupukkan penguasaan satu-satu kemahiran dengan menggunakan kerangka soalan (ransangan) – jawapan (gerakbalas) mengikut prinsip pedagogi, iaitu secara beransur-ansur dan peringkat demi peringkat.
2. Minta murid-murid mengikuti setiap kerangka yang disediakan. Maklum balas hendaklah diberi serta merta.
3. Susun aras kesukaran soalan-soalan bagi memastikan murid-murid anda berupaya memberi jawapan yang betul. Dengan itu, sudah tentu mereka akan menerima pengukuhan positif.
4. Pastikan pencapaian yang baik dan cemerlang dipadankan dengan pengukuhan sekunder seperti pujian lisan, hadiah, gred yang baik dan sebagainya .

T   TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF

1. Guru memberi peluang kepada murid untuk meneroka dan membekalkan mereka dengan maklumat yang penting.
2. Guru berperanan sebagai fasilitator dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
3. Guru perlu sedar bahawa terdapat murid-murid yang mungkin berada pada mod pembelajaran yang berbeza sama ada enaktif, ikonik atau simbolik. Oleh itu, guru boleh mengadakan satu perbincangan berasaskan apa yang telah mereka pelajari daripada eksperimen yang telah dilakukan.
4. Murid seharusnya dibekalkan dengan bahan pembelajaran, aktiviti dan alatan yang berpadanan dan selaras dengan tahap kebolehan kognitif mereka.
5. Perkembangan makna dan kefahaman.
6. Pentingkan pengamatan, pemberian makna dan pembelajaran penerimaan 


ü   TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTISME

1. Kurikulum yang disediakan di sekolah pada setiap tahap persekolahan, iaitu bermula daripada prasekolah, rendah hingga menengah hendaklah berasaskan pengetahuan lalu pembelajar yang berkenaan. Oleh itu, penekanan hendaklah diberikan kepada kaedah menyelesaikan masalah secara hands-on.
2. Guru hendaklah merancang dan melaksankan strategi pengajaran seperti soalan- soalan terbuka dan dialog yang meluas agar berpadanan dengan respon pelajar serta menggalakkan mereka menganalisis maklumat yang diperoleh.
3. Murid-murid akan dinilai dan mereka hendaklah berusaha dalam menentukan kemajuan masing-masing.

ü   TEORI PEMBELAJARAN SOSIAL

1. Memberi peluang kepada murid untuk memerhati dan mencontohi pelbagai tingkah laku yang diingini. Oleh itu,guru hendaklah menunjukkan tingkah laku yang positif.
2. Guru menyediakan persekitaran sosial yang kondusif agar modeling boleh berlaku. Intensif, pengukuhan dan sokongan moral seharusnya diberi bagi menggalakkan berlakunya tingkah laku yang baik dalam kalangan murid-murid kita.

3. Perkembangan manusia
4. Penyesuaian seimbang.


ü   TEORI PEMBELAJARAN HUMANISME

1. Guru perlu sedar bahawa setiap murid mempunyai keperluan asas yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.
2. Guru perlu peruntukkan sedikit masa pada awal sesi pengajaran untuk mengenalpasti apakah kekurangan dari segi keperluan asas yang perlu diberi perhatian.
3. Perhatian perlu diberi terhadap pemilihan tugasan pembelajaran yang dapat meransangkan minat dan naluri ingin tahu dalam kalangan murid-murid kita.