KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Wednesday, 18 April 2012

RINGKASAN PENGURUSAN PROGRAM DISLEKSIA

PERLAKSANAAN  PROGRAM PENDIDIKAN KHAS MASALAH PEMBELAJARAN SPESIFIK / DISLEKSIA

1.0   STRATEGI PENEMPATAN MURID

Pemilihan murid ke  Program  Masalah Pembelajaran Spesifik / Disleksia adalah pada murid tahun satu selepas saringan LINUS yang ketiga dan dicadangkan oleh guru kelas atau guru mata pelajaran Bahasa Malaysia .
Rujuk surat KPM.BPKHAS300.2/3/13.

A)    Instrumen  Saringan Disleksia (ISD) untuk penempatan ke kelas Masalah Pembelajaran Spesifik/ Disleksia.

B)    Instrumen Pengesanan Murid Bermasalah Pembelajaran  untuk penempatan ke kelas Pendidikan Masalah Pembelajaran.

Ø Selepas saringan . murid tersebut akan menduduki ujian diagnostik yang dijalankan  oleh guru pendidikan khas sebagai mengesahkan keputusan dari ISD .

Ø Sekolah akan mengeluarkan surat persetujuan dan kebenaran menjalani pemeriksaan doktor di klinik yang ditetapkan.

Ø Pegawai perubatan akan membuat pengesahan dan menandatangani borang ISD dan Borang Penempatan murid Berkeperluan Khas.

Ø Ibubapa akan memaklumkan ke pihak sekolah dan penempatan akan dibuat oleh JPN.


2.0  PENGURUSAN KELAS DI SEKOLAH RENDAH

Ø Kelas akan bermula di tahun 2 di mana murid akan belajar secara separa inklusif. Pada asalnya hanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Matematik sahaja yang diajar oleh guru Pendidikan Khas. Mata pelajaran lain boleh diambil sekiranya murid ada potensi untuk belajar dan ada kepakaran guru mengajar dalam bidang tersebut seperti Sains dan Bahasa Inggeris.  Modifikasi tersebut bergantung kepada keperluan murid dan keupayaan murid belajar dengan murid aliran perdana supaya murid dapat dibimbing dalam semua mata pelajaran utama.

Ø Murid perlu diinklusifkan walaupun hanya dalam subjek elektif.  Mata pelajaran Pendidikan Islam boleh dijalankan bersama atau berasingan bergantung kepada faktor guru Pendidikan Islam. Murid Pendidikan Khas Disleksia boleh belajar mata pelajaran Bahasa Arab sekiranya  mereka mampu berbuat demikian .

Ø Jadual kelas Pendidikan Khas adalah sama dengan jadual kelas aliran perdana. Murid akan belajar di dalam kelas pendidikan Khas pada waktu mata pelajaran yang sama dengan aliran perdana.  Sukatan pelajaran yang digunapakai sama dengan aliran perdana termasuklah perlaksanaan KSSR dan PBS serta LINUS.

Ø Guru Pendidikan Khas juga berfungsi sebagai guru pendamping bagi kelas inklusif penuh bagi memantau permasalahan murid dan menjalankan bimbingan dalam kelas aliran perdana. Guru pendamping akan bekerjasama dengan guru aliran perdana membimbing murid-murid di dalam  kelas.



      3.0  PENGURUSAN KELAS DI SEKOLAH MENENGAH.
Ø  Sama seperti sekolah rendah yang berbeza modifikasi dalam mata pelajaran yang boleh diajar oleh guru Pendidikan Khas selain daripada mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik.

Ø Keutamaan kepada murid yang belum mencapai tahap penguasaan dalam mata pelajaran tertentu.


4.0     PEPERIKSAAN

Ø Peperiksaan yang dijalankan sama dengan kelas aliran perdana dengan menggunakan kertas soalan yang sama. Walaubagaimanapun  Pendidikan Khas boleh mengubahsuai dari penambahan masa dan mengubahsuai aras soalan sekiranya murid tersebut tidak boleh mengikuti secara langsung.

Ø Sistem pemarkahan akan ditadbir oleh S/U peperiksaan  sekolah dan analisis dijalankan secara bersama.

Ø Guru Pendidikan Khas boleh dilantik sebagai “Reader” dalam peperiksaan  yang ditadbir sendiri oleh  Pendidikan Khas.

Ø Dalam peperiksaan awam ( UPSR, PMR, SPM ) Pendidikan Khas perlu memohon melalui S/U peperiksaan  kemudahan seperti  “Reader” ( pembaca soalan), tambahan masa dan kertas soalan bersaiz  A3.

Ø Guru Pendidikan Khas  Disleksia juga terlibat dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah  secara online bagi semua mata pelajaran .


5.0Kenapa dikatogerikan Bermasalah Pembelajaran:

Mempunyai ciri-ciri yang pelbagai seperti:

·        Gangguan emosi
·        Tumpuan singkat
·        Masalah tingkah laku
·        Tidak focus
·        Slow learner
·        Kesukaran menguasai 3M





Saturday, 7 April 2012

STRATEGI MEMBACA PELAJAR DISLEKSIA


CADANGAN  STRATEGI  MEMBACA  BAGI  PELAJAR  DISLEKSIA
            Terdapat pelbagai strategi pengajaran dalam bentuk kaedah atau teknik yang boleh digunakan dalam mengajar membaca. Kaedah yang bersesuaian dan betul dapat membantu mengatasi masalah membaca dalam kalangan pelajar disleksia. Antara kaedah yang pernah digunakan ialah;

1. Kamaruddin Haji Hussin (1998) dalam bukunya mengatakan kaedah fonik sangat sesuai
   mengajar murid menggunakan kaedah membunyikan suku kata dalam perkataan dengan
   mengabungkan vokal dan konsonan.

2. Safiah Osman ( 2000) berpendapat pelajar yang diajar dengan kaedah abjad. Pelajar akan
   dikenalkan dengan huruf-huruf terlebih dahulu, suku kata dan perkataan. Dikatakan pelajar
   akan mudah membaca walaupau  diberi perkataan baru.

3. Menurut Hazara Malik ( 2001) kaedah suku kata juga membantu dalam bacaan kerana
   dipandukan dengan suku kata terbuka dan suku kata tertutup.

4. Madya Zhagan ( 1999) kaedah pandang sebut memerlukan pengamatan mengecam gambar
  dan perkataan yang ditunjukkan. Kaedah ini dapat melatih pelajar memahami makna apa yang
  dibaca dan membaca dengan sebutan yang betul.

5. Janet W. Lerner (2003) dalam Rosdi bin Taha mengatakan majority pelajar disleksia
   menghadapi masalah mengeja. Oleh itu kaedah mengeja akan membantu pelajar mengeja suku
   kata dan menggabungkannya menjadi perkataan.

6. Kamaruddin Hj Husin (1998) mengatakan kaedah eklektik dapat membantu pelajar dengan
    mencerakinkan sesuatu perkataan. Kaedah ini bertujuan membolehkan pelajar membaca ayat-
    ayat pendek , suku kata dan mengnal huruf dengan mudah.

Setiap kaedah pengajaran mempunyai kelebihan mengikut keupayaan pelajar tersebut. Haraza Malik (2001) berpendapat kaedah yang paling berkesan apabila guru menjalankan pengajaran secara individu.  Pelajar-pelajar disleksia mengalami masalah yang berlainan dengan pelajar normal. Oleh yang demikian cara mengatasi setiap masalah bacaan adalah juga berbeza mengikut keperluan pelajar. Bagi pengkaji semua kaedah yang telah dibincangkan diatas  mungkin akan lebih berkesan sekiranya digabungkan dengan teknologi moden seperti komputer dan sebagainya.

Wednesday, 4 April 2012

IMPLIKASI MASALAH BACAAN DISLEKSIA


IMPLIKASI  MASALAH TERHADAP PEMBELAJARAN
         
            Menurut Levinson(1994) dalam Rosdi bin Aziz ( 2011) pelajar disleksia  kebanyakannya tidak dapat mengimbangi daya mengingati huruf  dan gabungan perkataan kerana mereka mudah lupa.  Semasa membaca mereka tidak dapat mengimbas huruf, perkataan atau ayat dan menyebabkan mereka sering meninggalkan atau melangkau setiap perkataan yang dibaca. Oleh yang demikian mereka tidak dapat memahami teks bacaan yang sedang dibaca kerana tiada tumpuan dan lemah pemahaman pada bacaan.

            Menurut Payne dan Tuner (1999) masalah tersebut telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pelajar disleksia. Pengkaji sangat bersetuju dengan pendapat mereka kerana berdasarkan pengalaman selama 15 tahun dalam Pendidikan Khas, ianya boleh menyekat keyakinan terhadap kebolehan diri pelajar-pelajar disleksia. Mereka akan merasa rendah diri kerana kebolehan untuk mendapatkan maklumat sangat terhad. Kesukaran memahami bahan bacaan  boleh menyebabkan mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan dan kurang keupayaan menyatakan  pemikiran secara lisan dan bertulis. Kecacatan yang tersembunyi ini menyukarkan mereka memberikan tumpuan dalam proses pembelajaran. Kesukaran-kesukaran tersebut boleh menyebabkan rasa rendah diri, ganggun emosi dan massalah tingkah laku.

            Semua dapatan diatas disokong ole pendapat Torgesen (2002) yang menekankan betapa pentingnya intervensi dijalankan pada peringkat paling awal supaya dapat mengatasi masalah bacaan ini dengan segera. Sternberg dan Grigorenko (2002) mencadangkan menggunakan berbagai-bagai teknik lain bagi mengatasi masalah tersebut. 

MASALAH BAHASA DISLEKSIA (1)


Masalah bahasa yang kerap berlaku dalam kalangan pelajar disleksia terdiri daripada masalah mengeja, membaca, menulis, bercakap, bertutur dan mendengar.  Selain itu masalah pengamatan yang terdiri daripada kelemahan pengamatan penglihatan dan pendengaran serta masalah pemprosesan maklumat adalah seiring dengan masalah bahasa  (Zainal Kassan & Suhaila Abdullah, 2010). The National Joint Committee On Learning Disabilities ( NJCLD) 1990, mentakrfikan masalah pembelajaran sebagai merujuk kepada satu kumpulan masalah yang pelbagai. Ianya mengakibatkan kesukaran yang seperti yang telah dinyatakan. Masalah ini berpunca daripada ketidakfungsian sistem saraf pusat dan mungkin seiring dengan ketidakupayaan lain seperti masalah sensori, kerencatan mental atau gangguan emosi.

Bold (2000) dalam Nik Aida Suria binti Nik Zulkifli Ami (2006) menyatakan disleksia adalah disebabkan oleh perbezaan otak memproses maklumat terutama sekali mengenai bahasa yang melibatkan penggunaan bunyi, symbol dan pembelajaran. Disleksia merujuk kepada keadaan murid bermasalah pembelajaran yang menghadapi masalah mengenali perkataan, mengeja, membaca, tidak berkembang atau kekal dalam menghadapi kesukaran berbahasa.