KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Wednesday 18 September 2013

MASALAH BAHASA DAN KOMUNIKASI MURID DISLEKSIA




Murid berkeperluan khas adalah mereka yang istimewa dan perlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berbeza daripada murid biasa. Pada tahun 1977 satu peruntukan di bawah perlembagaan Amerika Syarikat             (Public Law 94 – 142) diluluskan bagi mengiktiraf hak kanak-kanak Amerika yang mengalami masalah pembelajaran. Ia khusus bagi mendapatkan pemeriksaan serta kaedah yang bersesuaian bagi menangani masalah mereka. Dalam tahun 1981 England dan Scotland meluluskan Akta Pendidikan yang menyatakan bahawa semua kanak-kanak yang mengalami apa jua jenis masalah pembelajaran wajar mendapat pemeriksaan dan bantuan yang sesuai dengan keperluan khas mereka.

Di Malaysia, pendidikan murid berkeperluan khas diletakkan di bawah Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Secara umumnya disleksia merujuk kepada masalah persepsi dalam otak yang menyebabkan kesukaran membaca dan menulis bahasa. Murid disleksia sering tidak dapat membaca walaupun mereka mempunyai IQ yang tinggi atau sama dengan murid normal.

Perkataan “disleksia” (dyslexia) adalah hasil gabuangan dua perkataan Greek iaitu “Dys” yang bermaksud kesukaran dan “Lexis” bermaksud perkataan atau dengan kata lain, kesukaran menggunakan perkataan. Istilah ‘buta huruf’ juga digunakan untuk kategori ini. Seorang Profesor Berlin pada tahun 1887, merangkap seorang pakar perubatan dan ‘ophalomotologist’ telah memperkenalkan perkataan ‘Disleksia’ (Hammond dan Hugges, 1996:3)“Disleksia ialah satu ‘Disorder’ dalam kanak-kanak yang telah terima Pendidikan Biasa, tidak memperolehi kemahiran bahasa, bacaan, menulis dan ejaan yang setaraf intelek” (World Federation             Of Neurology, 1968).
Kebiasaannya penghidap disleksia ini dapat di kesan pada peringkat awal persekolahan. Ini kerana pada peringkat ini mereka baru mula di dedahkan dengan pembelajaran. Kanak-kanak disleksia mempunyai masalah dalam pembelajaran seperti lambat membaca dan sukar menulis dengan baik. Mereka sering keliru di antara huruf-huruf dan sering mengurang atau menambah sesuatu perkataan ketika membaca. Sukar untuk memberikan perhatian terhadap pembelajaran. Oleh sebab itu kanak-kanak disleksia sukar menghabiskan kerja yang diberi kepada mereka. Mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain. Kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan,mengalami kecederaan di kepala,anak kembar dan ibu yang sudah berumur semasa melahirkan mempunyai risiko yang tinggi menghidap disleksia. Masalah disleksia ini juga boleh berlarutan sehingga dewasa.
Disleksia sebenarnya berpunca daripada perbezaan otak memproses bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Dipercayai sistem neurologi yang tidak berfungsi dengan betul menyebabkan gangguan pada struktur otak. Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata disleksia adalah disebabkan perbezaan otak memproses tulisan dan pertuturan.
Setelah membuat pemerhatian selama lima hari di kelas Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran Di Sekolah Kebangsaan Tanjong Mas, Kota Bharu. Saya tertarik dengan seorang kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran. Memiliki perwatakan yang agak menarik dan agak susah untuk didampingi. Ali (bukan nama sebenar) merupakan kanak-kanak yang berusia berusia 10 tahun dan disahkan oleh pegawai perubatan sebagai Bermasalah Pembelajaran Saintifik atau lebih dikenali sebagai disleksia. Jika dilihatkan dari segi fizikal, kita tidak akan menyangka dia mempunyai masalah disleksia kerana tidak ada tanda-tanda fizikal yang zahir kita dapat lihat tentang kekurangan tersebut.
Menurut maklumat sulit murid. Selain mengalami masalah disleksia, Ali juga mengalami masalah terencat akal yang minima. Ali seorang kanak-kanak yang boleh mengurus diri sendiri dan dapat dididik kerana tahap kecerdasannya berada pada tahap yang sederhana. Pakar perubatan telah mencadangkan supaya Ali ditempatkan di sekolah khas terencat akal. Pada tahun 2008 Ali telah mendapat tawaran penempatan persekolahan murid berkeperluan khas di Sekolah kebangsaan Tanjong Mas bagi kategori Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran. Sebelum ditempatkan di sekolah ini. Ali telah pun mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra (2), Kota Bharu sehingga tahun 3 sebelum dikesan menghadapi masalah dari segi pembelajaran.
.“Tiada statistik mengenai disleksia di Malaysia namun dianggarkan antara empat hingga lapan peratus kanak-kanak pada usia persekolahan berhadapan dengan disleksia manakala kanak-kanak lelaki lebih cenderung berhadapan dengan masalah itu berbanding kanak-kanak perempuan.” Presiden Persatuan Disleksia Malaysia.
Hasil pemerhatian saya terhadap Ali, dia seorang yang pendiam dan agak pasif berbanding kanak-kanak yang lain. Semasa berada dalam kelas dia tidak bercampur dengan orang lain dan membuat hal sendiri. Dia mempunyai masalah bersosial dengan rakan-rakan mungkin kerana untuk memulakan sesuatu perbualan atau pun komunikasi agak sukar baginya kerana perlu mengatur ayat dan untuk melahirkan sesuatu perkataan. Ketika diajukan soalan kepadanya, jawapan yang diberi tidak memuaskan. Kadang-kadang perkataan yang dituturkan tidak berapa jelas dan hanya dapat menyebut suku kata akhir sahaja. Ini akan membuat penerima keliru dengan perkataan tersebut. Walaupun pada zahirnya komunikasi telah berlaku tetapi hakikatnya tidak kerana apa yang diterima tidak menepati tuntutan soalan tersebut.
Saya juga mendapati, apabila dia ingin menyebut sesuatu perkataan dia teragak-teragak dan kerap mengulang-ulang menyebut perkataan itu. Di sini, hasilnya dapatan saya menunjukkan Ali  mempunyai kecelaruan bahasa iaitu masalah gagap semasa berkomunikasi. Bagi kanak-kanak ini mereka cenderung untuk menulis huruf tersebut secara terbalik. Masalah utama yang dihadapi kanak-kanak disleksia kebanyakanya adalah dalam proses pembelajaran. Permasalahan ini boleh dikelaskan kepada mengeja, membaca, menulis, mendengar serta menaakul. Kelemahan mengeja akan menyebabkan kebolehan untuk menyampaikan pengetahuan yang diperolehi adalah terhad. Disamping itu juga, saya mendapati Ali mengalami kesukaran untuk membezakan perkataan yang mempunyai bunyi yang hampir sama seperti ‘pasu’ dan ‘paku’.
Dia juga tidak dapat membezakan warna. Saya dapat melihat situasi ini apabila guru memberikan satu gambar seorang polis dan menyuruhnya mewarna gambar tersebut dengan warna biru. Lalu, dia mengambil pensel warna hijau. Apabila ditanya warna pensel warna itu dia memberitahu guru tersebut itu adalah warna biru. Jelaslah di sini, kanak-kanak ini juga mempunyai masalah dari segi membezakan warna.
Semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, saya melihat Ali tidak dapat memberi tumpuan terhadap guru tersebut. Sebelum sesuatu aktiviti dijalankan, guru terlebih dahulu menerangkan apa yang perlu dibuat. Selepas itu murid akan membuat aktiviti tersebut secara individu contohnya mewarna dan memadankan gambar yang sama. Apabila melakukan aktiviti memadankan gambar tersebut dia tidak dapat lakukan kerana perkara yang diajar oleh guru terbabit sudah pun hilang dalam benak ingatannya. Selain itu, saya juga perhatikan Ali tidak boleh menerima arahan yang terlalu kompleks ini kerana ini akan membuatkan dia berasa keliru dan membuatkan dia hilang punca apa yang harus dilakukan.
Ali juga mempunyai daya ingatan yang rendah dan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap sesuatu perkara. Bagi subjek yang melibatkan proses penaakulan pula seperti matematik dia mempunyai masalah untuk menyusun nombor-nombor. Semasa mengira pula, dia akan menggunakan jari-jarinya, kadang-kadang hasil kiraannya akan terlebih dan terkurang dan dia akan megulang-ngulang pengiraannya. Jika guru itu menggunakan nombor yang lebih besar dia akan meninggalkan kerana baginya susah untuk dikira dan dia terbiasa dengan nombor-nombor yang kecil.
Semoga murid-murid disleksia yang sedang kita didik sekarang adalah bakal menjadi tokoh-tokoh terkenal negara dan dunia di satu masa nanti.

 Kekuatan dan Kelemahan

Ali mempunyai masalah fonologi iaitu kesukaran membezakan perkataan yang mempunyai bunyi yang hampir sama. Kesukaran ini bukanlah disebabkan oleh masalah pendengaran, sebaliknya berkaitan dengan pemprosesan maklumat di dalam otak (Farrer, 1996). Fonologi merujuk kepada hubungan sistematik antara huruf dengan bunyi.
Selain itu juga, Ali mempunyai kelemahan dari segi mengeja dan kesukaran untuk membina suku kata. Untuk tempoh jangka masa yang panjang kelemahan dalam proses mengeja akan memberi kesan terhadap kelemahan membaca. Timbulnya masalah ini adalah berpunca daripada masalah-masalah awalan seperti terdapatnya kekeliruan dalam mengenal pasti huruf-huruf seperti d-b, s-h dan sebagainya. Tahap penguasaannya dalam 3M amat rendah dan memerlukan bimbingan yang sewajarnya daripada pihak guru mahupun ibu bapa.
Kesukaran ini menghadkan kebolehan kanak-kanak untuk mendapatkan maklumat daripada rujukan-rujukan yang berkaitan. Secara langsung ianya akan membuat kanak-kanak ini merasa rendah diri dan tidak berkeyakinan. Kanak-kanak disleksia bukan kanak-kanak lembam atau bodoh, mereka cuma kurang kemampuan dari segi pembelajaran. Namun, itu tidak bermakna mereka akan gagal dalam hidup. Mereka masih boleh belajar dan diajar dengan formula dan strategi yang mampu mengubah hidup mereka.
Dia juga mempunyai kelemahan dari segi penyusunan bersiri seperti dalam kiraan nombor dan juga perkataan. Contohnya, kesalahan menulis namanya sendiri iaitu mengeja namanya dengan mendahulukan huruf yang sepatutnya dikemudiankan begitu juga dengan bilangan nombor. Selain itu, dia juga mempunyai kelemahan mengingat sesuatu perkataan. Contohnya, nama ibunya. Dia akan memberitahu nama ibunya adalah mak. Apabila diajukan soalan juga, dia akan kaku dan membisu tanpa mempedulikan pertanyaan itu. Biasanya kanak-kanak disleksia boleh mengeja dengan betul tetapi kedudukan perkataan itu tunggang terbalik atau tertinggal huruf vokal. Misalnya perkataan tiap-tiap ditulis sebagai tipa-tipa. Apabila guru menyebut 13, kanak-kanak disleksia akan menulis 31. Jika guru meminta mereka mengeja perkataan diam mereka menulis d i y a m, kalau disebut di - am, barulah ditulis
Dia mempunyai daya ingatan yang rendah ataupun ingatan jangka pendek. Dia tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap sesuatu perkara. Dia menghadapi masalah memproses maklumat yang baru masuk dan pada masa yang sama mengambil maklumat dari stor di mana maklumat yang digunakan disimpan. Dia juga tidak boleh menerima arahan yang panjang kerana arahan yang kompleks itu akan membuatnya hilang punca kerana lupa apa yang arahan nyatakan dan apa yang perlu dibuat.
 Kanak-kanak disleksia bukan kanak-kanak lembam atau bodoh, mereka cuma kurang kemampuan dari segi pembelajaran. Namun, itu tidak bermakna mereka akan gagal dalam hidup. Mereka masih boleh belajar dan diajar dengan formula tertentu dan itu bukanlah masalah jika mereka diberi peluang untuk belajar. Ada kanak-kanak disleksia yang berjaya hingga ke peringkat universiti dan berjaya dalam hidup seperti Leonardo da Vinci, Albert Einstein dan ramai lagi.
Kelemahannya juga dari segi bersosial dan kurang bergaul dengan rakan sekelasnya menjadikannya seorang yang pendiam dan agak pasif. Secara langsung akan menyebabkannya mempunyai masalah berkomunikasi dengan baik dan bahasanya tidak dapat dikembangkan. Komunikasi melibatkan mana-mana tingkah laku perlakuan sama ada disengaja atau tidak disengaja dan mempunyai maksud terhadap seseorang mengenai emosi atau fisiologi seseorang (Dunst, Lowe & Bartholomew 1990).
Dia juga cenderung untuk menulis terbalik dan keliru dengan huruf yang nampak sama seperti huruf ‘b’ dan ‘p’. Imej huruf ini dipindahkan dari hemisfera otak kiri ke hemisfera otak kanan silih berganti (berulang alik), sambil otak membuat keputusan ianya adalah ‘b’ ataupun ‘p’. Pemindahan silih berganti ini menyebabkan laluan antara otak kiri dan kanak menjadi sesak dan mengambil masa yang lama sehingga menyebabkan kesan seperti ‘imej cermin’ bagi huruf-huruf ini. Ramai pakar disleksia percaya bahawa masalah ini timbul kerana kedua-ua bahagian otak mempunyai bahagian yang sama besar manakala bagi orang yang normal bahagiab kiri otak lebih besar daripada bahagian kanan. ‘Pandangan atas kawasan peprosesan bahasa dalam kedua-dua hemisfera otak mereka yang normal’ (Hornsby, 1995).
Dia juga mempunyai masalah pertuturan. Apabila menuturkan sesuatu perkataaan, bunyi perkataannya tidak jelas dan susah untuk difahami.seperti yang kita tahu otak kita mempunyai dua bahagian. Setiap bahagian mempunyai peranan dan tugasnya yang tersendiri. Bahagian kiri otak menguasai percakapan, kewarasan dan merupakan bahagian yang lebih berkuasa daripada bahagian sebelah kanak. Manakala bahagian sebelah kanak pula menguasai perlakuan dan merupakan bahagian pemikiran bukan lisan, praktikal dan kebolehan memahami.
Walaupun dia mempunyai banyak kelemahan namun, dalam kelemahannya ada ada kekuatan yang kita sendiri tidak sedar. Antara kekuatannya adalah dia dapat bertutur dan mengeluarkan bunyi-bunyi pertuturan walaupun bunyi-bunyi yang dihasilkan itu susah untuk difahami oleh orang lain terutamanya guru dan rakan-rakannya. Disleksia boleh terjadi pada peringkat yang sangat lemah (mild), sederhana atau teruk. Namun, perlu diketahui tiada ubat untuk menyembuhkan disleksia melainkan kesabaran dalam mengajar mereka, memberi mereka sokongan dan bantuan sedaya upaya.
Selain itu, dia juga dapat memegang pensel dan dapat menulis walaupun tulisannya nampak buruk dan tunggang-terbalik. Simbol-simbol perkataan yang dicetak juga sukar untuk diterjemahkan. Tambahan pula, Kanak-kanak ini mengalami kesukaran untuk memindahkan maklumat ke atas kertas. Disamping itu juga, dia mempunyai kemahiran untuk mengira dan menyebut nombor walaupun tidak mengikut susunan yang betul. Keadaan ini menyebabkan tumpuan dan pemahaman kanak-kanak ini lemah dalam aspek bacaan, dan seterusnya akan menjadikan mereka tidak memahami apa yang dibaca.
Tambahan lagi, dia dapat menyebut sesuatu suku kata. Biasanya dia dapat menyebut suku kata yang terakhir contohnya, perkataan ‘makan’. Dia hanya dapat menyebut suku kata yang kedua iaitu ‘kan’. Bantuan dan bimbingan daripada guru amat diperlukan seperti membuat latihan dan sentiasa menyuruhnya melibatkan diri dalam aktiviti membaca dan sentiasa bacakan buku cerita yang menggunakan bahasa dan perkataan yang mudah agar mereka dapat meningkatkan lagi penguasaan bahasa mereka. Dalam pada itu juga, Ali seorang yang dapat menerima arahan, tetapi arahan yang diberikan haruslah ringkas dan padat. Contoh, seorang guru telah menyuruhnya meletakkan buku di atas meja di dalam bilik guru. Guru itu menggunakan arahan yang ringkas dan dapat difahami oleh Ali. Ali dapat melakukannya kerana dia tidak keliru dengan arahan yang diberikan.
Ali juga seorang yang mudah mengingati sesuatu perkara walaupun dalam masa yang singkat. Contohnya, guru itu telah mengajar mengenai pengangkutan di darat dan di air. Sebagai latihan, guru itu menyediakan bebrapa keping gambar dan menunjukkan contoh sebelum memberi arahan supaya meletakkan gambar di tempat yang sesuai. Apabila guru itu menyoalnya pada kali pertama dia dapat jawab, tetapi pada kali kedua dia tidak dapat jawab dan memberi jawapan yang salah. Jadi, Ali hanya dapat mengingat sesuatu perkara dalam masa yang singkat.
Jelaslah kita dapat lihat di sini, walaupun kanak-kanak ini mempunyai kelemahan namun,  sebaliknya mereka juga mempunyai kekuatan pada diri mereka dan mampu untuk menjadi insan yang berjaya dengan bantuan daripada pihak terdekat seperti ibu bapa dan guru kerana mereka juga berhak mendapat kecemerlangan seperti kanak-kanak normal yang lain.

No comments:

Post a Comment