KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Wednesday 9 October 2013

KETIDAKUPAYAAN EMOSI , TINGKAH LAKU DAN PERTUTURAN.....

by  http://notapendidikankhasku.blogspot.com
2.0       KETIDAKUPAYAAN ADD/ADHD

2.1       Definisi
Menurut Seifert (1999), Attention Deficit Disorder (ADD) adalah masalah sukar memberi tumpuan dan mengawal desakan diri.  Menurut beliau lagi, Attention Deficit Disorder (ADD) merangkumi hyperactivity iaitu keaktifan melampau.  Keaktifan melampau ini dikenali sebagai Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Menurut Kasmini Kassim (1992), sindrom hiperkinesis iaitu Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) digunakan untuk menerangkan tingkah laku kanak-kanak yang tidak boleh duduk diam, kurang tumpuan perhatian, terlalu lasak, impulsif, resah, suka merosakkan harta benda, dan mudah mengalihkan perhatian terhadap sesuatu perkara. 
            Berdasarkan definisi yang diberikan, kami dapat merumuskan  Attention Deficit Disorder (ADD) ialah satu tingkah laku kanak-kanak yang menunjukkan kurang daya tumpuan terhadap sesuatu perkara.  Seterusnya, kami dapat merumuskan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) ialah masalah kanak-kanak yang tidak dapat menumpukan perhatian, terlalu aktif, impulsif ataupun gabungan antara tidak dapat menumpukan perhatian, terlalu aktif dan impulsif.
2.2       Ciri-ciri Ketidakupayaan ADD/ADHD
Menurut Sousa (2001) seperti yang dilaporkan oleh Tileston (2004), terdapat tiga ciri khusus Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) iaitu tidak dapat memberi tumpuan, hiperaktif dan impulsif.  Menurut Bailey (2006), terdapat lapan ciri-ciri kanak-kanak yang tidak dapat memberi tumpuan.  Antara ciri-ciri itu ialah kanak-kanak sering gagal memberi tumpuan yang teliti terhadap sesuatu perkara, tidak mematuhi arahan guru, mempunyai masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti, berasa ingin cepat menyelesaikan sesuatu tugasan, dan tumpuan mudah bertukar.
           
            Selain itu, kanak-kanak yang tidak dapat memberi tumpuan juga suka mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas.  Seterusnya, selalu kehilangan barang dan mudah lupa sesuatu perkara.  Kanak-kanak yang mempunyai lebih daripada enam ciri-ciri tersebut dan ciri-ciri itu telah wujud sukurang-kurangnya enam bulan dikesan menghidapi Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD).
            Menurut American Psychiatric Association (1994), terdapat  enam ciri-ciri bagi kanak-kanak hiperaktif.  Antara ciri-ciri itu ialah kanak-kanak yang selalu gelisah dengan tangan dan kaki atau tidak boleh berada di tempat duduk, selalu meninggalkan tempat duduk dalam kelas atau dalam situasi yang diperlukan dan selalu lari atau memanjat dalam situasi yang tidak sesuai. 
            Selain itu, kanak-kanak juga selalu mempunyai masalah untuk bermain dan terlibat dalam aktiviti masa lapang dengan senyap.  Seterusnya, kanak-kanak selalu sibuk atau aktif bergerak dan selalu bercakap secara melampau atau berlebih-lebihan.  Kanak-kanak yang mempunyai lebih daripada enam ciri-ciri Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan enam ciri-ciri hiperaktif dikesan menghidapi Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Menurut Bailey (2006), terdapat lima ciri-ciri impulsif.  Antaranya ialah selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan, kurang sabar atau menghadapi masalah ketika menunggu giliran dan sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain.  Selain itu, kanak-kanak juga selalu membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan. 
            Berdasarkan ciri-ciri Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), kami dapat merumuskan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dengan impulsif merangkumi ciri-ciri tidak dapat memberi tumpuan, hiperaktif dan impulsif.  
     
2.3       Sebab-sebab Ketidakupayaan ADD/ADHD
            2.3.1   Genetik
Menurut Ryan (1998) seperti yang dilaporkan oleh Silver dan Hagin (2002), Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) mempunyai komponen genetik yang berkaitan dengan keluarga dan kembar iaitu ditafsirkan sebagai kepelbagaian warisan genetik.  Kepelbagaian dalam gen mengawal reseptor dopamin khusus dalam neurotransmitter yang dikenal pasti dalam peratusan yang tinggi bagi ketagihan dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD). 
            Sebanyak 50% orang dewasa dan 70% kanak-kanak yang mempunyai Genetic Resistance dan hormon tiroid mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Apabila kanak-kanak mempunyai sejarah keluarga yang mengalami Ketidakupayaan Tiroid, secara tidak langsung mereka berisiko mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Berdasarkan sebab genetik, kami dapat merumuskan bahawa kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga yang mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) berpeluang untuk mengalami ketidakupayaan tersebut, 
            2.3.2   Neurologi
Seterusnya, Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) adalah disebabkan oleh neurologi iaitu berkaitan dengan otak.  Antaranya ialah struktur otak, bahan kimia otak dan laluan saraf. 
            Terdapat tiga kawasan yang dikesan mempunyai kaitan dengan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dalam struktur otak iaitu korteks prefrontal, caudate nucleus dan globus pallidus, serta serebelum.  Korteks prefrontal adalah terletak di hadapan bahagian otak yang menjadi pusat arahan iaitu mengawal kemampuan otak untuk menyekat tindak balas.  Satu kajian telah menunjukkan bahawa kawasan korteks prefrontal dalam pesakit Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) adalah tidak aktif.
            Caudate nucleus dan globus pallidus terletak dekat dengan pusat otak, mempercepatkan serta memberhentikan arahan yang datang daripada korteks prefrontal.  Kajian pada tahun 2002 melaporkan bahawa hanya sebahagian kecil daripada purata kanak-kanak mengalami Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) tetapi cenderung kembali menjadi normal apabila sudah dewasa.  Ketidaknormalan di kawasan ini boleh merosakkan kemampuan seseorang untuk menahan tindakan dan ini menyebabkan seseorang itu mengalami Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dengan impulsif.
Serebelum terletak di atas kawasan akar otak.  Kawasan ini mengawal nada otot, keseimbangan otot dan menyelaraskan aktiviti otot.  Satu kajian penting melaporkan bahawa purata kawasan ini adalah kecil bagi kanak-kanak yang mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).     
Ketidaknormalan aktiviti bahan kimia otak yang tertentu dalam korteks prefrontal boleh menyumbang kepada Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Dopamine dan norepinephrine adalah bahan kimia otak yang mempunyai kaitan dengan ketidakupayaan ini.  Manakala neurotransmitters yang menjadi penghubung bahan kimia otak akan memberi kesan kepada fungsi mental dan emosi.  Kajian mencadangkan peningkatan tahap bahan kimia yang lain iaitu glutamate, glutamine dan GABA atau secara kolektif dipanggil  Glx, akan berinteraksi dengan laluan yang mengangkut Dopamine dan norepinephrine.
            Kawasan yang khusus bagi laluan saraf ialah rangkaian saraf yang dipanggil laluan basal-ganglia thalamocortical.  Ketidaknormalan sepanjang laluan saraf ini adalah berkait dengan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), Sindrom Tourette dan Ketidakupayaan Obsessive-Compulsive yang berkongsi ciri-ciri tertentu.
            Kami dapat merumuskan ketidaknormalan di kawasan struktur otak, bahan kimia otak dan laluan saraf akan menyebabkan ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Ketidaknormalan di bahagian korteks prefrontal akan menyebabkan kanak-kanak gagal menyekat tindak balas dan menyebabkan mereka mudah terdedah kepada bahaya.    
2.3.3 Kekurangan zat makanan
            Bayi yang kekurangan zat makanan akan mempunyai masalah tingkah laku  yang seterusnya menjadi punca kepada Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Sesetengah kajian mendapati terdapat kaitan antara kekurangan asid lemak tertentu dengan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Sementara itu, zink memainkan peranan penting dalam metabolisma asid lemak iaitu menukarkan kesan dopamin yang melibatkan neurotransmitters dengan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Kami berpendapat bahawa para ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat zat makanan yang diperlukan secukupnya sejak dari kecil lagi.          
            2.3.4 Pengaruh persekitaran
            Corak pemakanan terutama makanan dan minuman yang mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti Yogurt, Vitagen dan Yakult  membawa risiko kepada kanak-kanak untuk mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Minuman yang berkafein seperti nescafe dan kopi juga mempengaruhi kanak-kanak untuk mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
            Selain itu, persekitaran semasa ibu mengandung seperti persekitaran merokok turut mempengaruhi anak dalam kandungan.  Menurut Braun, Kahn, Froehlich, Auinger, dan Lanphear (2006), sebanyak 270,000 kes Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) bagi kanak-kanak berumur empat hingga lima belas tahun adalah disebabkan oleh pendedahan kepada persekitaran merokok sebelum lahir. 
Selain itu, sebanyak 290,000 kes Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) antara kanak-kanak Amerika (AS) yang berumur empat hingga lima belas tahun adalah berpunca daripada persekitaran.
Seterusnya, ibu yang mengandung yang terdedah kepada bahan beracun seperti dioxins dan polychotinated biphenyls (PCBs) akan mempunyai risiko yang tinggi melahirkan anak yang mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  Di sini, kami dapat merumuskan bahawa pengaruh persekitaran memberi risiko yang tinggi kepada kanak-kanak untuk mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD) dan Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) walaupun mereka tidak mempunyai sebab genetik atau neurologi.  
   
2.4       Statistik Ketidakupayaan ADD/ADHD
Mengikut statistik kesihatan yang dikeluarkan oleh National Health Interview Survey pada tahun 2006 untuk kanak-kanak Amerika (US), sebanyak 82 peratus kanak-kanak Amerika (US) bawah 18 tahun adalah sangat sihat.  Dianggarkan sebanyak tujuh peratus kanak-kanak Amerika (US) bawah 18 tahun mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).  
           
            Menurut Braun, Kahn, Froehlich, Auinger dan Lanphear (2006) seperti yang dilaporkan dalam Environment Health Perspect (2006), daripada 4704 orang sampel kanak-kanak pada umur empat hingga lima belas tahun, hanya 344 orang iaitu 8.2 peratus adalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan sebanyak 154 orang iaitu 4.3 peratus adalah berpunca daripada penggunaan ransangan ubatan iaitu bersamaan 3.8 juta dan 2.0 juta orang kanak-kanak dan orang dewasa di Amerika (US).  Manakala, daripada sampel 4704 orang kanak-kanak, 135 orang iaitu 4.5 peratus adalah daripada bilangan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan penggunaan ransangan ubatan yang bersamaan dengan 1.8 juta orang di Amerika (US).    
Selain itu, penemuan menunjukkan kanak-kanak lelaki lebih kerap didiagnosis berbanding kanak-kanak perempuan iaitu tiga hingga lapan kali.  Berdasarkan statistik yang diberikan, kami dapat merumuskan bahawa terdapat peningkatan pesakit Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dalam kalangan kanak-kanak terutama kanak-kanak lelaki.  Selain itu, kanak-kanak cenderung mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) berbanding Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD).  Hal ini kerana apabila kanak-kanak mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) secara tidak langsung kanak-kanak itu akan mengalami Ketidakupayaan Attention Deficit Disorder (ADD).          
3.0       KETIDAKUPAYAAN EMOSI DAN KELAKUAN
3.1       Definisi
Menurut Tileston (2004), pelajar yang mempunyai gangguan emosi adalah normal dan mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi serta mempunyai kebolehan akademik yang sama seperti rakan mereka jika mereka tidak mengalami Kecelaruan Emosi dan Kelakuan.  Oleh itu, Kecelaruan Emosi dan Kelakuan akan mengganggu prestasi pelajaran seorang pelajar.
            Sementara itu, Kirk (1962) mendefinisikan Ketidakupayaan Kelakuan sebagai kelakuan yang mengandungi tindakan yang mempunyai keburukan yang boleh menjejaskan penyesuaian kanak-kanak atau gangguan terhadap kehidupan orang lain.  Menurut Pate (1963) dalam Henley et al. (1996, 1993), menyatakan bahawa kelakuan seorang kanak-kanak terganggu apabila kelakuannya tidak sesuai dengan kehadirannya di dalam kelas iaitu boleh mengganggu kelas, memberi tekanan yang tidak sepatutnya kepada guru dan gangguan yang selanjutnya kepada kanak-kanak lain.
Menurut Howarth (2002), kanak-kanak dinilai mengalami Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan bergantung kepada kekerapan, berlaku secara berterusan dan semulajadi, kekerasan, keganjilan, atau kesan kelakuan yang bertambah berbanding jangkaan normal bagi kanak-kanak pada umur yang sama.
            Berdasarkan definisi yang diberikan, kami dapat merumuskan Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan ditunjukkan secara berterusan iaitu Ketidakupayaan Emosi akan mempengaruhi kelakuan kanak-kanak itu.  Selain itu, Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan mudah untuk dikenal pasti kerana kita dapat melihat dengan jelas ciri-ciri ketidakupayaan itu.   
        
3.2       Ciri-ciri Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan
Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan dibahagikan kepada dua keadaan iaitu luaran dan dalaman.  Antara ciri-ciri luaran Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan ialah suka mengganggu, anti-sosial, ganas, dan bipolar.  Manakala ciri-ciri dalaman Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan ialah serangan panik, kemurungan, kebimbangan, dan menjauhkan diri.
            3.2.1   Ciri-ciri luaran
             Kita dapat melihat ciri-ciri luaran Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan apabila kanak-kanak menunjukkan emosi mereka melalui kelakuan terhadap orang lain seperti mengganggu orang lain, tidak bersosial dengan orang lain dan  melakukan keganasan terhadap orang lain.
            3.2.1.1            Suka mengganggu
Kriteria kelakuan yang suka mengganggu dapat dilihat melalui corak pengulangan dan kelakuan yang berterusan.  Hal ini dapat ditunjukkan dengan kehadiran tiga atau lebih dan diikuti dengan kriteria atau ciri-ciri yang melepasi dua belas bulan dengan sekurang-kurangnya satu ciri ditunjukkan dalam enam bulan seterusnya. 
            Antara ciri suka mengganggu ialah agresif terhadap orang lain dan haiwan.  Hal ini dapat dilihat kepada kelakuan yang selalu membuli, mengancam atau mengugut orang lain.  Selain itu, mereka juga selalu memulakan pergaduhan dan menggunakan senjata yang boleh membawa kepada kecederaan fizikal yang serius kepada orang lain seperti pisau atau pistol.
            Ciri yang seterusnya bagi mereka yang suka mengganggu ini ialah mereka suka memusnahkan harta benda orang lain.  Mereka juga suka menipu untuk mendapatkan sesuatu benda atau untuk melepaskan diri.  Mereka suka mencuri benda yang berharga tanpa berdepan dengan mangsa seperti melakukan pemalsuan cek. 
Selain itu, mereka yang sering melanggar peraturan adalah termasuk dalam ciri suka mengganggu.  Mereka yang melanggar peraturan selalu keluar malam walaupun ibu bapa melarang bermula sebelum umur tiga belas tahun.  Selain itu, mereka yang melarikan diri dari rumah lewat malam sekurang-kurangnya dua kali semasa tinggal bersama ibu bapa atau di rumah penjaga mereka atau tidak pulang sekali dalam jangka masa yang lama juga termasuk di bawah mereka yang suka melanggar peraturan.  Bagi kanak-kanak yang selalu tidak menghadirkan diri ke sekolah sebelum umur tiga belas tahun juga termasuk di bawah mereka yang suka melanggar peraturan.   
           
            3.2.1.2            Anti-sosial
Kanak-kanak yang anti-sosial suka bersendirian dan mereka tidak berminat untuk bermain dengan kawan-kawan.  Hal ini menjadikan mereka tidak mempunyai kemahiran bersosial dengan orang lain dan tidak dapat menyesuaikan diri apabila berada dalam masyarakat.
            3.2.1.3            Ganas
            Ganas adalah satu corak kelakuan negatif dan kelakuan ini wujud sekurang-kurangnya enam bulan dengan empat ciri atau lebih ciri-ciri seperti selalu marah, mudah tersinggung dengan orang lain, selalu membantah cakap orang dewasa dan keengganan untuk patuh kepada peraturan atau permintaan orang dewasa.  Selain itu, kanak-kanak selalu menyalahkan orang lain untuk kesalahan atau kelakuan dirinya, selalu menyakitkan hati orang lain dan dengan sengaja memarahi orang lain.
            3.2.1.4            Bipolar
            Bipolar adalah satu keadaan yang mempunyai tahap tinggi dan tahap rendah serta mempengaruhi kelakuan apabila emosi berada pada setiap tahap tersebut.  Sebagai contohnya, apabila seseorang berada pada tahap tinggi, seseorang itu akan berasa sangat yakin untuk melakukan sesuatu perkara yang diinginkannya.  Walaubagaimanapun, apabila berada pada tahap rendah, seseorang itu akan berasa rendah diri atau susah hati sehinggakan sanggup mencederakan diri sendiri. 
Antara ciri-ciri bipolar ialah selalu dirasuk oleh perasaan, selalu cepat marah, mengalami kemurungan dan kadang kala pemikirannya seolah terhenti dan keadaan itu membawa kepada kelakuan yang tidak munasabah.      
           
 3.2.2              Ciri-ciri dalaman
Kita dapat melihat ciri-ciri dalaman Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan adalah berlaku dalam diri kanak-kanak itu sendiri seperti mengalami serangan panik, mengalami kemurungan, mengalami kebimbangan dan menjauhkan diri.
            3.2.2.1            Serangan panik
            Serangan panik didefinisikan sebagai tercetusnya perasaan takut yang teramat sangat secara tiba-tiba dan melibatkan sekurang-kurangnya empat daripada ciri-ciri seperti perasaan takut mati, perasaan takut hilang kawalan atau menjadi gila, kesakitan di bahagian dada atau perasaan tidak selesa dan gementar.  Selain itu, seseorang itu akan berpeluh, hatinya berdebar-debar, mempunyai perasaan akan berlakunya sesuatu bahaya, dan mempunyai keperluan untuk melarikan diri apabila berhadapan dengan situasi yang mencemaskan. 
            3.2.2.2            Kemurungan 
            Kanak-kanak yang mengalami kemurungan akan selalu mengadu tentang fizikal mereka seperti sakit kepala, sakit perut, sakit otot atau keletihan.  Selain itu, kanak-kanak yang selalu tidak menghadirkan diri ke sekolah atau menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan di sekolah adalah termasuk dalam golongan yang mengalami kemurungan.  Seterusnya, kanak-kanak yang mengalami kemurungan cenderung untuk meluahkan kemarahan mereka dengan menjerit, bersungut atau menangis. 
Apabila emosi mereka terganggu kerana kemurungan, mereka akan berasa bosan dan tidak berminat untuk bermain dengan kawan-kawan.  Kanak-kanak yang mengalami kemurungan juga akan berusaha melarikan diri dari rumah dan seterusnya terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol untuk menghilangkan kemurungan yang di alami mereka.
            3.2.2.3            Kebimbangan
Kanak-kanak yang mengalami kebimbangan mudah mempunyai perasaan panik terhadap sesuatu peristiwa.  Selain itu, mereka juga selalu tertekan apabila mengalami sesuatu peristiwa seperti pergi ke sekolah atau perpisahan ibu bapa.  Seterusnya, kanak-kanak yang mengalami kebimbangan mempunyai kekurangan dalam memperkembang kemahiran sosial.  Apabila mereka mengalami kemurungan, mereka mudah terpengaruh dalam penyalahgunaan sesuatu benda.  Kebimbangan akan memberi kesan kepada prestasi di sekolah.  Mereka akan menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan dalam akademik.
3.2.2.4            Menjauhkan diri
Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan akan menyebabkan kanak-kanak mempunyai perasaan untuk menjauhkan diri seperti tidak berminat untuk bersosial dengan kawan-kawan dan selalu berasa rendah diri apabila bersama dengan orang lain.
            Berdasarkan ciri-ciri Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan di atas, kami dapat merumuskan bahawa Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan akan memberi kesan kepada cara hidup kanak-kanak dari segi pergaulan dan interaksi kanak-kanak itu dengan orang disekeliling serta kepada diri mereka sendiri.
3.3       Sebab-sebab Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan          
Menurut Henley, Ramsey dan Algozzine (1996, 1993), terdapat empat faktor utama yang menyebabkan Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan iaitu bio-fizikal, psikopendidikan, psikodinamik, dan kelakuan.
            3.3.1   Bio-fizikal 
            Bio-fizikal adalah gabungan biologikal dan fizikal.  Oleh itu, Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan adalah disebabkan oleh genetik dan gangguan emosi.  Schwartz (1979) seperti yang dilaporkan oleh Henley et al. (1996, 1993) menyatakan terdapat bukti untuk menyokong peranan baka dalam membentuk kelakuan dan personaliti.  Sebagai contohnya, ketidakupayaan hiperaktif, anti-sosial dan suka mengganggu dikenal pasti dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan.
            Selain itu, kanak-kanak yang kekurangan nutrisi juga akan mengalami Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan.   Seterusnya, bio-kimia iaitu apabila tryptophan amino acid ditukarkan kepada serotonin neurotransmitter oleh tindakan kimia akan dikawal oleh enzim-enzim turut menyebabkan Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan.  Hal ini disokong oleh Restak (1984) yang menyatakan bahawa serotonin boleh mempengaruhi keagresifan, kemurungan dan corak tidur yang normal.
            3.3.2   Psikopendidikan
            Mengikut psikopendidikan, masalah kelakuan adalah hasil daripada gangguan psikologi dan penyesuaian kelakuan mesti dipelajari untuk berjaya menyesuaikan diri di sekolah.  Oleh itu, hubungan guru dan pelajar adalah asas untuk membina perubahan.  Hubungan itu datang daripada kepercayaan bersama dan kedua-duanya perlu menerima keperluan setiap orang.  Dengan menggunakan perkembangan kognitif dan emosi sebagai panduan, pendidik dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap perkembangan tersebut.  Seterusnya, komponen seperti perkembangan kendiri, pengajaran kemahiran sosial dan pengalaman sekolah perlu diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
            3.3.3   Psikodinamik
Menurut Rhades dan Tracy (1972), masalah berhubung dengan perkembangan personaliti adalah disebabkan oleh masalah sosial dan emosi kanak-kanak.  Pakar psikologi dan psikiatrik percaya bahawa prinsip konflik dalaman yang telah dibangunkan oleh Sigmund Freud dapat digunakan untuk menerangkan dan merawat Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan. 
            Psikodinamik melibatkan personaliti dalam hubungan antara id, ego dan superego. Id ialah kepuasan dan bersifat dorongan atau desakan yang mendominasi diri kanak-kanak.  Sementara itu, ego akan membentuk penilaian tentang sesuatu dan kedudukannya adalah di antara id dengan superego.  Seterusnya, superego adalah suara hati iaitu mewakili kepercayaan moral dan etika.  Kami berpendapat id, ego dan superego adalah sistem untuk memeriksa dan menyeimbangkan kelakuan individu.
            3.3.4   Kelakuan
            Kelakuan dipengaruhi melalui sistem pembelajaran, peneguhan dan hukuman.  Dalam sistem pembelajaran, kelakuan ialah tindak balas seseorang dengan persekitaran.  Teori kelakuan menyatakan kelakuan yang sesuai atau tidak sesuai adalah dipelajari. Oleh itu, pembelajaran melibatkan peniruan, model dan kawalan yang bersyarat.  Pembelajaran juga berlaku apabila keadaan persekitaran memberi peneguhan kepada kelakuan yang khusus.
            Terdapat dua peneguhan iaitu peneguhan positif dan peneguhan negatif.  Peneguhan positif akan menunjukkan kesan atau akibat yang meningkatkan kebarangkalian kelakuan pada masa hadapan.  Sebagai contohnya, seorang kanak-kanak berkongsi barang permainannya dengan kawan-kawan yang lain kerana diterima bermain dengan mereka.  Sementara itu, peneguhan negatif akan meningkatkan kebarangkalian kelakuan dengan menghindari akibat yang tidak baik.  Sebagai contohnya, seorang kanak-kanak yang dapat menyiapkan kerja sekolah selama lima hari berturut-turut dikecualikan daripada mengambil bahagian dalam kuiz matematik mingguan.  Hal ini dapat memberi motivasi kepada kanak-kanak lain yang tidak menyiapkan kerja sekolah.
Peneguhan negatif tidak sama seperti hukuman.  Hukuman ialah mengeluarkan akibat yang mengurangkan kemungkinan kelakuan pada masa hadapan. Sebagai contohnya, seorang kanak-kanak yang mengganggu kawannya diarahkan untuk berada di satu sudut berseorangan dan tidak dibenarkan untuk bercampur dengan kanak-kanak lain selama beberapa minit.
            Berdasarkan sebab-sebab di atas, kami dapat merumuskan Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan adalah berpuca daripada faktor dalaman individu dan faktor luaran seperti persekitaran.  
 
 
3.4       Statistik Ketidakupayaan Emosi dan Kelakuan
Hasil penyelidikan pada tahun 2006 ke atas dua puluh orang yang mengalami tekanan, mendapati 10 sehingga 20 peratus daripada mereka tidak memberi tindak balas yang baik terhadap rawatan biasa seperti psikoterapi, anti-depress atau terapi electroconvulsive.  Selain itu, dalam satu kajian yang diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine, Sachs dan kawan-kawan telah menentukan secara rawak sebanyak 366 orang pesakit dengan Ketidakupayaan Bipolar untuk satu rawatan menstabilkan perasaan dengan menggunakan ubat-ubatan dan plasebo atau ubat-ubatan dan anti-depress selama 26 minggu.
Seterusnya, Sachs (2006) menyatakan kebanyakan pesakit dewasa dilaporkan mempunyai simptom ini sebelum berumur 18 tahun samada secara rasmi didiagnosis atau tidak.  Manakala, Institut Kesihatan Mental Kebangsaan melaporkan umur median tercetusnya Ketidakupayaan Bipolar adalah pada umur 25 tahun iaitu separuh tua dan  separuh muda.  Berdasarkan statistik yang diberikan, kami berpendapat kanak-kanak juga berisiko untuk mengalami Ketidakupayaan Bipolar.
4.0       KETIDAKUPAYAAN PERTUTURAN
4.1       Definisi
Masalah pertuturan yang dialami memberi kesan terhadap bunyi yang dikeluarkan oleh kanak-kanak.  Setiap kanak-kanak mempunyai suara yang unik tetapi perbezaan dalam cara kanak-kanak itu bercakap menjadi suatu masalah apabila pertuturannya tidak difahami oleh orang yang mendengar ataupun cara kanak-kanak itu bercakap mengganggu pendengar daripada memahami apa yang cuba disampaikan.  Adakalanya kanak-kanak yang mengalami mesalah lain seperti palsi serebrum, sumbing, masalah pendengaran dan dyspraxia.   
Kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan tidak berkemampuan menyatakan keperluan, kehendak dan perasaan yang seterusnya menjejaskan pembelajaran dan interaksinya dengan orang lain.  Apabila kanak-kanak berasa sukar untuk membuat orang lain memahaminya, mereka berasa kecewa dan menunjukkan tingkah laku yang agresif.  Kebiasaannya kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan diabaikan oleh rakan-rakan kerana sukar bagi memahaminya dan ini membawa kepada keadaan perkembangan bahasa yang semakin lambat, terutama dalam kemahiran interaksi sosial kerana peluang untuk mereka berkomunikasi terhad.
4.2       Ciri-ciri Ketidakupayan Pertuturan
Ketidakupayaan Pertuturan dapat dilihat melalui lima ciri yang dapat dilihat ke atas seseorang kanak-kanak yang mempunyai masalah ini.  Antara ciri-cirinya ialah ketidakupayaan artikulasi, ketidakupayaan suara, ketiadakupayaan suara, ketidakupayaan bahasa dan ketidakupayaan kelancaran ( gagap ).  
            Ketidakupayaan yang pertama iaitu ketidakupayaan artikulasi.  Ketidakupayaan ini terbahagi kepada empat iaitu penggantian, keherotan atau memiuh, ketinggalan atau pengabaian dan penambahan.  Bagi ketidakupayaan penggantian, kanak-kanak mungkin menggantikan satu bunyi dengan bunyi yang lain.  Bunyi perkataan yang sepatutnya disebut tetapi tidak disebut oleh kanak-kanak.  Contohnya, seperti bunyi perkataan ‘train’ tetapi kanak-kanak menyebut dengan bunyi seperti ‘crane’.
Manakala bagi keherotan atau memiuh pula, kanak-kanak berkemungkinan akan memiuh bunyi pertuturan yang tertentu apabila mereka cuba menyebut perkataan tersebut.  Contohnya, kanak-kanak yang susah untuk menyebut ‘s’, berkemungkinan kanak-kanak akan menyebut perkataan ‘sleep’ akan menjadi ‘schlep’.  Selain itu, ketidakupayaan artikulasi ini juga disebabkan oleh ketinggalan atau pengabaian bunyi perkataan yang tertentu.  Sebagai contohnya, kanak-kanak yang hendak menyebut bunyi perkataan school’ akan membunyikan seperti ‘cool’.  Ketinggalan bunyi ni berkemungkinan kanak-kanak akan meninggalkan konsonan yang terletakdibelakang perkataan.  Contohnya, perkataan ‘post’ disebut oleh kanak-kanak sebagai ‘pos’.
            Ketidakupayaan artikulasi yang terakhir ialah penambahan.  Seorang kanak-kanak akan menambah bunyi sesuatu perkataan yang diucapkan.  Contoh perkataan yang disebut oleh kanak-kanak ialah seperti ‘brown’ tetapi dibunyikan seperti ‘buh rown’.
Ketidakupayaan kedua pula ialah ketidakupayaan suara.  Ia terbahagi kepada dua iaitu bunyi dan gema.  Bagi bunyi, kanak-kanak akan mengeluarkan suara yang berbunyi seperti orang yang sedang mengah, parau, serak, garau atau seperti suara yang dipaksa-paksa keluar untuk mengeluarkan bunyi.  Hal ini adalah disebabkan masalah organik seperti tumbesaran atau perangsang pada ‘vokal cards’.
            Manakalan ketidakupayaan suara yang disebabkan oleh gema merupakan keadaan di mana pengeluaran banyak bunyi melalui udara hidung.  Gema ini disebabkan oleh masalah organik iaitu seperti rekahan lelangit mulut, tisu hidung menggelembung ataupun kerosakan pendengaran.  Selain itu, ia juga berkemungkinan disebabkan oleh masalah fungsi percakapan yang dipelajari oleh kanak-kanak tersebut.
            Ciri ketidakupayaan ketiga pula ialah ketiupayaan suara.  Ketidakupayaan ini juga terbahagi kepada dua iaitu pertuturan yang bertaburan dan gagap.  Pertuturan bertaburan adalah satu keadaan yang merupakan pertuturan kanak-kanak adalah sangat cepat dengan bunyi yang berlebihan atau sebutan yang salah.  Contohnya, kanak-kanak menyebut sesuatu perkataan itu dengan sebutan yang salah seperti perkataan ‘work’ akan disebut ‘walk’.  Manakala gagap pula merupakan keadaan di mana seseorang kanak-kanak menghadapi masalah untuk bertutur dengan normal dan lancar.  Pertuturan in akan terganggu disebabkan oleh masalah pengulangan atau masalah pelanjutan suara atau perkataan.  Kebiasaannya kanak-kanak ini akan menyebut perkataan yang sama berulang-ulang kali. Gagap ini juga menyebabkan seseorang kanak-kanak mengalami kesusuhan untuk memulakan sesuatu perkataan.
            Bagi ketidakupayaan yang keempat pula ialah ketidakupayaan bahasa.  Ketidakupayaan bahasa ini terbahagi kepada dua iaitu ketidakupayaan bahasa reseptif dan ketidakupayaan bahasa ekspresif.  Ketidakupayaan bahasa reseptif adalah kanak-kanak tidak dapat memproses, memahami dan mengintegrasi bahasa.
Hal ini menyebabkan kanak-kanak akan mengulangi perkataan-perkataan atau frasa yang dituturkan oleh orang lain.  Selain itu, kanak-kanak tersebut juga tidak dapat mengikut arahan yang yang diberikan kepada mereka dan menghadapi masalah untuk menjawab soalan yang diberiakn yang berbentuk seperti apa, di mana, siapa, bila, kenapa dan bagaimana.
            Ketidakupayaan bahasa ekspresif pula yang menyebabkan kanak-kanak menghadapi masalah untuk mengekspresikan verbal iaitu kesukaran untuk menggunakan perkataan bagi memfomulasikan fikirannya, kekurangan perbendaharaan dan ucapan tatbahasa seperti sintaksis, moforlogi dan semantik.  Hal ini menyebabkan kanak-kanak tidak tahu dalam pembentukan ayat, perbualan dan pemahaman terhadap sesuatu bahasa yang dituturkan.
            Ketidakupayaan yang terakhir ialah ketidakupayaan kelancaran ( gagap ).  Ketidakupayaan kelancaran iaitu gagap apabila penyebutan perkataan oleh kanak-kanak adalah berulang-ulang, terhenti-henti dan diikuti oleh ketegangan otot tekak dan tulang dada.   Kegagapan juga adalah disebabkan oleh gangguan pernafasan yang berpunca daripada penyelarasan otot pertuturan yang tidak sempurna.  Contohnya sebutan kanak-kanak seperti ‘sasasasa…. saya’ atau ‘aaaaa….apa’.
            Gagap merupakan masalah pertuturan di mana sebutan ( biasanya ) huruf pertama atau syllable sesuatu perkataan di ulang tanpa kawalan.  Sebagai contoh, gagap pada perkataan ‘meja’ akan menjadi samada ‘m-m-m-m…m-meja’ atau “me-me-me-me…meja”.  Ini biasanya berlaku dengan fenom bermula dengan ‘p’ atau ‘b’ atau konsonan plosive yang lain.  Gagap merupakan proses luar yang membantut komunikasi biasa.  Walaupun terdapat teknik bantu diri yang boleh diajar dan dapat membantu sesetengah orang, mereka yang gagap tidak dapat menghentikan proses tersebut dan kerisauan atau kegelisahan meningkatkan lagi masalah tersebut.  Dalam bahasa Inggeris istilah stammering digunakan bagi merujuk kepada tersekat atau terhenti-henti pada sesuatu perkataan syllables.        
4.3       Punca-punca Ketidakupayaan Pertuturan
Punca-punca yang menyebabkan Ketidakupayaan Pertuturan ialah faktor genetik, sindrom, kecederaan otak, peniruan yang tidak baik, gangguan emosi dan kecacatan pada organ mulut atau kecacatan organ pertuturan.  Punca yang pertama ialah faktor genetik, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan faktor genetik ini mempengaruhi ketidakupayaan pertuturan kanak-kanak.  Hal ini boleh terjadi samada dari ibu atau ayah kanak-kanak tersebut yang mempunyai latar belakang ketidaupayaan sedemikian. 
            Punca yang kedua pula ialah yang berkaitan dengan sindrom.  Ia adalah berpunca daripada gangguan neurologi dan metabolik ketika dalam kehamilan atau selepas ibu bersalin.  Gangguan neurologi adalah disebabkan oleh sistem saraf kanak-kanak tersebut mengalami gangguan.  Hal ini kerana sistem saraf membentuk satu ‘rantaian’ sel-sel yang berkomunikasi.  Setiap neuron menerima mesej (pesanan) daripada neuron lain, oleh itu jika terdapat gangguan pada salah satu neurologi kanak-kanak tersebut maka Ketidakuapayaan Pertuturan akan berlaku.
            Penghasilan pertuturan dikoordinasikan oleh otak.  Jika berlaku kecederaan kepada bahagian otak disebabkan oleh kemalangan, strok atau gangguan neurologi sewaktu kelahiran, maka seseorang itu boleh berhadapan dengan masalah pertuturan.  Sebagai contoh, seseorang yang cedera korteks sekutuannya akan mengalami aphasia (kelemahan keupayaan untuk menggunakan bahasa).  Sejenis aphasia adalah akibat daripada kerosakan kawasan Broca’s iaitu kawasan pertuturan yang terletak di sebelah kiri lobus frontal yang menyebabkan kesukaran dalam bercakap dan menulis serta tidak dapat menyebut dengan betul (pelat).
Punca seterusnya ialah disebabkan oleh peniruan yang tidak baik.  Hal ini berlaku adalah kerana faktor persekitaran yang tidak sihat menyumbang kepada fakor ini.  Kanak-kanak pada awalnya akan terdedah kepada persekitaran yang dikelilingi oleh ibu bapa dan orang terdekat. 
Sekiranya ibu bapa dan orang yang terdekat dengan kanak-kanak ini menggunakan pertuturan yang pelat atau yang tidak sepatutnya di tuturkan apabila berhadapan dengan kanak-kanak akan menjadikan kanak-kanak meniru percakapan yang tidak sepatutnya itu.  Pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak, apa sahaja yang dituturkan oleh orang sekeliling kanak-kanak akan membuatkan kanak-kanak meniru segala bentuk percakapan dan gaya bahasa yang dituturkan.  Oleh itu, pada peringkat ini segala pertuturan orang sekeliling sangat penting untuk mempengaruhi pertuturan kanak-kanak.
            Gangguan emosi juga menyebabkan punca Ketidakupayaan Pertuturan.  Punca Ketidakupayaan Pertuturan yang disebabkan oleh gangguan emosi ini kerana peringkat awal kanak-kanak emosi kanak-kanak sangat penting.  Kanak-kanak pada peringkat awal sangat sensitif pada emosinya.  Sekiranya kanak-kanak mengalami gangguan emosi, maka ia akan menganggu pertuturan kanak-kanak tersebut.  Hal ini berlaku kerana apabila gangguan emosi berlaku, kanak-kanak akan menjadi bercelaru atau tidak tersusun  kerana kanak-kanak tidak dapat berfikir dengan baik dan betul.
            Punca yang terakhir ialah disebabkan oleh kecacatan pada organ mulut atau kecacatan organ pertuturan itu sendiri.  Ia terjadi akibat seperti celahan bibir atau lelangit (sumbing) serta masalah pendengaran yang menghadkan kanak-kanak mempelajari bahasa pertuturan.  Kanak-kanak yang mengalami sumbing akan sukar untuk bertutur kerana berkemungkinan percakapannya tidak difahami oleh orang lain kerana kecacatan pada organ mulut.  Selain itu, kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran ataupun pekak menjadikannya sukar untuk bertutur dan memahami apa yang dituturkan oleh orang lain.
4.4       Statistik Ketidakupayaan Pertuturan
Menurut ‘National Institute on Deafness and Other Communication Disorder’ (NIDCD), dianggarkan lebih tiga juta rakyat Amerika adalah gagap.  Kegagapan berlaku kepada semua peringkat umur tetapi lebih berlaku kepada kanak-kanak berumur antara 2 hingga 6 tahun yang mana untuk perkembangan bahasa.  Kanak-kanak lelaki lebih cenderung menghadapi ketidakupayaan ini berbanding perempuan.  Walaubagaimanapun kebarangkalian kanak-kanak untuk mendapat Ketidakupayaan Pertuturan ini 1% berbanding orang dewasa.
            Manakala menurut ‘A Clinico Statistical Investigation’ menunjukkan 2419 orang pesakit pertuturan di Showa University Dental Hospital dalam tempoh 1977 hingga 2003.  Keputusan menunjukkan bahawa rekahan bibir atau pelat adalah yang paling popular dalam sepuluh tahun yang pertama menunjukkan penurunan pesakit dan pesakit yang menghadapi tumor pada bahagian oral dan ketidakupayaan fungsi artikulasi meningkat melebihi 16 tahun.  Yang kedua, peratusan yang menunjukkan ketidakupayaan artikulasi ialah sebanyak 78.4%.  Peratusan pesakit yang terima terapi pertuturan adalah sebanyak 23,5% dan 20.6% pesakit yang terima rawatan ‘prosthodontic’ untuk Ketidakupayaan Pertuturan.
            Menurut ‘Leading Group of The Second China National Sample Survey on Disability National Burreau of Statistics of the People’s Republic of China’ menunjukkan bahawa pada 1/12/.2006 keputusan kajian ke atas 142,112 ahli keluarga telah menunjukkan bahawa 161,479 orang mengalami ketidakupayaan.  Sebanyak 2510 orang menunjukkan Ketidakupayaan Pertuturan iaitu 1.55%.  Bagi tahun 2005, sebanyak 1309.48 juta populasi orang di China pada masa kajian dilakukan.  Berdasarkan kepada jumlah itu, anggaran nisbah orang ketidakupayaan kepada populasi nasional ialah 6.34%.  Bagi Ketidakupayaan Pertuturan, sebanyak 1.27 juta atau 1.53% orang yang mengalami masalah pertuturan ini.  
5.0       Rumusan
Berdasarkan kepada ciri-ciri yang dibincangkan bagi setiap ketidakupayaan, kami dapat merumuskan bahawa ciri-ciri yang terdapat bagi setiap ketidakupayaan dapat dilihat dengan jelas dan berterusan.  Sementara itu, punca-punca bagi setiap ketidakupayaan cenderung kepada faktor genetik dan persekitaran.  Seterusnya, statistik yang diperolehi dapat mengukuhkan lagi ciri-ciri dan punca-punca setiap ketidakupayaan tersebut.  Pengetahuan mengenai ciri-cri dan punca-punca setiap ketidakupayaan tersebut memberi pengetahuan dan kemahiran asas dalam membuat pengesanan, diagnosis dan penilaian bagi mengenal pasti dan menentukan masalah dan intervensi yang sesuai dapat dirancang.

No comments:

Post a Comment