KEKUATAN TIDAK DATANG DARI KEMAMPUAN FIZIKAL TETAPI IANYA DATANG DARI SEMANGAT YANG TIDAK PERNAH MENGALAH. BERUSAHA MENCARI DAN MENAMBAH ILMU BUKANNYA MENGHARAPKAN APA YANG ADA.

Wednesday 9 October 2013

LITERASI BAHASA VS AKTIVITI PENGAMATAN

TAKRIF PENGAMATAN 
Pengamatan bermaksud satu proses yang menimbulkan makna kepada tugas-tugas pancaindera dengan bantuan pengalaman-pengalaman yang lalu dan mempunyai hubungan yang rapat dengan pemikiran kita. Kamus Dewan (1998) mentakrifkan pengamatan sebagai proses pengawasan atau penelitian. Pengamatan mempunyai maksud yang sama dengan perkataan persepsi (perception), iaitu gambaran atau bayangan dalam hati atau fikiran (tentang sesuatu), pandangan (menerusi pancaindera) atau tanggapan. Proses pengamatan merangkumi tiga peringkat, iaitu proses penerimaan, pemprosesan data dan proses tindak balas.

Konsep Pengamatan
Janet W. Learner (1971) dalam bukunya berjudul ‘Children With Learning Disabilities’ berpendapat, pengamatan adalah satu proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera dengan bantuan kuasa intelek. Proses pengamatan bermula apabila wujudnya rangsangan luar yang boleh dikesan oleh organ-organ deria, iaitu mata (melihat), telinga (mendengar), hidung (menghidu), lidah (merasa) atau kulit (menyentuh). Hal ini bermakna, pengamatan merupakan satu proses mental dan neurologi yang mempengaruhi pembentukan konsep-konsep yang jelas dan tepat. Gangguan yang dialami boleh menjejaskan pengamatan daripada aspek mengingat kembali, mendiskriminasikan, memahami konsep dan lain-lain kemahiran pengamatan.

Ciri-ciri Murid yang Mengalami Kesukaran Pengamatan
Terdapat 13 ciri yang menggambarkan seseorang murid itu sedang mengalami kesukaran pengamatan, iaitu:
(a) Lambat membuat pengolahan seperti mengelaskan himpunan ikut jenisnya.
(b) Sukar kaitkan perkara yang diketahui dengan situasi baharu.
(c) Cepat lupa dan memerlukan aktiviti ulangan yang lebih kerap.
(d) Kecenderungan ke arah tindakan terburu-buru dan tanpa berfikir.
(e) Lemah koordinasi motor, iaitu antara mata dengan tangan.
(f) Tidak mampu membuat keputusan secara am.
(g) Tidak mahu melibatkan diri dalam aktiviti kumpulan kerana
kesukaran menyesuaikan diri dalam kumpulan.
(h) Sukar dan tidak mahir dalam melaksanakan kerja kreatif.
(i) Mengharapkan orang lain semasa membuat keputusan.
(j) Banyak menghafal tetapi tidak faham maksud yang dihafal.
(k) Terlalu lama berfikir sebelum membuat sesuatu.
(l) Kurang sifat bekerjasama.
(m) Sering melanggar peralatan di dalam bilik darjah.
(n) Membuat sesuatu kerja tanpa mengetahui di mana harus berhenti.

Punca-punca Kelemahan Pengamatan
Ada dua faktor punca kelemahan pengamatan, iaitu faktor dalaman (internal) dan faktor luaran (external)
(a) Faktor internal
Internal bermaksud ‘dalaman’ iaitu faktor kelemahan yang berpunca daripada beberapa kelemahan dalam diri sendiri. Ada tiga faktor yang menjadi punca kepada kelemahan pengamatan dalaman, iaitu:
(i) Minat dan kecenderungan serta perhatian kanak-kanak
(ii) Keupayaan tenaga, tekanan emosi dan penglihatan
(iii) Kerosakan pendengaran dan penglihatan

(b) Faktor external
External bermaksud ‘luaran’ dan ada dua faktor yang menjadi punca kepada kelemahan pengamatan, iaitu:
(i) Kurang pendedahan
(ii) Kurang rangsangan

Ciri-ciri Kesukaran dalam Pengamatan Penglihatan
Kesukaran pengamatan merupakan kepayahan mengenal pasti maklumat daripada tindak balas panca indera dengan bantuan kuasa intelek. Setelah ujian pengamatan dilaksanakan, ada 13 ciri kesukaran yang telah dikenal pasti, iaitu: 

1 Diskriminasi 
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, diskriminasi pengamatan mengandungi dua jenis, iaitu diskriminasi persamaan dan diskriminasi perbezaan atau ganjil. Kesukaran dalam aspek diskriminasi berlaku apabila berlakunya ketidakbolehan murid-murid untuk membezakan bentuk, saiz, warna, huruf, nombor dan perkataan.

2 Ingat kembali 
Ketidakbolehan mengingat kembali merujuk kepada kesukaran murid untuk mengingat dan menyebut semula nama bahan maujud yang dilonggokkan dengan jumlah yang banyak atau menyebut nama bentuk pada kad imbasan yang telah diamati dalam tempoh yang singkat.

3 Orientasi kedudukan 
Kad imbasan yang mengandungi susunan beberapa keping gambar yang mempunyai sifat yang sama tetapi satu daripadanya berbeza kedudukan. Murid perlu mengesan gambar berkenaan yang kedudukannya berbeza atau ganjil. Kesukaran dikesan apabila berlakunya ketidakbolehan murid untuk membezakan kedudukan gambar berkenaan atau bentuk, huruf dan nombor yang ditunjukkan kepadanya.

4 Turutan 
Tujuan aktiviti ini adalah untuk melatih murid supaya dapat mengingati dan menyusun semula aktiviti-aktiviti bersiri. Kesukaran terjadi apabila berlakunya ketidakbolehan murid untuk mengingat sesuatu mengikut susunan seperti susunan gambar atau beberapa huruf dalam perkataan.

5 Menyudahkan dan melengkapkan 
Tujuan aktiviti ini adalah untuk melatih murid supaya mampu menyudahkan dan melengkapkan gambar, benda, objek, nombor, perkataan atau ayat. Contohnya aktiviti memadankan gambar kepala dan ekor haiwan yang dipisahkan. Kesukaran komponen dikesan apabila berlaku ketidakbolehan murid untuk mengenal sesuatu gambar, benda, objek, nombor, perkataan atau ayat.

6 Menyalin 
Tujuan aktiviti menyalin adalah untuk melatih murid supaya dapat menghasilkan apa jua yang telah dilihat. Walau bagaimanapun, kesukaran dalam komponen pengamatan ini terjadi apabila berlakunya ketidakbolehan menyalin sesuatu bentuk, huruf, nombor, perkataan atau ayat.

7 Rajah latar belakang 
Tujuan aktiviti ini adalah untuk melatih murid supaya dapat menyelesaikan sesuatu masalah secara abstrak. Contohnya aktiviti mengesan bentuk geometri yang disusun secara berlapis. Murid yang mempunyai pengamatan penglihatan yang baik akan dapat mengesan bentuk geometri secara berasingan. Walau bagaimanapun, kesukaran dalam komponen pengamatan boleh terjadi apabila berlakunya ketidakbolehan mereka menentukan bentuk, objek atau nombor dari latar belakang sesuatu gambar atau rajah.

8 Koordinasi tangan dan mata 
Tujuan aktiviti ini adalah melatih murid supaya dapat menyelaraskan pergerakan motor–mata–tangan dan fahaman arah kiri, kanan dan sebagainya. Ketidakbolehan murid menyelaraskan pergerakan motor mata dan tangan seperti pergerakan tangan yang lambat, cara memegang pensel yang tidak mantap dan sebagainya akan menyebabkan berlakunya kesukaran dalam komponen ini.

9 Pertalian jarak 
Kesukaran terjadi apabila berlakunya ketidakbolehan murid mengagak sesuatu saiz, jarak kiri dan kanan serta hubungan antara satu objek dengan objek yang lain. Penggunaan kad imbasan bertitik melatih murid supaya dapat mengagak sesuatu saiz, jarak kiri ke kanan serta antara satu hubungan objek dengan objek-objek yang lain.

10 Gambar bersiri 
Penggunaan filem pendek dapat membantu murid-murid menyusun gambar mengikut urutan yang betul berdasarkan bahan rangsangan yang ditayangkan sebelumnya. Walau bagaimanapun, kesukaran komponen pengamatan boleh terjadi apabila murid tidak boleh mengikut cerita dari satu babak ke satu babak yang lain secara berkesan.

11 Pembalikan 
Ketidakbolehan murid membezakan bentuk asal sesuatu gambar, bentuk, huruf, nombor atau perkataan akan menyebabkan kesukaran komponen pengamatan berlaku.

12 Mencari jalan keluar 
Aktiviti ini juga dikenali sebagai Mazing Games. Tujuan aktiviti adalah melatih murid supaya dapat menyelesaikan sesuatu masalah melalui aktiviti mencari jalan keluar daripada mudah kepada yang susah. Kesukaran dalam komponen pengamatan berlaku apabila berlakunya ketidakbolehan murid-murid untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

13 Benda tersembunyi 
Tujuan aktiviti adalah melatih murid untuk menyelesaikan masalah dan berfikir. Walau bagaimanapun kesukaran terjadi apabila berlakunya ketidakbolehan murid untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang abstrak.

Langkah Menangani Kesukaran Komponen Pengamatan 1

1 Penggunaan bahan maujud 
Benda maujud bermaksud benda yang benar-benar ada, nyata, dapat dilihat dan dipegang, iaitu lawan kepada khayalan dan fikiran. Keistimewaan menggunakan benda maujud ialah murid-murid dapat memegang, merasa dan menyentuh objek berkenaan. Contohnya bola, buku, pensel, topi, beg dan sebagainya.

2 Mempelbagaikan kaedah pengajaran 
Mempelbagaikan kaedah pengajaran guru di dalam bilik darjah dapat mengelakkan pembelajaran murid menjadi cepat bosan. Justeru, kepelbagaian kaedah pengajaran boleh dijalankan oleh guru seperti melaksanakan pengajaran secara individu, berpasangan dan berkumpulan. Kaedah mengajar individu melibatkan seorang guru dan seorang murid. Pengajaran jenis ini amat sesuai untuk mengatasi kelemahan mengajar secara seluruh kelas.
Lazimnya di dalam sebuah bilik darjah mempunyai murid yang berbagai-bagai-bagai kebolehan dan keupayaan dan kaedah kelas menguntungkan sebilangan kecil murid sahaja dan tidak semua individu, maka kaedah individu perlu untuk mengembangkan kebolehan individu. Sebelum melaksanakannya, guru harus mengenal potensi murid-murid, mengenal pasti masalah pembelajaran, merancang dan menyampaikan bahan pengajaran berasaskan kebolehan individu.

Pengajaran secara berpasangan pula hanya melibatkan dua orang sahaja sama ada murid pandai mengajar murid lemah atau murid lemah menerima pengajaran guru secara berpasangan. Manakala pengajaran secara berkumpulan pula menggunakan strategi pengajaran berpusatkan murid, di mana murid-murid boleh menjalankan aktiviti pembelajaran melalui kumpulan mengikut kebolehan. Cara ini dapat menguasai kemahiran tertentu mengikut kadar pembelajaran yang sepadan dengan kebolehan mereka. Guru boleh melaksanakan dua cara membentuk kumpulan, iaitu berdasarkan kebolehan yang sama manakala cara kedua pelbagai pencapaian.

3 Memberikan sebanyak mungkin siri latihan pengamatan penglihatan
Memberikan sebanyak mungkin siri latihan pengamatan penglihatan kepada murid-murid yang mengalami kesukaran dalam komponen pengamatan. Latihan ini boleh dijalankan secara individu seperti melaksanakan aktiviti diskriminasi bentuk, pendengaran, penglihatan, turutan dan menyalin. Cara ini boleh membantu mereka untuk mengingat secara kekal dan lama. 


No comments:

Post a Comment